....DAN CINTAPUN TERSENYUM. oleh Nora Ismail

2

Posted by Leeza | Posted in


...dan cintapun tersenyum ,akhirnya saya khatam pada minggu lepas. Karya ke tiga Nora Ismail di bawah penerbitan NB KARA menampilkan kelainan dalam tatacara dan bahasa yang digunakan. Pertama kali yang ingin saya luahkan ialah , saya seakan menonton sebuah sinetron kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam novel ini.

Teruja sebenarnya ketika membaca novel Nora Ismail ini , saya turut hanyut dalam bahasa Indonesianya. Ini kerana saya terbiasa membaca novel-novel penulis Indonesia seperti Mira W, Pramoedya dan lenggok bahasa yang berlainan menarik sekali. Tanpa saya sedari ketika membaca dan menghayati saya seakan turut terserap dialek Indonesia ini. Ya Ampun, penuh penghayatan sekali.

Jalan cerita yang sangat santai dan menarik. Kisah dua manusia yang berlainan negara , sesama Islam dipertemukan untuk jatuh cinta biarpun permulaannya bukanlah seindah pelangi. Umpama anjing dan kucing sentiasa bergaduh dan saling mencaci. Namun hubungan yang sering berkait menjadikan dua hati semakin bertaut. Namun kisah cinta ini takkan menjadi luar biasa jika tidak disulami dengan halangan dan rentangan. Dugaan yang datang bertubi menguji keimanan dan keteguhan cinta sejati ini. Dua halangan yang cukup berat seperti Cinta dari Akhil ,kawan abang Surihani ,Hizar dan kemalangan yang menyebabkan Ervan menjadi cacat, kehilangan tangan kanannya. Cinta Akhil tak mampu menggugat kesetiaan dua hati yang sudah saling memiliki namun kenyataan rendah diri dan kecacatan fizikal lebih menghentam dan mengganas sehingga mampu membuat dua hati ini berkecai, dan meratap hiba. Saat keduanya bergaduh, saya tersenyum dan bayangannya cukup jelas di mata saya. Saat keduanya romantis, saya juga dapat rasa kemanisannya , dan saat perpisahan membuat jiwa saya memberontak...sedih, kecewa dan marah. Marah dengan sikap Ervan yang keterlaluan namun dalam masa yang sama saya tahu bagaimana rasa rendah diri itu. Ia membunuh jiwa.....jiwa saya dan insan-insan yang sayangi saya. Namun Ervan harus bersyukur , kerana dia dilahirkan dalam keberadaan yang mampu mengatasi segala masalahnya dengan mudah. Dia akhirnya mendapat tangan bionik yang dapat membantu tangan kanannya berfungsi seperti tangan asli. Kasih sayang kedua ibubapanya menjadikan Ervan seorang anak yang manja dan akhirnya kembali selari dalam jalan yang benar dan diredhai Allah.

Paling saya suka ialah bahagian Ervan belajar solat daripada Surihani. Sejuk hati saya dengan kerendahan hati Ervan untuk kembali ke jalan yang benar. Bangga saya dengan watak hero yang mengakui kesilapan diri dan sedia menerima bantuan dan ajaran orang lain hatta daripada wanita yang selalu mengejeknya. Pun juga sikap tanggungjawabnya ketika dia sanggup tidur di luar rumah Surihani kerana bimbangkan keselamatan Surihani tinggal seorang diri , sangat berwibawa dan 'gentleman'. Inilah lelaki idaman setiap wanita , yang prihatin dengan kebajikan wanita tersayangnya. Dan kita manusia tak mampu mengelak untuk sesekali terbabas yakni kesumbangan Ervan dan Surihani. Cinta....jika dua insan berduaan yang ketiga ialah syaitan. Ikhtibar untuk semua pasangan bercinta , jangan terlalu hanyut dengan kasmaran yang melampau sehingga lupa batas-batas agama kita.

Apa lagi istimewanya novel ini ? Nora Ismail memperkenalkan dunia batik yang menjadi sumber rezeki Hizar di Pulau Besar. Pun juga perwatakan Akhil sebagai watak antagonis terlalu melampau negatifnya. Alangkah eloknya jika Akhil mampu disedarkan dan dihantar ke pusat pemulihan ketagihan arak. Saya teringin info sebegini untuk menyedarkan insan-insan yang ketagihan alkohol dan bagaimana mahu menangganinya. Cuma ketrampilan Akhil yang menghidu gam menjadi terlalu drastik , seakan dia sudah menyediakan setin gam sebagai cara untuknya membunuh diri. Sedih melihat manusia seperti Akhil mensia-siakan kehidupannya. Bagaimanapun Nora Ismail juga menyelitkan info tentang Pulau Besar. Dan percaya atau tidak saya boleh teringin hendak makan ayam penyet gara-gara si Ervan ini sukakan ayam penyet. Kecur liur dibuatnya.

