29 Ramadhan : Almond London dan Kancil

0

Posted by Leeza | Posted in

Sebenarnya pagi ini saya hendak ke Asajaya untuk beberapa urusan :
1. gunting rambut
2. buang sampah
3. baiki kipas rosak
4. baiki lampu liplap.
Sayangnya, bila cuba nak start enjin kancil, tak mahulah pulak. Bateri kong ke apa?  Saya tahu mana ada bengkel yang buka hari ini. Semua orang sibuk dengan persediaan menyambut raya. Tiba-tiba saya teringat sepupu kakak ipar saya mekanik dan tuan punya bengkel kereta kampung saya. Saya minta abang tolong cakapkan dan bawa bateri sekali. Petang baru dia datang sebab dia sekeluarga ke Kuching , shopping raya. Bagi mengisi masa yang ada, saya mengemas rumah dan cuba membaiki kipas dan lampu. Lampu berjaya saya baiki dan kipas sahaja bermasalah.  Akhirnya saya cuba membuat biskut Almond London. Perlukan kesabaran membuatnya dan kena cepat. Kalau lambat, coklat akan cepat membeku. Cubaan pertama , ia agak besar dan comot. Segan saya hendak ambil gambar. Kemudian saya menyediakan semua bahan-bahan untuk dimasak pagi esok sebelum solat raya. Malamnya blackout pula. Beberapa malam ini asyik blackout sahaja sehingga lampupun mudah hangus. Dugaan kecil ini membuatkan kita kian bertaqwa. Sudah dua tahun saya tidak sempat menyaksikan pengumuman hari raya secara live, gara-gara black out. Sempat juga bertanyakan mak ,bagaimana dulu yang tak ada elektrik, telefon atau tv...bagaimanakah mereka tahu tarikh hari raya? Emak menyatakan , alim ulama  tahu mengira tarikhnya. Bila takbir raya berkumandang, terasa sangat sayu rasa hati. Bersyukur kerana mak dan saya dipanjangkan umur berhariraya bersama. Thanks to ALLAH. Kepada semua sahabat pembaca blog saya, terimakasih atas sokongan anda dan selamat berhariraya dna maaf zahir bathin. Berhati-hati di jalanraya dan ingat yang tersayang,


28 Ramadhan : Sibuk Sangat

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini hari yang saya rasa tak cukup kaki dan tangan. Seluruh badan terkuras habis sampai sakit-sakit, lemah dan kepala pun berdenyut-denyut sakit. Pagi tengah mencuci sarung kusyen dua set kerusi, kawan telefon ajak jumpa di Asajaya sebab dia nak berikan pitis yang saya pesan. Pitis itu hasil usaha adik dan adik iparnya, sedap. Saya buat rojak parut dan gaul dengan pitis ini dan tabur kacang tanah. Biasanya saya gunakan sengkuang, timun, tauge (celur) tauhu goreng dan lobak merah. Ini salah satu menu raya saya...hahaha. Di Asajaya , punyalah ramainya orang sampai dua kali saya pusing mencari tempat parking, hinggakan lorong-lorong kecilpun berdedai dengan kereta . Motorsikal pula sesuka hati sahaja orang letak...isk,isk,isk. Bila jumpa orang kampung, mereka tanya saya : seorang je ke? Maksudnya mungkin dia nak tumpang balik . Tetapi saya tak boleh hendak tumpangkan sesiapa sebab tempat duduk belakang saya sumbatkan dengan kipas angin tinggi dan beberapa barang . Shopping raya tak habis lagi. Macam-macam yang saya beli dan rasanya setiap kedai saya masuk..hahaha.


Semasa saya sedang membancuh adunan Biskut Cornflake resipi kawan lama orang Seremban ,Nurlailah Abd Jalil (entah apa khabar dia sekarang ? Semoga duka hidupnya sudah lama sirna dengan kebahagiaan ) , dua orang anak saudara yang pernah tinggal dengan saya  , Ridzuan dan Azizi balik beraya. Mereka ini kalau balik , ke rumah sayalah tempatnya. Si Ridzuan , bila tahu saya tengah membuat biskut terus duduk membantu. Saya cuma tukang bancuh dan bakar sahaja. Nenek mereka menangis tersedu-sedu melihat kepulangan cucu-cucunya. Alhamdulilah , raya tahun ini kami beraya berempat. Bila anak-anak saudara lelaki sudah balik, semua kerja lelaki saya serahkan kepada mereka...hahaha.

Saya masih sibuk mengemas rumah...bengang sebab selagi belum raya selagi itu tak habisnya mengemas. Menu raya pertama telah saya set dalam kepala. Saya cuma perlu masak untuk hidangan di surau dan makan keluarga kecil saya sahaja. Tiga menu cukuplah. Saya serik sebab tahun lepas saya masak kuah kacang , nasi impit, 5 menu , sekaya untuk makan lemang, dan akhirnya semuanya terbuang sebab tak habis dimakan. Jadi tahun ini saya buat ala kadar sahaja. Cuma menyambut anak-anak murid saya, saya masak mi goreng atas permintaan mereka. Bimbang pula budak-budak ini terlebih makan..hahaha.

Persiapan raya rasanya sudah dibuat sejak cuti Gawai (Jun) lagi. Bermula dengan menempah langsir yang siap sebulan. Langsir pula tidak dibuat tiap-tiap tahun. 5 tahun sekali saya membuat langsir baru. Begitu juga dengan sarung kusyen , 5 tahun sekali juga saya tukar. Justeru itu, saya rasa tahun ini saya tidak berebut-rebuit menyambut raya...alhamdulilah. Senang hati saya. Walaupun semuanya dibuat bersendirian, namun saya bersyukur. Cuma auranya kurang sedikit tahun ini kerana saya tahu banyak kerja sekolah yang belum disiapkan sepenuhnya. Saya kena buat persediaan yang rapi menyambut pegawai dari sektor IQSS...Jaminan Kualiti Sekolah. Kawan saya memberi amaran mengenai seseorang yang digeruni , dan saya berharap dia tidak akan menuding jari sesuka hatinya. Jika result UPSR turun naiknya dituding ke arah guru-guru Tahun 6 , adalah tidak adil sama sekali. pasti tiada guru yang mahu memikul tanggungjawab ini sepenuhnya. Ketika keputusan UPSR melonjak naik dahulu, tiada seorangpun kami mendapat penghargaan yang sepatutnya . Ketika keputusan menurun, hendak tuding ke arah kami ? Oh no...berfikirlah secara rasional . Jika anda turun ke tempat kami dan buktikan selama 3 tahun berturut-turut, tunjuk cara yang sebetulnya seperti yang anda cadangkan....saya akan tabik spring kepada anda. Hahaha....Ini penyataan orang tensen kerja masa raya...:) Itulah alkisahnya, selagi pemantauan itu belum berakhir, semua guru tensen . Saya bersyukur kerana dua anak saudara saya itu balik, jadi bolehlah tolong saya melayan tetamu.


27 Ramadhan : Shopping Raya

0

Posted by Leeza | Posted in


 27 Ramadhan , saya telah ke Kuching dengan kawan untuk shopping raya. Hahaha...shopping sakan lah katakan. Pergi Kuching, syukur ada tempat parking walaupun orang sangat sesak. Saya capai hajat hati  beli sesuatu untuk diri sendiri dengan menggunakan Bonus Raya. Alhamdulilah...
GIANT KUCHING


 Oleh kerana GIANT baru dibuka 25 Ogos lalu, maka kami sempat singgah sebab lokasinya berada dalam perjalanan balik ke Samarahan. Bangunan setingkat dan besar. Banyak jugalah barang-barang yang saya beli terutama untuk emak saya. Untuk diri sendiri saya beli parfum kerana parfum saya sudah habis. Syukur alhamdulilah kerana tuan punya kedai parfum berikan saya kad keahlian percuma untuk mendapat diskaun 10%. Saya menawar harga parfum VERSACE terbaru yang saya beli...hahaha. Semua barang hendak ditawar harga.Barang RM1060 , saya tawar dan dapat RM960 sahaja. Untuk parfum saya dapat harga tolak diskaun 10%. Jika hendak ke Giant , pergilah pada  hari-hari yang tidak sibuk supaya mudah mendapat tempat parkir. Saya jumpa kawan sama belajar USM dulu dan kami berbual fasal kerjaya kami. Saya bangga dapat kawan sepertinya sebab dia jenis protektif kepada kawan-kawannya. Lama juga tidak berjumpa dengannya ..hahaha.


Kalau raya mestilah ada duit raya untuk dibudget. Tahun ini susah sangat saya mendapat sampul duit raya sehingga saya terpaksa membelinya di kedai dengan harga rm1.20 untuk 10 keping. Itupun masih tidak mencukupi. Tahun ini saya peruntukkan rm100 untuk anak-anak. Untuk cucu dan anak saudara duit raya mereka istimewa sedikit. Tahun ini saya ada 17 orang cucu dan 10 orang anak saudara yang harus diberi duit raya. Hahaha....syukurlah sebab tahun ini rezeki saya bertambah baik.

