Pertama Kali Shooting TV : Aksara

0

Posted by Leeza | Posted in



Jumaat bersamaan 25 Februari 2011, saya telah terbang ke KL dengan penerbangan Airasia jam 1430. Malangnya kapalterbang ditunda ke jam 1550. Jadi, saya sampai ke LCCT jam 530pm. Saya terus menaiki teksi dari LCCT ke pejabat NB Kara Sdn Bhd dan lucunya pemandu teksi menggunakan GPS. Tambang teksi LCCT ke Kajang ialah RM64.50. Teksi melalui jalan Nilai dan masuk lebuhraya LEKAS, jam 7.00 malam saya tiba di depan Pejabat NB Kara Sdn Bhd. Saya teruja tengok persekitaran pejabat itu yang dikelilingi Mc Donald (teringat hajat nak makan apple pie belum tercapai) dan KAMDAR. (kalau datang awal kan boleh shopping kain?)
Saya terus memeluk Kakak Norhayati Berahim dan Khamisah Mohd Nazri yang kebetulan berada di depan pintu pejabat NB Kara Sdn Bhd. Saya dikejutkan dengan kemunculan tiba-tiba Mak Aji @ Kusyi Hirdan. Kemudian saya ternampak Nora Ismail @Rose Harissa. Tidak susah mengecam dia dengan baju merahnya. hahahaha...Namun saya terharu sangat-sangat dengan hadiah untuk emak yang diberikan....terimakasih semua sahabat saya ini. Hanya Allah dapat membalas segalanya. Ini projek warga emas geng pizza.Terimakasih.


Akhirnya saya jumpa juga hero kecil ini, Rose Ikhzal. Ik ini saya suka sebab saya sering membaca blog mamanya. Dia sudah tinggi sekarang. Kami ada janji untuk berjumpa pesta buku nanti....insyaAllah.Janji dengan budak kecil. Saya suka kanak-kanak.

Apa macam ? Ini 'anak-anak saya'.... hahaha. Pinjam sekejap Umi Qaisara dan Mama Ikh.

Tiba giliran saya , yang terakhir sebagai pengulas buku Hujan pun Menari. Seminggu ini saya sentiasa risau terlebih. Buku yang tebal itu telah saya khatam banyak kali. Sehingga skrippun sudah beberapa kali bertukar kertas. Akhirnya dalam kapalterbang di atas udara ketika saya membuat peta minda watak dan perkaitannya saya terjumpa satu tema utama yang menjadi tunjang Hujanpun Menari. Barulah saya lega. Namun kelegaan saya punah bila berdepan dengan krew-krew ini. Kamera itu saya rasakan seperti pancaran senjata laser. Silap sedikit terasa mati. Dalam hati berkata : tak naklah alami gabra sebegini.

Wartawan Ila kecil sahaja tubuhnya namun suaranya membuat saya gementar. Nervouse saya membuat saya bercakap tanpa henti. Apa lagi, seakan semua perkataan bagaikan hujan yang turun mencurah-curah.

Saya sebenarnya perlukan pen merah untuk menjadi pegangan kekuatan tetapi entah siapa mengalih pen merah tersebut dan saya tak nampak mana letaknya. Peluh pula tanpa henti mengalir sehingga terpaksa mengelap menggunakan tisu banyak kali. Andai program ini keluar di TV , tak tahu di mana hendak sorok muka.....sebab hakikatnya dari 6 soalan yang diberi 4 soalan sahaja sempat ditanya dan satu soalan tambahan. Berapa bintang anda beri untuk buku ini. Jawapan saya : seluas angkasa.hahahaha.

Setelah selesai baru saya dapat menjamu selera , sebab beberapa hari makan tak berselera dan tidur tak lena . Saya terkejut sebab saya dijamu dengan makanan kegemaran saya spaghetti dan pertama kali merasa makan takoyaki. Empat ketul takoyaki ,saya hanya mampu menghabiskan dua ketul sahaja.

Terimakasih kerana sudi menjemput saya menjadi pengulas buku. Terimakasih sebab ini pengalaman yang sangat berharga bagi saya. Saya betul-betul takut , lebih takut daripada menduduki exam atau temuduga kerjaya. Sehinggakan Basri Musa menyatakan : wah akak benar-benar baca buku ya. Begitu juga kak Yati memberi komen : kau baca buku ke buat buku ? Nasib baik saya giliran terakhir sebab saya sudah habiskan satu tape. Aduhhh..malu sebab inilah bahana nervouse melampau-lampau.Semuapun gelakkan saya, dan terus terang ketika bercakap saya tidak mahu menoleh memandang kumpulan kak NB yang ada di tepi, bimbang sangat-sangat. Saya benar-benar berharap agar saya tidak mengecewakan Kak NB, pihak produksi dan semua sahabat yang terlibat. Ya Allah , moga segalanya berjalan lancar...amin.

HADIAH UNTUK EMAK

0

Posted by Leeza | Posted in


Saya sebenarnya banyak entry hendak dikongsi bersama rakan-rakan dan pembaca blog. Inilah wajah mak saya yang berada di kerusi roda, hadiah dari sahabat-sahabat saya. Pada Jumaat lepas saya ke Kajang untuk menghadiri shooting program TV1 Aksara yang dijangka ditayang bulan Mei nanti...insyaAllah. Selama beberapa minggu ini saya perasan sahabat-sahabat saya sibuk sangat sehingga saya rasa saya macam dilupakan...hehehe rajuk orang tua. Kemudian siap ada sesuatu yang buat saya rasa something fishy....macam ada komplot je. Mereka pula dengan selamba buat dek je dengan saya.

