Macam Lebai Malang

0

Posted by Leeza | Posted in

Pernah tak buat kerja bodoh macam ini ? Saya rasa hari ini saya memang tak waras. Agaknya virus yang menyerang saya dua hari ini hingga membengkakkan muka saya dah menyerang otak saya. Awal pagi lagi saya memang dah rancang aktiviti saya untuk servis kereta dan kemudian ke rumah abang saya, berjumpa buah hati saya Farah, Farid dan Daniel.
Biasanya saya akan bertolak dari rumah jam 7 pagi tetapi mengenangkan bengkel mula beroperasi seawal jam 9 pagi, saya layan chatting dulu. Sebelum bertolak saya sms rakan saya si CT yang tinggal di Samarahan bertanyakan waktu feri beroperasi. Malangnya feri berhenti jam 7 pagi, terpaksalah saya menggunakan jalan jauh untuk ke seberang. Sakit rasanya badan saya memandu kereta yang sudah lari alignment tayarnya. Tiba di bengkel saya terus buat allignment, balancing dan servis sekali. Lama juga cina tu uruskan kereta saya.
Kemudian saya memandai je tukar rancangan. Saya nak mengembara hari ini, malas nak memandu. Jadi, saya tinggalkan kereta di Samarahan kemudian saya naik van sewa ke bandar Kuching. Apa yang saya buat dalam van....menghirup udara segar kononnya sambil melihat sekeliling. Namun nasib saya malang sebab driver van itu kenal saya.....asyik menyakat saya sahaja. "Cikgu....apalah kereta tu tak pakai..,nanti tayar kereta dimakan tikus pulak." Saya hanya kata, " ala... sekali sekala aku nak juga jadi penumpang."
Sampai di Kuching saya pusing satu tempat jalan kaki sambil merayap mencari kedai-kedai buku lama. Seronok berjalan seorang diri. Kemudian, saya naiklah bas ke Satok. Dalam bas saya terserempak pula dengan kawan lama saya yang jadi konduktor bas. Sempat dia duduk bersembang dengan saya....takde citer lain asyik hal boyfriend sahaja. Muak saya. Tujuan saya ke Satok ialah berjumpa dengan 'rimo'. Alahai si harimau ini memang menyampah sangat-sangat sebab hari sabtu inilah dia buat hal pula. Mesin cash depositnya tergendala. Bukan satu tapi semua. Aduhhhh tak sampai hajat saya. Patutnya hal ini diselenggarakan secepat mungkin sebab bukan saya sahaja nak guna, orang lain pun sama. Bukan sekali ini saya terkena, tetapi acap kali. Bayangkanlah jauh saya bertandang semata-mata nak guna perkhidmatan maybank. Namun hampa kecewa. Hajat saya sangat besar.... bilalah saya nak ke Kuching lagi untuk tunaikan hajat ini. Saya terus memujuk hati dan singgah makan di sebuah kedai makan. Hajat nak makan di Restoren Selera Asam Payak tak kesampaian sebab kedai ini tutup pula hari ini. Aduhh sabtu yang malang atau saya yang malang? Saya pesanlah nasi goreng seafood. Ingatkan adalah udangke, sotong ke di dalamnya tetapi semakin saya kuis nasi yang ada cuma nasi dan telur. selebihnya hirisan timun yang kecut. uwaaaaa ,rasa nak meraung saat itu juga. Mengecut selera saya yang mulanya tadi mengembang. Saya terus balik tanpa menghabiskan setengahpun nasi goreng yang paling tak sedap dalam dunia. Kemudian saya terus sahaja balik ke Samarahan dengan kepala dah mula berdenyut. Entah bagaimana kemudian datang pula bisikan naluri yang teringin sangat nak memiliki MCT secepat mungkin. Saya terus memandu kereta saya ke BDC, hala tuju tentulah POPULAR BOOKSTORE. Belek sana sini, saya tak jumpa MCT. huhuhuhu. Tetiba saya rasakan kedai buku sudah tak padan dengan namanya : TAK POPULAR BOOKSTORE. Kenapalah kami di pulau Borneo ini asyik ketinggalan....ketika kami belek sesebuah buku, novelis buku tersebut dah keluarkan buku yang baru. Ketika si NIK dah khatam buku MCT berminggu-minggu, si LIZA ini baru nak tercangak-cangak di pejabat pos. Memang tak bertuah langsung saya ini.
Hati dah frust, kepala semakin pening, dan kelihatan awan semakin gelap....saya mesti balik segera sebelum bertembung dengan hujan ribut di jalanan. Alhamdulilah, saya tiba di rumah sebaik hujan mula menitis titik-titiknya. Terimakasih Tuhan kerana mengizinkan saya balik dengan selamat biarpun menunggu cintaMu seakan memerlukan kesabaran dan ketabahan. Perjalanan hari ini seakan menguji kesabaran yang tinggi....kalaulah saya hanya duduk di rumah, pasti saya dah habiskan sebuah novelpun.

Jiwa Terapung

3

Posted by Leeza | Posted in

"Kak Za, akak bawa balik rumah semua kerja ini ?" Ustaz Sabri mengajukan soalan apabila dia melihat saya sibuk dengan fail-fail NILAM , kalkulator dan buku NILAM .
" Tak lah....buat apa nak bawa balik ?" Saya jawab sepatah.
" Ingatkan akak bawa balik sebab banyak yang kena siapkan ini," sambungnya.
Saya gelak. " Tak banyaklah. Inipun akak dah siap dua kelas. Data final yang nak dihantar ke BTPN dah siap submit. Cuma nak isi borang semua murid je."
" Tak tensen ke kak?" lagi dia bertanya.
"Ha..ha..ha. Buat apa nak tensen...tak mahulah sakit jiwa awal sangat." Saya ketawa.

" Za, camner dengan program ceramah hari ni ? Buat tak ?" tanya seorang lagi rakan senior saya.
Alamak, lupa saya pasal ceramah ini. Hehehe...
" Kita buat pada 12 November nanti serentak dengan Penutupan Membaca Bersama . Tadi Boss dah bagitahu suruh saya handle. Senang je tu. Kita masukkan slot ceramah sebelum program bacaan bersama." Saya buat keputusan. Semua senyum kelegaan.

Hati saya gundah gulana. Saya tak tahu bagaimana nak buat keputusan. Jika tugasan rasmi, cepat sahaja saya berfikir dan menyelesaikannya. Namun ini ? Bila jiwa terapung , selera makan saya menggebu. Beberapa hari saya teringin nak makan spaghetti. Saya terus membuatnya. Tengok gambar kek, teringin nak makan kek pula.

Saya masih suka membaca. Terkadang saya berhenti buat kerja, saya membaca novel. Tak bestpun saya tetap teruskan juga. Hari ini 4 buah novel yang saya tempah sudah sampai. Menggeleng rakan-rakan saya. " Camner u nak baca Za ?" Madam bertanya. " Itu stok cuti." Selamba saya jawab. Namun jauh di sudut hati, jiwa saya resah gelisah. "Bila lah aku nak baca ni...muak rasanya ."

Akhirnya bila jiwa terapung, saya terus berpaut pada satu realiti. Dan bila sepi melanda, saya terus kosongkan semua minda seketika. Saya terus melayan tidur saya...mengembara dalam mimpi yang entah apa-apa.

Buah nangkak, buah nanas.
ditanyak, lalu manas.
Beli nanas ,nanas mahal.
Mun manas kena jual.

Jadi , mun baca tuk kitak manas....sorryyyy. jika terapung tentulah bengong.

Menunggu Cuti

3

Posted by Leeza | Posted in

CUTI adalah perkataan yang mampu mengubah wajah suram menjadi ceria. Hanya tinggal tiga minggu sahaja lagi cuti akan bermula. Tahun ini cuti sekolah sebanyak enam minggu dan sekolah akan dibuka pada 4 Januari 2010. Kebiasaan sebelum cuti panjang, segala urusan rasmi kena disiapkan dengan kemas kini dan selengkapnya. Tidak dapat dielakkan bila ramai yang mengeluh sebab urusan pengemaskinian ini mendera mental dan fizikal. Terkadang bukan salah kita tetapi bila datang segala arahan secara mendadak dan SEGERA maka terpaksalah melakukannya secepat mungkin.

Sejak mengenali dia, saya sudah tidak lagi merasakan tension, stress atau tertekan. Ini kebiasaan bagi sesiapapun juga. Harus bijak mengatur masa dan jadual. Banyak-banyaklah bersyukur dan bersabar. Jangan biarkan hari-hari mu penuh dengan rasa amarah, dengki, khianat dan apa sahaja penyakit hati yang sewaktu dengannya. Beginilah antara aktiviti rakan-rakan saya semasa berehat sebentar daripada tugasan yang menyibukkan.
Kawan saya , si Madam T asyik membaca majalah kesihatan "HEALTH" . Maklumlah sejak akhir-akhir ini kesihatannya tidak menentu.

