BANJIR 2011

0

Posted by Leeza | Posted in

26 Disember 2011

Pada waktu ini saya sudah tidak tahu hendak buat apa-apa. Jam menunjukkan 12.14 pm , hari ke dua banjir berlaku di kampung saya. Saya tidak mahu berendam dalam air dalam rumah saya yang setinggi punggung di ruang tamu dan paras perut di ruang dapur. Lagipun kaki saya masih belum sembuh sepenuhnya. Beberapa hari berendam dan meredah banjir dari hujung kampung (lokasi rumah saya) ke hujung kampung  sangat memenatkan dan menyakitkan kaki . Maka saya ingin berkongsi kisah dan pengalaman bagaimana berada dalam keadaan banjir.
25 Disember 2011
Pagi itu, saya ,kakak dan Putri pergi menghadiri kenduri di Kampung Semera Masjid dan Kampung Semera Lot. Emak saya ditinggalkan bersendirian di kerusinya setelah selesai memberinya makan dan meninggalkannya dengan meja yang lengkap dengan air dan ubat. Selesai kenduri ,kakak mengajak saya ke Asajaya membeli  beberapa barang keperluan.  Balik itulah, hujan turun tanpa henti sehingga menyebabkan banjir besar berlaku. Petang, bila saya melihat parit sudah penuh, saya terus mengemas beberapa barang. Sofa yang berat saya minta tolong Loqman dan Ujang angkat atas kerusi  supaya  tinggi. Saya bimbang dimarahi dan dipersalahkan jika sofa kesayangan orang itu rosak. Dan saya menghantar Kodok ke surau kerana itu kawasan yang tinggi. Malamnya air naik menyebabkan saya melarikan Kancil pula sehingga ke jalan besar di belakang kampung. (jalan cina). Selepas itu saya meredah air separas betis  mengambil si Kodok pula. Kami berdua orang terawal memarkir kereta  di tempat tersebut. Hanya tawakal kepada Allah sahaja.Dalam gelap dan hujan lebat serta petir berdentum, rasa seriau dengan ular tedung dan gelap malam tidak mampu ditakuti lagi , hanya berzikir memohon perlindungan ALLAH sepanjang jalan ke rumah. Syukur kerana saya baru membeli lampu  suluh baru. Balik ke rumah saya membawa emak ke atas kerana biliknya sudah dimasuki air. Tetapi malangnya tenaga emak terlalu lemah. Tergelincir mengheret saya turut terjatuh. Saya berusaha tidak menimpa tubuhnya sehingga tangan terseliuh sakit. Mengalah saya sebentar dan hati tak putus-putus berdoa agar keadaan air tidak terus naik. Saya menyalin pakaian emak yang basah . Tetapi hanya beberapa minit kemudian  air mendadak naik, saya terus mengajak emak  pindah ke atas. Saya tahu kakinya sudah sakit akibat terjatuh. Sedikit demi  sedikit saya memeluknya kuat dan dia tidak  berkain ,hanya menggunakan diaper(TENA), sambil memimpinnya berjalan dalam air separas lutut dengan perlahan  naik ke atas. Doa pada ALLAH menguatkan tenaga saya sebab jika emak tidak kuat dan terjatuh dari tangga, pastinya ia turut membahayakan saya juga sebab saya pasti akan jatuh sama.Bila sampai ke dalam bilik , syukur alhamdulilah. Sebaik dia selesai baring di bilik atas, saya bergegas turun menyelamatkan tilam kami berdua. Malangnya tilam saya sudah basah kena air. Almari emak  yang jatuh hanya satu laci sahaja sempat saya selamatkan. Termasuk tong gas yang terapong dalam air saya tutup dan letak di tempat tinggi. Maka malam itu, jadilah malam yang penuh pasrah melihat dua peti ais , mesin basuh ,sofa dan almari-almari serta semua harta benda di dalamnya ditenggelami air. Saya lupa dalam almari ada jag , toaster , sandwich maker, pemutar telur dan barang elektrik dalam satu almari juga rosak dalam air. Syukur hartan benda sekolah seperti sekotak buku library dan dokumen dan fail penting sempat saya bawa ke atas. Masa itu sengal dan sakit badan tidak  terucap. Bila duduk di tingkas atas, saya tidak dapat melelapkan mata . Hanya berdoa dan solat hajat memohon perlindungan  Allah. Saya teringat malam Krismas , kisah ribut Greg menakutkan saya. Hujan lebat tidak berhenti dan air semakin naik. Saya menelefon kakak di rumah depan , meminta mereka anak beranak lari ke rumah saya di tingkat atas tetapi telefon tidak diangkat. Jam 2.30 pagi anak menantu kakak menelefon menyatakan hendak lari ke rumah saya. Saya mengemas bilik yang awalnya saya simpan kusyen-kusyen  untuk diduduki oleh mereka anak beranak. Saya membuka pintu dan menunggu kakak di situ kerana bimbang dia yang membawa bayi kecil si Alisya 3 bulan  , bimbang terjatuh dalam air kerana  lantai rumah yang licin. Maka ramailah kami di rumah malam itu. 
pandangan dari jendela bilik saya di tingkat atas

Rumah kakak yang pertama kali mengalami banjir

Rumah Luqman

bersambung lagi......

