SEMANIS GULA KAPAS oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

SEMANIS GULA KAPAS 


Novel Semanis Gula  Kapas karya Kak Norhayati Berahim adalah sebuah karya yang berbeza daripada karya-karyanya yang terdahulu. Tidak tahu mengapa saya merasa menjadi seorang pembaca yang mengkhianati diri sendiri dan melangkaui bacaan dengan menyelak beberapa halaman terakhir . Okay..saya tahu saya belot dan tidak adil kerana menipu dengan melihat pengakhiran watak budak comel bernama Aiman. Saya kecewa sebab watak Aiman dimatikan seperti rasa kecewa saya dengan watak Amin dalam novel karya beliau terdahulu iaitu Menunggu keretapi. Namun ketika ini, saat ini, saya telah puas menangis tersedu-sedu kerana watak Aiman ini. Pengakhiran yang sedih bila terungkap segala tandatanya dengan pertemuan emak Syed Khaled dengan keluarga Nurin. Saya sedih dengan perginya Aiman sebelum sempat dipertemukan dengan Mak Mah dan Nurin. 

Penulis ini begitu bijaknya mempermainkan minda pembaca untuk terus tertanya-tanya di mana kesudahannya watak Aiman dengan berteka-teki. Saya pada mulanya menganggap Matt itu adalah Aiman dan perpindahannya ke luar negara mengubah jalan hidupnya...dan emak Aiman bukan kah rugged dengan dunia modelingnya? Mungkinkah emak Aiman , Puan Sri Suriani menjalani hidup sengsara sehingga traumatik yang kronik ? Kemudian si Matt mengakui dia juga lambat pandai membaca dan adiknya Justin yang dileksia. Bila hadir Syed Khaled , sayapun tertanya-tanya siapa dia? 

Apa yang membuat saya sangat tertarik dengan novel  ini ialah tentang kanak-kanak istimewa yang menghidapi dileksia. Juga pendedahan tentang bagaimana para pendidik menanggani masalah dileksia sebegini. Sikap panas baran Cikgu Naim menjadi iktibar sehingga ketika membaca saya mengecam sikap buruk sebegini. Jika menjadi guru hendaklah kebal dan tebal dengan sifat kesabaran, kaya dengan  rasa kasih sayang dan belas ihsan terhadap anak-anak didik. InsyaAllah , hasilnya pasti bombastik bila melihat anak-anak menunjukkan perubahan dalam pembelajaran. Penguasaan anak-anak berbeza dan teknik dan pendekatan yang digunakan untuk memastikan mereka dapat menguasai kemahiran yang diajar juga berbeza. Cikgu yang hebat adalah cikgu yang dapat menguasai semua teknik dan pendekatan untuk semua segi dalam menentukan kebolehan murid-murid. Bila membaca novel ini , ilmu kita perolehi seiring dengan hiburan. Ya..betapa santainya kita membaca pelbagai ilmu dari ilmu tentang dileksia, ilmu agama dengan hadis dan surah, juga ilmu semasa tentang perjuangan di Palestin. Setiap dialog yang diucapkan ada perbincangan ilmiah . Saya sangat suka kerana setiap bait ayat yang ditulis bukan ayat-ayat cintan - cintun , malahan setiap watak yang bercinta berhati-hati mengungkapkan rasa hati, amat terkawal dan terjaga kesopanannya. Lembut dan tidak kasar. Pun ada watak antagonis yang buat kita geram dan meroyan...hahaha. 

CYST adalah satu penyakit yang mengingatkan saya pada saat  pertama kalinya saya mendengar seorang kawan sekampung bercerita tentang kakaknya , dan bomoh kampung menyatakan hantu jembalang laut. Malahan ada beranggapan itu adalah angkara buatan orang termasuk diri saya. Ketika saya berkongsi hal ini dengan kakak NB dia memberikan saya artikel-artikel tentang Cyst. Saya berharap tidak akan yang cetek ilmu seperti saya. Ketika saya memberitahu kakak saya dan kawan sekampung ini, saya tahu mereka kurang yakin dan tidak percaya, namun artikel-artikel tersebut telah saya cetak dan berikan padanya untuk membaca. Saya akui masyarakat kita masih tebal dengan kepercayaan tahyul sebegini. 

