Muhasabah Diri

1

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum sahabat-sahabat pembaca...
Saya akui saya terlalu lama membiarkan blog saya ini tiada perkembangan terbaru. Terlalu banyak cerita ingin saya kongsi bersama pembaca. Tak mengapa, nanti-nanti saya akan sampaikan juga apa yang berlaku dan membuat kita bukan sahaja saya dan keluarga saya tetapi semua pembaca akan bermuhasabah diri dengan setiap kejadian yang menimpa.
Baru-baru ini saya mengidap sakit kaki. Kaki kanan saya sebenarnya sudah lama sakit tetapi saya biarkan sahaja kerana saya berfikiran ia hanya disebabkan kasut, penat berjalan atau penat memandu. Pun juga saya tetap bersenam menggunakan basikal dan stepper. Urat yang keletihan dan sedia tegang semakin tegang dan sakit. Kawan-kawan kata saya gout tetapi saya telah memeriksa dan doktor tidak mengatakan ia gout. Kesimpulannya sakit kaki ini berpunca dari kecederaan lama dan saya pula selalu berlanggar kepala lutut samada di bucu katil, atau di pintu. Saya juga selalu tergelincir di sekolah tetapi tidak sempat jatuh cuma , kepala lutut ini adalah terhempas di titian belian di sekolah.
Saya berjumpa doktor pakar tulang dan diberi rawatan SONOTRON. Kawan baik saya yang memandu kereta . Saya ingat bertambah baik , dan Isnin itu saya pun turunlah ke sekolah tanpa memohon cuti. Baru beberapa langkah dan membawa bebanan yang berat, beg kerja, laptop dan bakul bekalan air...saya sudha tidka boleh bergerak kerana kaki saya tiba-tiba mengejang. Allah saja yang tahu betapa sakitnya. Anak-anak murid saya yang berada di tahun 2 yang membantu memapah saya ke Bilik Guru. Tolak ke tepi rasa malu, dengan bantuan jaga sekolah, seorang tukang urut dibawa ke sekolah untuk mengurut kaki saya. Bila diurut, rasa meraung kesakitan ...sakit sungguh. Namun saya dapat menggerakkan kaki dan memandu pulang ke rumah dengan kelajuan 40km sejam. Keesokkannya , saya memohon cuti kerana saya hendak berurut 3 hari berturut-turut. 
Sekarang, sudah seminggu selepas peristiwa itu, namun kaki saya masih lagi sakit. Saya bergerak perlahan dan memandupun tidak terlalu kerap sangat. Namun saya menjaga mak saya yang uzur, pergerakan itu perlu walau lambat. Cuma terkadang mak saya yang tidak mengerti bila sakit, dia marah-marah kalau saya lambat bergerak mendapatkannya bila dipanggil. Saya terkadang tidak mampu memandikannya .....sedih kan. Rasa sakit itu tidaklah saya layan sangat, sebab saya tiada pilihan lain. Bila bangun tidur jam 2, 3 dan 4 pagi saya pastikan bangun dengan perlahan , kendurkan kaki dulu baru saya turun dari katil. Juga mengamalkan memakai selipar di dalam rumah kerana rumah saya waktu paginya sangat sejuk. Dan setiap kali mandi saya masak air panas terlebih dahulu. Air ais sudah saya jauhi. Ketika bersolat duduk, saya menangis pada mulanya sebab bersolat sedemikian ..dalam usia yang masih muda bagi saya. Kekuatan hati perlu bila diduga sebegini. Saya seringkali menganggap ini peluang saya bersyukur dan menginsafi keadaan diri. Taubat dengan setiap dosa yang mungkin telah saya lakukan. Inilah satu jalan untuk membasuh segala dosa itu...dengan tabah menghadapi ujian Allah. Ya Allah...ampunilah segala dosaku. Tabahkanlah hatiku menghadapi segala dugaan ini. Sembuhkanlah penyakitku agar dapat ku berbakti kepada ibuku dengan lebih sempurna....amin.