PERCUTIAN DENGAN KAK NB SEKELUARGA 2

2

Posted by Leeza | Posted in

Perjalanan yang jauh menggunakan Jalan PAN BORNEO amat mencabar kerana sepanjang jalan dari Mukah ke Tatau ,Bintulu ,jalannya sangat teruk dan  berlubang . Keadaan cuaca sentiasa hujan menyukarkan lagi perjalanan kami. Namun saya sangat kagum dengan kecekapan Pak Seyit memandu. Beliau dapat mengelak lubang dengan bersilat di jalanraya dengan bergaya...hahaha. Kemahirannya merempit di KL digunakan di Borneo. Di pertengahan jalan beliau terpaksa menghentikan kereta kerana si Comel hendak membuang air kecil. Saya yang membantunya tetapi saya terlepas pandang dia tertinggal sandalnya di situ. Bila sampai di Bintulu baru dia perasan sandalnya tidak ada di bawah kerusi. Saya pula rasa bersalah kerana kecuaian saya ini. Di Bintulu kami hanya meraon sepanjang jalan dan ketika keluar ke Miri kami terpaksa bertanya dengan penduduk tempatan. Alhamdulilah kami dapat teruskan perjalanan ke Miri biarpun terlupa mengisi minyak di Miri. Saya risau dengan cuaca dan keadaan yang gelap. Dengan jalan yang belum tentu baik, hati terasa berdetup-detap. Apa lagi hendak ke tandas....hahaha. sangat mencabar sekali. Pada satu cafe , kami berhenti seketika untuk ke tandas..tetapi tandasnya memualkan. Kak NB sampai tidak mahu makan dan minum setelah pergi ke tandas tersebut. Tetapi saya, Teta dan Pak Seyit masih selamba minum air ....hahaha. Dalam kereta penuh dengan makanan yang kami beli, ada keropok, kacang, kuaci biji matahari dan biji labu, sotong kering dan gula-gula.Terdapat juga buah-buahan seperti rambutan yang dibekalkan oleh Norhayati Sulaiman dan Kertina. Terimakasih banyak-banyak kepada mereka. Apa lagi dari mula enjin sampai berhenti mulut tak henti-henti mengunyah.
Kami singgah di stesen minyak Batu Niah dan sempatlah ke tandas. Kami shopping di kedai Super Save yang baru dibuka di sana. Jam waktu itu sudah sekitar 630 malam dan keadaan seperti sudah 8 malam...gelap. Di kedai itulah saya membeli stokin lutut kerana kaki saya sakit. Si Teta pula membeli sandal angry bird warna pink. Seterusnya perjalanan diteruskan dengan mengikut driver lori yang menghantar barangan ke kedai tersebut. Dia juga hendak ke Miri. Kami menggunalan jalan baru ke Miri yang lebih elok dan lebih dekat. Alhamdulilah kami tiba di Miri dalam sekitar jam 830 malam. Tempat pertama dituju ialah kedai makan dan kemudian baru mencari hotel. Berada di Miri banyak juga tempat yang kami tuju, antaranya Boulevard shopping mall, The Imperial Mall (bersebelahan hotel menginap kami) dan beberapa kedai. Di Bella, kami tertarik dengan reka bentuk beberapa telefon rumah seperti tandas, bibir, kasut high heel...tetapi kak NB tak dapat mengambil gambarnya kerana pekerja asyik memandang sahaja. Apa yang dapat kami saksikan ialah suasana orang ramai bershopping untuk Krismas sudah terasa.

Teta bergaya di depan rumah roti , rumah ini dibuat daripada biskut  ginger yang sebenarnya. Di luar rumah ini ada untaian  roti ginger. Kami berdua leka membelek dan mencium roti tersebut sedangkan sudah ditulis "DON'T TOUCH AND DON'T EAT" Rumah ini mengingatkan saya dengan kisah dongeng Hansel and Gretel.

Berehat sebentar kedua beranak ini melihat barang-barang permainan.

Kak NB terduduk menunggu Teta memilih barang mainannya.

Hahaha...saya gelak melihat gambar ini. Gaya si Teta comel sahaja bila diukur oleh uminya.
Sebelum check out dari Hotel Imperial, Miri, Teta sempat mengambil gambar di sudut krismas ini.

Si Teta nampak tinggi je duduk kan? Sebenarnya dia duduk atas badan Babanya yang sedang berbaring keletihan. Sewaktu ini, Kak NB sedang memandu.

Tak tahu adakah Pak Seyit benar-benar nyenyak memandangkan si Teta sekejap-sekejap duduk dan berbaring atas badan Babanya.
Teta dan Putri sedang meluangkan masa bersama menonton Upin dan Ipin dari laptop umi Teta.

Sempat bermanja si Comel dengan uminya di Pasar Stutong, Tabuan Laru.

Bergaya di depan Snowman ,The Spring Kuching. Waktu ini, uminya tengah shopping di Butik Elle.

Teta buat muka camni masih nampak comel...hahaha. ini dekat pentas The Spring.

Dan......malamnya, dia keletihan . Seperti biasa dia tidur di dalam kelambu depan TV bersama uminya.