Banyak isu yang disampaikan oleh penulis dan ketika difikirkan , semua isu ini adalah kenyataan dan realiti hidup masa kini. Hasad dengki , tidak sabar dan lupa pada Allah seakan tidak asing lagi pada waktu ini. Namun kita harus sedar, ramai generasi muda yang celik akal dan berilmu. Golongan inilah yang menginsafkan kita. Watak Justin yang comel dan bagaimana dia berusaha memulihkan mamanya dengan didikan gurunya Nurin. Pun juga saya merasa marah dengan watak Matt yang degil. Kita maafkan sahaja si Matt yang lupa diri ini dan berdoa semoga Noria berjaya mengubahnya. Bersyukur kerana Matt sedang dalam proses belajar untuk kembali ke pangkal jalan. 

Walau saya sakit hati watak Aiman dimatikan, namun pengakhiran cerita dengan kebahagiaan keluarga ini menjadi penawar. Apa lagi bila Aiman tidak dilupakan , malahan menjadi kesayangan semua orang.

Novel ini masih berlatarkan keluarga bahagia , cara didikan dan pergaulan yang lembut, didikan agama yang dititik- beratkan dan nilai kasih sayang. Kita dibawa ke dalam dunia dileksia dan mengasihi anak-anak istimewa ini. Jika saya puas hati dengan novel ini  kenapa tidak anda ? Bahasanya mudah difahami, dan mesej yang disampaikan dekat dengan hidp kita seharian.

Tahniah kak Norhayati Berahim. Saya berharap beliau akan tetap menulis dan mendidik masyarakat melalui penulisannya. Dapatkan karya ini di http://www.nbkara.net

UNTUKMU SEGALANYA oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Novel setebal 435 mukasurat ini adalah cetakan semula daripada novel lama yang telah ditambahbaikkan. Isinya lebih tebal daripada yang lama. Bagi saya membaca karya kak Norhayati Berahim sejak dulu hingga sekarang seumpama meniti tangga kedewasaan. Jadi bila membaca karya lamanya ini , sudah pasti ada ketidakpuasan yang dirasai. Hanya satu alasan iaitu, kita sudah tua dan perlukan karya yang berat dan lebih berisi.
Saya gembira sebab bila novel ini ditambahbaikkan, ia diisi dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai murni yang lebih padat. Nasihat dan pengajaran dalam novel ini membuka minda dan menjadi satu medium harapan kepada kaum yang satu ini. Semoga insan-insan yang lari dari personaliti originalnya kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat. Tidak kiralah mereka yang lembut atau yang kasar. Ya Allah berikan mereka hidayah untuk bertaubat sebelum ajal maut menjemput. Seumpama doa Nicky terhadap rakan-rakannya Dolly dan Iskandar ...begitu juga doa kita kepada rakan-rakan kita yang lain...amiin.

Saya mengenali watak Atia yang baik namun saya tidak menyukai kelembutannya yang tidak mampu menolak sikap Azali. Namun seperti pesalah yang telah sedar dan bertaubat, Azali harus diberi peluang untuk membetulkan kesilapan yang banyak dilakukannya terhadap Atia. Tiga kali tamparan yang Azali hadiahkan kepada Atia biarpun tidak sengaja , membuat saya tidak menyukai watak ini. Walau bagaimanapun, saat-saat terakhir Nicky yang banyak menginsafkan Azali untuk lebih menyayangi Atia. Cinta Nicky dan Atia yang tidak kesampaian membuat jiwa saya sendat dengan pengakhiran yang menyedihkan. Inilah novel yang berakhir dengan kisah duka dan kematian. Kak Norhayati Berahim bagaimanapun akhiran ini disudahi dengan keredhaan untuk menjalani kehidupan yang lebih positif. Apa yang pasti untuk kita, hidup ini perlu diteruskan juga samada secara rela ataupun tidak. Siapa kita yang mampu melawan takdirNYA ?

Bacalah novel yang penuh dengan nilai pengajaran ini. Semoga menjadi panduan kepada insan-insan yang mengubah penampilan anugerah Allah dan semoga kembali ke pangkal jalan....amiin.

LENAKAN TIDURNYA oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum, ketemu lagi kita di arena review buku ini. Sudah lama saya menyepi diri dari segala aktiviti blog . Jika dibandingkan dengan segala novel karyawan beliau ,kak Norhayati Berahim membuat kelainan yang drastik kali ini. Novel thriller ini mengajar banyak perkara tentang ilmu agama dan kehitaman hati manusia. Jangan diukur pada ketebalan novel 935 mukasurat kerana setiap mukasuratnya membuat jalinan cerita menjadi semakin menarik. Saya sendiri berhati-hati menyelak mukasurat novel ini, bimbang terlangkau kisah dan isinya. Mungkin ada di antara anda merasakan novel-novel beliau sangat berat isi dan tema yang disampaikan namun jika mendekati novel-novel beliau dan membuat kajian sejenak anda akan perasan dengan mudah bahawa tiada isu yang sama disampaikan oleh beliau.