Ustaz A asyik dengan cerita animasi tikus. Dia ni adik paling bongsu dalam jabatan kami. Pendiam sangat....tapi diamnya dah berpunya. Selalu kena sakat oleh saya.
Ini apa pula ? Bengkel Kemahiran Hidup ke? Inilah cikgu Adil, rakan dan adik yang mulutnya selalu ibarat radio Hot FM setiap pagi. Dia sibuk menganyam bakul menggunakan tali plastik pengikat buku teks. Begini caranya dia mengurangkan tekanan matematiknya.

Saya buat apa? Saya sibuk mengacau orang. Kalau mereka kacau saya masa saya sibuk bekerja, mahu tinggi juga suara saya keluar....hehehehe. Ketua Jeraul (Penyamun) Wanita, itu gelaran mereka.....apa-apa ajelah.

KUPERSEMBAHKAN HATI oleh Adra Adlina

2

Posted by Leeza | Posted in


Novel Kupersembahkan Hati merupakan novel sulung penulis baru Adra Adlina. Jika dia guna nama sebenarnya bukankah elok. Novel ini sebenarnya saya beli pada bulan Ogos yang lalu. Serik dengan pengalaman lalu , sekarang ini jika saya jumpa novel yang berkenan saya terus beli walaupun masa untuk membacanya tiada.

Sinopsis novel ini saya buat ringkas sahaja. Cinta segitiga antara Zahra ,Adib dan Zulfi. Perkahwinan Zahra dan Adib terpaksa dileraikan demi permintaan eommanya. Semasa perpisahan itu, terjalin cinta baru antara Zahra dan Zulfi sehingga ke jinjang pelamin. Namun perkahwinan ini terlerai juga dek takdir. Sehinggalah usia anaknya setahun lebih barulah Zahra menerima lamaran bekas suaminya Adib semula. Biar anda baca sendiri novel ini....namun sinopsis ini bukan setakat ini sahaja.

Aha....Adra...berdegup jantungmu menunggu komen akak ye? Keh..keh..keh. Akak siap buat nota ringkas mencatat mukasurat dan kesilapan yang pincang dalam novel ini.

Siapa kata penulis baru tidak mampu menyengat? Inilah novel yang fantastik sebab banyak keistimewaannya. Berhasil juga hobi berangan si Adra ini. Saya pun tak tahu nak tulis apa sebab nak gambarkannya dengan kata-kata mungkin tak tergambar semuanya. Namun Adra berjaya menghimpunkan semua watak sampingan menjadi sokongan yang kuat dalam perjalanan cinta Zahra Liana ini. Malahan setiap watak sampingan juga mempunyai kisah cinta tersendiri. Wowww...kita diindahkan dengan jalinan cinta Mya dan Ray serta cinta Irina dan Rezza. Kemudian ada watak jahat yang menjadi kebencian dengan obsesnya dengki khianat dan cemburu gila iaitu Shazryn dan Jassy. Percintaan bukan sekadar jiwang karat tetapi juga ada adegan cemas bila Jassy yang senteng menusuk pisau kek ke perut Zahra dan Shazryn yang datang untuk menggugurkan kandungan Zahra. Pehh...sungguh 'thriller' . Sempat pula penulis membuat saya berteka-teki tentang siapa pengirim sms godaan kepada Adib....saya fikir si Jassy punya kerja rupanya si Maya , sekadar mengusik si Adib.

Pengolahan jalan ceritanya kemas dan susah nak dijangka sehingga ke akhir cerita saya tak dapat mengagak apa yang berlaku seterusnya. Ini kejayaan bagi penulis baru kerana mampu menggunakan penceritaan yang menjadi tanda tanya. Watak seperti Mya, Ray, Rezza, Irina, Eomma, Papa, Nenek Halijah dikembangkan dengan cantik. Sentuhan korea pun ada sebab susur galur Adib di sebelah ibunya adalah asal dari Korea. Ada penggunaan dialog korea juga.Memang tak rugi si Adra ni menggilai cerita korea sehingga dia kenal bahasa tersebut...bagus, bagus. Penggunaan struktur ayat dan gaya bahasa, santai, mudah dan cantik. Ada bunga-bunga bahasa. hahahaha.

Jeng...jeng.... pro sudah....sekarang kontranya pula. Permulaan cerita saya dah mengutuk sebab ada tidak logik dalam cerita ini. Sejak di hentian bas dalam perjalanan pulang Adib terlihat seorang gadis yang berlari mengejar bas kemudian tiba-tiba jatuh terduduk. Bagi Adib , fenomena ini melucukan .Dia simpan ketawanya hingga dia sampai di rumah kemudian memarkir kereta . Katalah ambil masa setengah jam. Kemudian dia sempat berbual-bual dengan eommanya di laman. Kemudian dia berlari ke bilik untuk melepaskan hajatnya. Saya fikir Adib hendak pergi melabur tetapi silap sama sekali. Bila sampai ke bilik, Adib meletakkan beg bimbitnya kemudian melepaskan ketawa sakannya itu. Hai Adra....rasa ketawa itu boleh simpan kemudian luahkan di bilik tidur ke? Isk...isk...jika Adib hendak ketawa lucu hanya kerana kes kecil ini patutnya dia sudah ketawa dalam keretapun. Lagi satu, hal gadis yang mengejar bas dan tetiba terjatuh tidak mungkin menjadi kelucuan tetapi bagi saya, hal ini menimbulkan simpati kita. Tak mungkin akan ketawa, mungkin ini lucu bagi remaja.

Penggunaan Bahasa Inggeris dalam struktur ayat. Kalau boleh ,janganlah cacatkan ayat bahasa kita dengan menyelitkan satu perkataan inggeris di dalamnya. Jika nak gunakan bahasa Inggeris juga, gunakan penuh satu ayat. Tambahan pula novel Adra dibaca oleh semua golongan terutama remaja kita yang masih bersekolah. Biarlah mereka belajar Bahasa Melayu secara tidak langsung dengan membaca novel Melayu. Siapa lagi hendak memartabatkan bahasa kita jika tidak kita sendiri? Begitu juga dengan penggunaan bahasa Korea. Ada satu dialog yakni Adib dan kawannya di Korea yang ayatnya sama tetapi mempunyai dua maksud berbeza ( Aku ada / Kau ada?) Dan penggunaan perkataan " superwomen" patutnya "superwoman" . Begitu juga dengan penggunaan perkataan 'her' merujuk kepada 'she' sebenarnya ( ms 303 -...did her love you too ? Patutnya Adra gunakan ayat ini ....does she love you too?.) Kena buat suntingan yang lebih baik. Menyentuh hal suntingan ini, ada beberapa watak yang salah diletakkan seperti watak Zahra yang tersenyum-senyum melihat Nenek Halijah di depannya ( ms 74) patutnya watak itu merujuk kepada watak Adib. Sama juga dengan watak Mya menjuihkan bibir.(ms 314) patutnya itu watak Zahra. Kalau boleh penulis dan penerbit kena mengedit semula karya sebelum dicetak. Mungkin kesilapan teknikal dan taip menaip.

Ada dua perkara saya musykil dengan ayat penulis ini.
1. ms 325 - mereka berdua dibaluti selimut tanpa seurat benangpun.
Selimut bukankah juga lebih dari seurat benang? Saya faham pasangan ini berbogel dan hanya berselimut . Kenapa tidak tulis mereka hanya dibaluti sehelai selimut ? Dari situ kita sudah faham ada ehem ehemnya. keh keh keh.
2. ms 345 - ketulan ayam rendam dalam besen kemudian tindih dengan tudung periuk.
Saya puas berfikir adakah ini petua untuk mencairkan ketulan ayam beku tersebut. Setahu saya untuk proses pencairan ketulan ais yang beku kita perlukan haba. Kita rendam dalam air ,itu biasa dilakukan supaya ais mencair dalam air yang suam dan ke persekitaran. Tapi apa peranan tudung periuk tersebut? Agaknya ini petua baru agaknya.....nanti saya cuba. Hmm... hal ini mungkin saya silap sebab saya diberitahu tudung periuk mempercepatkan pencairan ais atau ia digunakan untuk memastikan ketulan ayam itu betul-betul terendam ? Apa-apa ajelah....