5 Disember 2011, kami bertolak balik seawal jam 7 pagi . Kali ini kami tidak berhenti dan terus ke Ulu Semera Asajaya. Kak NB bergilir dengan Pak Seyit memandu.Syukurlah kerana cuaca sangat baik dan jalan yang kami gunakan darri Sibu ke Sri Aman merupakan jalan baru.  Kami berhenti di Perhentian Rehat Sri Aman untuk solat, makan tengahari dan makan durian. Hahaha..acara makan durian wajib untuk peminat tegar durian seperti Pak Seyit. Saya dan Kak NB membeli dabai untuk dibawa balik. Kami tiba di Ulu Semera dalam lingkungan jam 9 malam. Apa yang dapat saya katakan , saya sangat kagum dengan kecekapan Pak Seyit memandu dan kasihan melihatnya keletihan. Malam itu sedikit sahaja dia makan malam. Teta dan kak NB juga keletihan. Malam itu kami tidur awal.
Keesokkannya 6 Disember 2011, kami pergi ke Kuching, ke Pasar Stutong , Tabuan Laru , The Spring dan membeli kek dan ikan terubok masin untuk kakak bawa balik ke Kajang. Kami balik ke Ulu Semera malam juga...hahahaha...seakan masa tidak cukup . Saya pula tak kesempatan masakkan kak NB pajeri kedondong sehingga kedondong itu masak sendiri dalam peti ais. Walaupun berlaku peristiwa yang sangat mencemaskan pada pagi 7 Disember 2011, namun saya berharap Kak NB sekeluarga tidak serik datang ke Ulu Semera lagi. InsyaAllah , jika umur kita panjang dan ada rezeki kita akan berjumpa lagi.

PERCUTIAN DENGAN KAK NB SEKELUARGA 1

0

Posted by Leeza | Posted in

Pada 30 November 2011 hingga 8 Disember 2011 , Kak  Norhayati Berahim bersama suami dan anak datang bercuti di Sarawak. Mereka menginap di rumah saya. Sebelum tarikh ini, hari-hari kami menghitung masa kerana saya sudah terlalu rindukan Kak NB dan Teta. Lagipun kami sama-sama merancang untuk merealisikan impian lama kami untuk menjelajah Sarawak menggunakan jalan darat.

Cucu saudara saya ,Putri mengikut saya menjemput Kakak Tetanya dari Airport Kuching.

Sebahagian makanan yang Kak NB bawakan..sate kajang...kesukaan saya. Emakpun suka.
 Banyak makanan yang kak NB bawakan untuk saya, antaranya sate kajang, popia , fishcake, laksa basah, kuie tiaw, keropok lekor, dodol Melaka,ikan goreng (hahaha) dan TAKOYAKI....Saya mengidam Takoyaki ini ,alhamdulilah atas rezeki yang Allah bagi. Terimakasih Kak NB dan Pak Seyit.

Keesokan harinya , kami meneruskan perjalanan menjelajah Sarawak seawal jam 7 pagi. Kami terlewat di Pengkalan Feri yang sibuk dengan warga Samarahan pergi kerja.Lebih kurang jam 10 pagi, kami tiba di Sri Aman. Kami berhenti rehat di Perhentian Rehat Sriaman untuk membeli dabai dan buah-buahan.
Kak NB sudah jatuh hati dengan Dabai...RM10 sekilo di Perhentian Rehat SriAman.

Pak Seyit dan Teta sedang menjamu durian . Barulah saya benar-benar percaya kesukaan Pak Seyit terhadap durian.
 Kami tiba di Sibu lebih kurang jam 5 petang dan di sana saya berkesempatam menemui kawan baik saya , Lucy yang pernah sama mengajar di Daro. Saya dibawa ke rumah dan bersiar-siar di bandar Sibu. Anak-anaknya sudah besar. Walaupun jauh, persahabatan ini masih tetap baik. Atas bantuannya kami keluar dari Sibu dengan lega.
Bersama sahabat saya, Cikgu Lucy Tiong yang menetap di Sibu.



Kami sempat shopping di Parkson Sibu. Terus-terang saya katakan , Parkson Sibu berbeza dengan Parkson Kuching sebab barang-barangnya lebih lengkap dan berlainan. Banyak pilihan yang menarik. Kasut jenama POLO ada di sini. Begitu juga dengan Mug Meja jenama Thermos, dijual dengan murah .
Ibu dan anak , tidak berenggang walau sesaatpun.

Bergambar kenangan dengan Si Comel, Qaisaya Seyit

Teta dapat belon parkson percuma

Auntie pun dapat belon juga...hahaha. (Si Teta mengambil gambar ini maka saya pegangkan belonnya sekejap)
 Oleh kerana kami telah tersesat semasa keluar dari Sibu maka kami bermalam di Mukah dan sempatlah menemui sahabat kami, Norhayati Sulaiman. Terimakasih Nor kerana belanja kami makanan yang sedap.
Gambar ramai-ramai bersama dua orang makcik Norhayati Sulaiman, kak Delima , kak Ramlah dan adik Norhayati Sulaiman.

Malam itu, kami dihiburkan oleh show 7 lagu oleh si Comel ini. Dia sangat cute, berbakat dan sungguh....saya sendiripun tak ingat lirik yang panjang lebar lagu BEAR HUNT tersebut.
Permandangan masjid Mukah  dari bilik hotel . Kami sempat bersolat di sini sebelum bertolak ke Bintulu.

Biskut Raya di hotel Kingswood Inn, Mukah antara sajian sarapan kami pagi itu,3 Disember 2011.