Secara keseluruhannya mengisahkan bagaimana seorang ibu mertua sangat mendendami menantunya dan sanggup mengenakan menantunya dan cucu-cucunya sendiri dengan menghantar saka untuk mengacau ketenangan dan keselamatan mereka. Sesungguhnya novelis mengajar kita untuk tidak membelakang kekuasaan Allah dan hanya dengan bergantung pada Allah, syaitan dapat ditewaskan. Ketika saya membaca novel ini saya tenggelam dalam bacaan saya, merinding bulu roma saya kerana saya sendiri pernah melihat peliharaan seseorang ketika mengubat mak saya suatu masa dulu. Juga ketika dia menjalankan upacara tolak bala dia mengisyaratkan saya jangan melintas di hadapannya , seakan di hadapannya itu peliharaan-peliharaannya berjalan.... astagfirullah.

Berbicara mengenai watak, saya menyukai watak Cikgu Maimun. Ketabahannya dan kebaikannya merupakan lambang seorang ibu yang terhebat. Walau dikecam dan diancam, beliau tetap tabah dan tidak mendendami ibu mertuanya yang jahat itu. Kasihnya pada suami dan anak-anak membuatkan beliau bangkit dan bertahan. Kelembutannya dan kebaikan beliau menyebabkan anak-anaknya sentiasa menahan hati. Hanya keimanan dan ketakwaan dapat melawan dan menepis sebarang gangguan sihir dan syaitan. Kita sebaik-baik makhluk Allah , bila melakukan kebaikan dijanjikan syurga dan syaitan sudah pasti tetap menjadi penghuni neraka. Maka , kita jangan takut kepada syaitan dan berpeganglah pada Allah . Hanya ayat-ayat Al Quran yang dapat menepis segala serangan syaitan tersebut.

Watak pembantu yakni Nek Nyonya dan Tok Walid mewakili generasi tua yang berpengalaman dan padat dengan ilmu di dada. Malahan mereka mempunyai makrifat yang tajam sehingga dapat menyelami isi hati dan menghidu kemungkinan yang buruk. Mereka menjadi pakar rujuk dan tidak membiarkan keluarga ini teraniaya.

Begitu dasyatnya dendam seorang perempuan apabila cintanya ditolak. Nek Peah yang obses terhadap Tok Fakar sehingga bertahun mendendami ahli kerabat Tok Fakar. Mungkin dia sengaja menyetujui pernikahan anaknya Musa dengan anak Fakar iaitu Cikgu Maimun bagi memudahkan dia melaksanakan dendamnya itu. Sifat dengki dengan kehidupan Nonya dan Fakar menjadikan dia kehilangan kewarasan. Inilah manusia yang telah hitam hatinya dan tidak insaf, malahan jauh terpesong daripada jalan Allah. Sehinggakan kehidupan tuanya yang penuh dengan amarah dan hasad dengki menyebabkan dia dipulaukan oleh orang-orang kampung. Sebagai manusia kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, membersihkan jiwa dengan bersolat dan mengaji supaya syaitan tidak berpeluang untuk menetap dalam setiap ruang sendi dan pembuluh darah kita sehingga kita mudah terpesong. Bagi saya , Nek Peah , kalah dikaki syaitan dan cintanya bukan cinta luhur tetapi cinta nafsu serakah. Dia seakan lupa hayatnya dipinjamkan oleh Allah....semoga kita tidak sejauh ini tersesat dalam kegelapan. Kasihan melihat dia terbongkok-bongkok, malah  ke sana sini meminta wang untuk membeli ayam hidup bagi dijamu kepada syaitan peliharaannya. Rasa kasihnya telah lenyap dari hati.Namun anak-anaknya tidak ada yang mengikut kejahatannya. Malahan cucu dan anak-anaknya sentiasa berusaha untuk menasihatkannya kembali ke pangkal jalan. Baginya dia sangat berkuasa dan dia lupa ilmu sihir syaitan itu ada kelemahannya. Manusia dikurniakan akal dengan berpaut pada pertolongan ALLAH SWT mampu mengalahkan kesihiran dan kejahatan syaitan ini. Sedih bila pengakhirnya seorang manusia yang patutnya menjalani hari-hari tua dengan kasih sayang cucu-cucu dan anak menantunya yang baik-baik tidak dapat diselamatkan , malah terbakar hangus oleh olahannya sendiri. Moga kita semua dijauhkan dengan pengakhiran yang sebegini.....matikanlah kita dalam keadaan yang beriman amiin ya rabbi.