Ternyata , hari ini sangat sibuk bagi saya. Abang saya datang menghantar beberapa makanan. Terimakasih kepada dia suami isteri. Namun saya perlu beli juga makanan sebab tidka mencukupi menampung makanan beberapa hari. Saya tahu saya tidak mungkin ada masa untuk keluar membeli makanan basah nanti.

26 Ramadhan :Alhamdulilah

0

Posted by Leeza | Posted in

40 orang anak-anak yang menerima baju raya yang baru sumbangan sehelaibaju.com
 Alhamdulilah kerana atas izin ALLAH SWT, akhirnya tugas menyerah 40 pasang baju telah dapat dilaksanakan oleh saya dengan jayanya. Terpancar jelas kegembiraan 40 orang anak-anak ini apabila menerima pakaian raya yang baru. Kami guru-guru turut merasa gembira untuk mereka. Syukur alhamdulilah kerana kempen SEHELAI BAJU BUAT MENYAPU SI AIRMATA telah berkembang dan meluas kali ini. Terimakasih kepada semua team Sehelaibaju.com kerana bersusahpayah memilih dan mengeposnya terutama usaha Abang Ahmad Saabun dan Kak Sri Diah Saharuddin.
Lauk-pauk untuk disedekahkan ke surau
 Hari ini juga kampung-kampung sekitar Asajaya mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai di surau masing-masing. Balik dari sekolah saya ke Asajaya untuk  membeli barangan basah untuk dimasak. Alhamdulilah kerana saya menemui kerang dijual. Saya memasak kari ayam, udang goreng kunyit dan kerang dimasak kicap. Lauk-pauk ini diletakkan dalam 2 set mangkuk tingkat .Airnya pula air kotak dan buah-buahan yang saya sertakan ialah rambutan dan limau manis. Tugas menghantarnya tentulah Luqman.
Buah durian yang dibelki di Pasar tani sampun Gerunggang
Nampaknya musim durian sudah mula ada. Syukurlah kerana saya sudha lama mengidamkannya. Saya membeli 4 biji durian ini dengan harga RM20 dan puas hati kerana isinya bagus dan tidak buruk. Sebiji saya berikan penjaga mak saya. Makan durian dan rambutan...hmmmm tentulah batuk saya menjadi-jadi. Apa lagi makan udang dan kerang, tentu sahaja bp saya mencanak naik......huhuhu.

25 Ramadhan : Shopping Raya Fasa 2

0

Posted by Leeza | Posted in

40 pasang baju raya yang baru sumbangan Sehelaibaju.com
Salam Ramadhan semua rakan pembaca. Oleh kerana ada hal penting terutama berkaitan dengan duit raya yang kena ditukarkan di bank dan membeli beg goodies untuk baju-baju raya ,maka saya hari ini ke Samarahan . Saya tahu bandar Kuching sudah terlalu sesak untuk dihampiri dan masa pula terhad. Saya bertolak sebaik habis masa kerja saya. Wow...sambar menyambar sahaja segala jenis kekacang ,manisan, gula-gula dan coklat serta beberapa barang keperluan. Selesai RM248 untuk sebuah pasaraya sahaja iaitu Elli supermarket, Samarahan.

Pagi tadi seorang anak murid saya meminta sehelai baju baru sebab saya tahu keluarganya adik beradik sangat ramai. Dia pula anak yang sangat baik dan bijak. Alhamdulilah saya telah berjaya mencarikan sehelai baju melayu baru untuknya dan melengkapkan baju-baju sehelai baju.com sebanyak 40 pasang. Beg goodies yang saya beli dengan kad ahli saya dapat membelinya RM0.90 sebuah. Lega rasanya sebab barangan raya hampir selesai saya beli. Cuma pengikat langsir sahaja yang belum dibeli. Jadi..rasanya saya tidak perlu ke Kuching lagi untuk beberapa hari sehingga hari raya selesai. Barangan basah boleh didapati di Asajaya sahaja.

Saya juga sibuk membawa bebanan kerja yang hendak disiapkan semasa cuti raya seminggu. Raya tahun ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Apa nak buat tuntutan tugas membuatkan saya terpaksa pergunakan masa dengan sebijaknya.

Hari ini, saya sujud syukur kepada ALLAH SWT kerana penantian saya berakhir. Apa yang saya idamkan telah menjadi milik saya. Saya dikhabarkan oleh seorang rakan semasa saya memesannya untuk mengingatkan murid-murid yang bakal menerima baju-baju tersebut datang ke sekolah esok. Berita gembira ini ialah kenaikan ke DG44. alhamdulilah....


24 Ramadhan : Pos Laju dan Biskut Sarang Semut

0

Posted by Leeza | Posted in

Pagi tadi saya menerima sms dari Pejabat Pos memberitahu bahawa ada bungkusan pos laju untuk saya. Saya tahu ia adalah bungkusan pakaian baju melayu dan baju kurung baru daripada SEHELAI BAJU.COM. Jam 10 pagi setelah memohon izin daripada Guru Besar, saya mengambilnya daripada pejabat pos. Sebuah kotak besar dan berat. Terimakasih kepada abang Mad @Encik Ahmad Bin Sa'abun yang telah membayar kos posnya RM148.78. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala budi baik abang Mad dan isterinya Kak Sri Diah. Bila bungkusan itu sudah sampai ,sudah tentu ia amat menggembirakan anak-anak. Syukur alhamdulilah kerana rezeki dan izin Allah bungkusan itu sampai juga pada hari ini. Hakikatnya tanpa pengetahuan saya, abang Mad dan Kak Sri sudah risau bila diberitahu oleh pihak pos bahawa bungkusan itu mungkin sampai selepas raya. Saya amat berterimakasih kepada mereka sekeluarga yang telah bersusah payah membuat 'sorting' baju-baju tersebut sehingga jam 1.30 petang Ahad lepas. Saya tahu kak Sri keletihan kerana ini.

Petangnya , biarpun sakit kepala teramat sangat, saya membuat juga biskut Sarang Semut. Alhamdlilah tepat jam 5.45 petang saya siap membuatnya. Kemudian saya terus memasak untuk berbuka puasa. Seterusnya rutin biasa saya ialah memberi mak mandi. Apapun bersyukur kerana masih mampu melaksanakan beberapa perkara biarpun kesibukan tidka terjangkau oleh minda. Mana yang mampu saya sedaya upaya laksanakan. InsyaAllah.

23 Ramadhan : Tart Nanas

0

Posted by Leeza | Posted in

Serik membeli tart nanas yang tidak sedap, maka tahun ini saya buat sendiri tart nanas resipi daripada Kak Norhayati Berahim. Saya peminat tegar tart nanas. Hari ini saya buat dua jenis tart nanas, satu jenis gulung dan satu lagi jenis bunga. Alhamdulilah biarpun penat dan sibuk melayan emak, dia juga suka melihat saya membuat biskut.
Apa cerita di sekolah ? Akses internet sangat perlahan menyebabkan semua cikgu mengeluh hendak melengkapkan SAPs secara online. Hari ini masa saya sibuk mengajar Sains di Makmal Komputer , saya dapati ramainya cikgu lelaki datang ke makmal tersebut. Dalam hati saya , kehairanan juga biarpun saya tahu mereka sibuk dengan SAPs. Bila balik ke bilik guru, saya dapat ada sekumpulan pekerja Health Care membuat pemeriksaan kesihatan percuma. Fahamlah saya kenapa mereka tadi berkumpul di makmal..hahahaha. Lawak gila....sebab mereka tidak suka jurujual datang ke sekolah. Saya membuat pemeriksaan percuma ini, dan didapati BP (Tekanan Darah) saya ialah 131/91. Sangat tinggi dan bahaya. Tiga benda yang menganggu saya iaitu darah tinggi, lemak dan kolesterol tinggi. Cara yang paling berkesan ialah bersenam namun dalam peringkat usia seperti saya, senaman kenalah perlahan dan jangan terlampau aktif. InsyaAllah saya berusaha merawatnya.