Gaya bahasa teratur dan banyak menggunakan bahasa Indonesia namun kewujudan nota kaki untuk menyatakan maksud perkataan tersebut sangat-sangat membantu. Ada sedikit typing error juga dalam novel ini yakni nama ibu Akhil ketika saat peminangan Surihani , Puan Jamilah ditaip Puan Salmah. Hanya itu sahaja kesilapannya. Syabas pihak editor NB Kara kerana amat teliti dalam proses pengeditan novel ini.

Komen lain yang tak mungkin saya tinggalkan ialah tentang hasil tangan Nora Ismail dalam membuat cover novel. Menarik dan cantik. Hahaha..dan kereta EVO...aduhai...sangat bertepatan dengan status Ervan yang kaya dan ganteng.

Terimakasih Nora Ismail sebab menulis novel yang sangat menghiburkan ini. Dan cintapun tersenyum mampu membuat saya ceria dan tersenyum dengan pengakhirannya yang manis. Tahniah Nora Ismail....teruskan menulis.

Banjir Menguji Kesabaran

2

Posted by Leeza | Posted in


Setiap tahun menjelang Disember dan Januari , musim hujan melanda. Masa inilah sumber makanan laut sukar didapati, seiring dengan banjir kilat. Pada 7 Januari , hujan turun sepanjang malam dan air sudah melimpahi sungai. Ia seakan pertanda memberitahu kami untuk berjaga-jaga dan bersedia. Sesungguhnya sejak banjir dua kali berlaku pada tahun 2009, saya sudah mengambil langkah berjaga-jaga. Almari-almari novel saya pindahkan ke tingkat atas. Perabut dan peti ais telah saya letakkan di atas susunan bata setinggi 3 keping. Bimbang banjir melanda minggu lepas, saya telah meletakkan sofa di atas kerusi makan dan kerusi kayu.

Seperti yang diduga berdasarkan almanak cuaca Sarawak, pada 14 Januari 2011 (Jumaat) banjir berlaku dan kali ini air berjaya masuk ke dalam rumah walaupun saya sudah mengempang setiap pintu dengan simen. Setelah diteliti dan diselidik, rupa-rupanya air masuk dari celahan tiang . Rumah saya berdekatan dengan jalan,setiap kali lori lalu pasti rumah bergegar juga. Malam itu saya dan emak tidak dapat memelapkan mata kerana risau. Hujan lebat sepanjang malam sehingga terpaksa saya meletakkan besen-besen di tempat yang selalu bocor. Dan malangnya , malam itu juga berlaku angin kuat dari belakang rumah . Ini bererti bahagian tengah mengalami kebocoran teruk, air hujan yang masuk macam rumah tidak berbumbung. Teruk jugalah mengelap kawasan yang basah. Bila jam 4 pagi, anak saudara saya menelefon mengajak mengalihkan kereta kerana air sudah mencecah jalan raya. Saya dapati kereta saya separuh tayarnya sudah ditenggelami air. Saya dan Awg Ridzuan (abah Putri) mengalihkan kereta ke jalan besar di belakang kampung. Nasib baik ada dia, tidaklah geli sangat meredah air dari hujung kampung sampai ke rumah. (rumah saya di depan kampung ). Saya dapati orang kampung semuanya bangun dan tidak tidur .Kami menjadi orang terawal melarikan kereta. Paginya saya meredah air lagi untuk ke sekolah.

Bahagian dapur yang ditenggelami air. Pandai-pandailah memasak dalam air sebegini...sejukkkk.

Ruang makan ,hanya tinggal dua kerusi sebab yang lain digunakan untuk meletakkan barang-barang.

Bilik mandi, bahagian yang terawal dimasuki oleh air dan juga bahagian yang terakhir air surut.

Jam 2 pagi saya membangunkan ke dua anak saudara saya ini, Luqman dan Azizi kerana melihat air sudah masuk ruang tamu melalui celahan tiang. Terpaksalah mereka menyimpan tilam ke tingkas atas dan tidur di kerusi. Saya suruh mereka tidur di tingkat atas , tak mahu pula...jawapnya, takut.

Gambar diambil jam 4 pagi.