Hubungan Hana  dan Dani bagi saya , sangat melucukan. Kali ini watak Dani dijadikan hero yang sangat nakal juga gatal..hahahhaa. Dia dianggap lelaki playboy walau hakikatnya kita tahu Dani hanya menyintai Hana sahaja. Dan Hana rupanya sangat membenci Dani sejak belajar di universiti lagi. Kesilapan Dani menyukarkan segala usahanya untuk mendekati Hana. Namun mereka berdua ini berjaya disatukan oleh kedua ahli keluarga . Perkahwinan mereka ini berjaya menamatkan sumpahan Nek Peah sehingga terbakar sendiri. Sesungguhnya syaitan tidak suka umat manusia membina masjid. Syukur setelah berkahwin Hana mulai menyintai suaminya.

Kemudian watak-watak lain dengan pelbagai peristiwanya menjadi teladan untuk kita . Watak Ayu , gadis yang dirogol oleh ayahnya sendiri, memberi kita jalan untuk membantu agar mangsa seperti Ayu dapat menjalani hidup dengan baik. Watak Naemah yang kahwin muda , bila hilang pergantungan terpaksa berusaha mencari nafkah menyara anak-anaknya. Watak Azimah dan Basri yang mengalami konflik rumahtangga bila Basri kahwin secara senyap bagi membantu wanita OKU. Wanita walau mulutnya mengizinkan suami berpoligami tetapi hakikatnya hati tetap terluka juga.

Saya tetap memberikan bintang sepenuhnya pada novel ini kerana ia mengajar kita supaya jangan takut pada syaitan dan jangan tunduk pada nafsu dan bersihkan hati selalu. Kesabaran tetap  membuahkan hasil yang sangat manis..insyaAllah. Kepada penulis, jangan berhenti menulis dan semoga menghasilkan lebih banyak kisah masyarakat yang boleh menjadi ikhtibar kepada generasi di sekeliling kita. Tahniah kakak!.



PROGRAM TADARUS 2013

0

Posted by Leeza | Posted in

DERMA ANDA DIPERLUKAN..
40 orang kanak-kanak di SK Jemukan dan 30 peserta di Kampung Ulu Semera akan bertadarus setiap hari dan malam di bulan Ramadhan. (dua tempat berasingan) Mereka akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kami memerlukan bantuan :-
1. Telekung untuk penduduk miskin di kampong Ulu Semera dan kampong Jemukan
2. Wang bantuan untuk penduduk miskin dan yang sakit
3. Sedikit sagu hati dan barangan akan diberi pada setiap perserta yang mengambil bahagian di pagi raya.
4. Sedikit sagu hati kepada AJK surau yang memantau tadarus itu dijalankan.
Derma boleh dimasukkan ke dalam akaun Maybank Liza Bujang 161190100716

Email kami di nbkara@yahoo.com atau di elleezb@yahoo.com segala transaksi untuk rekod kami (atau inbox saya )

HARAPAN

0

Posted by Leeza | Posted in

Tahun ini saya mempunyai seramai 37 orang murid yang bakal menduduki UPSR 2013. 24 orang murid perempuan dan 13 orang murid lelaki. Sehingga saat saya menulis ini saya sebenarnya sangat risau dengan pencapaian anak-anak ini. Dalam peperiksaan pertengahan satu baru-baru ini, hanya 11 orang sahaja yang lulus daripada 37 orang tersebut yang memnghasilkan 29% sahaja lulus. Pencapaian ini snagat rendah, teruk, dan bahaya kerana SPR adalah minima 35%. Jika keputusan sebegini yang dapat, ertinya sekolah saya menjadi SPR (Sekolah Prestasi Rendah). Setiap saat saya memikirkan bagaiman hendak meningkatkan keputusan ini. Ini bererti saya terpaksa bekerja lebih kuat daripada tahun lepas.