22 Ramadhan : Shopping Raya Fasa 1

0

Posted by Leeza | Posted in

Sana -sini sibuk dengan persiapan raya. Suasana ini turut dirasai di daerah kecil ini, Asajaya. Namun setiap hujung minggu, Asajaya selalu penuh sehingga susah mendapat tempat parkir. Saya belum lagi membeli barangan dapur untuk kegunaan masa raya nanti. Maka hari ini sebaik balik dari sekolah saya ke Asajaya untuk shopping. Barangan pertama yang saya cari ialah kedai hardware kerana sebuah tingkap rumah saya bermasalah. Tingkapnya diapit dengan tangga ke tingkat atas. Susah saya hendak menggantung langsir di tingkap tersebut. Biasa saya gunakan besi penggantung langsir dua lapis (double curtains -fesyen lengsir saya banyak dua lapis) tetapi setelah berfikir, akhirnya saya buat satu lapis sahaja. Saya juga membeli lampu warna-warni yang baru, bukan lip lap punya tetapi lampu bulat statik sahaja untuk mengganti yang lama . Saya tengok senang sahaja memasangnya tetapi sungguh saya tidak punya masa sekarang. Jadi yang lama itu saya simpan dan akan saya baiki dan gunakan untuk rumah atas.
Shopping fasa 1 ini bermakna akan ada fasa-fasa lain yang akan muncul. Ini maksudnya barangan belum saya beli sepenuhnya. Saya membeli peralatan membuat beberapa jenis biskut termasuk almond london dan tart nenas kegemaran saya. Entah bila saya hendak membuatnya memandangkan kerja sekolah saya banyak yang kena disiapkan. Bila di sekolah sentiasa ada sahaja yang hendak saya siapkan. Biasanya kalau bosan dan mengantuk duduk di bilik guru, saya punggah semua fail ke perpustakaan dan buat kerja di sana. Ini bila saya tidak masuk kelas. Hari ini saya membeli beberapa barangan dapur, air mineral dan air bersoda untuk hari raya. Terdapat juga barangan yang tidak terdapat di Asajaya dan ini bermaksud ia harus saya cari di Kuching juga nanti...hahaha. Mana boleh tidak jenguk Kuching. Rindu saya hendak menyelusuri bandar Kuching . Tidak shopping tidak apa, asal mata saya dapat dijamu dengan suasana santai.:)

21 Ramadhan : Macam-macam Hal

0

Posted by Leeza | Posted in

Pagi ini saya masih sibuk mengemas rumah. Abang saya Hamdan dan keluarganya balik . Kedatangan yang saya nantikan kerana saya hendak membeli besi untuk pasang langsir bahagian tengah antara ruang tamu dan dapur. Oleh kerana ia panjang maka saya perlukan van untuk membawanya. Yang memandu ialah menantu saya , Ridzwan yang tidak berlesen. Bila balik ternyata ada polis block di jalan. Apa lagi kami terus melencong ke jalan kecil. Runding punya runding sebab hendak selamatkan diri, saya bersetuju memandu van tersebut. Van putih ini yang kumpulan Kak NB gunakan dulu. Saya akhirnya dapat juga memandu van tersebut tetapi ditahan oleh polis. Saya tunjukkan sahaja lesen memandu dan polis memeriksa road tax pada van tersebut biarpun hakikatnya lutut saya terketar-ketar ,bimbang kantoi . Bila sudah jauh meninggalkan tempat polis tersebut, anak saudara saya si Yan dan Fakhry menyuruh Ridzwan memandu....hahaha takut mereka bila saya memandu laju.
Sampai di rumah, saya terus memasang sendiri besi tersebut dan Ridzwan membantu melekatkannya . Malangnya lampu berwarna-warni rosak dan perlu diganti baru. Esok kenalah saya membeli lampu yang baru kerana saya hendakkan rumah nampak berseri-seri dengan cahaya. Abang memberitahu bahawa mereka akan balik beraya pada hari raya ke dua. Nampaknya saya dan mak akan kesunyian pada malam raya dan raya pertama kerana abang-abang akan balik raya ke dua sahaja.
Saya sudah pasang langsir baru yang saya tempah untuk pertama kalinya dari KAMDAR. Langsir warna biru dengan beropolkan manik berjuntai warna emas krim. Okaylah juga dan seharian ini saya sibuk mencuci langsir hijau hasil tangan arwah kakak saya yang sudah saya gunakan selama 5 tahun. Namun saya menukar langsir tiga bulan sekali kerana rumah saya mudah berhabuk, dekat jalan. Bukannya tukar baru tetapi tukar dengan langsir lama. Tahun ini langsir saya tidak berbunga , warna biru dengan corak timbul. Saya hendak tayangkan tetapi kamera saya bermasalah. Risau saya kerana saya perlukan kamera ini pada hari Jumaat nanti, ada upacara penyampaian baju-baju baru daripada Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata untuk 37 orang murid miskin dan anak-anak yatim di sekolah saya. Alhamdulilah rezeki mereka.

20 Ramadhan : Melekat Di Rumah

0

Posted by Leeza | Posted in

Sepatutnya hari ini saya ke Kuching bersama kawan saya, Noria untuk shopping raya, tetapi memandangkan kakak saya terpaksa ke hospital kerana anaknya hendak bersalin maka saya batalkan rancangan saya. Biarpun ada penjaga mak tetapi tak mahulah biarkan dia seorang jaga mak. Lagipun dia jenis cepat kalut . Mak saya bukannya sihat sepanjang masa, kalau sakitnya datang tetiba ,susah kalau tak ada anak di sisinya. Bukankah saya yang lebih memahami mak saya ?
Bila berada di rumah saya tak sia-siakan masa yang ada. Oleh kerana mak saya tidak tidur malam, maka siangnya dia sangat mengantuk. Saya biarkannya tidur selepas dia sarapan pagi dan makan ubatnya. Saya terus mengasah parang dan kemudian terus menebas halaman rumah saya. Bukannya saya tidka pernah meracun ,malahan selalu tetapi rumput jenis love grass (kelulut) ini susah hendak mati. jadi saya tebas sehinggalah saya kena sengat tebuan . Petangnya saya sambung semula dengan membawa spray aerosol bagi menghalau tebuan. Alhamdulilah biarpun sengal-sengal sebab lama sudah tidak buat aktiviti sebegini  , segalanya selesai dilakukan. Tingkap juga sudah dibersihkan dan langsir baru digantung.
Hari ini keluarga saya menerima orang baru , iaitu cucu saya yang ke 17. Namanya Dayang Aisha Alifa Awang Ridzuan, 3kg. Alhamdulilah, thanks Allah atas anugerah ini. Saya tidak mengecat rumah tahun ini, malas sungguh dan tidak larat sebenarnya. Alasan sahaja sebab kalau nak mengecat rumah tidak payah menunggu hendak raya. Tiap kali hendak raya mesti sibuk cari resipi tetapi buatnya tidak....hahaha.

19 Ramadhan : Amanah

0

Posted by Leeza | Posted in

40 bungkus nasi ayam yang telah saya tempah daripada seorang kawan

Seorang hamba Allah yang sangat saya hormati telah memasukkan sejumlah wang untuk disedekahkan kepada penduduk kampung saya yang miskin dan berpuasa. Atas permintaan dan amanah ini , maka saya memilih hari Jumaat untuk melaksanakannya. Saya membeli 40 bungkus nasi ayam , air soya dan buah kurma untuk disedekahkan sebagai juadah berbuka puasa. Saya memilih warga emas, keluarga yang miskin dan anak-anak yatim . Alhamdulilah kerana saya dapat melaksanakan amanah ini sebaiknya. Yang membantu saya ialah Luqman dan kawannya Hisyam.

Bercakap soal amanah, saya sekarang sangat pentingkan amanah kerjaya saya. Inilah yang menggusarkan hati saya sejak pagi tadi. Boss-boss yang baru balik dari berkampung di PPD selama dua hari membawa berita yang menakutkan...hehehe. Ternyata banyak persiapan yang harus saya lakukan untuk bersedia sebelum dituding dengan telunjuk dan ditunjal muka ini dengan perkataan-perkataan yang kesat. Semuanya hanya kerana peratusan kelulusan UPSR 2010 menjunam jauh. Saya sentiasa memastikan peratusan subjek Sains saya kekal di atas 80%. Namun masalah kami ialah bila murid-murid tidak seimbang kelulusannya. Murid yang gagal subjek Sains, BM ,Maths dan BI tidak sama orangnya. Komitmen terhadap kerja adalah amanah yang telah kami usahakan. Tiada diantara kami yang suka melihat kegagalan..kalau boleh semuanya kami nak pastikan lulus UPSR dengan baik dan cemerlang. Tetapi siapa kita dapat menjangka jika keupayaan murid setakat itu sahaja ? Apa sahaja alasan, mereka takkan mahu mendengar. Semuanya cikgu yang salah. Kami dikira gagal dalam tugas hanya kerana peratus merosot. Alangkah peritnya ....jika tudingan ini terus ke muka kami, tidka hairan jika semangat akan terus merudum sama. Mungkinkah ini akan mematahkan keinginan cikgu mengajar Tahun 6? Kita tunggu dan lihat apakah yang akan terjadi semasa kedatangan mereka nanti. Mereka diberitahu akan datang sekumpulan selepas raya dan sekumpulan lagi akan datang selepas UPSR 2011 . Saya pula telah membeli tiket ke Johor pada 16 Sepetember sempena cuti Hari Malaysia nanti. Nampak gayanya saya terpaksa batalkan penerbangan ini kerana menunggu kedatangan mereka yang berhormat ini. Saya yang menurut perintah kenalah bersedia dan memastikan semua dokumentasi lengkap tanpa ada ruangpun untuk dikritik. Jika tak amanah berdosa besar....itu saya selalu kata pada diri sendiri. Kenalah laksanakan dengan hati tenang dan gembira supaya stress tidak menghampiri.