Secara peribadinya kita membaca untuk menghibur lara dan bersantai bagi memenuhi masa yang terluang. Namun saya suka dengan novel ini. Adra mempunyai idea yang lain dari yang lain. Jalan ceritanya menarik. Kelemahan sedikit sahaja sebab dia penulis remaja, gayanya persembahan remaja, memang sentiasa terkini. Namun saya mengharapkan Adra akan perjuangkan keindahan bahasa kita. Novel ini tidak mengecewakan. Dia tidak meleret-leret dan cubaan yang berani. Teruskan Adra....singkap hati kami dengan kisah cinta yang berbeza dan perjuangkan bahasa kita dengan keindahan. Sekarang dengar khabar ada novel baru dalam proses....saya tunggu.Semoga terus berjaya. Chaiyo! Chaiyo! Aja ! Aja !

Jalan-jalan Bersama Keluarga

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini kak NB buat rumah terbuka. Sayangnya saya jauh sangat untuk menghadirinya. Untuk menghibur hati yang rawan, saya mengajak keluarga saya berjalan-jalan dengan kancil hitam saya yang kecil. Kebiasaannya tugas memandu saya serahkan kepada Si Eiwan, abah Putri. Kami berjalan-jalan shopping di Boulevard Shopping Mall di Batu Tiga, Kuching. Ibubapa Putri belikan barang-barang anaknya terutama basikal Putri yang rosak. Selain itu mencari pelampung untuknya mandi di kolam. Jika singgah di Boulevard ,hala tuju saya tentulah POPULAR BOOK STORE. Saya mencari novel : MENANTI CINTA TUHAN namun hampa. Saya terus membeli buku rujukan MUET dan novel SRI DIAH : Doa untuk suamiku. Sempat juga membeli sehelai jaket ( baju sejuk ) memandangkan musim hujan dah mula menjengah. Bila lapar kami terus menjamu selera di medan selera di tingkat bawah Boulevard . Kami memilih gerai BOMBAY MASALA. Haaa...untuk tidak berputih mata dan perut mengingatkan menu sedap-sedap di rumah kak NB , saya pilih menu ini, nasi beriyani dengan 3 lauknya iaitu sotong goreng bertepung, ketam goreng ,sayur kacang panjang goreng dan keropok papadom. Itu makanan saya seorang. Lima orang dengan nasi beriyani dan 3 jenis lauk ,harganya rm34. Murah ke? Anak saudara geleng kepala tengok pinggan saya....hahaha. Lama sudah saya tak makan ketam. Tengah sibuk mengopek ketam, tiba-tiba bahu saya ditepuk. Terkejut saya. Rupa-rupanya sahabat karib saya yang pernah belajar bersama di PJJ USM dulu, si Tan Bee Sian bertanya berita. Gelak dia tengok perangai saya.....keh keh keh, bagaimanalah saya tak perasan dia duduk di sebelah meja saya sahaja....uwaaaa.....Dia pula dah kurus dan saya aduhhhh memang sibuk menambah berat badan.


Ini sepit ketam yang saya tak boleh nak kopek. Saya cuba dengan sudu tak dapat. Hendak guna gigi....kang ada yang balik gigi rongak. Kalau di rumah sendiri, saya selalu gunakan anak lesung batu. Jadi, saya bungkus dengan tisu dan bawa balik. Bila sampai rumah terus ambil anak lesung batu dan makan.....Anak-anak saudara saya menyelar saya kedekut...hahaha.

Inilah Luqman dan Putri. Dudukpun rapat-rapat. Kenapa Luqman muncung? Pada mulanya kami tak jadi hendak ke kolam renang dan dia tak mahu mengikut. Bila kami buat rancangan untuk singgah di kolam dalam perjalanan pulang barulah dia mahu. Saya memang pastikan dia makan ubat mabuk. Dalam perjalanan dia boleh kena sengat penyengat di belakang. Nasib dia ini kebal sedikit tetapi bekas sengatan memang nampak besar. Hati saya risau sebab arwah emaknya dulu meninggal kerana disengat oleh sejenis penyengat yang kami panggil 'ramang'( hitam dan kuning ,saiznya pun besar sedikit dari lebah ) Di Boulevard dia tak tahan kesejukan tetapi bila tiba di kolam renang, dia aktif sangat.

Haaa...si kecil ini sejak tiba di kolam renang sudah tidak sabar hendak mandi. Tanpa diajar dia tahu kegunaan pelampung itu. Sejak minggu lepas dia asyik mengunakan bikini untuk mandi di rumah sehingga neneknya menyorok baju tersebut.

Akhirnya, ini pula yang terjadi. Jenuh saya memujuk. Dia menangis sebab tidak mahu berhenti mandi. Apabila dia melihat abahnya, pak long Wan dan Cu Man nya masih belum berhenti, dia mengamuk. Terpaksalah saya mengarahkan mereka berhenti dan kami terus pulang. Dalam kereta, dia senyap dan terus tertidur. Kesimpulannya, Putri keletihan dan mengantuk .
"Usu, lain kali kita pergi lagi ya. Kita ajak Cik ,nenek, mak dan ayah. Kita guna kereta masing-masing . " Itu cadangan menantu saya, si Eiwan.
"Bila ?" Saya jawab sepatah.
"Masa cuti sekolah nanti, sebelum Luqman bersunat (khatan)." Ha...ha..ha.

Sambung Belajar

1

Posted by Leeza | Posted in

Beberapa minggu ini saya sering melihat kemurungan rakan-rakan yang sedang belajar di OUM. Kawan baik saya , Madam T yang sedang bertungkus-lumus dengan Masternya, pun selalu demam. Doktornya mengesahkan dia 'stress' dan 'overtired'. Kemudian seorang demi seorang saya menyaksikan rakan-rakan lain yang sedang belajar Ijazah, jalan tunduk-tunduk terutama yang lelaki. Tak cukup itu, tangan tak lepas membimbit 2-3 buah buku rujukan.

Lantas,isu ini saya sembangkan dengan seorang senior yang juga telah habis belajar seangkatan dengan saya. Saya tamat 2001 dan dia 2005. Kami bercerita kisah belajar semasa zaman kami. Gelihati bila dikenangkan betapa payahnya masa itu. Semasa tahun pertama saya kehilangan arwah ayah tersayang. Kemudian kemelesetan ekonomi pula dan disusuli dengan jerebu teruk. Semasa pendaftaran, saya pernah bertanya soalan yang bila dikenang semula akan membuat kita gelak guling-guling. Saya pernah bertanya pada DEKAN USM , "boleh tak saya buat assignment secara bertaip?". Kah..kah..kah, gamam sekejap Dekan tersebut. Dia jawab ,"cikgu gunalah komputer." Masa itu saya memang buta IT. Komputer pula tak banyak di pasaran dan harganya mahal-mahal. Jadi, sambil belajar saya mengambil kelas komputer sebelah petang. Saya kena mengajar pagi, petang belajar komputer dan malam buat kelas tuisyen. Pehhh...padatnya masa itu. Berat badan saya cuma 54 kg sahaja berbanding sekarang . Susah saya nak dapatkan berat badan seperti itu lagi. Saya gunakan kemudahan pinjaman membeli komputer RM5000. Sayangnya, kerana buta IT, kena tipu pula. Dapat komputer klon yang barangan dalamnya second hand , mereka jual RM5000. Paling pedih saya pernah tidak tidak tidur malam kerana hendak siapkan assignment sebelum terbang ke Penang keesokkan harinya. Malangnya assignment itu tidak siap ditaip kerana komputer 'hang' dan bermasalah....huhuhu. Nasib baik ada pelajar USM yang stay masa kita ke sana. Mereka mengambil upah menaip assignment. Rakan senior saya pun tak kurang juga kisahnya. Dia beritahu yang dia sampai gunakan komputer sekolah sehingga jam 1 pagi untuk menaip assignmentnya. Perasaan takut hilang langsung. Pernah dia terdengar bunyi mengekek dan bunyi pelik di pejabat sehingga pak Guard pun takut menghampiri pejabat. Biarpun payah, kami berdua tidak pernah bawa buku belajar di sekolah. Masa di sekolah adalah komitmen yang padu dengan anak-anak didik. Di rumah, suka hatilah.

Namun, bila saya balik ke rumah petang semalam dan melawat satu website yang saya suka layan beberapa bulan yang lalu......saya mendapat berita yang buat saya terkaku di depan komputer. "Permohonan anda diluluskan dan berikut maklumat terperincinya......daftar pada 8 Januari 2010 hingga 28 Januari 2010......"