Terimakasih sahabat-sahabat saya yang terlalu sayangkan saya. Surprise ini membuat hati saya terasa bagai bom meletup...sedih sangat. Buruk muka saya menangis. Sebenarnya saya sudah berhasrat Sabtu hendak mengajak kak NB untuk survei kedai menjual kerusi roda untuk mak saya. Saya mencari yang ringan supaya mudah saya mengangkatnya. Saya berasa sangat bersalah kerana berprasangka sahabat-sahabat saya ini tidak sayangkan saya. Maafkan lah saya...maaf berbanyak-banyak kerana mempunyai penyakit hati seperti ini. Ampunkan saya ya Allah. Mereka telah berusaha mencari kerusi ini dan berkongsi membayar harganya. Bila saya ceritakan pada mak, dia marahkan saya. Dia sukakan kerusi ini dan berkali-kali menyampaikan terimakasih kepada kawan-kawan saya.

Saya tahu saya amat bertuah mempunyai sahabat-sahabat seperti ini yang sentiasa ada ketika saya memerlukan . Terimakasih berjuta kali. Maaf juga berjuta kali. Saya takkan melupakan kesilapan ini, kesilapan membuatkan mereka kecewa dengan saya terutama dia yang tersayang. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa-jasa kalian. Saya mohon jangan sesekali berputus asa untuk menjadi sahabat saya kerana saya sangat memerlukan kalian. Jika kalian tinggalkan saya , saya takkan jumpa yang lebih baik dari kalian.

Kak NB sampai pejam mata mencuba kerusi roda ini.....saya belajar menggunakan kerusi roda ini. Dan sebaik sampai, emak amat terharu dan dia yang mula kelihatan lemah kerana demam terus bangun mencuba kerusi roda yang baru.

MENGAPA AKU JADI PENGETUA oleh Kusyi Hirdan

1

Posted by Leeza | Posted in


Novel Mengapa Aku Jadi Pengetua merupakan karya Kusyi Hirdan dibawah penerbitan PTS.One dan diterbitkan sejak tahun 2009. Saya tertarik dengan tajuknya kerana kemungkinan berkaitan dengan kerjaya saya sebagai pendidik. Jelasnya bila saya mengepit novel ini, ia juga menjadi tarikan kepada ahli keluarga saya. Anak-anak saudara pula bertanya sama ada 'Mak Usunya' ini hendak menjadi pengetua dan memberi galakan padu. Fahmi yang berusia 17 tahun berkali-kali mengatakan cerita ini best sedangkan dia tidak membaca. Namun dia akui dia sudah membelek novel ini sepanjang malam semasa saya tidur.

Kini saya akui sememangnya novel ini yang saya tidak tahu dikategori novel remaja atau novel dewasa , menarik minat saya. Seronok membacanya . Mengapa aku jadi pengetua mengisahkan seorang remaja, Izaz Noraini berusia 22 tahun terpaksa menjadi pengetua sebuah kolej swasta demi memenuhi wasiat arwah kakak iparnya Elita. Banyak cabaran yang harus dilaluinya memandangkan usianya yang muda, tidak berpengalaman dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran. Ertinya menjadi pengetua di sebuah kolej swasta yang gah dan terkenal merupakan satu dunia yang dipaksa ke atasnya. Keistimewaan Izaz Noraini ialah dia berpengalaman dalam persatuan dan bergiat aktif dalam kegiatan kaunseling semasa di universiti. Berbekalkan semangat dan pengalaman ini dia dapat menanggani masalah yang silih berganti di kolej tersebut. Izaz Noraini dibantu oleh Ali a.k.a Loli sahabat baik Elita dan disokong padu oleh ibunya Puan Fatihah dan Peguam Encik Mahir. Dia juga mempunyai guru yang berwibawa seperti Cikgu Nora dan kemudian hadirnya Elin adik arwah Elita juga turut memberi sumbangan biarpun pada awalnya dia menentang dan menuduh keluarga Izaz Noraini penipu dan merampas harta arwah kakaknya, Elita.

Best sebab kita seperti disaksikan satu sitkom kehidupan di kolej swasta. Saya gelak guling-guling dengan telatah semua cikgu di kolej swasta ini terutama pada awal kedatangan pengetua termuda ini. Sangat melucukan sehingga novel ini sesuai menjadi terapi untuk insan yang mengalami stres dan kedukaan.

Sesuai dengan tajuk, pembaca dibawa untuk mencari sebab Izaz Noraini diwasiatkan Kolej Elita dan tertanya-tanya mengapa abang Ashman , suami arwah Elita menghilangkan diri dan membiarkan adiknya yang muda remaja itu memikul tanggungjawab yang sangat berat itu seorang diri. Marah jugalah hati saya kerana Ashman menjadi lelaki yang lemah dan tidak bertanggungjawab . Jika sakitpun apa salahnya berada di sisi adiknya untuk memberikan khidmat nasihat dan sokongan moral. Lagipun dia belum dapat keputusan dari doktor sama ada dia sudah dijangkiti atau belum.

Ya , kelainan novel ini ialah ia mengetengahkan satu watak idola , Izaz Noraini dan watak-watak lain menjadi pendamping yang kuat dalam menguatkan perjalanan plot cerita. Apa yang membuat saya turut teruja dengan Izaz Noraini ialah kewibawaannya memimpin sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja ternama tetapi juga berprestij. Apa yang saya suka ialah tindakannya mengubah beberapa tradisi kolej swasta yang selama ini lebih bercirikan sekular dan kebaratan. Antara perubahan yang dilakukannya ialah :
1. Etika berpakaian yang lebih bersopan untuk guru-guru dan pelajar.
2. Program malam Jumaat, live band diganti dengan majlis membaca yassin dan ceramah di surau kolej.
3. Setiap pagi diadakan bacaan doa .
4. Majlis 'Prom nite' ditukarkan kepada majlis makan malam pelajar dan ibubapa.
5. Kelas mengaji dibuat setiap petang khamis dengan Mak cik Rohana sebagai gurunya.
6. Nama Loli semakin dipadamkan dengan penegasan nama Ali. Ia mengubah perwatakan Ali yang lembut.