18 Ramadhan

0

Posted by Leeza | Posted in

Salam ramadhan wahai teman dan saudara...
Sejak akhir ini saya suka mendengar lagu-lagu raya di dalam kereta . Saya suka lagu-lagu raya klasik seperti nyanyian Sanisah Huri, Syarifah Aini, Uji Rashid dan Hail Amir, Sudirman dan M.Nasir. Itu rasanya tak terkata syahdu. Dan hari ini saya bercuti puasa gara-gara kedatangan bendera Jepun ...hahaha dan menyedihkan ialah hanya beberapa minit lagi hendak berbuka. Jadi, bila saya berbuka awal. Luqman yang menjumpai terpinga-pinga. Hahaha...entah dia faham ke tidak. Dipendekkan ceritanya, hari ini saya bershopping di Asajaya dan membeli ikan pari bakar. Saya kalau jumpa ikan bakar dengan cicah air asam, jarang saya mahu makan lauk lain. Ayam sudah tiga hari keluar masuk peti sejuk beku  sebab saya malas hendak memasaknya. Ia makanan pilihan terakhir bagi saya dan emak.

Mudah sangat rasanya saya mengantuk . Namun saya tak mahu melayan sangat rasa mengantuk ini memandangkan banyak kerja yang hendak dilakukan. Dan saya pula sedang sibuk menghabiskan bacaan saya. Keadaan emak saya bertambah baik...namun kekuatannya tidak seberapa. Selalunya kami ketawa bersama bila berkongsi cerita lucu. Cuma saya tidak mengkhabarkan penyakit abang saya, risau dia bingung dan boleh menjejaskan kesihatannya.

Saya teringat cerita salah seorang anak murid saya. Dia bercerita dengan saya betapa gembiranya dia kerana ayahnya yang selama ini tidak pulang telah pulang beraya . Bila mendengar ceritanya ,hati saya berasa sayu sekali . Saya pilu melihat reaksi anak ini...jelas betapa anak ini rindukan ayahnya. Syukurlah raya tahun ini disambut dengan gembira olehnya dan keluarga. Saya sudah lama kehilangan arwah bapak...moga Allah ampunkan dosa-dosanya dan tempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang beriman, amin.


17 Ramadhan : Sibuk Dalam Kesepian

0

Posted by Leeza | Posted in

Salam ramadhan kawan-kawanku...
Hahaha ...pelik je bunyi tajuk entry kali ini kan? Ya , saya sangat sunyi sepi hari ini. Awal pagi saya ke rumah kakak saya uuntuk memastikan adakah abang ipar saya mengambil penjaga mak seperti biasa. Namun rumah kakak senyap sunyi. Entah ke mana semua orang...Jadi, saya terlewat hari ini ke sekolah kerana mengambil penjaga mak terlebih dahulu.
Di sekolah, semua Boss tidak ada kerana mereka (GB dan semua PK) ada mesyuarat jaminan kualiti sekolah di PPD Samarahan. Tambahan pula murid-murid tahun 6 berada di SK HJ Kelali, Semera untuk kem motivasi menjawab soalan UPSR dari jam 8 hingga jam 5 petang. Kawan saya , Madam T kena giliran awal pagi. Saya pula kena giliran menjaga murid-murid itu jam 2 petang hingga 3.30 petang. Jadi bila ramai guru tiada , semuanya sibuk. Cikgu-cikgu yang punya masa rehat (free) berada di makmal komputer untuk melengkapkan SAPs online. Saya pula tiada banyak masa rehat hari ini ,jadi malas saya menyibuk di makmal komputer.Lagipun masa rehat yang ada berselang dengan kelas hanya 30 minit. Berjalan kaki dari bangunan kelas ke makmal komputer mengambil masa 15 minit. Tak sempat untuk saya yang berjalan perlahan ...hahaha. Jadi bila bersendirian di bilik guru, masa yang ada saya isi dengan membuat perancangan mengajar seminggu. Wow...dalam sunyi sepi saya mampu buat kerja dengan cepat. Fokus sungguh dan saya bertuah sebab hari ini mata saya tidak mengantuk. Kelas saya pun berjalan lancar dan menyejukkan hati. Tengahari saya balik sekolah, saya dapati mak saya nampak ceria. Dan bila saya ke sekolah kampung saya , untuk menjaga murid-murid saya yang sedang berseminar, saya terjumpa rakan-rakan seangkatan ...guru-guru Sains. Masa balik saya sempat singgah di gerai yang menjual makanan di tepi jalan kampung. Ketika itulah saya terjumpa dengan sotong goreng bertepung. 50 Sen secucuk (seekor) dan rasanya sangat sedap. Saya membeli kuih kegemaran emak..kuih perahu. Saya tentu sahaja tidak melupakan Luqman. Makanan kegemarannya mesti ada juga.Saya masak ringkas sahaja untuk diri sendiri kerana makanan emak telah disiapkan awal-awal. Saya bersyukur sebab biarpun mak saya tak dapat duduk tetapi dia berusaha untuk berdiri dan duduk dengan bantuan saya. Jadi ,biarpun melalui saat-saat sepi namun kesibukan membuatkan saya gembira bila kesemuanya berjalan lancar. SAPs online pun telah siap separuh. Ia bergantung kepada line internet yang sangat perlahan. Namun kalau selalu terputus ,biasanya saya hentikan dulu dan berehat. Opps...raya nak dekat, saya belum lagi membuat apa-apa persiapan. Dan saya mendapat khabar salah seorang abang saya sedang sakit batu karang dan perlukan rawatan , kemungkinan dibedah...Ya Allah, sembuhkanlah abang-abang saya.....moga keluarga saya tabah menghadapi dugaan ini. amin .

16 Ramadhan : Emak

0

Posted by Leeza | Posted in

Salam ramadhan rakan-rakanku...
Keadaan emak semakin lemah. Hari ini dia tidak dapat duduk dan hanya berbaring di atas katil sahaja. Kasihan sungguh saya melihatnya. Menurut cerita penjaga emak, dia asyik bertanyakan saya yang tiada di rumah semasa saya bekerja. Dia asyik bersungut saya yang asyik bekerja, sedangkan saya sedaya upaya balik cepat sebaik habis masa kerja saya, jam 12.50 tengahari. Serba salah saya dengan penjaga emak ini sebab dia tidak memanaskan makanan tengahari emak saya. Semua makanan telah saya masak sebaik saya selesai bersahur setiap pagi. Beberapa kali saya berpesan minta dipanaskan makanan emak sebelum memberinya makan. Bagaimana saya tahu ? Emak mengadu kepada saya. Perut emak tidak berapa selesa jika makan makanan yang sejuk. Hari ini saya menyuap sendiri emak makan kerana kondisinya yang sangat lemah. Saya juga sering berpesan supaya mengelap badan emak saya jika dia tidak sihat dan menukarkan pakaiannya dengan pakaian baru. Juga setiap hari kena tukar kain alas tilamnya . Sayangnya hari ini saya melihat emak masih berpakaian tidurnya , dan kelihatan bau kencing. Aduhhhh ..perit rasa hati saya. Jika ada orang lain yang mahu bekerja menjaga emak, sudah pasti saya berhentikan kakak ini. Saya bersihkan mak saya , mengelap badannya dengan air bersabun yang suam dan tuala basah. Juga memastikan badan dan kakinya disapu losyen supaya tidak kering . Juga menukar lampin pakai buangnya. Dia sudah umpama bayi kecil......Saya akui keadaan ini yang sedang saya utamakan dan saya berusaha sebaik mungkin membahagiakan mak saya. Apa sahaja yang akan datang , saya terima dengan redha. Semangat menyambut raya langsung tak terlintas di hati saya.Jika abang-abang saya mengharapkan sesuatu dan kecewa dengan persiapan raya saya, terpulanglah. Saya keletihan hendak melayan mereka , saya sudah tidak larat kerana emak tidak mahu ditinggalkan . Saya sering berdoa agar masa tua saya nanti dipermudahkan olehNya.