Aduhhhh.....bagaimana ini? Bersediakah saya memerah otak kembali ? Jika saya terima tawaran ini ertinya saya harus bersedia mental dan fizikal. Jadual belajarnya malam Sabtu dan sepanjang hari Sabtu. Tempoh masa antara 1-3 tahun. Januari masih lama lagi, saya tidak perlu membuat keputusan terburu-buru. Namun saya kena buat keputusan cepat sebab saya kena memohon kebenaran jabatan saya untuk mengikuti pengajian ini. 17 tahun lagi tempoh perkhidmatan saya dan saya tak mungkin selamanya menjadi guru sekolah rendah. Persediaan mental dan fizikal memang perlu dan salah satu yang terpaksa saya kurangkan keaktifannya ialah membaca novel-novel. Jika ini yang saya pilih...bersedialah berjuang dengan bersungguh-sungguh. Namun saya takkan menjadi seperti mereka, murung dan jalan tertunduk-tunduk.

AKU CINTA DIA oleh Sharifah Abu Salem

2

Posted by Leeza | Posted in


Novel 'Aku Cinta Dia' dihadiahkan oleh sahabat saya, Ain Ismail dari Johor. Bersesuaian dengan tajuknya, novel ini mengupas erti cinta dalam konsep Islamiah. Saya amat menyukai novelis ini dan tidak ketinggalan mengikuti novel-novelnya dan drama-drama yang disiarkan di kaca televisyen.

Novel 'Aku Cinta Dia' mengupas segala kisah kehidupan pahit manis di sebuah pusat perlindungan persendirian yang serba sederhana seperti Wadi Saffiyyah. Alangkah murninya usaha sepasang suami isteri dalam melindungi dan membimbing anak-anak yang telah tersesat jauh. Inilah pusat yang boleh diterima oleh masyarakat dan usaha seperti ini sewajarnya menerima sokongan dan bantuan padu bukan hanya daripada keluarga anak-anak yang malang ini tetapi juga masyarakat lain. Selain dikupas segala jalan kehidupan di wadi Saffiyyah, novelis menggarap soal cinta islamik . Agaknya cinta seorang Ustaz dengan salah seorang puteri Wadi Saffiyyah terkawal dengan keadaan, juga seperti insan biasa cinta ini juga diduga dengan pelbagai halangan sehingga mereka berdua hampir difitnah. Banyak persoalan sebenarnya ditimbulkan seperti isu masyarakat kenamaan yang menyembunyikan aib anak mereka di pusat ini. Namun rata-rata ibu bapa mengharapkan anak-anak yang terjebak ini kembali ke pangkal jalan, insaf dan menjadi insan yang solehah. Ustaz Iqbal jatuh hati dengan Nur Dania yang mengandung anak hasil hubungan terlanjurnya dengan adik Ustaz. Ibubapa Ustaz pula pengasas Wadi Saffiyyah yang tentunya kuat dengan pegangan agama. Pasti kita tertanya kenapa ada anak Ustaz yang terbabas seperti Qabil. Hakikatnya Qabil dibesarkan oleh bapa saudaranya di kota sejak kecil dan dia sudah lali dengan cara hidup bebas sebegini. Jadi bukan salah Ustaz jika Qabil terpesong jauh dari landasan agama . Sehingga akhirnya, rahsia ini menjadi rahsia Dania dan Iqbal kerana tidak sanggup melukakan hati Ummi dan Walid dengan kenyataan yang pahit ini. Benarlah bahawa ikatan rohani anak dalam kandungan boleh mempengaruhi wujudnya rasa sayang . Walid dan Ummi begitu menyayangi Dania sejak pertama menerima kehadirannya di Wadi Saffiyah dan atas kuasaNya jua , hubungan kemesraan ini tercetus bila hakikatnya anak dalam kandungan Dania adalah cucu kandung mereka sendiri.
Aku Cinta Dia juga mengungkap rasa cinta Umairah terhadap Iqbal yang akhirnya redha bila cinta itu bertepuk sebelah tangan sahaja. Pada akhirnya secara simbolik novelis menggambarkan bahawa Umairah dan Ustaz Syakir , jutawan resort Ar Raudhah saling memendam rasa dan penyudahnya kita sendiri boleh memutuskan bahawa kedua hati ini akhirnya bersatu dalam rumahtangga yang bahagia. Obsesnya cinta Shahira anak seorang Tan Sri terhadap Iqbal mendorongnya melakukan pelbagai onar sehingga melukakan banyak hati di Wadi Saffiyyah. Namun begitu kerenahnya ini masih dimaafkan dan diberikan doa agar berubah tingkah lakunya.....inilah kehidupan yang aman damai tanpa dendam.
Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Iqbal : Sudahkah kamu menyintai DIA dan RasulNya lebih dari kamu menyintai saya? Ertinya kita harus cinta ALLAH dan kemudian RasulNya barulah kedua ibubapa kita , barulah si dia .
Juga saya menangis ketika ummi membicarakan dalam hatinya status Umairah umpama bunga di taman larangan yang sudah ketiadaan madunya. Sedih bila mengenangkan nasib wanita-wanita yang tersalah langkah ini. Hanya lelaki sejati yang mampu menerima kekurangan ini.

Novel Aku Cinta Dia terlalu mengujakan bagi saya. Bahasanya dan jalan ceritanya cukup menginsafkan kita. Betul apa kata Walid, kita selalu lupa dan alpa bila diulit kemewahan dan kesenangan hidup.Kita dapat merasa keindahan Wadi Saffiyyah dan kesejukannya pada awal dinihari .Seolah satu lembah hijau yang redup dan mendamaikan....adakah tempat seperti ini ? Saya terkenang saat percutian saya di sebuah ladang kelapa sawit di pedalaman Miri dahulu. Beginilah perasaan damai sewaktu awal dinihari di atas bukit dengan lembah menghijau....indahnya ciptaan ALLAH.Novel ini tidak membosankan malahan membuat kita teringin hendak menghabiskan bacaan secepat mungkin. Penghujungnya mungkin masih menjadi tandatanya namun kita dapat meneka kesudahannya yang manis.

Telatah Putri dan Cu Man nya

1

Posted by Leeza | Posted in


Dayang Putri Erwin, cucu saya ini tidak suka diambil gambar. Dia suka mengikut saya berjalan. Semalam, ketika kami menghadiri kenduri cukur jambul cucu salah seorang penduduk kampung , dia langsung tak meninggalkan beg pack BARBIE nya ini.

Semasa kenduri ini dia makan sendiri nasinya. Tiga kali tambah lagi tu. Hehehe, katanya sedap.Saya terpaksa memujuknya berhenti makan, dan sambung makan di rumah. Kebetulan saya dan kakak membawa balik lebihan nasi dan lauk yang tidak habis kami makan.Setiap kali kenduri, sudah jadi kebiasaan kami diberikan plastik mengikut jenis lauk untuk membawa lebihannya balik.

Putri dengan mamanya
Petang tadi kami buat rancangan mengejut untuk ke kolam renang di Kompleks sukan Samarahan. Ini disebabkan ketiadaan elektrik . Kebetulan Luqman pun baru balik makan tengah hari. Siapalah yang paling seronok? Tentulah Putri dan pak su nya , Luqman.

Putri dengan abahnya

Putri dengan Cu Man nya

Saya selalu menceritakan hal Luqman dalam blog saya. Inilah dia. Memula dia tak mahu diambil gambar. Malam kelmarin ketika ayahnya kahwin baru, dia pula pergi ke rumah orang kenduri membantu apa yang patut. Sejak dia balik dari lawatan kelasnya ke Kampung Budaya dan membeli sumpit, kerjanya asyik menyumpit sahaja. Malam dia menyumpit cicak dan siang dia menyumpit burung. Pagi tadi dia memancing sehingga saya bising bila melihat mukanya dah hitam legam semula. Sejak peristiwa dia dibelasah, dia tidak lagi bermain jauh. Tengah hari tadi mak saya hairan dengan kehilangan seekor ikan puyunya yang besar. Saya membuat kesimpulan mungkin Luqman jual ikan tersebut. Namun tekaan saya silap bila dia balik dan bertanyakan neneknya pasal ikan tersebut. Bila kami tanya dia kata tak ambil. Bila saya duduk di ruang tamu saya ternampak jaring warna hijau yang digunakannya menutup balang ikan tersebut di bawah meja. Rupa-rupanya ikan itu melompat keluar dan ia terbelit dengan jaring dan gelang getah. Saya suruh Luqman membuang ikan yang dah mati tersebut. Luqman terus merendam di dalam air dan ajaibnya ikan itu hidup semula. Saya gelihati, bagaimanalah anak-anak saudara saya yang lain tak nampak ikan itu di bawah meja semasa makan tengah hari. Mak saya kata : kenapalah ikan ni tak fikir tak ada jalan untuknya laripun. Saya gelak guling-guling.....dah namanya haiwan manalah ada akal untuk berfikirpun.