Bila perubahan baru diperkenalkan , pasti ada yang pro dan kontranya. Tentangan daripada guru-guru bukan sedikit malahan sehingga Kolej Elita difitnah dan masuk suratkhabar. Nama kolej terjejas namun dapat diselesaikan dengan kecekapan Izaz Noraini, Cikgu Nora dan Ali. Bukan sedikit orang yang berdengki dengan Izaz Noraini sehingga bekas tunang Ustaz Peter juga mencemburuinya. Segala halangan dapat diselesaikan dengan baik malahan setiap watak yang bermasalah seperti Cikgu Farhan, Cikgu Khairil, dan Cikgu Nancy berubah setelah dikaunseling oleh Izaz Noraini.

Setelah banyak masalah dan mencari sebab musabab , barulah Izaz Noraini mengetahui punca masalah yang wujud di Kolej Elita . Tan Sri Khalid bapa arwah Elita rupanya hendak merampas Kolej Elita kerana tapak kolej tersebut mempunyai feng shui yang bagus dan menjadi tumpuan sebuah syarikat komputer antarabangsa XTA untuk membina kilangnya. Arwah Elita tidak rela kolejnya jatuh ke tangan bapanya yang tamak haloba tersebut. Perkara ini menyedarkan Elin adik arwah Elita sehingga dia turut membantu Izaz Noraini menyelesaikan masalah kolej yang wujud seperti kes cikgu Nancy dan Kes Zara .

Ternyata novel ini banyak juga memberi informasi dalam mengendali orang bawahan dan staf yang bermasalah. Ia juga memberi cara pendekatan untuk menghadapi pelajar bermasalah seperti Zara. Apa yang pasti, kesabaran dan semangat berjuang menjadikan kita tabah untuk mengadapi segala rintangan yang datang dalam hidup kita. Jangan sesekali berhenti berdoa dan berserah pada Allah untuk memperolehi keredhaanNya.

Masih ada lagi sambungannya .....Mengapa Aku Masih Menjadi Pengetua dan Mengapa Aku Rela Menjadi Pengetua. Kita tunggu kisah seterusnya.

Kekurangannya hanyalah pada saiz font :9 yang terlalu halus bagi mata setua saya. Jika font 12 digunakan ,saya percaya novel setebal 327 ini menjadi setebal 500 muka surat. Juga semasa penulisan dialog, penulis seeloknya menulis siapakah penutur dialog tersebut. Saya terpaksa baca dua tiga kali untuk memastikan siapa penutur sesuatu dialog tersebut.

Dapatkan siri Mengapa Aku Jadi Pengetua ini melalui blog http://www.jendelaku.com atau www.pts.one.com.my.

DARI KERANA MATA oleh Norhayati Berahim

2

Posted by Leeza | Posted in


Asalamualaiakum w.b.t.
Novel terbaru daripada Norhayati Berahim ! Keterujaan saya memiliki novel ini tidak dapat digambarkan dengan seribu perkataan namun ia saya dakap sepanjang malam sebelum lena ku bertandang. Dari Kerana Mata hasil nukilan Norhayati Berahim menceritakan kisah yang klasik dan santai. Kita terbuai dengan pelbagai emosi di dalamnya , gembira, sedih, luka, kasihan, keliru dan kejutan.

Saya membaca novel ini dua minggu dan ia saya baca mengikut masa senggang saya sedangkan jika ikutkan hati, saya hendak membaca novel ini dalam tempoh dua hari sahaja. Novel ini best!

Kisah cinta ? Sudah semestinya namun NB tidak pernah menulis novel cinta yang melampau-lampau...Kali ini ia mengungkapkan cinta yang wujud sejak kecil dan dibajai sehingga ke dewasa , tidak pernah berubah. Benarlah bahawa cinta pertama tak semestinya menjadi cinta monyet. Cinta masa kecil dari hati yang tulus dan diiringi dengan doa dan mengingati ALLAH memohon agar cinta yang terpisah ini bisa dipertemukan semula. Atan , nama manja untuk Nik Azri , menyayangi sahabat masa kecilnya dan berdoa agar dipanjangkan jodohnya dengan Jaliha. Dugaan bukan sedikit namun cinta ini tidak pernah berubah. Inilah kelembutan cinta dalam Dari Kerana Mata.

Keseluruhannya ,NB menerapkan cara pendidikan anak yang seharusnya untuk melembutkan dan membentuk jiwa anak-anak membesar dengan emosi yang sihat. Terus-terang saya katakan , saya terpukul sebab cara saya mendidik Luqman seperti cara Zaiton mendidik Akim,asyik angin sahaja terutama apabila dia membuat onar dengan kenakalannya yang terlampau. Saya sendiri dididik sedemikian sehingga saya jarang bercakap apa lagi hendak mengadu sekiranya terlibat dengan masalah di sekolah atau bergaduh di sekolah. Jika menjawab dianggap biadap, jadi baiklah disimpan diam-diam sahaja.Kemudian kita tertanya-tanya mengapa Dr Ramona membenci Jaliha sejak kecil. Sedih melihat Jaliha dikasari semasa dia bermain basikal dengan abangnya. Saya meneka kemungkinan sebab kematian ayahnya ada kaitan dengan Jaliha. Ya...betullah tekaan saya ini. Saya kemudian asyik tertanya mengapa Atan tidak bertemu dengan bapa saudaranya dan siapakah bapa saudara Atan. Jawapannya anda ketemu di hujung novel ini dan jawapan itu tidak kita duga sama sekali. Ia dikuatkan dengan faktor usia.