Kak Nb bersama Kertina Naim rakan Norhayati Sulaiman bersama anaknya. Ibu-ibu dan anak dara masing-masing.

Si Teta bergaya dengan kasut high heelnya di depan hotel Mukah.
Sebelum kami bertolak ke Bintulu, kami sempat dibawa oleh Nor ke Dalat untuk menyaksikan Pesta Balau. Saya perasan saya tidak mengambil gambar ketika berada di sana . Beberapa hari keadaan cuaca tidak menentu, hujan sepanjang perjalanan.

MOHON BANTUAN UNTUK ANAK-ANAK YATIM TERATAK RAHMAT

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum semua sahabat pembaca yang budiman.
Ingatkah lagi dengan derma yang kita kutip semasa bulan Ramadhan yang lalu ? Kini Teratak Rahmat ,Perlis memerlukan lebih kurang RM24,000 untuk perbelanjaan harian dan persekolahan seramai 40 orang anak-anak yatim ini pada tahun 2012. Justeru itu, kumpulan kami , Grup Ukhwah sedang giat melancarkan kempen selama sebulan untuk mengutip derma ini. Pihak kami akan menyerahkan kutipan derma itu pada pertengahan bulan Disember 2012  nanti. Besarlah harapan saya jika sahabat-sahabat pembaca blog saya, sudi menghulurkan derma sekurangnya RM50 seorang atau seberapa banyak yang sahabat-sahabat ingin bantu. Kami menerima apa sahaja derma ikhlas daripada pihak sahabat sekalian. Sahabat-sahabat boleh masukkan derma ke dalam akaun bendahari Grup Ukhwah , Puan NORHAYATI BERAHIM , Maybank : 164267408855 dan sila email detail kemasukan derma ini ke nbkara@yahoo.com dengan meletakkan nama TRMA /Teratak Rahmat.
Segala derma ikhlas sahabat sangat dihargai dan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

LOGOS HOPE : Floating Book Fair 7 November 2011

0

Posted by Leeza | Posted in

Baru-baru ini sebuah kapal antarabangsa LOGOS HOPE telah mengadakan Pesta Buku Terapung di Pelabuhan Pending Kuching. Saya mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Raya Aidiladha untuk melihat sendiri pesta buku di atas kapal ini. Saya ke sana dengan dua orang anak saudara saya Zarina dan Arie bersama cucu saya , Asmara.Cucu saya ini suka mengikut saya ke pameran buku dan ke kedai buku. Dia juga suka membaca.
 Bila kami sampai, sudah banyak kereta yang parkir dan barisan pengunjung terpaksa berbaris sejauh 2km. Crew-crew kapal ada yang membantu kami mendapatkan tempat parkir jadi tidak susahlah mencari parkir yang kosong. Kami dikenakan bayaran masuk RM1 seorang untuk dewasa dan kanak-kanak bawah 12 tahun diberi masuk percuma.Semasa masuk kami diberi taklimat ringkas mengenai objektif Pesta Buku ini yang bertujuan  untuk memungut derma bagi bantuan kebajikan sedunia . Yang menariknya kami diberi taklimat di bahagian yang kerusinya diubahsuai seperti dalam sampan. Setiap buku diberikan unit dan pertukaran unit dengan nilai Ringgit Malaysia. Contohnya buku WORD SEARCH yang saya beli 75 unit dan harganya ialah RM6.
 Di ruangan rak-rak buku tersusun dengan kemas berbagai buku seperti fiction, childrens, law, economy dan terdapat juga jualan seperti beg cover buku (RM42) , barangan cenderahati seperti pen, pensil, keychain, poscard dan banyak lagi. Saya membeli sebuah buku sahaja, dua batang pen (RM2 satu) dan sebuah keychain (RM4).

Di sepanjang lorong keluar dari ruangan buku-buku , ada cafe dan lukisan mural yang menarik tentang pilihan hidup remaja. Saya cuma sempat bergambar sebegini sahaja...menjadi kapten kapal. hahaha.

Cuaca yang panas menyebabkan kami menyingkatkan lawatan kami ke Logos Hope. Bila keluar dari kapal saya mendapati pengunjung semakin ramai berbaris menunggu giliran. Kesesakan di atas kapal yang pengap dan rasa dingin aircond tiada menyebabkan ia tidak begitu menarik. Tambahan pula koleksi buku yang dijual hanya biasa-biasa sahaja. Saya mencari buku gambar tersembunyi untuk aktiviti kanak-kanak tetapi hajat saya tidak  kesampaian.Rina yang mencari buku kanak-kanak untuk anaknya Asmara juga kecewa. Dia memberi komen ringkas , lebih bagus lagi jualan buku 2nd Times di Crown Square dahulu.