LAGU CINTA oleh Iejay Zakaria

0

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini adalah antara koleksi saya yang dikumpul semasa READ MALAYSIA 2009. Ramai kata novel ini best. Seminggu saya baca novel ini namun setiap kali membacanya, rasa ngantuk mengajak saya beradu. Namun selepas setengah saya baca, mata saya terbuka luas sebab dah sampai ke tengah klimaksnya.

Sinopsis novel ini mudah untuk difahami. Kisah cinta Aleya Putri dengan Idzham Iskandar. Mereka diberi jolokan 'sleeping beauty' dan encik perasan bagus. Bohonglah jika percintaan asyik mendatar sahaja tanpa cabaran . Begitulah cinta mereka ini....putus secara tiba-tiba. Aleya Putri terpaksa menerima lamaran Syed Akashah , jutawan yang menyintainya walau tanpa cinta. Akhirnya, tanpa pengetahuan Aleya, pengantin lelakinya telah bertukar. Luhurnya pengorbanan Syed Akashah. Jarang lelaki yang berkuasa punya hati setulus ini, sanggup melepaskan wanita idaman demi kebahagiaan wanita itu sendiri. Persoalan sampingan ialah pergaduhan dan salah faham antara Aleya dan Idzham, persoalan hubungan sulit papanya dengan sahabat baiknya Arin yang kemudian menjadi musuhnya.

Kekuatan novel ini terletak pada beberapa perkara :
1. Stail mod lagu menjadi intro setiap episod. Inilah tarikan yang mengujakan pembaca. Ada lagu kegemaran saya : SORRY SEEMS TO BE THE HARDEST WORD, Every time you tell me you love me dan Pelangi Petang. Woow....tak dapat nak elak saya nyanyi dulu lagu-lagu yang diberikan sebelum saya membaca cerita seterusnya. Memang superb sebab kita beroleh kelainan penghayatan kerana bagi saya, sambil saya membaca isi cerita ia sesuai dengan mod lagu yang diberikan. Kalaulah ada CD memang terus pasang sambil menghayati novel.

2. Perwatakan hero dan heroinnya. Idzham yang matang, manja dan pemarah menjadi lelaki yang penyayang dan romantis bila melayani kerenah Aleya Putri. Namun demi sayangnya pada Aleya dia banyak mengalah demi gadisnya ini. Si Aleya pula sifat keanak-anakannya , degil dan keras hati menjadikan Idzham pening kepala dengan rajuknya yang tanpa henti. Kontras perwatakan keduanya mencetuskan insiden pergaduhan yang mencuit hati sehingga sayapun ketawa gelihati. Cinta remaja. Cinta pertama.

3. Plot cerita diadun dengan baik. Jalan ceritanya menarik .Klimaks di tengah novel...dan unsur suspens pada majlis pernikahan . Pendekatan yang baik.

4. Info yang diberikan tentang Canberra, penyakit kanser klon dan kelayakan seseorang usahawan menjadi pengarah korporat ,jelas diterangkan. Jalan bahasa juga standard, mudah difahami. Ada penggunaan pembendaharaan kata yang padat dan jitu. Sesuai dengan pengolahan jalan cerita.

Kelemahannya juga ada , sorry Iejay. Ini pendapat peribadi saya, apa yang saya rasa ingin saya luahkan.

1. Pengolahan yang berjela-jela. Penerangan pada sesuatu perkara terlalu 'detail'. Tanpa disedari ada pengulangan pada sesuatu perkara.
2. Ada dialog Idzham yang panjang lebar. Saya tahulah Idzham tu peguam....tapi penggunaan dialog yang panjang ,kadang-kadang merosakkan mood. My Dearest pernah menceritakan memang ada lelaki yang banyak bercakap, non stop. Agaknya saya belum jumpa lagi lelaki seperti ini....maunya saya angkat kaki .
3. Penyampaian cerita lebih kepada naratif, penceritaan. Pembaca tidak perlu pening kepala sebab penulis dah terangkan dengan panjang lebar.

Bagaimanapun novel ini memang bagus. Gaya Iejay berlainan. Ceritanya ada dan mudah difahami. Kisah cintanya melucukan. Ada tangis dalam rindu, ada getar menahan asmara dan ada rasa marah menangkis cemburu. Bacalah novel jika anda tersangat menyintai pasangan anda.

Sukaneka 2009

2

Posted by Leeza | Posted in


Hari ini sekolah saya mengadakan hari sukaneka yang melibatkan 38 acara dari prasekolah hingga tahun 6. Semua murid dilibatkan. Di atas ialah Aiman murid prasekolah yang menyertai acara mengisi air dalam botol.

Ini siapa pula? Umurnya baru 3 tahun. Inilah ABEL anak cikgu Rachel yang begitu cergas berlari di padang. Dia diberi peluang menyertai acara menyusun manik pada untaian seutas tali.Memanglah dia yang paling terakhir dan dia bersungguh-sungguh menghabiskan acaranya.Ibunya yang demam hanya menggeleng kepala dari jauh.


Ini pula acara lari dalam guni. Kemahiran yang ada untuk acara inilah melompat seperti pocong.
Ini acara selipar gergasi. Kumpulan ini juara selipar gergasi tahun 4.
Hahahaha...kesian kumpulan ini sebab seliparnya langsung tak dapat bergerak. Asyik jatuh sahaja nakhoda di depan itu. Acara ini memerlukan kemahiran berkumpulan dan bekerjasama.

Bersungguh-sungguh si Hafiz dan Zairul menarik tali. Oleh kerana acara ini yang terakhir saya sempatlah turun ke padang menyaksikannya. Sehingga bila acara selesai , semua orang mencari juru acara untuk mengumumkan selesainya sukaneka 2009.


Siapa juru acaranya ? Keh keh keh....inilah part yang saya tak suka, jawatan MC atau nama lain "mati cepat". Oleh kerana masing-masing mengelat, maka terpaksalah saya mengambil semula jawatan lama saya ini....isk isk isk. Saya memang tak suka jawatan ini sebab saya tak dapat menjerit dan ketawa di padang menyaksikan acara-acara sukan. Tak best sungguh. Kat sebelah saya tu sempat si member bawa assignment nya untuk minta pendapat dan rujukan. Akhirnya setelah saya umumkan cuti untuk esok hari, saya memang terus mengisi perut dan minum air banyak-banyak.....kelaparan dan kehausan sangat-sangat.

Bingkisan Persahabatan Dari Semenanjung

1

Posted by Leeza | Posted in

Saya tertarik dengan perbualan saya dengan rakan sekerja saya, si Adil pagi tadi. Ketika itu dia asyik menyalin isi dompet 'swiss polo' lamanya ke dalam dompet 'dunhill' yang 'dibuang' oleh adiknya. Saya terkedu dan geleng kepala melihat dompet 'swiss polo' yang koyak rabak dan sempat ditampal dengan tali pancing. Dia menceritakan yang dia tak pernah beli dompet yang baru . Semuanya dia kutip hasil buangan orang lain, malahan dia pernah terjumpa dompet yang 'pure leather di tepi jalan belakang bank di Kapit. Huhuhuhu. Katanya : Kita harus bersyukur dengan apa yang ada setiap hari. Kita bersyukur kerana kita dapat hidup sampai umur 41 tapi ada orang yang tak sampaipun umur 41. Kita harus bersyukur bila kita cuma ada rm 40 dan ada orang tak punya wang sebanyak itupun. Kemudian dia juga mengatakan ciri-ciri lelaki sejati akan menyorok wang 'emergency' dalam celahan dompetnya . Katanya :wang ini kena sorok, takut 'mem' tengok. Saya tanya kenapa ? Dia kata kalau 'mem' tengok nanti dimintanya. Betullah kan, semua lelaki mungkin buat begitu sebab saya jumpa ramai lelaki seperti itu. Hahaha....

Hari ini saya amat bertuah dan amat bersyukur sekali dengan rezeki yang Allah bagi pada saya. Rezeki persahabatan yang saya tak sangka akan bermurah hati hadiahkan saya bingkisan persahabatan dari bumi Semenanjung. Alhamdulilah kepada ALLah SWT atas semua rezeki ini.

Sebelum Raya Aidilfitri, saya menerima bingkisan hadiah sepasang baju kurung Johor dengan jahitan tulang belut hasil tangan IbuJunes dari Johor. Warna coklat dan cantik sekali jahitannya. Terimakasih sahabatku.Saya tak ambil gambar pakaian ini.

Hari ini saya terima bingkisan daripada Kak NB . Terimakasih banyak-banyak.

