UNTUKMU SEGALANYA oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Novel setebal 435 mukasurat ini adalah cetakan semula daripada novel lama yang telah ditambahbaikkan. Isinya lebih tebal daripada yang lama. Bagi saya membaca karya kak Norhayati Berahim sejak dulu hingga sekarang seumpama meniti tangga kedewasaan. Jadi bila membaca karya lamanya ini , sudah pasti ada ketidakpuasan yang dirasai. Hanya satu alasan iaitu, kita sudah tua dan perlukan karya yang berat dan lebih berisi.
Saya gembira sebab bila novel ini ditambahbaikkan, ia diisi dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai murni yang lebih padat. Nasihat dan pengajaran dalam novel ini membuka minda dan menjadi satu medium harapan kepada kaum yang satu ini. Semoga insan-insan yang lari dari personaliti originalnya kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat. Tidak kiralah mereka yang lembut atau yang kasar. Ya Allah berikan mereka hidayah untuk bertaubat sebelum ajal maut menjemput. Seumpama doa Nicky terhadap rakan-rakannya Dolly dan Iskandar ...begitu juga doa kita kepada rakan-rakan kita yang lain...amiin.

Saya mengenali watak Atia yang baik namun saya tidak menyukai kelembutannya yang tidak mampu menolak sikap Azali. Namun seperti pesalah yang telah sedar dan bertaubat, Azali harus diberi peluang untuk membetulkan kesilapan yang banyak dilakukannya terhadap Atia. Tiga kali tamparan yang Azali hadiahkan kepada Atia biarpun tidak sengaja , membuat saya tidak menyukai watak ini. Walau bagaimanapun, saat-saat terakhir Nicky yang banyak menginsafkan Azali untuk lebih menyayangi Atia. Cinta Nicky dan Atia yang tidak kesampaian membuat jiwa saya sendat dengan pengakhiran yang menyedihkan. Inilah novel yang berakhir dengan kisah duka dan kematian. Kak Norhayati Berahim bagaimanapun akhiran ini disudahi dengan keredhaan untuk menjalani kehidupan yang lebih positif. Apa yang pasti untuk kita, hidup ini perlu diteruskan juga samada secara rela ataupun tidak. Siapa kita yang mampu melawan takdirNYA ?

Bacalah novel yang penuh dengan nilai pengajaran ini. Semoga menjadi panduan kepada insan-insan yang mengubah penampilan anugerah Allah dan semoga kembali ke pangkal jalan....amiin.

LENAKAN TIDURNYA oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum, ketemu lagi kita di arena review buku ini. Sudah lama saya menyepi diri dari segala aktiviti blog . Jika dibandingkan dengan segala novel karyawan beliau ,kak Norhayati Berahim membuat kelainan yang drastik kali ini. Novel thriller ini mengajar banyak perkara tentang ilmu agama dan kehitaman hati manusia. Jangan diukur pada ketebalan novel 935 mukasurat kerana setiap mukasuratnya membuat jalinan cerita menjadi semakin menarik. Saya sendiri berhati-hati menyelak mukasurat novel ini, bimbang terlangkau kisah dan isinya. Mungkin ada di antara anda merasakan novel-novel beliau sangat berat isi dan tema yang disampaikan namun jika mendekati novel-novel beliau dan membuat kajian sejenak anda akan perasan dengan mudah bahawa tiada isu yang sama disampaikan oleh beliau.

Secara keseluruhannya mengisahkan bagaimana seorang ibu mertua sangat mendendami menantunya dan sanggup mengenakan menantunya dan cucu-cucunya sendiri dengan menghantar saka untuk mengacau ketenangan dan keselamatan mereka. Sesungguhnya novelis mengajar kita untuk tidak membelakang kekuasaan Allah dan hanya dengan bergantung pada Allah, syaitan dapat ditewaskan. Ketika saya membaca novel ini saya tenggelam dalam bacaan saya, merinding bulu roma saya kerana saya sendiri pernah melihat peliharaan seseorang ketika mengubat mak saya suatu masa dulu. Juga ketika dia menjalankan upacara tolak bala dia mengisyaratkan saya jangan melintas di hadapannya , seakan di hadapannya itu peliharaan-peliharaannya berjalan.... astagfirullah.

Berbicara mengenai watak, saya menyukai watak Cikgu Maimun. Ketabahannya dan kebaikannya merupakan lambang seorang ibu yang terhebat. Walau dikecam dan diancam, beliau tetap tabah dan tidak mendendami ibu mertuanya yang jahat itu. Kasihnya pada suami dan anak-anak membuatkan beliau bangkit dan bertahan. Kelembutannya dan kebaikan beliau menyebabkan anak-anaknya sentiasa menahan hati. Hanya keimanan dan ketakwaan dapat melawan dan menepis sebarang gangguan sihir dan syaitan. Kita sebaik-baik makhluk Allah , bila melakukan kebaikan dijanjikan syurga dan syaitan sudah pasti tetap menjadi penghuni neraka. Maka , kita jangan takut kepada syaitan dan berpeganglah pada Allah . Hanya ayat-ayat Al Quran yang dapat menepis segala serangan syaitan tersebut.