Muhasabah Diri

1

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum sahabat-sahabat pembaca...
Saya akui saya terlalu lama membiarkan blog saya ini tiada perkembangan terbaru. Terlalu banyak cerita ingin saya kongsi bersama pembaca. Tak mengapa, nanti-nanti saya akan sampaikan juga apa yang berlaku dan membuat kita bukan sahaja saya dan keluarga saya tetapi semua pembaca akan bermuhasabah diri dengan setiap kejadian yang menimpa.
Baru-baru ini saya mengidap sakit kaki. Kaki kanan saya sebenarnya sudah lama sakit tetapi saya biarkan sahaja kerana saya berfikiran ia hanya disebabkan kasut, penat berjalan atau penat memandu. Pun juga saya tetap bersenam menggunakan basikal dan stepper. Urat yang keletihan dan sedia tegang semakin tegang dan sakit. Kawan-kawan kata saya gout tetapi saya telah memeriksa dan doktor tidak mengatakan ia gout. Kesimpulannya sakit kaki ini berpunca dari kecederaan lama dan saya pula selalu berlanggar kepala lutut samada di bucu katil, atau di pintu. Saya juga selalu tergelincir di sekolah tetapi tidak sempat jatuh cuma , kepala lutut ini adalah terhempas di titian belian di sekolah.
Saya berjumpa doktor pakar tulang dan diberi rawatan SONOTRON. Kawan baik saya yang memandu kereta . Saya ingat bertambah baik , dan Isnin itu saya pun turunlah ke sekolah tanpa memohon cuti. Baru beberapa langkah dan membawa bebanan yang berat, beg kerja, laptop dan bakul bekalan air...saya sudha tidka boleh bergerak kerana kaki saya tiba-tiba mengejang. Allah saja yang tahu betapa sakitnya. Anak-anak murid saya yang berada di tahun 2 yang membantu memapah saya ke Bilik Guru. Tolak ke tepi rasa malu, dengan bantuan jaga sekolah, seorang tukang urut dibawa ke sekolah untuk mengurut kaki saya. Bila diurut, rasa meraung kesakitan ...sakit sungguh. Namun saya dapat menggerakkan kaki dan memandu pulang ke rumah dengan kelajuan 40km sejam. Keesokkannya , saya memohon cuti kerana saya hendak berurut 3 hari berturut-turut. 
Sekarang, sudah seminggu selepas peristiwa itu, namun kaki saya masih lagi sakit. Saya bergerak perlahan dan memandupun tidak terlalu kerap sangat. Namun saya menjaga mak saya yang uzur, pergerakan itu perlu walau lambat. Cuma terkadang mak saya yang tidak mengerti bila sakit, dia marah-marah kalau saya lambat bergerak mendapatkannya bila dipanggil. Saya terkadang tidak mampu memandikannya .....sedih kan. Rasa sakit itu tidaklah saya layan sangat, sebab saya tiada pilihan lain. Bila bangun tidur jam 2, 3 dan 4 pagi saya pastikan bangun dengan perlahan , kendurkan kaki dulu baru saya turun dari katil. Juga mengamalkan memakai selipar di dalam rumah kerana rumah saya waktu paginya sangat sejuk. Dan setiap kali mandi saya masak air panas terlebih dahulu. Air ais sudah saya jauhi. Ketika bersolat duduk, saya menangis pada mulanya sebab bersolat sedemikian ..dalam usia yang masih muda bagi saya. Kekuatan hati perlu bila diduga sebegini. Saya seringkali menganggap ini peluang saya bersyukur dan menginsafi keadaan diri. Taubat dengan setiap dosa yang mungkin telah saya lakukan. Inilah satu jalan untuk membasuh segala dosa itu...dengan tabah menghadapi ujian Allah. Ya Allah...ampunilah segala dosaku. Tabahkanlah hatiku menghadapi segala dugaan ini. Sembuhkanlah penyakitku agar dapat ku berbakti kepada ibuku dengan lebih sempurna....amin.

Bantulah seikhlas hati

1

Posted by Leeza | Posted in


Salam semua sahabat pembaca blog saya.  Moga hari-hari anda sentiasa mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT hendaknya. Saya tahu apa yang bermain di minda anda ketika membaca entry blog saya kali ini. Kenalkah anda dengan Puan Ramlah dan suaminya yang memerlukan bantuan kewangan , Encik Amir ? Jawapannya tentu tidak. Saya sendiripun tidak kenal mereka . Kawan-kawan saya hanya kenal ketika menjalankan jualan amal di NST , Jalan Riong, Bangsar baru-baru ini. Atas dasar kemanusiaan dan kerana kita sesama Islam, kita bantu beliau suami isteri dengan cara ini. RM150,000 terlalu besar untuk beliau dan ia diperlukan dengan kadar yang segera. Saya dengan rendah hati memohon jasa anda sahabat-sahabat pembaca blog saya untuk menghulurkan bantuan sekecilnya RM10 kepada Puan Ramlah agar suaminya Amir dapat menjalani pembedahan pemindahan hati dengan segera.  Segala prihatin dan bantuan ikhlas anda, saya dahului dengan ucapan terimakasih dan moga Allah mengurniakan anda dengan limpahan rezeki dan kesihatan yang baik, amin ya rabbal alamin.

KEMATIAN

0

Posted by Leeza | Posted in

Baru-baru ini, suami kepada satu-satunya kakak saya yang masih hidup menderita sakit. Puaslah dia berubat secara moden dan tradisional namun penyakitnya tidak juga berkurangan . Malahan penyakit lelahnya semakin teruk sehingga pada satu tahap dia sukar untuk bernafas. Dia dikejarkan terus ke hospital  bahagian wad kecemasan. Akibat kondisi kesihatannya semakin teruk dia didiagnosis mengidap TB. Lantas dia diasingkan ke wad pengasingan penyakit berjangkit menggunakan ambulans. Menurut abang saya yang memangku dia dalam ambulans, wajahnya sudah membiru. Kalaulah dia masih di Ulu Semera, mungkin kita hanya mendengar cerita sahaja tentangnya.Alhamdulilah. Namun setelah dia menjalani xray dada, perut dan tulang, doktor mengesahkan dia mengidap kanser paru-paru dan sel kanser itu sudah merebak ke tulang. Apa yang dapat saya ceritakan ialah, ketika abang ipar saya ini dikhabarkan oleh doktor , dia berpesan kepada anak sulungnya , Zarina agar dia adik beradik tidak bergaduh . Ringkas sahaja namun memberi pengertian yang mendalam....kedua beradik ini nanti terpaksa saling bergantung untuk teruskan hidup dan menjaga ibu yang juga berpenyakit darah tinggi.