Beg Selempang warna hitam. Macam tahu-tahu sahaja saya suka dengan stail beg ini. Banyak zip. Nanti hujung minggu ini saya nak guna untuk ke Kuching. Seronoknya....cuma gelihati sebab mak saya dah bergaya dengan beg ini. Bayangkanlah mak saya umur 77 tahun berkain batik dan berbaju opah kemudian dia selempang beg ini ke hulu hilir dalam bilik saya....mau gelak guling-guling Luqman yang hanya berseluar dalam. Keh...keh...keh.


Ini permintaan yang tak malu dari saya. DODOL. Woow.....hanya mampu telan air liur bila tengok Luqman dan mak meratah dodol sebab saya berpuasa hari ini. Cepat-cepat saya simpan bahagian saya...hehehe. Bukankah ini makanan kegemaran saya?

Ini pula popia pedas. Saya tak tahu namanya. Luqman kata pedas tetapi sedap. Rasa macam tauhu kering goreng pedaspun ada juga. Sedaplah. Terimakasih kak NB. Hanya Allah yang dapat membalas kemurahan hati mu itu. Tidak lupa terimakasih kepada kawan saya Suraya Yacob kerana bersusah-payah mengeposnya untuk saya. Muahhhhhhhhhhhhs.. kat sini je saya bagi ciuman sayang...kalau face to face , tak berani saya. Kecut perut. Saya rindukan sarapan pagi yang awak masak , Sue.

Bingkisan ke dua yang saya terima hari ini. Bingkisan dari Ain ,Johor Baharu. Novel terbaru Sharifah Abu Salem : AKU CINTA DIA. Rasanya tak sabar nak baca.....so saya kenalah habiskan novel LAGU CINTA terlebih dahulu. Bagi saya masa seminggu Ain dan saya akan buat reviewnya nanti. Terimaksih Ain....

Semalam juga saya terima bingkisan email daripada Harum Cempaka. Resipi DAGING DENDENG.

DAGING DENDENG

BAHAN
1 kilo daging
Daging potong lebar (Rebus atau masukkan dlm pressure cooker)
Lepas dah empuk daging dipotong kecil & tumbuk sikit (bagi hancur)
Daging yang hancur digoreng
####
20-25 tangkai cili kering(kisar)
1 cawan hirisan gula melaka
1/4 cawan air asam jawa pekat
3 sudu besar kicap pekat manis
Garam secukup rasa
1 kilo bawang merah - goreng utk jadikan bawang goreng.
1/2 cawan minyak masak utk menggoreng bawang merah.
(minyak ini juga boleh guna utk goreng daging)

CARA
1.Selepas goreng daging & siapkan bawang goreng. ketepikan.
2.Tumis cili kisar & bawang goreng sampai pecah minyak.
3.Masukkan gula melaka, kicap, air asam jawa & garam seimbangkan rasanya.
4.Masak hingga hampir kering & kacau rata.

5.Tutup api & angkat.

NOTA: Boleh dimakan dengan nasi, ketupat nasi, ketupat pulut dan lemang.

Terimakasih yang tak terhingga kepada semua yang berjiwa pemurah dan penyayang. Terimakasih atas persahabatan ini. Alhamdulilah.....




Teluki Itu Untuk Aku oleh Nazawati Abd Manaf

1

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini adalah hadiah perkenalan daripada Kak Noor Halijah , seorang peminat novel yang tegar dari Kuala Lumpur. Pertemuan kami semasa READ MALAYSIA 2009 di The Mines, membuat saya sangat mengkagumi beliau kerana dia memang istimewa . Bayangkan semasa kami berjalan-jalan meninjau novel-novel , dia memperkenalkan novel yang bagus dibaca. Dan kak Noor boleh jadi promoter novel yang berkaliber semasa pameran sebegini.

Siapa Nazawati ? Saya pun tak kenal siapa dia namun saya percaya pada kualiti novel jika jalan ceritanya bagus. Cuma cover novel ini tidak menyerlah pandangan....kena berikan sentuhan yang lebih menceriakan.

Teluki itu untuk aku mengisahkan cinta tiga segi yang membawa tragedi yang melukakan persahabatan. Cinta boleh menjadi penawar juga menjadi racun yang sangat berbisa sehingga memesongkan kewarasan pemikiran. Sepuluh tahun Seri Kurnia membawa diri ke UK dan akhirnya dia kembali ke Malaysia untuk berdepan dengan luka semalam yang belum sembuh sepenuhnya. Persahabatannya dengan Firdaus Ikram dan Tajul Ajmal sejak kecil lagi tercalar semasa usia belasan tahun akibat tragedi orang tua mereka. Ayah Firdaus dan Ibu Seri ketangkap basah oleh Seri pada suatu petang dan dia hampir menjadi mangsa ayah Firdaus yang ketika itu masih khayal. Paling menyakitkan ialah ketika ibunya sendiri sanggup membantu ayah Firdaus memperkosa dirinya. Namun ia gagal kerana ditemui oleh ayahnya Iskandar dan umi Firdaus. Seorang anak gadis yang berada dalam ketakutan kerana hampir diperkosa, kemudian pahitnya bila ibu membantu si perogol dan seterusnya dibelasah ayahnya sendiri dan dibuang keluarga. Kejadian ini menyebabkan umi Firdaus terus mati kerana serangan jantung. Firdaus yang memangku arwah uminya berikrar bahawa dia akan mendendami seluruh keluarga Seri.
Kepulangan Seri dibantu oleh sahabatnya Ajmal dan terus mendapat pekerjaan sebagai arkitek di Juta Bumi Holdings milik Tan Sri Kamarul. Kebetulan Seri merupakan arkitek yang berjaya di UK. Namun kepulangannya mengundang duka yang mendalam sebab tanpa diduga, Firdaus Ikram rupanya juga menjadi arkitek di Juta Bumi Holdings. Tan Sri Kamarul pula menggabungkan keduanya dalam beberapa projek mega sehingga mereka berdua acap kali bergaduh dan sebagai perempuan Seri banyak menitiskan airmata. Lelaki apa tahu tentang kelukaan hati perempuan yang dicap sebagai perempuan kotor dan murahan. Sehinggalah ketika mereka berdua menguruskan projek resort di Kota Bharu, entah angkara siapa menyebabkan mereka berdua tertangkap khalwat di sebuah chalet milik Tan Sri Kamarul. Saya menyangka Seri diperangkap oleh Zamil ,playboy dan juga anak kepada Tan Sri Kamarul namun sangkaan saya silap. Malam itu juga keduanya terpaksa berkahwin secara rahsia di sempadan Thailand demi menjaga reputasi syarikat yang berurusan dengan negeri yang tegas menjalankan undang-undang Islam.
Sebagai suami isteri mereka akhirnya tinggal sebumbung namun tidak sebilik. Perang masih dilancarkan malahan Firdaus menggunakan hak sebagai suami untuk menyekat pergerakan Seri. Walau berteman airmata, namun banyak peristiwa yang tanpa sedar mengikis rasa benci dan dendam antara keduanya sehingga cinta itu berkumandang di udara. Tanpa sedar, Zamil membuahkan rasa cemburu di hati Firdaus seperti Julia yang mencalarkan hati Seri. Daripada seorang sahabat, menjadi musuh dan akhirnya menjadi kekasih tanpa disedari masing-masing. Saya suka sebab rasa cinta tidak diluahkan dengan mudah namun dari perbuatan dapat ditafsirkan perasaan itu di hati masing-masing. Ketika Firdaus demam , Seri dengan penuh kasih dan sayang menjaga suaminya dengan baik. Begitu juga semasa Seri tercedera kaki di tapak projek, Firdaus menjaganya dengan baik . Mereka berdua menzahirkan rasa kasih melalui masakan dan nota di atas meja makan.
Tapi sayangnya, ada insan lain yang menyintai Seri menderita dan menjadi tidak waras. Ajmal, seorang sahabat kesayangan Seri dan Firdaus rupanya menderita sakit jiwa dalam menyintai Seri. Sukar saya huraikan tema ini namun penulis berjaya membuat saya berfikir tentang watak Ajmal. Kenapa dia menjadi 'sakit jiwa'? Dia berpelajaran , seorang lelaki yang lengkap pakejnya ,handsome, penyayang dan berada. Sepuluh tahun dia berada di sisi Seri memberi kekuatan kepada gadis ini ,namun kenapa dia mensiakan sepuluh tahun ini untuk memiliki Seri ? Semuanya terjawab setelah tragedi sepuluh tahun lalu terbongkar. Semuanya angkara Pak Mustafa ,ayah Ajmal yang menyintai ibu Seri . Dia memberi ibu Seri minuman dicampur pil khayal dan pil kuda ,namun minumannya diminum dengan tidak sengaja oleh Sulaiman ,ayah Firdaus. Itulah punca semuanya, dan kemungkinan rahsia ini sudah diketahui oleh Ajmal. Tragedi itu bukan hanya menghancur hidup Seri dan Firdaus tetapi juga jiwa Ajmal. Peristiwa khalwat di chalet Kota Bharu adalah rancangan Ajmal tetapi kuasa Allah, dia tautkan jodoh Seri dan Firdaus. Rasa gila Ajmal membuat dia mengutus surat ugutan kepada Seri. Namun saya tidak faham peranan watak Murad , pengawal keselamatan Juta Bumi Holdings dalam kemelut ini. Mungkin Nazawati ingin mengelirukan pembaca dengan membuat Murad nampak seperti suspek namun sehingga akhir, watak Murad dimatikan begitu sahaja.
Penghujung cerita ketika Ajmal bertindak hendak memperkosa Seri yang masih 'perawan', Firdaus muncul menyelamatkan isteri kesayangannya . Pada masa inilah terbongkar rahsia sepuluh tahun yang lalu. Siapa yang kata lelaki dan perempuan tidak boleh menjadi sahabat baik ? Bagi Seri, Ajmal adalah sahabat kesayangannya, sahabat yang dipercayai sehingga tiada wujud rasa cinta itu di hatinya. Namun sayangnya tidak di hati Ajmal. Dia seperti 'like father like son'. Jika ibu Seri menjadi wanita idaman Pak Mustafa, anaknya Seri pula menjadi idaman Ajmal. Keduanya sama-sama jahat, hipokrit dan berpura-pura. Dia mempunyai dua personaliti.
Kemaafan adalah satu keindahan dalam menikmati kebahagiaan. Walaupun telah banyak terluka Firdaus dan Seri tetap memaafkan Ajmal dan berazam merawat Ajmal hingga sembuh.....sebab rasa sayang terhadap sahabat. Saya terkilan kerana ibu Seri meninggal tanpa mengetahui cerita sebenar di sebalik tragedi 10 tahun tersebut.Lebih melukakan hati bila anak kesayangannya Seri masih tidak memaafkan ibunya.