Bila Mamat (bukan nama sebenar) mendapat A dalam Sains baru-baru ini, ia bagai titisan air gunung yang sejuk menyirami kepanasan. Damai dan terbitlah harapan. Bagi saya , harapan sangat perlu kerana ia memberi inspirasi dan motivasi kepada individu untuk tidak berputus asa berusaha. Maka saya perlu berkorban terutamanya masa saya untuk membantu mereka.

Walaupun ada program dijalankan untuk membantu anak-anak ini, namun saya kurang setuju. Penglibatan tenaga pengajar yang lain saya khuatiri menganggu fokus anak-anak, bimbang mereka tidak faham dan terkeliru. Tidak baik berprasangka atau prejudis. Baiklah saya benarkan juga, dan ikut arahan. Namun bulan Jun selepas cuti penggal pertama saya akan ambil alih kelas ini untuk dijalankan pemulihan dan bimbingan secara intensif. Setiap usaha memerlukan doa dan harapan. Semoga usaha saya ini mengubah persepsi dan perangai anak-anak ini. Saya mahu mereka ramai yang lulus. Sekurangnya 80% lulus yakni seramai 30 orang untuk lulus.

Saya dikhabarkan bahawa pada cuti penggal pertama bulan Mei dan Jun nanti, pihak sekolah akan membuat kelas tambahan secara intensif. Saya tentu sahaja tidak dapat menyertai program ini kerana saya mempunyai program percutian sendiri. Tiketpun sudah dibeli. Namun tidak mengapa kerana saya membuat kelas tambahan setiap hari sabtu selain program kelas yang biasa setiap petang isnin. Ya harapan sangat perlu agar lebih ramai anak yang lulus. Dengan harapan hidup menjadi lebih bervisi dan kebosanan ternyah jauh dari minda.

Cuti Sekolah Mac 2013

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya akui saya malas mengemaskinikan blog saya ini. Hahaha...rajin di Facebook malas di blog. Sepatutnya tak bolehlah begini kerana sebelum wujudnya facebook, blog inilah menjadi persada untuk menulis dan bercerita apa sahaja.
Baru-baru ini sahabat baik saya yang sudah saya anggap saudara saya , kakak saya pulang ke kampung ke duanya iaitu Ulu Semera. Saya sangat gembira dan  teruja. Saya suka mereka datang ke rumah saya. Maka sebelum kedatangan mereka , berkemaslah saya dengan rajinnya. Setiap kali cuti sekolah saya akan buat kerja pembersihan yang agresif. Anak saudara , emak dan cucu saya kata macam nak sambut raya. Saya suka melihat rumah saya bersih, teratur dan selesa. Itulah sebabnya wujud pepatah Inggeris : HOME SWEET HOME. Selama lima hari kakak saya datang , 25hb hingga 29 hb Mac, kami banyak luangkan masa bersama.

25 Mac , saya mengambil mereka di Lapangan Antarabangsa Kuching, di pertengahan jalan saya tukar pemandu sebab si cilik Qaisara sudah merungut bilalah nak sampai. Hahaha..saya memandu dalam 60-80km sahaja. Apa lagi Kak NB yang ambil alih, maka dalam tempoh sejam sudah sampai ke Ulu Semera. Kedatangannya kali ini diiringi Qaisara, Danish dan Bibik Sari.

Saya nak buat surprise kek birthday pada Kak NB yang menyambut harijadinya 26 Mac tetapi surprise tak menjadi sebab si Buntit saya, Putri dah rosakkannya. Petang itu dia hantar kek itu ke rumah (saya mengirim dengan ibunya yang balik kerja) : Umi,ini kek Umi. Nek Usu kirim dengan emak. Isk....budak ini. Hahaha...gelak besar Kak NB.

26 Mac , kami bertolak ke Santubong, menginap di Damai Beach Resort. Kami menyewa chalet semalam RM270. Dalam chalet tersebut ada 2 buah katil queen size.Cukup besar malah bilik menyerika yang besar kami gunakan sebagai tempat bersolat. Sebelum ke Damai, kami singgah di Muzium Kucing Si Qaisara tidak puas melihat replika dan pameran  kucing-kucing yang ada di situ.

Tidak dapat diduga semasa kek birthday kak Yati tiba di meja semasa kami dinner, Bibik Sari mendapat berita bahawa ayahnya meninggal di Solo. Selesai dinner kami balik ke chalet dan berbincang untuk membuat majlis tahlil dan baca yassin untuk arwah ayah Bibik. Tolong sedekahkan al fatihah untuk arwah Pak Kasan Rejo. Kesian pada Bibik yang tidak sempat melihat arwah ayahnya, namun kami berharap Bibik tetap tabah dan sentiasa rajin mendoakan untuk arwah ayahnya.