Saya teringat mak saya. Beliau sudah lama uzur , selalu sakit-sakit dan sekarang ingatannya sudah semakin merosot. Beliau mudah menangis sekarang dan mudah juga marah-marah. Saya selalu dimarahinya tanpa sebab, sehingga pasal memberi ubatpun dia marahkan saya. Sabar sahajalah...hahaha.

Kanser selalu berakhir dengan kematian. Bagaimanakah persediaan kami semua dengan keadaannya. Sayangnya penyakit ini lambat dikesan. Walau bagaimanapun kami semua berusaha untuk mencari ubat alternatif lain. Semua ahli keluarga kena berkorban. Bila ketua keluarga ini tumbang, seakan patah sayap kami semua. Saya sudah lama berdikari sejak kehilangan arwah bapa saya. Dan saya harus memberi sokongan kuat kepada kakak saya sendiri. Walau dalam masa yang sama saya menjaga emak yang tidak berdaya.

Semalam saya bermimpi. Mimpi mainan tidur namun apa yang saya rasa ketika bermimpi itu benar-benar menggugat jiwa saya. Pada saat nyawa di hujung tanduk , ketika harapan untuk hidup terlalu tipis, saya teringat kepada dua orang yang ditinggalkan. Satu : emak saya....beratnya hati mahu meninggalkannya dalam keadaannya tidak berdaya....namun apa kan daya, saya akan mati juga. Dua : kak Norhayati Berahim. Saya tidak dapat bercakap dengannya namun saya sempat meninggalkan mesej suara memohon maaf atas segalanya dan minta dia sampaikan salam kepada semua kawan. KEMUDIAN ..........saya terjaga dan berpeluh-peluh. ALLAHUAKBAR....kematian itu terlalu menakutkan....namun ia pasti akan datang bila-bila masa sahaja. Mungkin peritnya perasaan abang ipar saya itu. Setiap malam dia menangis dalam telefon ketika bercakap dengan cucunya Putri.  Si Buntit itu hanya tahu Atok Janggutnya di hospital, sakit dada. Apa-apapun, kami kena redha dengan ketentuan Illahi....

BELI NOVEL SAMBIL MENDERMA

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya akan beri sokongan semampu yang boleh untuk membantu aktiviti amal kawan-kawan saya. Berikut saya fotokopi nota dalam mukabuku kak Norhayati Berahim. Ikhlas dari hati saya untuk membantu sedaya yang boleh kerana dengan hanya ini sahaja cara saya dapat membantu dari kejauhan ini. Doa semestinya sentiasa namun usaha juga perlu untuk menjayakannya. Moga Allah permudahlan semua urusan mereka. Kawan-kawan pembaca blog saya yang berada berhampiran dengan lokasi lelongan, silalah kunjungi mereka dan beli novel untuk tujuan ini. Terimakasih atas keprihatinan anda.


MARI KITA SAMA-SAMA MEMBANTU..
by Norhayati Berahim on Saturday, September 10, 2011 at 4:38am
Dunia penulisan sangat luas. Kami mempunyai rakan-rakan di dunia penulisan kewartawanan, kreatif, blogger, kritik dan lain lain lagi. Bak cubit paha kiri paha kanan terasa juga, begitulah kami apabila ada rakan penulis kami yang memerlukan bantuan dan menghadapi masalah. Ramlah Zainal ialah wartawan Harian Metro dari meja hiburan. Saya atau anda mungkin tidak mengenalinya secara dekat ttp dia kini diduga Allah kerana suaminya mengalami masalah hati yg kritikal. Disebabkan itu hati suami Ramlah perlu diganti segera.
RM150,000 diperlukan bagi tujuan pembedahan ini dan ia bukanlah jumlah yg sedikit.
Pihak Harian Metro mahu mengadakan kutipan derma dengan cara melelong barang-barang dari para selebriti dan artis-artis. Sebenarnya sesiapa pun boleh turut serta jadi kami memikirkan mengapakah kami tidak turut sama? Jadi kami juga mahu melakukan susuatu. Kami mahu menjual novel-novel kami dan darinya akan mendermakan 35 peratus kepada suami Ramlah. 
Acara lelongan ini akan berlangsung pada 17hb Sept 2011 di NST, Jalan Riong, Bangsar jam 12 tghr  - 7 malam. 
Marilah beramai-ramai datang menemui kami di sana. Dapatkan novel2 NB Kara sambil menderma kepada Ramlah supaya suaminya segera dapat melakukan pembedahan.
Kini mungkin masa Ramlah, esok lusa mungkin masa keluarga kita atau masa kita pula. Mari beli novel sambil menderma demi tujuan murni ini.
JOM KAWAN-KAWAN ,KITA SAMA MEMBELI NOVEL DAN  BERAMAL. DIJANGKAKAN ADA BEBERAPA BARANGAN LAIN JUGA DILELONG DI SANA.
JANGAN LUPA YA...:
TARIKH  : 17 SEPTEMBER 2011, SABTU
LOKASI : NST, JALAN RIONG, BANGSAR.
MASA : 12.00 PM HINGGA 7.00 PM.
Segala keprihatinan anda semua saya dahulukan terimakasih banyak-banyak. Sayang anda semua.