15 Ramadhan : Mengejar Masa

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini ramadhan ke 15 , ada kenduri di surau petang nanti. Kenduri ini adalah majlis berbuka puasa ramai-ramai di surau. Setiap rumah menghantar hidangan untuk 2 orang . Saya hampir-hampir tak dapat turut serta kerana terpaksa melaksanakan satu tugas rasmi. Sebaik kelas saya habis jam 10 pagi, saya terus bertolak ke Kuching. Kebetulan paginya hujan turun dengan lebat. Cuaca amat sejuk sekali. Perjalanan tanpa feri mengambil masa sejam setengah ke Crown Square di Jalan Pending. Saya menggunakan jalan belakang. Bila sampai di sana ternyata saya terpaksa memilih sendiri 30 buah buku yang dikehendaki oleh sekolah. Ada 4 meja bertimbun dengan buku-buku pelbagai pilihan . Saya pening dibuatnya kerana saya perlu memilih buku-buku yang sesuai dengan tahap murid-murid di kampung. Semuanya buku-buku dari USA. Terimakasih kami ucapkan kepada 2nd Time Book kerana bermurah hati menderma kepada kami. Ada beberapa orang guru daripada sekolah yang lain juga. Ada banyak jenis buku yang ada termasuk buku 3D. Saya bertolak balik dalam jam 1.30 petang. Saya kena cepat-cepat balik mengingatkan masak untuk juadah berbuka di surau. Pada mulanya ingat hendak membeli lauk yang sudah dimasak di Bazaar Ramadhan Desa Ilmu tetapi belum dibuka lagi. Akhirnya saya singgah di Tambirat membeli ketam, udang dan ikan untuk dimasak sendiri. Seawal pagi saya sudah memesan penjaga mak saya untuk balik awal jika saya belum sampai kerana diapun kena memasak untuk kenduri ini. Kakak saya tentu sahaja sibuk memandangkan suami dan cucunya tidak sihat. Anda tentu dapat bayangkan kerisauan saya. Alhamdulilah saya selamat sampai biarpun terlalu mengantuk. Malam tadi saya tak tidur kerana emak saya sakit. Alhamdulilah juga sebab saya dapati mak saya baik-baik sahaja baring di katilnya dalam bilik. Mujurlah penyakitnya tidak menyerang, penyakit yang sangat merbahaya kerana boleh membuatnya bangun dan terjatuh.Saya terus melayan dia dahulu, membawanya duduk di ruang tamu, membuatkannya susu panas dan memberinya pais lemantak yang saya beli di Tambirat. Selepas memastikan dia makan dan selesa, barulah saya bersilat di dapur memasak lauk-pauk berbuka puasa. Saya masak ketam masak lemak, sambal udang bersos dan ikan goreng. Syukur alhamdulilah kerana saya mampu bersedekah ke surau hari ini. Tugas menghantarnya tentulah si Luqman...hahaha. Dia komplen kena menghantar 2 set hidangan, saya dan ayahnya. Bila balik dia kena membawa balik 3 set bekas kosong, saya, ayahnya dan kakak saya. Patutlah bakul bekas hidangan saya diletaknya di muka pintu sahaja...hahaha.Saya sudah terlampau letih sehingga menggigil kesejukan sedangkan cuaca sangat panas sebelah petang. Namun ini hanya dugaan Allah semata-mata...semoga saya terus tabah dan tetap beriman pada Allah yang satu..

14 Ramadhan :Stay At Home

0

Posted by Leeza | Posted in

Salam ramadhan untuk semua rakan pembaca...
Emak saya tidak sihat sejak kelmarin. Malam tadi saya menjaganya dengan teliti. Seawal pagi kakak saya ke rumah memberitahu bahawa mereka sekeluarga hendak ke Kuching. Tambahan pula Putri demam dan suami kakak sakit  . Mereka dibawa ke klinik swasta untuk mendapat rawatan. Jadi hasrat hendak ke Asajaya terbantut. Saya cuma sempat menyapu sawang dan membersihkan tingkap hari ini. Selebihnya berada di sisi mak saya. Sekali sekala saya menjenguk facebook untuk mengikuti perkembangan dan aktiviti kawan-kawan saya. Banyaknya ialah menonton beberapa siri kegemaran saya di TV. Saya berbuka ala kadar sahaja sebab lebih suka menikmati buah-buahan .
Apa yang saya tengok hari ini ialah ;
1. NCIS Los Angeles
2. CSI Miami season 9
3. Nora Robert's The Northern Light.

Marathon ? oh tidaklah..sebab saya sekali sekala kena ke dapur menyiapkan makanan mak saya...mengelap badannya dan melayan dia berbual. Jadi semua siri dalam TV ini tidak  dihayati sepenuhnya sebab selalu kena tinggalkan.

Hari ini berakhir dengan seribu syukur alhamdulilah. Ada sesorang mengamanahkan sesuatu untuk saya tunaikan hajatnya. Saya bercadang memilih hari Jumaat sebagai hari untuk melaksanakan hajat beliau itu. Semoga Allah mengurniakan kebahagiaan , kemurahan rezeki dan kesihatan kepada beliau suami isteri. amin...

13 Ramadhan : Shopping Untuk Luqman

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum....
Tibalah seperti yang saya janjikan dengan Luqman, hari ini adalah hari untuk keluar bershopping dengannya. Luqman ini pelik sedikit dari orang lain. Kalau dia kata tak mahu, maka jangan buang masa untuk memaksanya. Awal pagi saya sudah naik angin dengannya sebab sejam untuk saya memanggilnya bangun dari rumah dia. Dan adalah keluarbiasaannya untuk mandi awal pagi dan saya paksa ke Kuching. Jam 9 pagi baru kami bertolak. Dia juga tidak suka aircond sebab mabuk kereta. Mana tak mabuknya , dia tak suka mengikut saya berjalan bila saya mengajaknya.
Destinasi kami yang pertama ialah The Spring. Puas saya bawa dia meronda Parkson bahagian lelaki tetapi tak jumpa saiz untuknya. Kami pergilah ke bahagian kanak-kanak. Dua kali kami tawaf dan membelek baju-baju tetapi dia menggeleng kepala. Akhirnya saya bawa ke Padini...pun serupa juga. Akhirnya kami masuk ke kedai BATA kerana saya mencari sandal. Dia akhirnya berkenan dengan sepasang sandal jenama Bubble Gummers..hahahaha. Kalaulah dia tahu itu adalah jenama budak-budak. Kami balik dari The Spring dengan 4 kotak sandal dan kasut. Sandal Luqman dapat diskaun 50% RM12.50 sahaja.
Tepat seperti jangkaan saya, Luqman gembira bila dibawa ke Kawasan Shopping Stutong. Kami menapak di Kedai Dragon City ,yang bertingkat 3. Hebat sekali dan barangannya berpatutan ,jauh lebih selesa daripada shopping di Pusat Bandar Kuching (pasar).Luqman akhirnya memilih 3 helai tshirt, sehelai seluar ,sehelai jaket berhud (untuknya pergi sekolah awal pagi) dan sepasang baju melayu warna unggu. Selepas itu , kami pergi pula ke kedai yang besar juga iaitu Jun Rong. Di situ barulah Luqman membeli sehelai seluar panjang dan seluar bermuda  bergaris. Ia di bahagian kanak-kanak. saiz pinggangnya 25-26. Dia kena mencuba dulu semua pakaian ini sebab susah hendak menentukan saiznya. Alhamdulilah, tugas membeli pakaian rayanya akhirnya selesai sudah.
Oleh kerana cuaca sangat panas dan saya madang pula mengantuk, maka saya membeli nasi beriyani dan ikan pari bakar sahaja untuk berbuka . Itu sebabnya saya tak suka membeli makanan di Bazaar Ramadhan, rasanya tidak sesedap mana. Kuih muih tidak saya beli. Begitu juga Luqman, dia lebih suka beli nasi dan air sahaja.
Balik ke rumah saya dapati mak saya sangat uzur. penjaga mak mengadu bahawa mak sakit pinggang. Sakit lamanya kembali menyerang dia....Moga saya dikurniakan ketabahan dalam menjaga mak....

12 Ramadhan

0

Posted by Leeza | Posted in

Salam semua...salam Jumaat yang mulia, semoga anda semua berada dalam peliharaan Allah hendaknya.
Ada beberapa perkara yang berlaku hari ini.
1. Kembara Ukhwah Ke Utara bermula hari ini. Walau saya tidak dapat bersama mereka mengembara untuk anak-anak yatim namun debaran di hati saya amat terasa. Saya sangat teruja kerana 12 Ramadhan sudah tiba untuk rakan-rakan saya menjalankan misi Ukhwah ini. Semoga rakan-rakan saya Kak Norhayati Berahim, Zul dan isterinya Kusyi Hirdan, Khamisah Mohd Nazri dan Arelyn Yusof dan beberapa rakan lain yang turut serta selamat pergi dan kembali. Semoga semuanya berjalan dengan lancar. Dapat saya gambarkan gembiranya wajah anak-anak di Rumah Ummu Sofia menunggu kedatangan mereka ini.

2. Hari ini hari  terakhir dua guru pelatih berkhidmat di sekolah ini. Yushry dan Fadillah , keduanya cepat mesra dan menghormati orang lain. Saya akan rasa kehilangan mereka kerana mereka selalu jadi mangsa usikan saya. Usikan saya selalu membuat orang naik angin dan tensen dengan saya. Juga boleh buat orang lain menangis. Semoga mereka mendapat tempat yang bagus untuk berkhidmat pada masa akan datang. Pesanan terakhir saya sebelum berpisah, jika kahwin jangan lupa jemput akak....:) Cuma sedikit terkilan sebab tidak berkesempatan masakkan mereka mi bandung...hahahaha. One fine day , akak belanja kau orang makan di luar ya.

3. Saya akhirnya ke Asajaya membeli makanan basah seperti sayur dan ayam Saya singgah di Sampun untuk membeli beras hitam untuk mak dan berkesempatan membeli mangga dan buah ciku. Buah mangga 3 biji rm3...dan bila ditanya , wai itu menyatakan nadai buruk. Bila saya makan masa berbuka, ternyata benarlah kata wai itu bahawa buah mangga nadai buruk. Ciku pula rm4 sekilo dan sudah masak. Bahagia rasa jiwa dengan buah-buahan ini. Syukur alhamdulilah atas kurniaan rezeki ini .