Banyak kasih sayang diceritakan dalam Dari Kerana Mata ini. Kasih sayang keluarga membahagiakan sesiapa yang membacanya. Nuansa bahagia ini menemani hati kita hingga ke akhir cerita. Kasih-sayang nenek iaitu Nek Senah dan Nek Boyah, menjadi tempat cucu mereka mengadu. Kedua nenek ini pula kaya dengan nasihat dan petua. Dalam hati saya berkata , best ada nenek sebab saya tidak pernah merasa kasih sayang arwah nenek-nenek saya. Cuma saya rapat dengan arwah datuk dan tentulah berbeza sebab dunia lelaki tidak sama dengan dunia wanita.Kasih sayang abang kepada adiknya , Johari sehingga dewasa masih akrab dan bersikap protektif. Kasih sayang Haji Arshad bapa tiri Jaliha membuatkan anak-anak ini bermotivasi tinggi dalam akademik ,kerjaya dan kehidupan .Hubungan yang rapat ini menutup kekurangan dan kelemahan Dr Ramona dalam menyayangi anak-anaknya. Bila Dr Ramona tidak sibuk bekerja, dia merasa amat kehilangan sebab anak-anak tidak bergitu mesra dengannya. Keadaan ini menyebabkan teromasanya menjadi-jadi...sehingga pemikiran negatif dan syak wasangka terhadap anak gadis dan suami sendiri. Kasih sayang seorang emak angkat , Puan Salmah terhadap Nik Azri menyebabkan Nik tidak terlalu terbawa dengan kesedihan masa lampaunya. Malahan hubungan ibu dan anak angkat menjadikan Nik Azri semakin berjaya dalam perniagaannya. Pun begitu, Nik Azri tidak mengabaikan kegiatan mengaji Al Qurannya, malahan harta yang dia dapati dipergunakan ke jalan Allah iaitu membina madrasah di Pattani. Dia berjaya menunaikan janjinya kepada arwah nenek, Nek Boyah.

Banyak isu dan info yang NB terapkan dalam novel beliau ini.

1. Isu si bapa yang mengabaikan nafkah anak seperti Deraman .Sikap bapa yang tidak bertanggungjawab ini amat menyakitkan hati kita membacanya. Apa tah lagi si bapa menipu status ekonominya dengan mengaku muflis supaya tidak perlu membayar hutang-piutang. Hakikatnya kehidupan Deraman yang sebenarnya adalah berharta.

2. MLM adalah jenis perniagaan yang lebih banyak haram kerana ia adalah perniagaan yang berada di atas angin. Ramai yang terjebak dengan penipuan MLM ini dan DKM telah mendedahkan apa MLM sebenarnya. Terimakasih kerana saya sendiri pun pernah terjebak dengan MLM ini.

3. Muflis menjadi langkah yang paling diminati oleh orang untuk mengelakkan pemiutang. Bagaimana si muflis ini dilindungi oleh undang-undang dan seterusnya berpeluang membuka perniagaan baru atas nama isteri. Si Deraman pula kahwin cerai sehingga mencecah 8 orang bini barunya. Aiyoooo...banyak miang lelaki ini.

4. Hubungan anak angkat dengan ibu angkatnya tidak dapat ditukar kepada mahram walaupun suami emak angkatnya adalah bapa saudara kepada si anak tersebut. Begitulah hubungan Atan dengan Puan Salmah. Dalam hati Atan menyatakan keinginan memeluk mak angkatnya namun mana mungkin terjadi sebab tiada ikatan muhrim.

Selain itu, kita juga disajikan dengan beberapa insiden lucu seperti saat Eton dibawa oleh Jaliha menemui emaknya ,Mak Kuntum setelah lebih 10 tahun berpisah. Ia bertujuan untuk mengajar Zaiton yang membelakangkan emak dan nasihat kawan baiknya semasa dia hendak berkahwin dengan Deraman. Perceraiannya dengan Deraman dan derita semasa kelahiran Akim menjadi pengajaran yang bukan sedikit untuk tindakan bodohnya ini. Bersyukur dan bertuahlah si Eton sebab mempunyai sahabat sebaik Jaliha dan kasih sayang keluarga Jaliha sehingga dia mampu membesarkan Akim dengan baik. Malahan Akim menjadi kesayangan semua orang. Sikap akim yang pandai serba serbi mengkagumkan kita namun sikapnya lebih santai dan mesra dengan umi, papa dan atuk berbanding dengan ibunya sendiri yang garang.Panggilan si BUNTIT kerana perut Akim yang buncit menjadi ikutan saya kerana saya dua orang buntit dalam keluarga, anak saudara dan cucu saudara. Lucu sekali bila Buntit menjadi usikan dalam keluarga Jaliha.

Saya juga tertipu dengan usia Tok Kenali , guru yang membuka madrasah di Pattani. Saya ingatkan usianya setua Haji Arsyad , rupanya dia tidak jauh beza usia dengan Atan , umpama abang dan adik. Juga kejutan tanpa diduga bahawa Zack lelaki yang dipadankan oleh Dr Ramona anak kawannya dengan Jaliha rupa-rupanya abang kandung Akim, anak Deraman dengan isteri pertama. Sejujurnya saya menyangka Haji Arsyad adalah bapa saudara kepada Nik Azri tetapi dugaan saya meleset. Orangnya tidak diduga sama sekali.

Basikal merah milik Jaliha menjadi simbolik dalam novel ini. Pun juga basikal Gucci merah yang Nik Azri belikan khas dari luar negeri menyatukan semua dugaan kita bahawa dia ialah Atan masa kecilnya. Tabung ayam yang diberikan oleh Jaliha masih menjadi ingatan kepada Atan dan disimpan di atas meja di pejabatnya. Basikal yang menyatukan kenangan masa kecil keduanya sehingga kasih sayang itu tidak pernah padam menemani hari-hari ke duanya. Kenangan yang bila diingat semula seakan ingin mengulanginya kembali, saat-saat manis bersama.