Beraya Di Sekolah

0

Posted by Leeza | Posted in

 Selagi bulan Syawal belum tamat selagi itu , raya masih ada auranya. Bila masing-masing sudah kembali ke sekolah, raya masih diteruskan dengan membawa juadah masing-masing. Setiap hari meja kecil depan meja Ustaz Muhd Sabri penuh dengan makanan. Tidak hairan jika mejanya semut-semut sudah mula bersarang..hahaha. Namun dengan kekuatan semangat, saya  berpuasa sekurang-kurangnya dua hari seminggu. :) Saya berazam hendak berpuasa enam dan sekaligus mengganti cuti puasa saya. Sejak rapat dengan kak NB , dia banyak mengubah perangai saya...terimakasih.
 Pagi tadi sekolah saya mengadakan Merdeka Raya peringkat sekolah. Saya ditugaskan menjadi jurugambar memandangkan blog sekolah saya yang kendalikan. Namun pagi tadi , kami berempat terpaksa berkurung di bilik guru untuk membetulkan slip jawapan OMR untuk subjek masing-masing yang salah dicetak. Sakit mata dan tangan dibuatnya. Sebelum itu, seorang murid telah memanggil saya yang sibuk makan di bilik RMT. Saya sukakan popia basah yang dibawa oleh kawan. Menurut mereka abang Bujang (PRA) yang bawa. Saya bawalah seketul popia untuk diberikan kepada Madam T tetapi dia menolak sebab kenyang. Maka saya yang sudah kenyang memberikan popia itu kepada Noria, kerani sekolah saya. Saya beritahunya yang popia itu sedap , abang Bujang yang bawakan. Dia menerima juga tetapi wajahnya berkerut . Saya fikirkan dia tidak menyukainya tetapi kemudian saya ketawa besar bila dia lambat-lambat memberitahu yang popia itu dia yang bawa. Hahahaha...sampai sekarang saya ketawa mengenang raut wajahnya tadi.
 Antara acara yang kami suka ialah melawat kelas ke kelas. Ini pula wajah anak-anak murid kesayangan saya, kelas Tahun 3. Yang pakai baju hijau depan itu ialah 'I DON'T KNOW'...hahaha.
 Sedondon...hahaha pinjam anak orang sekejap. Mohd Firdaus murid tahun 5.
 Saya lupa siapa punya kasut merah ini. Hahaha tadi semasa di kelas Tahun 4 , saya ternampak murid ini memakai kasut. yang lain rata-ratanya memakai sandal. Saya usik kasutnya dan dia pun suruh ambil gambar kasut kami berdua. Layan sahajalah.
 Wow..banyaknya kuih-muih. Saya sukakan popia halus, coklat yang dibawa Madam dan Puding Cendol. Saya pula dalam membelek kuih-muih , saya ternampak satu bekas yang menarik minat saya, nampak biasa di mata saya. Bila saya belek bekasnya, saya ketawa sendiri...itukan kuih-muih yang saya bawa sendiri. Sengal sungguh...hahaha.Awal pagi sudah hilang ingatan.
Ini pula ketupat sate yang saya tempah. Dalam satu bungkus itu ada 5 cucuk sate dan dua ketupat. Harganya RM3.50. Ini sahajalah yang mampu saya belanja rakan-rakan satu sekolah kerana mendapat lantikan ke DG44 baru-baru ini. Syukur alhamdulilah kerana atas limpahan rezekiNya dapat saya kongsikan dengan rakan-rakan sekerja.

STEPPER : Slim and twist.
Hai-hari makan manis, berlemak, dan durian , tentulah paras kolestrol dan BP mencanak-canak naiknya. Bibir saya pula asyik luka-luka kena ulser, petanda panas. Kawan-kawan saya telah membeli STEPPER dengan harga RM280. Tiada cerita lain, cerita pasal senaman ini sahaja....hahaha. Saya sudah ada basikal di rumah namun jarang saya dapat gunakannya kerana sibuk kebelakangan ini.Mungkinkah saya akan membeli STEPPER ini ? Tunggu dan lihat....

Ziarah Aidilfitri 2011

0

Posted by Leeza | Posted in

Bersama Makcik Dyg Noriah , Ariza , Noria dan Aida.