27 Mac , kami check out awal dan membawa anak-anak ke Kampung Budaya , Sarawak. Mahal tiket masuknya, dewasa RM60 dan kanak-kanak RM30. Namun kami gembira melihat keseronokan Qaisara dan Danish terutama semasa persembahan jam 11.30 itu. Kemudian kami bertolak balik ke Ulu Semera untuk bersiap-siap dengan majlis tahlil dan baca yassin.Alhamdulilah dan terimakasih kepada penduduk Ulu Semera terutamanya kumpulan zikir darul Ikhlas yang sedia membantu menjayakan majlis ini. Ustaz Mohd Sabri juga turut meluangkan masa mengimamkan solat Isyak berjemaah.

28 Mac dan 29 Mac sebelum balik, kami berjalan-jalan dan shopping di Merdeka Plaza. Medan Satok dan The Spring. Tentu sahaja terubuk masin dan kek lapis menjadi pilihan sebagai ole-ole.

Permandangan ke Santubong

Di depan replika rumah melayu sarawak depan muzium Kuching

Hahaha..macam-macam  gaya mereka ini

Di hadapan air terjun di Persada Alam

Tidur keletihan

SELAMAT TAHUN BARU 2013

0

Posted by Leeza | Posted in


Salam tahun baru untuk semua pembaca blog yang dikasihi....semoga setiap hari anda penuh dengan keberkatan dan kebahagiaan. Bahagia dalam meniti apa jua dugaan baik susah ataupun senang dalam kehidupan yang penuh pancaroba ini.
AZAM BARU : bagi saya tiada titik tolaknya berazam dalam kehidupan ini. Bila kita sentiasa menginginkan yang terbaik dalam kehidupan, maka kita akan berusaha untuk mencapainya. Usaha walau secuil cuma , tetap adalah satu azam. Suatu masa ketika melihat seekor ikan begitu statik dan muncungnya menjunam ke bawah, kak NB menyatakan ikan itu seperti membunuh diri. Si kecil Qaisara  dengan spontan menjawab, buat apa bunuh diri,jangan stress, duduk rumah rehat-rehat,  tengok TV , makan-makan. Hahahaa, walau itu keluar daripada mulut seorang kanak-kanak berusia 7 tahun namun jika direnung kembali betapa mudahnya hidup positif di minda anak-anak. Kita yang mempunyai akal yang komplikated ( rumit) mempunyai jalan fikir yang terkadang sesat dalam pemikiran itu sendiri dan jadilah kita payah mencari jalan keluar yang mudah. Justeru itu sahabatku, walau sesukar apapun masalah yang dihadapi, kita duduk, tenang dan berdoa dengan pertolongan Allah supaya masalah ini dapat kita selesaikan dengan mudah. Jangan sesekali lupa pada ALLAH.
Bersyukur kepada ALLAH kerana memanjang usia kami dan keadaan ibupun sihat walafiat dan panjang usia meniti hari-hari mendatang. Saya berdoa agar saya lebih tabah dalam menanggani kerenahnya yang semakin menjurus ke fasa  kanak-kanak. Suatu hari nanti kitapun akan menjadi tua. Kalau boleh setiap hari kita baja hati kita dengan nilai positif dan berkawan seikhlas mungkin. Jangan menyekat sempadan persahabatan kerana ia tanpa syarat. Sahabat-sahabat kita ikhlas berkawan dengan sesiapa juga. Kita terima sahabat kita dan sahabat-sahabatnya dengan redha dan keikhlasan. Usia yang menjejaki ke arah kematangan harusnya ada kematangan dalam menanggani apa juga masalah mendatang. Anggap ujian Allah bukan sekadar dalam keadaan senang tetapi juga dalam keadaan susah. Maafkan saya jika pernah menyinggung mana-mana sahabat yang saya kenali. Saya hanya manusia biasa yang terkadang lupa dan lalai. Maafkanlah sahabat yang terasa dirinya terabai, terkadang kekangan waktu membataskan peluang untuk kita bersapa.
Suatu masa nanti seandainya kita mampu hidup lebih lama, semoga persahabatan antara kita tetap erat terjalin dan kita akan duduk bersama-sama , bercerita sambil makan dan minum.
Gambar yang dihadiahkan oelh sahabat yang jauh di mata, Heike Backer sempena anniversary kami ke 25 tahun.