4. Cuaca panas membuatkan saya terasa sangat lemah dan tidak berdaya. Penghujungnya, saya bentangkan tilam depan TV dan apasang 2 kipas dua penjuru, kemudian terus lena. Hahahaha....saya terkenangkan susu HIGOAT yang kak NB kirimkan...saya nak bagi mak saya minum malam ini dan begitu juga dengan diri saya...(berlebihanlah tidur saya nanti....:) )

11 Ramadhan :Malas dan Sibuk

0

Posted by Leeza | Posted in

Sudah 2 minggu saya tidak ke Asajaya untuk membeli barang-barang terutamanya makanan. Setiap kali balik dari sekolah saya akan memasang tali pinggang keselamatan dengan azam hendak ke Asajaya. Bila sampai di simpang keluar Kampung Jemukan, saya terus menanggalkan tali pinggang tersebut pertanda rancangan ini saya batalkan. Saya masak apa sahaja yang ada dalam peti ais. Keledek boleh jadi makanan direbus, dimasak sayur atau digoreng menjadi cucur. Bila sudah tidak  ke Asajaya , seminggu ikan puyu saya beri makan roti sahaja kerana makanannya sudah habis. Emak pula hari-hari bersungut kerana syampu dan talkum Baby Johnsonnya sudah kehabisan. Entah kenapa saya berasa sangat malas.
Cucu-cucu lelaki saya sudah beberapa kali menghantar mesej suruh bersungkai di rumah mereka. Sahabat lama saya juga mengajak berbuka puasa di Kuching bersamanya sekeluarga. Saya sendiri tidak tahu bila dapat menunaikan semua permintaan ini. Kesihatan mak saya tidak menentu. Hari ini dia demam. Seawal pagi cuaca amat sejuk memandangkan hujan turun sepanjang malam. Cucu saya si Buntit awal-awal pagi sudah memanggil meminta dihantar ke sekolah kerana hujan. Saya juga berasa tidak sihat sehingga terpaksa memakai jaket ke sekolah.
11 tahun saya mengajar Sains di SK Jemukan. Buat pertama kalinya saya hilang sabar ketika mengajar kelas Tahun 3 ketika membimbing mereka membuat eksperimen menguji kepantasan pengaliran air melalui beberapa jenis tanah. Apa yang saya angin ialah bila mereka ini terlebih rajin, dan asyik bergaduh bila menguji pasir. Syukurlah kerana biarpun saya hilang sabar, eksperimen berjaya dilaksanakan. Bila disuruh membawa tanah liat, ada yang membawa plastisin. Geram saya dibuatnya. Sementara kelas Tahun 5 pula, mereka berjaya melaksanakan pengujian sifat kimia bahan secara berkumpulan tanpa perlu saya membantu. Senang hati saya melihat mereka berdikari.
SAPs (Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah ) telah dapat saya akses setelah memasuki beberapa akaun menggunakan password yang diberikan oleh Setiausaha Peperiksaan Sekolah. Cikgu itu sendiri tengah sibuk mentelaah pelajarannya kerana minggu ini dia menghadapi peperiksaan program ijazah OUM nya. Syukurlah walaupun saya dapati amat penat memasukkan markah di dalam SAPs ini. Banyak alasan yang saya dengar tentang SAPs ini. Saya memula memikirkan saya tidak perlu mengisinya..hahaha. Bila tahu, padan muka saya. Sekarang baru saya sibuk dan PK1 pun tensen bila saya minta data markah yang pernah saya berikannya. Itulah kesibukan saya sekarang. Ternyata saya mempunyai 9 kelas untuk diisikan markahnya. Apa lagi tarikh akhir ialah 2 September. Tak mahu saya membuat kerja ini pada saat-saat akhir.

10 Ramadhan

0

Posted by Leeza | Posted in

Salam Ramadhan untuk rakan-rakan semua...semoga kehidupan kalian sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah SWT hendaknya.
Tidak banyak perkara yang saya hendak ceritakan hari ini  , sekadar menjalani ibadah puasa dengan aman damai di samping menjalani tugas di sekolah.Namun saya sudah memulakan langkah yang baru dalam mengisi masa-masa saya yang ada. Damai rasanya hati bila dapat mempraktikkan rutin baru ini. Saya insna yang serba kekurangan dan berusaha mengatasi kekurangan ini. Kelas saya biasanya bermula jam 9 pagi dan sebaik duduk di bilik guru saya manfaatkan sejam untuk sebuah buku kesayangan saya. 30 minit memadai untuk saya menekuninya barulah saya memulakan tugasan harian saya seperti menyemak buku-buku , memproses buku perpustakaan dan bersiap sedia dengan kelas seterusnya. Hari ini juga saya tamat membaca buku Travelog Ramadan tulisan Syahrul Nizam Junaini. Saya hendak membuat review buku tersebut malam ini tetapi ia tertinggal di atas meja saya di bilik guru pula. Tiada apa-apa sebenarnya.....cuma masalah SAPs online yang sukar diakses. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi. Saya cuma sampai ke tahap mendaftar subjek yang saya ajar sahaja. Cuma hendak memasukkan  markah masih lagi menghadapi masalah.

9 Ramadhan : Sekolahku

0

Posted by Leeza | Posted in

Dinding Dewan SK Jemukan yang rosak
 Hujan ribut yang melanda petang semalam ketika kami bersiap-siap hendak berbuka puasa menyebabkan berlakunya kerosakan di sekolah.
Atap bumbung yang terkopak

Tempat parkir pihak pentadbir sekolah juga menerima akibat.

Bumbung bangunan JQAF turut terjejas.
 Bagaimanapun , pertandingan rekacipta dan rekabentuk bertemakan Selamatkan bumi kita tetap diteruskan. Pertandingan ini disertai oleh murid-murid dari tahun 1 hingga tahun 6. Mereka hanya dibolehkan menggunakan bahan-bahan terbuang sahaja.
Yang no2 itu ciptaan Gholib : kapal perang (dia gunakan roller sebagai meriam)

Ciptaan yang menarik perhatian saya, Lori Sampah ciptaan Mohd Zulfikar , tahun 5.

Ini juga menarik dibuat daripada kotak. Ciptaan Mohd Dzulfarhan

Rumah cute
Pertandingan ini dianjurkan oleh dua guru pelatih iaitu Yusry Kipli dan Mohd Fadillah.

8 Ramadhan : Klinik Kesihatan Semera

0

Posted by Leeza | Posted in

Hampir sahaja saya terlupa update blog hari ini. Apa khabar kalian semua? Harap kesihatan anda semua baik-baik sahaja semasa menjalani ibadah puasa ini. Tiap hari Isnin, saya cuma ada satu kelas sahaja jam 9 sehingga 10 pagi. Kesempatan ini saya ambil untuk minta izin keluar ke klinik bagi mendapatkan ubat-ubatan emak saya yang sudah habis . Jarak klinik kampung saya dengan sekolah hanyalah 3 kilometer sahaja. Saya menunggu giliran jam 1015 pagi. Hanya ada kami berempat sahaja termasuk bayi kecil sedang menunggu giliran. Saya membawa bersama buku TRAVELOG RAMADHAN untuk saya baca. Jam 11.15 barulah pegawai bertugas memanggil kami seorang demi seorang. Entah apa yang dilakukannya dalam bilik masa bulan puasa ini. Nasib baik saya sabar hari ini walaupun kepala sudah berpinar dan bengang kerana memikirkan kerja saya pun banyak hendak disiapkan di sekolah. Walaupun tak ada kelas tetapi kerja lain yang berkaitan sangat banyak. Saya berjumpa pegawai kesihatan itu hanya untuk memberitahunya jenis ubat yang mak saya perlukan. Selalu berlaku begini, servisnya minima terpantas ialah sejam setengah. Bilakah mereka ini hendak berubah ?

Sebaik tiba di sekolah, saya dapati guru setiausaha peperiksaan belum memasukkan markah PEKA (amali Sains ) kerana ada sebab teknikal. Maka setelah Ustaz memasukkan markah PAFA nya, saya terus memasukkan markah PEKA Sains UPSR. Hari ini pula tarikh akhir menghantar semua bahan dan dokumen hardcopy dan softcopy ke Pejabat Pelajaran Samarahan. Itu sahaja kerja yang dapat saya siapkan gara-gara menunggu dengan penuh sabar di klinik. Kalau  ada kotak komplen, agaknya sekejap sahaja kotak itu sudah penuh. Sebab itu kalau ada emergency , saya sekeluarga lebih suka terus ke unit emergency Hospital Umum  Sarawak.