Tangisan turut mengiringi penghayatan bacaan saya ini. Saya sedih saat Jaliha dipukul dan dimarahi oleh emaknya. Saya juga menangis saat Atan menangisi kehidupannya ketika arwah neneknya meninggal. Dan saya juga menangis saat Atan menemukan kembali bapa saudaranya. Luka terasa terhiris saat Jaliha dikhabarkan oleh Johari tentang amarah dan syak wasangka Dr Ramona terhadapnya dengan bapa tirinya. Pedih jika ibu sendiri menyimpan dendam terhadap anaknya. Rasa marahpun ya bila mengetahui bagaimana corak kehidupan Puan Salmah dengan Encik Borhan yang berkahwin atas kehendak orang tua. Marah dengan Encik Borhan yang menganiayai dan mengikis kekayaan Puan Salmah . Bersyukur sangat-sangat apabila mereka berdua bercerai dan Puan Salmah tidak mahu kembali walau dipujuk rayu oleh bekas suaminya. Lucu dengan perubahan drastik Seman setelah ditarbiyah oleh Jaliha yang kemudiannya mengubah Diana atas dasar cinta.

Akhirnya, saya kekenyangan dan puas hati setelah membaca novel ini. Ia menjadi novel yang diminati . Nampaknya tiada satupun novel Norhayati Berahim yang tidak diminati. Dari Kerana Mata menjadikan kita seakan ketagihan novel-novel NB. Kita tunggu novel seterusnya daripada beliau. Kita doakan beliau dikurniakan kesihatan untuk membolehkannya terus menulis. SYABAS KAKAK NORHAYATI BERAHIM.

P/S : Hubungan yang baik antara kami berdua tidak mempengaruhi review ini sebab jika anda baca novel Dari Kerana Mata ,anda sendiri harus tahu kebenarannya terbukti pada isi kandungan novel yang padat dengan seribu perisa kehidupan ini . Ia menyebabkan kita merasakan semua kejadian pernah terjadi dalam hidup kita. Kebetulan yang memungkinkan kita merasakan kita mewakili salah satu wataknya atau vice versanya.

EMOSI

1

Posted by Leeza | Posted in

Semalam saya menghadiri jamuan perpisahan guru-guru yang berpindah dari SKJ. Salah seorang guru itu pengikut setia blog saya ini. Dia menyuarakan rasa hairannya kenapa saya malas mengemaskini blog saya ini. Ya, saya sudah semakin malas menulis di blog ini biarpun banyak cerita yang hendak saya kongsikan bersama. Kali ini biarlah saya kongsi emosi saya sejak akhir-akhir ini.

Jika salah mempunyai perasaan seperti ini, maafkan saya. Saya hanya manusia biasa. Mungkin apa yang saya luahkan ini hanya sebahagian kecil yang mampu saya ceritakan atau yang mampu saya gambarkan kerana saya bukan penulis yang bijak bermain dengan kata-kata. Perbendeharaan kata saya amat terhad. Hati pun semakin kecil sekecil-kecilnya.

Mungkin kerana saya tidak mempunyai sesiapa untuk berbual-bual mengenai hati maka segalanya saya pendamkan dalam-dalam. Ya, saya ada ramai kawan namun ada keterbatasan yang tidak mampu saya langkaui. Saya sering mengingatkan kawan-kawan saya sudah sedia terbeban dengan masalah masing-masing yang sedia ada. Pada satu tahap saya hendak menangis namun saya tidak mampu. Dan jika tidak hairanlah jika ketika menonton TV , jika lelucon yang tersiar biarpun tidaklah lucu saya akan ketawa sebesar-besarnya . Jika sedih saya menangis sepuas-puasnya. Semua dilakukan SENDIRI. Tahu kenapa saya berperangai sewel seperti ini ? Kerana masa itu saya dapat luahkan semua saki baki yang terpendam entah beberapa lama biarpun sedikit tanpa dikesan oleh sesiapapun terutama Mak yang sakit.

Meraon ? Satu aktiviti yang kalau boleh saya lakukan saya akan lakukan dengan sepenuh hati. Asal ia membahagiakan saya. Namun saya tak mampu meraon. Jika keluar saya sudah sediakan senarai yang saya hendak cari dan beli. Jadi itu bukan meraon namanya tetapi membeli keperluan. Semalam contohnya, saya mencari buku kerja untuk murid-murid saya tetapi hanya dapat menemui kelas Tahun 5 sahaja. Untuk Tahun 6 pula tiada yang sesuai dan terpaksalah menunggu buku tersebut tiba di kedai . Itupun dengan kepala yang berdenyut kesakitan. Kemudian saya membeli ubat mak dan lampin pakai buangnya. Hanya jenis TENA sahaja yang sesuai digunakannya dan jenis ini tiada di kedai yang biasa saya membeli dengan harga yang agak murah RM12.50 sepaket. Jadi terpaksalah mencari di tempat lain dengan doa yang tidak putus-putus moga ia ada. Alhamdulilah , saya menemuinya walau harganya RM12.90 sepaket. Jadi saya membeli untuk keperluan 3 minggu kerana saya bercadang 3 minggu lagi baru keluar ke bandar. Kemudian makanan untuk kudapan mak sebab dia selepas makan nasi suka makan makanan ringan seperti buah-buahan , manisan kering, roti yang lembut, puding dan sebagainya. Segalanya untuk dia.

Saya mengaku saya cemburu bila membaca status kawan-kawan saya di facebook. Ada yang merancang hendak main bowling, pergi spa, makan pizza, BBQ , dan sebagainya beramai-ramai bersama kumpulan kawan-kawan. Saya jauh dan tidak dapat ikut serta. Jadi Facebook ini tidak bagus....buat saya makan hati sahaja. Maka saya ambil keputusan saya hendak mengurangkan facebook ini. Biarlah saya tidak tahu apa orang lain buat agar saya tidak terasa terlalu down. Saya tak mahu berfikiran , untungnya orang lain...aku ???? Nak shopping pun berebut hendak balik teringatkan mak . Sebabnya , jika mak ditinggalkan dia terpaksa menghangat sendiri bubur nasinya dan entah apa-apa yang dia lakukan mungkin melelahkannya sendiri. Apa lagi dia tidak kenal ubat sendiri termasuk kakak saya terkadang blur dengan ubat emak. Jika begini bagaimana hendak meninggalkannya nanti semasa Pesta Buku ?