Teluki itu untuk aku , bunga teluki ( carnation) adalah bunga kegemaran Seri Kurnia. Ia menjadi simbolik luahan rasa cinta Firdaus sebagai ganti kata 'i love u'. Ia mahal bila sukar dilafazkan dan pemilik rasa cinta ini sepatutnya rasa bangga kerana mendapat cinta di hati lelaki ego seperti Firdaus. Seperti kata Seri : ....demi cintanya, segalanya aku serahkan.

Berapa bintang saya nak berikan ? Tepat kata Kak Noor ,novel ini memang best. Thanks kak Noor . Saya puas hati sebab penulis ini bijak mengolah cerita walaupun kecacatannya tercatat pada watak Murad ( pengacau ) . 4 bintang untuk novel ini. Semoga Nazawati tetap terus berkarya. Tahniah dan semoga terus berjaya.

Layan Selera

2

Posted by Leeza | Posted in

Isnin baru-baru ni member saya Cikgu Adil cerita pasal laksam yang dia makan di rumah ustazah masa dia sekeluarga berjalan raya. Saya yang berminat mulalah bertanya dengan member-member ustazah bagaimana nak buat laksam. Jadi petang ini saya buat laksam. Kuahnya senang saya nak buat. Cuma buat laksa dari tepung beras ini, kekok semacam. Persis membuat roti jala dulu. Inilah hasilnya. Oleh kerana ini makanan dari semenanjung, susah juga saya nak kenalkan dengan ahli rumah saya makanan ini. Namun saya memang suka, dan inilah menu berbuka puasa saya hari ini.

Sabtu dan Ahad ,jika tidak ke mana-mana memang saya rajin ke dapur. Mak saya yang buat ketupat pulut dan cicah sekaya ini. Sarung ketupat ini seharian dia buat sebab saya memang tak tahu menganyam ketupat. Dulu ketika kursus seni di maktab perguruan, pensyarah saya lelaki ,mengajar menganyam ketupat....dan memang dia angin dan give up mengajar saya sebab saya memang tak pandai-pandai menganyam ketupat. Puaslah tangan saya kena ketuk dengan kayu pembaris. Ala...sekarang ni kan sarung ketupat banyak dijual? Beli ajelah. Cicah sekaya memang kesukaan anak2 lelaki kesayangan mak. Ia dibuat menggunakan santan kelapa, telur, roti jagung dan gula. Kita kat sini panggil : culit.

Ini pula kentang goreng, ayam goreng, tauhu goreng dan nasi impit ( ketupat segera ) untuk dimakan dengan kuah kacang. Kononnya nak jadikan rojak....tapi betullah kata kak NB, buat rojak seharian kerja menggoreng. Rasanya setahun sekali saya buat rojak ni....penat.


Ta..da... inilah hasilnya. tengok dengan mata saja. 2 hari saya buat kuah kacang ni sebab mak suka sangat. Tambahan pula tetamu pun ramai ke rumah. Saya sendiri makan dalam kuantiti yang sedikit je sebab favourite saya ialah tomyam dan dodol. Hehehe Nik....nanti berjalan raya kat sini, silalah jamu mata dengan masakan saya ni. Untuk tetamu blog, salam raya dan maaf zahir bathin. Kita raya sebulan kan.....

Kalau Ada Jodoh oleh Mimie Afinie

1

Posted by Leeza | Posted in


Sudah lama saya mencari novel ini di pasaran Kuching namun saya hampa. Sehinggalah saya menemuinya di Pameran Buku di READ MALAYSIA KL bulan Jun yang lalu. Saya baru selesai membaca novel ini petang ini ketika berihat selepas balik dari kelas petang.

Novel ini lebih berkisar sekitar percintaan 3 segi antara Rini, Pyan dan Faris. Hubungan Faris dan Rini terputus atas tindakan terburu-buru Faris yang termakan hasutan mamanya dan adiknya Fara. Saya kesal dengan sikap Faris yang terlalu mudah melafaz talak hanya melalui telefon tanpa menyiasat lebih lanjut. Bila dah terlajak barulah sedar dan menyesal. Maka bermulalah hari-hari Faris menjadi seorang yang gila talak, kembali menagih cinta Rini.

Pertemuan Rini Dan Pyan anak jiran kakaknya Liza sangat melucukan kerana karektor Pyan digambarkan berambut panjang dan suka menyanyi lagu pop yeh yeh....saya memang ketawa guling-guling. Tetiba saya teringat dengan watak Alang Tak Empok ,hero novel Surat Ungu Untuk Nuha karya Noor Suraya,memang menggelikan hati. Pergaduhan dan seterusnya persahabatan yang terjalin membuahkan rasa cinta berputik di hati Pyan terhadap Rini. Sayangnya Rini masih menyintai Faris. Sedar tak sedar rasa cinta sebenarnya telah lama menghuni hati Rini dan ini mulai disedari semasa menyambut hari jadinya yang ke 25. Hubungan Pyan dan Rini sering dibungai rasa cemburu dan pergaduhan kerana kehadiran Faris.

Mereka berdua berkongsi satu tempat yang sama untuk melarikan rasa rajuk di hati iaitu rumah Nenek Pyan di Tanjung Karang. Setiap kali Pyan dan Rini merajuk dengan satu sama lain, rumah neneklah menjadi tempat pelarian. Tema yang dihurai hanyalah soal percintaan dan halangan serta dugaan untuk bersama akhirnya. Rasa cemburu menyebabkan mereka semakin rapat biarpun sering bertekak urat dan bertitisan airmata. Dalam novel ini watak Faris dan Pyan mengalirkan airmata banyak kali kerana mencintai Rini.

Bagi saya, novel ini sesuai untuk pasangan yang hangat bercinta . Bagi saya, tak ada rasa apa sekadar persoalan cinta dan soal hati. Bahasa menarik dan jalan ceritapun okay. Rasanya 3 bintang saya berikan untuk novel ini.

Bingkisan Cinta Dari London

6

Posted by Leeza | Posted in

Saya sebenarnya memang tak tau nak masukkan entry apa kerana selepas raya otak saya asyik ingat nak makan sahaja. Kalau nampak makanan dalam blog kak NB atau dia cerita pasal makanan ,cepat sahaja saya terleleh... Gara-gara tak ada kerang saya beli kari kerang dalam tin. Memang bahaya betul. Baru saya teringat June pernah kata kalau makan ubat herba untuk allergic yang dia bagi selera makan memang bertambah....huhuhu. Hari-hari saya dok menimbang berat takut mendadak naik berkilo-kilo. Biarlah saya ceritakan kisah yang mungkin dah lali untuk rakan bloggers tetapi boleh dijadikan iktibar.