7 Ramadhan : Moreh

0

Posted by Leeza | Posted in

Cuaca sangat panas. Sejak semalam mak tidak berapa sihat kerana kepanasan. Dia juga tidak mahu menggunakan kipas. Seawal pagi saya mandikan mak untuk menghilang rasa tidak selesanya itu. Saya tahu kemungkinan abang saya Saidi akan balik menziarah mak dengan isterinya, Kak Nurul. Tepat dugaan saya, bila mereka berdua terpacul di muka pintu sebaik saya selesai mandi. Alhamdulilah kerana abang belikan mak TENA 6 bungkus. Bererti emak sudah ada 12 bungkus TENA termasuk yang saya belikannya semalam. Sekarang ini juadah ramadhan yang ada saya lebih suka sedekahkan kepada jiran-jiran kerana saya sendiri tidak menggemari kuih.
Kakak saya lewat sangat memberitahu giliran kami petang ini menghantar kuih-muih dan air ke surau untuk moreh orang berjemaah terawih. Jadi petang itu, saya dan kakak ke Semera Ulu, Semera Masjid, Semera Tanjung dan Semera Lot untuk mencari kuih muih. Dua kali kami berpusing ke sana namun hampa. Saya juga ke Kampung jemukan yang bersebelahan mencari kuih . Saya sampai terus ke rumah orang yang buat kuih tersebut dan mendapati dia masih membuat kuih mongkol dan belum dikukus. Akhirnya saya terus memecut ke Tambirat membeli kuih muih di situ. Saya tidak mahu ke Asajaya kerana pilihannya sangat terhad. Seringgit dapat 4 ketul kuih. Jika di Asajaya, seringgit dapat 3 ketul. Jemukan, seringgit dapat 5 ketul. Semera ,seringgit dapat 4 ketul juga. Saya membeli kuih tako rm10 dan kuih puteri ayu rm10. Saya bancuh kopi susu secerek besar yang sudah bertulis nama AMOI. Bekas-bekas kuihpun ada nama AMOI juga. Sebab , orang kampung tak kenal sangat nama saya. Mereka kenal nama timangan saya sahaja. Emak sibuk memantau apa yang saya buat...hahaha bukankah sejak dulu ini tugasnya ? Tugas menghantarnya pula terpaksa dibuat sendiri dengan berpesan banyak kali kepada emak supaya jangan bergerak dari kerusinya. Saya bimbang dia jatuh.
Syukur sebab dia menurut kata-kata saya.

6 Ramadhan : Jus Epal Hijau dan Caleri

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini saya keluar ke Tabuan Jaya membeli barangan dapur dan barang keperluan mak saya. Antaranya ialah buah-buahan sebab stok buah dalam peti ais dah hampir habis. Hanya tinggal buah naga yang tidak disukai oleh emak. Memandangkan hari ini puasa dan penjaga emak saya tentunya hendak memasak untuk keluarganya berbuka puasa ,maka saya balik awal . Oleh kerana paras kolestrol saya tinggi , maka saya telah dinasihatkan oleh kakak NB untuk mengamalkan jus epal hijau dan batang caleri. Artikel bawah ini saya ambil daripada google.

Nutritional value of Green Apple
Did you know a daily dose of one green apple a day, by eating a whole apple or even by drinking its fresh juice can help you reduce the amount and level of cholesterol in your body? There are several other benefits you can get from the nutrition contained in a green apple. Here is the list of other good things that an apple can do to your body:-
  • Helps in preventing accumulation and building of cholesterol on the walls of the blood arteries in your body
  • Eventually reduce the risk of heart attack
  • Promotes better condition for the membranes of your lungs
  • Improve bone health through additional supply of chemical called boron to the bones’ minerals
  • When your cholesterol level is controlled, consequently your body’s cardiovascular system’s health will be maintained
  • Assist you in maintaining body weight
  • Reduces asthmatic stress
  • Helps reducing the risk of cancer
  • Do eat the skin too! the vitamin contained on a green apple’s skin can help you get beautiful skin
  • Helps in cleansing colon and detoxification quickly and almost efficiently
  • Prevent you from having constipation problem when you blend a green apple with celery and drink it everyday. 
Batang Caleri

Jadi, hari ini saya membuat jus epal hijau dan batang caleri ini. Baunya seperti daun sup. Memula saya tidak tapis dan minum begitu sahaja. Susah nak masuk...dan sayapun tapislah jus tersebut . Saya letakkan sedikit gula . Sedap...tetapi mengapa terasa pijar lidah saya kepedasan ? Takkan batang caleri yang tidak pernah saya makan ini rasanya pedas? Bila dah habis segelas jus tersebut saya teguk, baru saya teringat bahawa minggu lepas saya baru mengisar segenggam cili kering menggunakan pengisar tersebut...hahaha. InsyaAllah, saya berazam hendak menurunkan paras kolestrol saya ini.

5 Ramadhan

0

Posted by Leeza | Posted in

Salam Jumaat untuk semua pembaca....
meskipun semasa menulis entry hari ini Jumaat hanya beberapa jam lagi akan berakhir, saya tetap menulis untuk anda. Cuma saya tak pasti apakah perlu saya ceritakan secara terperinci apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan harian saya sebagai manusia biasa. Inikan diari seorang blogger dan saya adalah blogger yang biasa-biasa sahaja. Dalam menulis setiap kata , kadangkala ia disalahertikan . Begitu kuatnya pengaruh kata-kata dalam penulisan. Hari hari yang amat meletihkan saya .Entah mengapa saya terasa amat lapar sekali biarpun masa berbuka masih jauh lagi. Mungkin kerana saya sudah muntah-muntah sebelum subuh dan kemudian batuk tanpa henti membuatkan saya terasa lemah.
Apa yang ingin saya kongsikan rasanya kena menunggu selepas raya aidil fitri barulah tersiar di sini. Ini kerana saya mahu menghormati bulan ramadhan yang mulia ini. Keduanya saya perlukan masa membuat beberapa penyelidikan tentang perkara ini. Saya sesungguhnya tertarik dengan beberapa perkara yang dijumpai oleh saya dalam apa yang saya tonton baru-baru ini. Jangan berprasangka atau paranoid dengan teka-teki ini. Mungkin orang lain melihat dan  menonton  teledrama ini tidak memikirkan seperti apa yang saya fikirkan. Saya janji akan kongsi apa yang menarik minat saya ini dengan anda semua. Itupun jika saya tidak lupa...hahaha. Saya kan manusia biasa yang serba kekurangan ,lebih-lebih lagi dalam saat saya menjadi pelupa seperti sekarang.
Saya sekarang sangat sibuk....tetapi sibuk saya adalah menghabiskan stok bacaan saya.  Saya sedang  menghabiskan bahan bacaan agama dan motivasi. Dan banyak juga masa saya luangkan dengan menonton TV dan DVD. Saya perlu penuhkan masa dengan banyak aktiviti sehingga sekarang saya terasa masa itu tidak cukup sama sekali.
Oh raya hanya 25 hari lagi...isu mentega yang haram menyebabkan saya rasa cuak. Ini bermakna adalah lebih selamat jika membuat kek sendiri  untuk hari raya nanti. Bererti saya akan makin sibuk. Saya sudah ada 2 jenis kek dalam perancangan untuk dibuat sendiri..insyaAllah.

4 Ramadan

0

Posted by Leeza | Posted in

Tugas saya sibuk seperti biasa. Dalam soal kerja mana ada istilah kerja yang dah habis....sehingga 2025 ,tugas ini akan berlanjutan. Berdepan dengan anak-anak, jiwa saya sentiasa riang dan ceria kerana karenah yang bervariasi sering membuat kita tak habis fikir menangganinya. Saya mempunyai murid-murid yang petah bercakap dan sering menceritakan kisah lucu kepada saya. Walau nakal bagaimanapun, kalau bijak menanggani mereka , insyaAllah mereka tidak mengecewakan.