Andai mempunyai perasaan cemburu dan sedih ini salah, ampunkan saya kawan-kawan. Namun saya tahu kawan-kawan saya ini terkadang tidak sayang saya pun....ya lah saya ni jauh. Saya saja yang sayang teramat-amat.

'Muli'nya emak

2

Posted by Leeza | Posted in

Mak saya sudah uzur. Sakit tua , terkadang dia baik dan terkadang dia uzur sangat. Jika baikpun sedikit cuma. Dia rasa sakit sangat kerana keupayaannya sudah amat terbatas. Lemah anggota badan. Makanpun dengan bubur nasi. Sayur-sayuran kena dicincang halus dan tidak pedas. Jika dia makan ayam, isi ayam kena disiat-siat halus untuk memudahkannya makan.

'Muli' bermaksud tidak duduk diam. Tidak betah hendak berada di satu tempat. Sekarang ini dia sukar untuk tidur malam, amnesia. Jadi dia akan tidur waktu siang. Bila saya yang tidur di sisinya terlelap dia akan bangun sendiri dan berjalan-jalan dalam rumah. Terkadang dia menyelongkar almari dan mencari entah apa-apa barangnya. Saya selalu mengintai kelakuannya, bimbang dia terjatuh ke apa. Terkadang saya menyimpan tawa dalam hati melihat perangainya yang lucu itu. Terkadang saya buat-buat bangun, dia akan cepat kembali di tempat tidurnya. Bila sudah begini, tidur saya terganggu, tidak cukup rehat. Inilah pengorbanan mak yang harus kita balas. Dia sudha menjaga kita sejak kecil bertahun-tahun. Sekarang dia sakit dan uzur, giliran si anaklah menjaganya.

Satu malam... saya terlelap . Keletihan sebab di sekolah saya sibuk sangat dengan tugasan di sekolah. Tiba-tiba saya terkejut sehingga terduduk saya dari tidur mendengar bunyi ridsect jatuh. Bising sekali. Rupa-rupanya mak saya terjatuh di sudut almarinya. Aduhai mak...mengeluh jugalah saya dengan kenakalannya ini. Bila ditanya, dia menyatakan dia nak cari makanan. Saya tahu dia berbohong sebab saya melihat laci almari terbuka. Terkadang dia melucukan. Rambutnya diikat satu tinggi ke atas , dan dengan berkemban dia akan membawa handbeg saya ke dapur jam 4 pagi. Saya waktu itu berada di dapur memasak. Bila ditanya mak nak ke mana? Katanya , dia bimbang duit saya dalam handbeg itu dicuri orang. Alahai mak saya...dalam sakitnya masih memikirkan soal kebajikan anak-anak.

Geramak dan Gawang

5

Posted by Leeza | Posted in


Ini geramak sejenis spesies ketam. Saiznya kecil sebesar ibu jari sahaja. Ia banyak di dapati di sungai terutama masa air surut . Baru-baru ini ia dijumpai masa banjir di kampung Ulu Semera. Banyak spesies geramak ini. Kalau geramak kebun ,bentuknya segiempat . Geramak ini tak boleh di makan. Jika geramak kebun ,boleh dimakan. Masa kecil dulu ketika mengikut arwah bapak dan emak saya ke kebun biasanya saya dan abang-abang akan mencari geramak kebun untuk dibakar sebagai lauk makan tengahari. Rasa seperti ketam tetapi tak banyak isi sebab saiznya kecil. Geramak ini pula selalu saya ambil sebagai mainan bersama kawan-kawan. Kami mencari geramak di tepi-tepi parit. Cuci bersih-bersih dan kemudian sepitnya akan diikat dengan benang panjang. Kami akan buat perlumbaan antara geramak. Bila kami penat bermain, ia akan dilepaskan kerana kami tahu esoknya kami akan mencari geramak yang lain lagi. Bila fikir semula sekarang, betapa kerapnya kami menyeksa kaum geramak ini.

Ini pula gawang atau guang.Jika dilihat pada bentuknya ia seperti gabungan kala jengking dan lobster/udang. Jika ekor kala jengking melentik ke atas , ekor gawang pula melentik ke bawah. Ia tidak merbahaya dan tidka menyengat seperti kala jengking. Saya tak tahu nama standardnya dalam Bahasa Malaysia. Sebenarnya gawang di atas kehilangan sepasang sepit besarnya. Ia ada dua pasang sepit, sepasang besar dan sepasang kecil. Ia spesies yang dijumpai semasa banjir. Dulu masa banjir, ia menjadi aktiviti wajib saya dan kawan-kawan. Abang-abang saya pun rajin mengajak saya mencari gawang ini untuk dimakan. Kami menggunakan perahu, abang saya akan mengayuh perahu dan saya duduk ontok-ontok di tengahnya. Abang yang seorang lagi akan mencari gawang ini menggunakan sebatang kayu atau buluh . Bila jumpa, kami ambil sepit-sepitnya sahaja, dan ia dilepaskan. Menurut arwah datuk saya ,Judin,sepit gawang ini dipercayai sebagai penawar sakit asthma. Kita bakar atau rebus sahaja sepitnya dan isinya sedap sangat. Berpasir dan rasa seperti isi ketam.Mungkin ada benarnya sebab penyakit semput @lelah @asthma anak saudara saya Azmi sembuh kerana selalu makan gawang. Sekarang badan gawang diambil juga untuk dimasak kicap. Syaratnya kena tarik bahagian salur najisnya yang bertanah. Pun juga, biarpun setiap tahun banjir, spesies ini menghadapi kepupusan. Semakin susah hendak didapati lagi sekarang. Malahan ketika saya mengajar anak-anak murid saya baru-baru ini dan bertanyakan mereka pasal gawang , majoriti tidak mengenal haiwan ini. Nasib baik saya tunjukkan gambar. Saya teringat semasa saya di Daro dahulu. Selepas air surut, di jalanraya depan rumah sewa saya banyak sungguh gawang ini menjalar. Geramnya saya masa itu, terasa hendak mengutipnya dan ambil sepit tetapi malu dan segan memandangkan saya guru baru dari Kuching. Warga di situ teruja kalau ada cikgu baru dari Kuching datang, sehingga ketika saya mengajar , ramai guru yang bertenggek di tepi tingkap melihat saya mengajar. Pegawai -pegawai pelajaran pula selalu datang melawat termasuk jemaah nazir dari Sibu. Semput saya sepanjang tahun kerana selalu diselia semasa mengajar.hahahaha.