Saya hanya berkesempatan berjalan raya pada 5 Syawal. Saya harus memikirkan penjaga mak juga seorang ibu dan berkeluarga . Dia tentulah perlu beraya bersama keluarganya.Jadi saya memilih hari sabtu untuk berjalan raya ke Kuching. Kebetulan sahabat saya Ariza akan balik ke Bintulu keesokannya . Saya membawa beberapa buah tangan yang saya beli dari pasar tani Sampun . Saya tidak pandai ke rumah sahabat baik tanpa membawa apa-apa sebagai buah tangan. Lagipun rumah yang saya akan ziarah adalah rumah yang selalu menjadi tempat saya lepak setiap hujung minggu. Makcik selalu mengambil saya dari asrama pada hari Jumaat dan menghantar saya balik pada petang Ahad. Biarpun saya dan Riza tidak lagi sama sekolah selepas SPM , namun kebiasaan ini berterusan sehingga tamat pengajian saya di maktab perguruan. Pasal makan minum tidak usah dikatakan lagi, terlalu banyak jasa keluarga ini kepada saya. Jadi setiap kali Ariza atau Kak Madzalina balik bercuti dan kebetulan sayapun punya masa terluang , kami akan bertemu di rumah ini. Rumah lama di Jalan Pisang Barat juga banyak mencipta kenangan kami bersama. Bersyukur saya sebab pada syawal ini berkesempatan mengunjungi makcik memohon ampun maaf dan minta dihalalkan segala-galanya.
Di rumah Anie, kawan baik Aida di Kampung Semerah Padi.
Setiap tahun beraya ke Kuching, rumah Anie tidak kami lupakan. Cuma tahun lepas sahaja kami tidak menziarahi Anie sekeluarga. Bila sudah dua tahun tidak ke rumah itu, maka sesatlah kami. Anie menyediakan laksa dan nasi minyak serta rendang untuk menjamu tetamunya. Dia juga membuat sup kulat yang sedap. Emak Anie yang duduk di sebelah saya sangat ramah bercerita. Seronok bersembang dengan makcik ini. Anie yang rajin memasak mengajar cara membuat ikan bilis kering bergula. Kemudian saya teringat ikan bilis buatan makcik yang sedap. Jika diberi kesempatan mahu juga saya belajar memasak dengan emak angkat saya ini.
Bersama kawan baik dan kawan sekelas di Kolej , Hajibah Ibrahim
Ini pertama kali saya ke rumah Adib @Hajibah. Adib memberikan panduan arah ke rumahnya melalui facebook. Berpandukan Aida sebagai co-pilot, akhirnya saya berjaya ke rumah Adib. Seronok sebab dapat mengenali Adib dan suaminya. Kebetulan mereka juga menyediakan beberapa juadah seperti spaghetti, salad kentang, sate, rendnag ayam , nasi minyak dan rendang daging. Terimakasih kepada Adib dan suami yang menjamu kami makanan yang enak-enak. Kami menziarahi 5 buah rumah hari ini dan ketika balik bapa Aida memberi kami buah kalak dan durian...alhamdulilah. Terimakasih pakcik .

Cerita Raya 2011

0

Posted by Leeza | Posted in

kek-kek lapis raya tahun ini
Esok dah bermula sekolah dibuka selepas cuti raya seminggu. Masing-masing masih ada mood raya dan mood kerja bagai merangkak-rangkak. Sudah beberapa hari saya tidak mengemaskini blog kesayangan saya ini kerana sibuk dengan raya. Bukan bererti saya beraya sakan tetapi memandangkan saya cuma seorang dan buat semua kerja termasuk melayan tetamu yang datang, keletihannya maksimum. Pelbagai cerita raya yang ingin saya kongsi dengan rakan-rakan pembaca. Sebahagiannya saya abadikan dalam gambar-gambar kenangan.

Emak bersama cucu dan cicitnya



Hari raya pertama kami sambut sekitar keluarga terdekat sahaja. Hanya emak ,saya dan dua anak saudara sahaja beraya di rumah. Saya memasak ayam masak merah, dalca dan hati ayam bersos lada hitam.Jam 11 pagi hidangan dihantar ke surau untuk makan beramai-ramai. Ketiadaan elektrik melambatkan semua proses penyediaan raya. Namun syukur alhamdulilah segalanya dapat diatasi...dewasa dan berdikari.

Cucu-cucu saya dari Sarikei.

keluarga sebelah arwah bapak saya.

satu-satunya adik mak yang masih hidup

Raya pertama tetap meriah dengan kunjungan saudara-mara. Raya kedua barulah rumah saya penuh dengan kedatangan abang-abang sekeluarga. Saya masak ayam kari, udang goreng kunyit dan sayur campur untuk adik-beradik saya. Bertambah meriah bila sepupu-sepupu belah emak turut datang berkunjung.
Keluarga abang saya Hamdan

Saya bersama 3 orang cucu saya

Keluarga sepupu saya belah emak : Abang Kecik

Keluarga sepupu belah emak saya : Abang Besar

Keluarga sepupu arwah bapak dari Gedong, Serian.

Tahun ini saya mempunyai 5 pasang baju raya. Sepasang warna hijau dipadankan dengan tudung fareeda pemberian kak Sri Diah, telah saya pakai pada hari penyampaian 40 pasang baju raya baru daripada sehelaibaju.com kepada anak-anak yantim dan miskin di SK Jemukan. Pada raya pertama saya gunakan baju warna kodok @ungu muda yang saya beli di KL semasa Pesta Buku , sepasang baju warna ungu gelap pemberian kawan saya Madam T saya pakai semasa berziarah ke Kuching dan sepasang lagi, warna biru yang dibeli di KL akan saya gunakan masa buka sekolah esok. :) Baju raya emak adalah pemberian saya dan abang Dee. Hanya sekali sahaja saya berjalan raya dan saya lakukannya pada hari sabtu sahaja.