28 Ramadhan : Sibuk Sangat

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini hari yang saya rasa tak cukup kaki dan tangan. Seluruh badan terkuras habis sampai sakit-sakit, lemah dan kepala pun berdenyut-denyut sakit. Pagi tengah mencuci sarung kusyen dua set kerusi, kawan telefon ajak jumpa di Asajaya sebab dia nak berikan pitis yang saya pesan. Pitis itu hasil usaha adik dan adik iparnya, sedap. Saya buat rojak parut dan gaul dengan pitis ini dan tabur kacang tanah. Biasanya saya gunakan sengkuang, timun, tauge (celur) tauhu goreng dan lobak merah. Ini salah satu menu raya saya...hahaha. Di Asajaya , punyalah ramainya orang sampai dua kali saya pusing mencari tempat parking, hinggakan lorong-lorong kecilpun berdedai dengan kereta . Motorsikal pula sesuka hati sahaja orang letak...isk,isk,isk. Bila jumpa orang kampung, mereka tanya saya : seorang je ke? Maksudnya mungkin dia nak tumpang balik . Tetapi saya tak boleh hendak tumpangkan sesiapa sebab tempat duduk belakang saya sumbatkan dengan kipas angin tinggi dan beberapa barang . Shopping raya tak habis lagi. Macam-macam yang saya beli dan rasanya setiap kedai saya masuk..hahaha.


Semasa saya sedang membancuh adunan Biskut Cornflake resipi kawan lama orang Seremban ,Nurlailah Abd Jalil (entah apa khabar dia sekarang ? Semoga duka hidupnya sudah lama sirna dengan kebahagiaan ) , dua orang anak saudara yang pernah tinggal dengan saya  , Ridzuan dan Azizi balik beraya. Mereka ini kalau balik , ke rumah sayalah tempatnya. Si Ridzuan , bila tahu saya tengah membuat biskut terus duduk membantu. Saya cuma tukang bancuh dan bakar sahaja. Nenek mereka menangis tersedu-sedu melihat kepulangan cucu-cucunya. Alhamdulilah , raya tahun ini kami beraya berempat. Bila anak-anak saudara lelaki sudah balik, semua kerja lelaki saya serahkan kepada mereka...hahaha.

Saya masih sibuk mengemas rumah...bengang sebab selagi belum raya selagi itu tak habisnya mengemas. Menu raya pertama telah saya set dalam kepala. Saya cuma perlu masak untuk hidangan di surau dan makan keluarga kecil saya sahaja. Tiga menu cukuplah. Saya serik sebab tahun lepas saya masak kuah kacang , nasi impit, 5 menu , sekaya untuk makan lemang, dan akhirnya semuanya terbuang sebab tak habis dimakan. Jadi tahun ini saya buat ala kadar sahaja. Cuma menyambut anak-anak murid saya, saya masak mi goreng atas permintaan mereka. Bimbang pula budak-budak ini terlebih makan..hahaha.

Persiapan raya rasanya sudah dibuat sejak cuti Gawai (Jun) lagi. Bermula dengan menempah langsir yang siap sebulan. Langsir pula tidak dibuat tiap-tiap tahun. 5 tahun sekali saya membuat langsir baru. Begitu juga dengan sarung kusyen , 5 tahun sekali juga saya tukar. Justeru itu, saya rasa tahun ini saya tidak berebut-rebuit menyambut raya...alhamdulilah. Senang hati saya. Walaupun semuanya dibuat bersendirian, namun saya bersyukur. Cuma auranya kurang sedikit tahun ini kerana saya tahu banyak kerja sekolah yang belum disiapkan sepenuhnya. Saya kena buat persediaan yang rapi menyambut pegawai dari sektor IQSS...Jaminan Kualiti Sekolah. Kawan saya memberi amaran mengenai seseorang yang digeruni , dan saya berharap dia tidak akan menuding jari sesuka hatinya. Jika result UPSR turun naiknya dituding ke arah guru-guru Tahun 6 , adalah tidak adil sama sekali. pasti tiada guru yang mahu memikul tanggungjawab ini sepenuhnya. Ketika keputusan UPSR melonjak naik dahulu, tiada seorangpun kami mendapat penghargaan yang sepatutnya . Ketika keputusan menurun, hendak tuding ke arah kami ? Oh no...berfikirlah secara rasional . Jika anda turun ke tempat kami dan buktikan selama 3 tahun berturut-turut, tunjuk cara yang sebetulnya seperti yang anda cadangkan....saya akan tabik spring kepada anda. Hahaha....Ini penyataan orang tensen kerja masa raya...:) Itulah alkisahnya, selagi pemantauan itu belum berakhir, semua guru tensen . Saya bersyukur kerana dua anak saudara saya itu balik, jadi bolehlah tolong saya melayan tetamu.


Comments (0)