Shopping di Livina ,Kuching

2

Posted by Leeza | Posted in


Sabtu lepas saya mengambil anak saudara saya yang sulung , Zarina dan anak angkatnya Asmara balik ke kampung.Ahad pula kenalah menghantar mereka balik semula ke Kuching. Yang mengikut tentulah Putri dan neneknya. Kakak saya ini hendak membeli beberapa barang keperluan rumah. Jadi, Zarina mencadangkan untuk pergi ke Livina ,gudang peralatan rumah yang mengadakan jualan murah sempena Tahun Baru Cina. Inilah pertama kali saya memandu sendiri ke Livina. Yang lucunya , si Zarina co-pilot saya ini pun silap memberi arah jalan. Saya yang terus memandu akhirnya membuat u-turn di traffic light jambatan tol. Wah...ramai sungguh orang yang pergi ke sana. Saya terpaksa memarkir kereta jauh di tepi jalan. Itupun nasib baik ada ruang kosong. Murah harga barang-barang tersebut. Saya membeli sebuah bekas beras yang boleh memuatkan 12 kg . Tudungnya pink dan badannya warna putih dan dihiasi bunga rose. Cantik. Harganya RM29.90. Satu lagi yang saya sambar ialah rak pinggan mangkuk untuk sinki 2 tingkat warna putih, RM19.90. Jadi jumlah perbelanjaan saya hari itu tak sampai RM50.00.

Apa yang pasti, dua kanak-kanak ini suka sahaja dibawa berjalan-jalan. Putri , cucu saya ini pantang melihat saya berpakaian cantik sedikit , madang sahaja nak mengikut. Tengoklah badannya yang tambun, buntit...hahaha.

Ooppps!

0

Posted by Leeza | Posted in


Sabtu yang lepas saya dan kawan balik dari Kuching menggunakan feri . Semasa kami menunggu feri , kami berdua bercakap-cakap sambil melihat permandangan sekitar. Dekat feri ada sederetan kuarters lama Jabatan Pertanian. Sepatutnya ia tak sesuai didiami sebab keadaannya sudah usang benar. Titiannya agak tinggi. Kanak-kanak di atas berusia dalam lingkungan 3-4 tahun sahaja. Dia bermain basikalnya ini di titian usang tanpa diawasi. Sesekali kami berdua Noria menjerit dan mengurut-urut dada melihat dia cuba mengayuh basikalnya ketika tersangkut pada papan yang tidak rata. Hampir-hampir ia terjatuh dari titian tersebut.

Anak kecil ini bermain seorang diri dan dalam hati kami berdua berkata , celaka sungguh ibubapanya membiarkan anak kecil ini bermain sendirian. Apa akan jadi jika anak kecil ini jatuh dari titian tersebut? Kemungkinan ia boleh patah dan nasib tidak baik , mungkin kepala terhantuk pada ketulan batu dan serpihan kayu yang tajam di bawah titian tersebut. Saya teringat dengan Putri. Ke mana sahaja dia pergi kami tidak membiarkannya bersendirian. Malahan neneknya kakak saya tidak yakin saya membawa Putri berjalan keseorangan . Si Azim yang sudah berada di Tingkatan 1 pun jika mengikut saya ke mana-mana bermalam , paling lamapun cuma dibenarkan semalam sahaja. Agaknya sudah terantuk baru tengadah. Atau manusia suka menyesal di kemudian hari. Ke mana perginya ibu anak kecil ini. Oh ada....dan dia cuma ....

-
-
-
-
-
-
duduk
termenung
dan
tempatnya
di atas balkoni
-
-
-
jika terjadi sesuatu,
mampukan dia
terjun dan menyelamatkan anaknya ?
-
-
-
kita doakan saja yang baik-baik.

SAYANG SEORANG QAISER oleh Anuar Kamaruddin

2

Posted by Leeza | Posted in


Setelah sekian lama membaca novel ini akhirnya ia saya khatam minggu lepas. Terlalu banyak dugaan yang saya hadapi ketika membaca novel ini . Antaranya kesihatan mak saya yang tidak menentu menyebabkan saya keletihan sedangkan novel ini saya usung ke mana sahaja saya pergi. Terkadang ia tergeletak di sisi bantal saya tanpa saya menyelak isinya, terkadang ia berpanas dalam kereta ketika saya usung ke bandaraya Kuching, dan terkadang ia tersadai sepi dalam bakul mengajar saya. Pun juga novel ini ketika ia hampir saya habiskan , anak saudara saya si Rina pula tersalah ambil dan bawa balik ke Kuching. Jadi seminggu ia berada di Kuching dan saya menyusul kemudian mengambilnya. Dalam seminggu ini, Rina dan Arie pula yang mendahului saya menghabiskan novel ini...uwaaaa. Mereka sepakat memberi komen : Best Usu...menangis kami ,sedih benar.

Sayang seorang Qaiser karya ke 3 milik Anuar Kamaruddin menampilkan kelainan daripada karyanya yang sebelumnya iaitu Blog Priasetia dan Terawih Terakhir. Apa yang ingin saya katakan karya ini best sangat dan saya puas menangis dalam menghayatinya. Itu salah satu faktor saya lambat menghabiskannya.