Hello my love,
I have sent the package that i promised you today containing a new brand HP product laptop computer,two set of golden jewelries, one set of necklace, one ring special for our engagement, perfumes, shoes and the sum of 10,000 pounds sealed in the same computer pack to enable you settle some of your daily needs as my dear sweet heart.

Inilah sebahagian isi email yang kawan saya terima . Rasa terujanya dia namun jauh di sudut hati masih ada rasa sangsi dan was-was. Saya peringatkan tentang hal ini. Jadi dia buat keputusan tunggu dan lihat. Tepat seperti yang dinyatakan 2 hari kemudian dia menerima panggilan telefon dengan nombor 010-xxxxxxxx , seorang wanita cina memberitahu bahawa package sampai namun ditahan oleh kastam diraja Malaysia di Malaysia Airport KLIA. Bila ditanya bagaimana nak settle ? Cepat perempuan itu kononnya dari MULTILINK COURIER SERVICE , menyatakan yang dia perlu bayar tax sebanyak RM 3865.00 ke nombor akaun tertentu. Jadi apabila ditanya nama penuh, nombor telefon pejabat Multilink Courier serta no akaun , perempuan ini meletakkan telefon. Saya dan kawan-kawan tidak berdiam diri. Saya terus mendail no telefon pihak Kastam DiRaja Malaysia Kuching dan bertanyakan hal ini lebih lanjut. Info yang perlu kita tahu ialah prosedur penahanan package dari luar negara ialah :
1. Jika package itu beralamat di Kuching, package akan terus dihantar ke Kuching dan pihak kastam diraja malaysia Kuching yang akan menguruskannya dan bukan ditahan di KLIA.
2. Jika ada package diragui, pihak kastam akan memanggil penerima ke pejabat dan mereka akan membuka bungkusan di depan penerima sendiri.
3. Jika kena cukaipun, tiada undang-undang yang meminta penerima masukkan wang ke dalam akaun tertentu.

Tidak berpuas hati, saya suruh kawan saya menelefon pihak kastam KLIA. Dan mereka juga menjelaskan perkara yang sama.
Keesokkannya kawan saya tunjukkan 'airway bill' yang dihantar oleh boyfriendnya sebagai bukti pengiriman. kami kaji beramai-ramai dan ternyata ada keraguan sebab tiada bukti dia menjelaskan bayaran pos dan cop pos . Ingat kita ni bodoh ke? Saya yang selalu berurusan dengan pos memang dah biasa dengan courier dan pos mengepos hingga kalau ada parcel saya sampai, pekerja pos akan sms : Boss, ambik parcel kitak. Okey, memang kesian juga. Saya surf website multilink courier service dan di sana ada tracking online. Kita kena key in number tracking pada bill airway. Bila saya key in tracking number, jawapannya : invalid. Sah memang orang itu penipu dan scammer. Selepas itu saya suruh kawan saya delete si penipu ini dari YM nya. Juga jangan layan lagi. Selepas itu kawan saya beritahu dia tidak lagi menerima panggilan dari si penipu dan gengnya. Syukurlah.

Semasa google multilink courier service saya terjumpa website ini : www.scamwarners.com . Banyak info tentang scam dan kejadian ini adalah love scam. Malahan saya juga jumpa mangsa bingkisan cinta ini sehingga dia kehilangan wang yang banyak.
Banyak info yang saya dapat :
1. Scammer takkan gunakan gambar yang betul. Ia curi gambar dari majalah atau cilok dari mana-mana website seperti facebook atau sebagainya. Untuk mengenal sama ada teman chatting anda scammer anda boleh upload gambarnya di Scamdigger.com.Namun anda kena sedar ,gambar orang yang digunakan adalah juga mangsa scammer.
2. Scammer mencari mangsanya dari laman chat atau website seperti tagged.com, facebook etc. Kalau dari tagged.com, buat profile anda dalam set private . Dan jika anda nak delete, report profile and block him or her.
3. Kalau anda rasa was-was, google email chatter anda dan anda akan jumpa maklumat tentangnya. Hubungi rakan-rakan chatter itu yang pernah hantar tags scammer. Tentang boyfriend kawan saya, bila saya google, namanya ada keluar dalam website anti de scam (Germany blog ). Ip nya ialah dari Malaysia.
4. Jangan sekali berikan no akaun bank anda. Jika anda berikan no akaun bank kosong, anda kena hentikan serta merta sebab kemungkinan akaun ini digunakan oleh geng scammer ini untuk menipu orang lain pula. Jika mangsa yang lain membuat laporan dan no akaun anda terlibat, pihak polis akan mengetuk pintu rumah anda....bahaya sangat-sangat.

Cinta sekarang seperti tahi kucing. Tiada nilai langsung. Cinta diperniagakan untuk mendapat RM. Senjata yang paling ampuh untuk melawan segala bala bencana ini ialah solat istiqarah. Solat dan doa akan menyelamatkan kita dari kemusnahan. Saya memang ada rakan chatting tetapi bila tiba part dia nak add email dan ym, saya buat alasan . Terkadang ada yang marah sebab saya tak percayakannya namun saya selamba sahaja memberitahu yang memang saya tak percayakan semua orang. Saya peduli apa jika orang menyampah dengan saya. Saya percaya jika ada jodoh, saya akan jumpa juga pasangan saya. Bagi saya , bahagia begini....hidup seadanya.
Terima kasih kawan-kawan saya, kakak saya NB sebab telah mengajar saya supaya berhati-hati dengan dunia cyber. Don't make internet control your life. Jadi, jangan bertenggek depan laptop sahaja, rumah kena kemas, kerja kena selesaikan, keluarga kena diberi makanan yang sedap-sedap,Anak-anak jangan dibiarkan macam tak beribubapa, solat jangan abaikan, dan jalani hidup cara sihat.

Aidilfitri Open Class

0

Posted by Leeza | Posted in

Italic

Ingatkan mood raya dah habis, rupa-rupanya masih segar bugar. Bukankah raya sebulan ? Sebaik cuti raya tamat, minggu ini setiap hari rakan-rakan sekerja saya membawa pelbagai kek dan biskut. Begitu juga dengan murid-murid . Murid Tahun 6 bersemangat memberitahu saya yang pada hari Selasa 29 September, mereka akan mengadakan hari terbuka. Saya dengan gurauan mengatakan : jangan lupa buat mi goreng.

Sebahagian hidangan jamuan tahun 6. Dan ternyata mereka menunaikan hasrat saya dengan mengumpul wang dan membuat bihun goreng.

Jemput makan cikgu-cikgu, jangan tengok sahaja.


Kelas tahun 4 tidak ketinggalan mengadakan hari terbuka pada hari rabu, 30 september.

Ada hidangan bihun goreng juga. Sedap masakan mak Zul.

Kemudian pada hari khamis, 1 oktober kelas tahun 5 pula mengadakan hari terbuka. Kelmarin ketika tanyakan menu hidangan mereka bercadang hendak membuat bihun juga. Bila saya tanya berapa jumlah yang hendak dikumpul mereka nyatakan RM4.50. Saya terkedu, takkan cukup untuk hidangan guru-guru dan mereka sendiri. Saya hulurkan juga ihsan untuk mereka. Kesian murid-murid ingin sangat adakan jamuan untuk guru-gurunya. Apa yang melucukan ketika Ustaz lewat hadir ,saya menyuruh murid-murid membaca doa. Tahu doa apa yang dibaca? Doa makan...hahahaha. Dan bila nampak kelibat Ustaz, saya minta beliau membacakan doa kesyukuran.


Walaupun ditimpa musibah kehilangan anak kesayangan , Guru Besar kami masih senyum bersalam-salaman dengan anak-anak. Hidup mesti diteruskan.



Selepas jamuan di kelas tahun 5, kami beredar ke kelas tahun 3 pula. Ada bihun goreng lagi dan sosej.Kelas ini banyak kuih muih yang sedap sehingga saya bawa sebekas rempeyek ke bilik guru....hahaha. Tapi minta izinlah daripada anak yang membawanya.

Sebahagian guru yang hadir menjamu selera.

Dan setiap kali selesai cikgu-cikgu menjamu selera di setiap kelas terbuka, saya akan mengagihkan bihun goreng kepada anak-anak ini .Bukankah itu hak mereka untuk makan sekenyangnya? Jika tidak diagihkan bimbang pula anak-anak ini berebut makan. Saya seronok melihat anak-anak ini menjamu selera.....gembira dan penuh kesyukuran. Syukur Alhamdulilah kerana Allah kurniakan rezeki untuk kita semua menikmatinya.