Watak pembantu yakni Nek Nyonya dan Tok Walid mewakili generasi tua yang berpengalaman dan padat dengan ilmu di dada. Malahan mereka mempunyai makrifat yang tajam sehingga dapat menyelami isi hati dan menghidu kemungkinan yang buruk. Mereka menjadi pakar rujuk dan tidak membiarkan keluarga ini teraniaya.

Begitu dasyatnya dendam seorang perempuan apabila cintanya ditolak. Nek Peah yang obses terhadap Tok Fakar sehingga bertahun mendendami ahli kerabat Tok Fakar. Mungkin dia sengaja menyetujui pernikahan anaknya Musa dengan anak Fakar iaitu Cikgu Maimun bagi memudahkan dia melaksanakan dendamnya itu. Sifat dengki dengan kehidupan Nonya dan Fakar menjadikan dia kehilangan kewarasan. Inilah manusia yang telah hitam hatinya dan tidak insaf, malahan jauh terpesong daripada jalan Allah. Sehinggakan kehidupan tuanya yang penuh dengan amarah dan hasad dengki menyebabkan dia dipulaukan oleh orang-orang kampung. Sebagai manusia kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, membersihkan jiwa dengan bersolat dan mengaji supaya syaitan tidak berpeluang untuk menetap dalam setiap ruang sendi dan pembuluh darah kita sehingga kita mudah terpesong. Bagi saya , Nek Peah , kalah dikaki syaitan dan cintanya bukan cinta luhur tetapi cinta nafsu serakah. Dia seakan lupa hayatnya dipinjamkan oleh Allah....semoga kita tidak sejauh ini tersesat dalam kegelapan. Kasihan melihat dia terbongkok-bongkok, malah  ke sana sini meminta wang untuk membeli ayam hidup bagi dijamu kepada syaitan peliharaannya. Rasa kasihnya telah lenyap dari hati.Namun anak-anaknya tidak ada yang mengikut kejahatannya. Malahan cucu dan anak-anaknya sentiasa berusaha untuk menasihatkannya kembali ke pangkal jalan. Baginya dia sangat berkuasa dan dia lupa ilmu sihir syaitan itu ada kelemahannya. Manusia dikurniakan akal dengan berpaut pada pertolongan ALLAH SWT mampu mengalahkan kesihiran dan kejahatan syaitan ini. Sedih bila pengakhirnya seorang manusia yang patutnya menjalani hari-hari tua dengan kasih sayang cucu-cucu dan anak menantunya yang baik-baik tidak dapat diselamatkan , malah terbakar hangus oleh olahannya sendiri. Moga kita semua dijauhkan dengan pengakhiran yang sebegini.....matikanlah kita dalam keadaan yang beriman amiin ya rabbi.

Hubungan Hana  dan Dani bagi saya , sangat melucukan. Kali ini watak Dani dijadikan hero yang sangat nakal juga gatal..hahahhaa. Dia dianggap lelaki playboy walau hakikatnya kita tahu Dani hanya menyintai Hana sahaja. Dan Hana rupanya sangat membenci Dani sejak belajar di universiti lagi. Kesilapan Dani menyukarkan segala usahanya untuk mendekati Hana. Namun mereka berdua ini berjaya disatukan oleh kedua ahli keluarga . Perkahwinan mereka ini berjaya menamatkan sumpahan Nek Peah sehingga terbakar sendiri. Sesungguhnya syaitan tidak suka umat manusia membina masjid. Syukur setelah berkahwin Hana mulai menyintai suaminya.

Kemudian watak-watak lain dengan pelbagai peristiwanya menjadi teladan untuk kita . Watak Ayu , gadis yang dirogol oleh ayahnya sendiri, memberi kita jalan untuk membantu agar mangsa seperti Ayu dapat menjalani hidup dengan baik. Watak Naemah yang kahwin muda , bila hilang pergantungan terpaksa berusaha mencari nafkah menyara anak-anaknya. Watak Azimah dan Basri yang mengalami konflik rumahtangga bila Basri kahwin secara senyap bagi membantu wanita OKU. Wanita walau mulutnya mengizinkan suami berpoligami tetapi hakikatnya hati tetap terluka juga.

Saya tetap memberikan bintang sepenuhnya pada novel ini kerana ia mengajar kita supaya jangan takut pada syaitan dan jangan tunduk pada nafsu dan bersihkan hati selalu. Kesabaran tetap  membuahkan hasil yang sangat manis..insyaAllah. Kepada penulis, jangan berhenti menulis dan semoga menghasilkan lebih banyak kisah masyarakat yang boleh menjadi ikhtibar kepada generasi di sekeliling kita. Tahniah kakak!.