Qaiser dan Qistina dua nama yang cantik digandingkan menjadi sepasang sejoli yang romantik. Qaiser ,lelaki lindungan Kaabah dan Qistina perempuan yang berbeza perwatakan dengan Qaiser dipertemukan dalam keadaan Qitina yang lucu, siap melatah lagi tu. Pertemuan yang nyata menjatuhkan 'voque' Qistina gara-gara desas-desus tingkat 14 (tingkat surau untuk Bank Wira) yang dikatakan berhantu. Dora dan Laura , jula-juli bintang 7, dua sahabat Qistina mendesak dia ke tingkat 14 untuk menemui lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki idamannya. Sejak pertemuan itu Qistina yang sudah jatuh hati pandang pertama sentiasa berusaha untuk mendekati Qaiser malahan telah mengubah ciri-ciri berpakaiannya , malahan gaya hidupnya sedikit demi sedikit turut berubah. Begitu hebat panahan asmara cinta pandang pertama. Dora dan Laura menjadi penasihat secara informal kepada Qistina sehingga timbul beberapa perkara lucu yang dilakukan mereka seperti berpakaian ala perempuan Arab.

Dalam proses merapatkan dan mengemaskinikan ikatan hati dua insan ini, penulis juga menekankan kekeluargaan kedua belah pihak. Keluarga Qaiser yang baik, penyayang dan penuh dengan kebahagiaan. Irfan dan Umairah dua orang remaja yang menjadi anak saudara kesayangan Qaiser. Mereka berdua ini terlalu rapat dengan Pak Su mereka sehingga mereka lebih suka berkongsi segala masalah mereka dengan beliau . Masalah Umairah yang menggantung satu semesternya menjadi tandatanya Qaiser sehingga dia menyiasat . Namun ia gagal mengaitkan dengan masalah Umairah sehinggalah Allah takdirkan Huzaimi Kamal bekerja dengan Qaiser di Bank Wira. Saya sendiri tidak menduga Huzaimi dan Kamal adalah orang yang sama sehingga kehadiran burger menyingkap segala teka-teki ini.

Watak Qaiser ini watak lelaki idaman semua wanita. Terserlah sifat-sifat yang bertanggungjawab dan atas nama kebaikan ini pula menjadikan ia mudah diperdaya oleh perempuan hipokrit seperti Natrah. Saya tidak menyangka suaminya ialah Luqman Hakim ,ayah kepada Qistina. Sukar saya membuang imaginasi saya yang mengada-ngada ketika membaca novel ini. Saya seakan menonton teledrama hidup di mana, watak Qaiser adalah bayangan watak Anuar sendiri dengan Irfan didokong oleh Azim Kamaruzzaman , dan watak Umairah pula seperti watak anak saudaranya si Piah. Kuzyril pula mewakili watak Hazami. Dan Qistina ????? Entah , saya tak dapat menduga siapa Qistina dalam dunia realiti. Hahaha..hebatkan imaginasi saya ini....dan ia membuat saya tersenyum-senyum sendiri. Namun pada saat-saat akhir hampir ke penghujungnya, saya tak henti-henti menangis. Saya menangis dengan watak Irfan dan Umairah. Saya begitu tersentuh dengan nekad Irfan untuk membantu pak cik nya. Ini cukup membuktikan betapa eratnya hubungan mereka dengan Pak Su nya ini. Kalaulah ada anak saudara saya yang sangat menyayangi saya seperti Irfan dan Umairah, alangkah bahagianya hidup saya.

Watak antagonis , Syafiq dan Natrah ternyata akhirnya kecundang dalam jalan yang songsang. Syafiq yang kita tahu mempunyai rasa cinta kepada Qistina namun saya percaya cinta tidak ikhlasnya ini berlandaskan nafsu serakah mahukan harta milik Qistina yang merupakan anak tunggal kepada Luqman Hakim, pengusaha tekstil yang kaya. Si Natrah pula ,ingatkan dia menyintai Qaiser maka dia berusaha untuk merebut hati Qaiser semula tetapi rupa-rupanya dia ingin menjerat Qaiser untuk menjadi pak sanggup kepada anak dalam kandungan, hasil perbuatan zinanya.

Pengolahan semua watak sampingan cukup menceriakan. Plot cerita juga berkembang dengan baik dan teratur. Penulis juga menyelitkan info tentang penyakit yang dialami oleh Qaiser iaitu penyakit SLE -Systemic Lupus Erythematosus. Qaiser pula jenis manusia yang menyembunyikan sakitnya daripada keluarga ,atas alasan tidak mahu keluarganya bimbang dengan keadaan kesihatannya . Umairah yang menyiasat setelah menemui botol ubat dalam kereta Pak Su nya ,tidak pula dikembangkan hasil siasatannya oleh penulis. Ternyata Umairah seperti gagal untuk mengorek rahsia Pak Sunya ini. Qaiser bijak menyembunyikan keadaan penyakitnya.

Syabas Anuar Kamaruddin kerana berjaya menghasilkan sebuah karya cinta yang hebat berlandaskan Islamik . Percintaan secara Islamik indah dan romantiknya berbeza. Yang penting kehadiran seorang Qaiser berjaya mengubah gaya hidup Qistina . Pun juga secara tidak langsung mengubah perangai negatif Puan Zabedah, ibu Qistina yang materialistik. Sikap dermawan Qaiser terhadap Mak Cik Anggerik sangat mengkagumkan sedangkan ia pertemuan kali pertama. Pendek kata dalam ulasan yang panjang, novel ini berbaloi dibeli dan patut dimiliki oleh semua pembaca. Benar ia karya penulis lelaki , penulis baru pula....tetapi tulisannya kian mantap. Kelainan itu yang dikehendaki. Sentuhan Anuar Kamaruddin ini lembut, dan dekat di hati. Saya berdoa , semoga Anuar Kamaruddin dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menulis. Saya juga berdoa dia diberi kekuatan mental untuk menghadapi segala dugaan hidup terutama ranjau dalam penulisan . Selamat meneruskan perjuangan Anuar Kamaruddin.