Hari ini saya menerima keputusan hasil pemeriksaan kesihatan yang saya lakukan dua minggu yang lepas. kebimbangan saya terjawab apabila saya masih disahkan mengidap Iron Defiency Annamea. Dalam masa yang sama saya juga mengalami tahap kolestrol tinggi dan hipentensi tahap 1. Syukur sebab paras gula saya normal. Keputusan ini menyedarkan saya tentang perlunya saya kawal pemakanan saya. Seseorang yang saya sayang mencadangkan agar saya mengamalkan memakan epal hijau dan batang calery untuk mengurangkan paras kolestrol yang tinggi. Untuk zat besi pula saya rasa perlu makan pil zat besi. patutlah kepala saya selalu sakit dan demam terutama sebelum dan selepas menstruasi. Ya..saya sudah semakin tua, sistem antibodi pun semakin lemah. Saya sudah membeli basikal senaman untuk mengatasi kelemahan kaki saya. Namun bila puasa, mengayuhnya pun sudah malas. Ada kawan mencadangkan beli 'stepper' ,lebih berfungsi dan efisien daripada basikal tersebut. Namun , saya terasa sayang nak buang duit ke arah itu..baik saya simpan duit itu untuk menunaikan impian saya  menjejaki destinasi impian saya. Jika hendak lebih efisien ,baik saya jogging dari rumah saya ke jalan besar dan lari balik menggunakan jalan yang sama. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

3 Ramadhan :kerosene

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya berusaha hendak mengemaskini blog saya setiap hari sekarang, insyaAllah. Mood menulis membara bagai angin puting beliung..hahahha. Hari ini saya takkan cerita tentang apa yang saya lakukan hari ini atau apa menu yang saya masak . Juga tidak  memasukkan gambar-gambar makanan  sebab saya tak mahu ramadhan disinonimkan dengan menu pelbagai. Lagipun saya awal-awal dah bagitahu, mahu menjaga pemakanan saya.
Hari ini ketika saya mengajar sains sebuah kelas dan meminta mereka melukis gambarajah kitaran air semulajadi, ramai yang mengeluh susah melukis gambarajah tersebut dalam buku teks. Lantas saya berikan cadangan bagaimana mahu melukisnya dengan mudah. Berpuluh tahun yang silam ( 33 tahun yang lampau) saya menggunakan minyak kerosene a.k.a minyak gas untuk melukis dengan cara melekap gambar dari buku teks. Pada masa itu kerosene merupakan bahan yang wajib ada di setiap rumah . Ia merupakan bahan api yang paling mudah dan murah. Baunya tolak tepi...hahahaha. Ia digunakan bukan sahaja untuk menyalakan pelita minyak tanah ,digunakan sebagai ubat sapu sakit perut tetapi juga digunakan dalam kerja-kerja rumah saya. Cara penggunaannya ialah, ambil sehelai kertas dan sapukan minyak kerosene itu di atasnya. Kertas itu akan kelihatan lutsinar dna boleh nampak apa sahaja gambarajah yang hendak dilukis. Untuk mengelakkan ia terlalu basah, gunakan sehelai kain untuk menyapu minyak tersebut. Selepas melukis dengan cara lekap, gunting dan lekat ke dalam buku latihan. Pada masa itu sukar mendapatkan kertas minyak dan inilah cara murah untuk anak kampung yang miskin seperti saya belajar. Tetapi ...seperti biasa kena tahan dengan bau minyak kerosene yang kuat tersebut. Penuh sebeg dengan aroma kerosene. Gam pula bagaimana ? hehehehe ...kita gunakan gam yang dibuat dari nasi yang dilecek sampai lembik untuk melekatkan kertas tersebut. Sebab itu kerja yang selekeh akan dapat dikesan dengan gambar yang berbonjol dengan nasi melekat di belakangnya. Selalunya kalau banyak yang hendak dilekat, arwah datuk dan arwah bapa saya akan membantu masakkan gam daripada tepung kanji untuk saya. Namun setakat ini saya lihat anak-anak didik saya tidak mengamalkannya . Ini adalah kerana kerosene bukan lagi keperluan bagi setiap rumah sekarang. Kalau dulu kerosene digunakan sebagai bahan api untuk menyalakan lampu pam yang terang benderang seperti lampu kalimantang sekarang. Kaum perempuan pula akan masakkan kerosene dengan beberapa batang lilin untuk menggosok lantai rumah selepas ia dicuci terlebih dahulu. Tugas ini selalu saya lakukan sampai licinnya lantai boleh buat kita main luncur dengan stokin. Inilah nostalgia persekolahan , menggunakan bahan termurah dan kreativiti sendiri.

2 Ramadhan

0

Posted by Leeza | Posted in


Jalan yang berkabus
hanya sementara 
mengaburkan pandangan
menjadi tandatanya
apa ada di hadapannya
bagaimanapun jua
kabusnya hanya sementara 
begitu jua
segala kedukaan ini
bangkitlah 
teruskan perjalananmu.

Asalamualaikum rakan-rakan pembaca sekalian. 
Apa khabar anda hari ini ? Semoga perjalanan hidup anda tidak dilitupi kabus . Gambar di atas saya ambil semasa perjalanan ke sekolah pagi tadi. Kabusnya sangat tebal akibat panas membahang berhari-hari. Minggu lepas saya menyaksikan garisan kabus di sepanjang kebun tepi jalan. Seperti gumpalan awan tebal. 

Anda mungkin tidak tahu bahawa anak saudara saya Luqman tidak lagi tinggal bersama saya. Dia menetap di rumah ayahnya yang hanya sepelaungan sahaja dari rumah saya. Jadi ramadhan tahun ini saya menyambut bulan puasa bersendirian sahaja. Namun begitu, setiap kali berbuka saya pastikan memberikan Luqman lauk untuknya berbuka dan bersahur.  Walau tidak  tinggal bersama saya sentiasa pastikannya berpuasa dan bersekolah seperti biasa. Walaupun bersendirian menyambut ramadhan dan tidak bersama mak kerana jadual makannya tidak sama, namun saya redha dengan keadaan ini. Saya tetap memasak sendiri walau hanya sejenis lauk sudah memadai buat saya. Saya cuma makan nasi waktu berbuka sahaja. Waktu sahur saya makan roti dan air milo panas. Saya berazam tahun ini tidak membeli makanan di Bazaar Ramadhan. InsyaAllah.

Hari ini sepatutnya saya membuat kelas tambahan untuk anak didik saya kelas UPSR tetapi memandangkan ada beberapa orang murid tidak hadir dan yang sedia ada itu sudah tertidur keletihan , maka saya batalkan sahaja hasrat ini. Tak mengapalah sebab kelas yang sedia ada itu sudah memadai buat saya untuk memastikan kesediaan mereka menghadapi UPSR. Apa yang pasti saya sekarang tidak tahu mengapa semangat saya merudum sama sekali. Mungkin letih ...dan balik dari sekolah selepas zohor saya terus tidur sehingga ke asar. Mak saya ? Dia pun tidur sama...



1 Ramadhan

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya sudah dua hari sakit kepala . Hari inipun sakit kepala sehingga mata kanan saya terasa kabur dan berair. Cuaca sangat panas sehingga terasa bahangnya amat menyeksakan. Kesian mak saya. Saya berulang kali mengusap badannya dan menuam kepalanya dengan tuala basah. Sakit kepala ini membuat saya terlupa banyak perkara termasuk membayar bil-bil. Namun saya anggap semua yang berlaku adalah dugaan daripada Allah. yang baik dariNYA yang buruk dari diri sendiri. Jangan salahkan sesiapa melainkan diri sendiri yang terlalu menurut perasaan dan tidak berfikiran waras. 
Seharian ini saya banyak melakukan kerja sekolah saya, menonton TV dan berbual-bual dengan emak saya. Sakit kepala membuat saya cuba melelapkan mata . Hanya dengan membasahkan kepala semasa berwuduk dapat mengurangkan sedikit sakit tersebut. Itu petua yang diberi oleh kak Nyah. Saya belum cuba petua menggunakan ais sebagai usaha untuk merawat sakit kepala.
Alhamdulilah, hari ni lauk pauk untuk berbuka sangat mewah. Ada ayam masak merah, ayam panggang, bubur pedas, dalca dan ikan goreng. Namun sebab panas, selera berkurang sedikit. Saya lebih banyak minum air. Haus punya pasal. Selepas solat , saya memilih buah ciku sebagai santapan....Tahun ini rasanya saya lebih memilih buah-buahan sebagai pencuci mulut daripada kuih muih. Alhamdulilah....Oklah, permisi dulu .Terimakasih kepada sesiapa yang rajin baca blog saya...nak buat analisa pun boleh. :) Selamat berpuasa.

Rindu Ramadhan

0

Posted by Leeza | Posted in

Ramadhan sudah tiba ! Alhamdulilah, bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dipanjangkan usia untuk menikmati keberkatan bulan Rmadhan. Pada waktu beginilah kita berpeluang mengumpul sebanyak yang boleh saham akhirat.

Saya rindukan ramadhan kerana ia berkaitan dengan semua insan kesayangan saya. Makanan kegemaran arwah bapak membuatkan saya sangat rindu. Apakah itu ? (bahasa tidak standard) Ia adalah :
gambar cedok dari website my resipi.com.Thanks.

 Tahun lepas saya cuba buat makanan ini sebab ia juga kegemaran saya dan mak. Apalah saya ini, rindukan makanan pada bulan Ramadhan....MasyaAllah...hehehe. Namun bangun bersahur awal pagi adalah nikmat yang tak terkata. Masa arwah datuk dulu, beliau sanggup belikan saya setin sardin untuk saya bersahur. Waktu dulu sardin itu makanan orang kaya sahaja. Dulu sardin sedap diratah begitu sahaja...sardin tin pipih. Tapi sekarang sardin lebih rasa hanyir tak seperti dulu.

Banyak yang boleh dilakukan semasa Ramadhan. Saya sudah mula sibukkan diri dengan aktiviti harian dan tugas . Saya baru menyemak kertas peperiksaan murid-murid Tahun 6 dan ia masih berada dalam tahap membimbangkan. Puasa tak puasa, kelas tambahan tetap berjalan seperti biasa. Bila letih , tidurlah jawapannya...hahahaha. Kata orang Sarawak : sik boleh tido siang, kelak tebik posa.