Beginilah keadaan di ruang tamu. Nasib baik kali ini tidak berapa teruk sangat dan bilik tidur mak tidak dimasuki air.Alhamdulilah...Mak saya sihat pula masa banjir ini dan dia menurut sahaja bila saya minta dia duduk di atas katil sahaja.

Gambar diambil tengahari 14 Januari 2011.Jalan raya depan rumah ditenggelami air.

Kawasan parking saya ditenggelami air. Kawasan ini menjadi kesukaan anak-anak bermain air.

Anak saudara saya Mohd Zulkhazimi (AJIM) yang baru balik dari asrama Pesantren Taib Mahmud , datang bermain air bersama Luqman yang nakalnya tidak terkata. Luqman tebang 3 pokok pisang dan saya angin bila dia cuba hanyutkan batang pisang yang besar itu belakang rumah dan hampir sahaja pecah batang paip bilik air. Belum lagi pakaiannya sudah sebesen basah. Mesin basuh sudah saya letak di tempat tinggi, terpaksalah saya mencuci tangan di sinki dapur. Dua kali saya mencuci kerana terlampau banyak.

Ini dia , budak yang suka bermain air . Di balkoni rumah pun boleh menjadi tempat berendam.

Ajim membawa adiknya si Zul yang berumur 4 tahun . Zul ini tidak seperti Ajim yang masa umur sebegini suka bermain air. Pernah mendoakan : mudah-mudahan rumah nenek banjir, dapat main air. Doa budak kecil sampai saya meraung ..hahaha.

Budak kecik ini tengok sajalah...hahaha. Dia demam dibawa mamanya meredah air masa balik dari sekolah. Rumah kakak saya selamat dari dilanda banjir.

Dugaan 2011

1

Posted by Leeza | Posted in

Sudah lama saya tidak mengupdate blog. Bukannya malas tetapi masa dan keadaan tidak mengizinkan. Terlalu banyak dugaan yang mendatang menjelang awal 2011 namun kesabaran tetap saya pertahankan.

Mak saya seperti biasa terkadang ok dan terkadang tidak. Keadaan kesihatannya yang tidak menentu menyebabkan saya amat sibuk. Kasihan saya melihat dia mengaduh kesakitan. Bila sekolah dibuka saya amat risau dengan dia yang akan ditinggalkan semasa saya bekerja. Kakak sulung saya pula terpaksa menjaga cucu yang bersekolah. Syukur alhamdulilah, Allah perkenankan doa saya, permudahkan niat saya. Akhirnya saya mendapat seorang pembantu yang bekerja dari jam 7 pagi hingga 1250 untuk menemani dan menjaga mak saya. Barulah jiwa saya tenang bekerja.

Kemudian tanpa saya duga saya sebenarnya telah mengabaikan kesihatan diri. Saya lupa diri saya semakin berusia dan antibodi semakin lemah. Maka dengan ditemani seorang kawan saya menjejaki kembali klinik pakar membuat pemeriksaan. Sakitnya tak terkata....dan hati hancur luluh menyedari hakikat diri yang sudah tertakdir sebegini. Namun saya takkan mengalah semudah ini....biarpun terpaksa menggunakan alat sokongan . Selagi hayat masih ada saya akan tetap teruskan perjuangan mendidik anak bangsa kita.

Di sekolah saya tumpukan sepenuhnya pada kerja. Mungkin dunia kerjaya ini sahaja yang dapat memberi saya ketenangan dan kegembiraan. Namun saya sedar , seakan keadaan sudah tidak sama lagi. Bila kawan-kawan bergurau dengan niat hendak mengusik saya, saya sudah tidak ambil peduli....mungkinkah mereka perasan keadaan ini ? Bila mereka gelak dan ketawa, saya seakan merasakan mereka ketawa mengejek dan ini membuat saya berjauh hati dalam-dalam. Saya bersabar sahaja dan langsung tidak membalas kata-kata gurauan yang terkadang sangat melukakan hati.

Keletihan masih saya rasai setiap hari. Seawal 4 pagi saya bangun untuk memasak makanan lunch , kemudian mengurus Luqman ke sekolah dan kemudian memastikan mak makan pagi dan makan ubat.....hingga larut malam melelapkan mata. Apa lagi bila tidur yang seperti tidur-tidur ayam membuatkan saya sangat-sangat letih. Bersabar sahajalah dengan keadaan ini kerana saya sedar hanya saya yang ada untuk menjaga mak. Bohonglah jika saya tidak merasa moody kerana saya hanya manusia yang lemah. Apa-apapun juga, doakanlah saya ketabahan ini......ketabahan yang tidak akan goyah.