PROJEK AMAL

0

Posted by Leeza | Posted in


Ini adalah projek amal kami yang ke dua. Projek pertama telah berjaya dilaksanakan iaitu  Lawatan ke Rumah Anak Yatim Limpahan Kasih di Puchong. Projek ini diusahakan oleh kami sesama kawan, Kak Norhayati Berahim, Kusyi Hirdan, Zulkifli Haron, Khamisah Hj Nazri, dan Norazlina Yusof @Aween. Saya menyumbang dari jauh sahaja. Namun kali ini kami mengalu-alukan penyertaan kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang berminat samada dalam bentuk tenaga, sumbangan wang atau sumbangan kuih raya bagi menyertai kembara ukhuwah ke Utara ini.Kali ini sasaran kami ialah mengumpul dana RM10K untuk dua buah rumah anak yatim yang 'terpinggir' . Sebuah rumah anak yatim yang dikenalpasti iaiatu Teratak Rahmat di Perlis dan sebuah lagi di Ipoh. Namanya akan diberitahu kemudian.

Biarpun saya jauh, kenapa saya tetap berusaha untuk melibatkan diri? Bukan saya terlebih belanja atau terlebih rezeki..tetapi saya amat sensitif dengan kedaifan anak-anak yatim ini. Sudahlah tidak punya sesiapa, menumpang kasih kepada kita yang berkemampuan. Saya tidak pernah menolak jika diajak menjayakan kerja-kerja amal ini .Saya pernah berdiri di khalayak ramai mengumpul derma sempena Hari Bendera Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. Saya masih menjadi ahli VAD /sukarelawan PBSMM. Perasaan bila melihat wajah anak-anak ini ceria, tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Syawal 2011 bakal menjelang. Kami amat memerlukan bantuan dan sumbangan anda untuk menjayakan projek amal ini. Kami memohon bantuan dana kewangan, dan kuih raya. Jadi, jika boleh sudilah kiranya rakan pembaca di luar sana menyumbangkan sedikit keikhlasan anda. Tolong war-warkan usaha ini kepada rakan-rakan yang lain , semoga kita semua tetap mendapat rahmat Illahi dunia akhirat....amin.
Anda boleh hubungi nbkara@yahoo.com atau norazlinayusof@gmail.com. Bagi anda yang berada di Sarawak atau di mana sahaja , anda juga boleh hubungi saya di alamat elleezb@yahoo.com. SEGALA SUMBANGAN ANDA HENDAKLAH SAMPAI SEBELUM 12 OGOS 2011.

Selain daripada itu, bagi anda yang mengunjungi Pesta Buku Selangor anda boleh masukkan terus sumbangan anda ke tabung amal ini di BOOTH NB KARA bertempat di N23 ,SACC, Shah Alam. Kami sentiasa permudahkan cara anda melibatkan diri ke projek amal ini. Projek ini bagi saya adalah projek kita ,projek amal pembaca novel Malaysia. Kita yang tidak kedekut berbelanja untuk buku maka tidak salah kiranya kita hulurkan sedikit untuk pihak anak-anak yatim yang memerlukan bantuan.
Kami pihak KEMBARA UKHUWAH KE UTARA mendahulukan ucapan terimakasih atas kerjasama anda semua. Semoga kita menjadi umat yang sentiasa bermurah hati untuk beramal ke arah kebaikan...amin.

SEJAM RM2.50 oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in


Rasanya novel ini ingin saya dakap sepanjang masa ,tak ingin dilepaskan biar sesaatpun. Sukar saya gambarkan perasaan ini setelah menghayati novel ini...seribu variasi perasaan berkecamuk dalam diri saya. Ada tangis , ada senyum, ada tawa mengiringi setiap perjalanan plot novel ini sehingga akhirnya pengakhir cerita saya tamatkan dengan keluhan yang amat berat. Novel ini seakan menuntut satu tanggungjawab yang besar buat saya....memikul sebuah harapan yang sangat agung demi memartabatkan bangsa dan agama.

Pada mulanya ketika diwar-warkan tajuk novel terbarunya oleh beberapa orang yang rapat dengan penulis, dan saya masih tercongak dengan teka-teki apa maksudnya RM2.50 , saya menjadi takjub dengan perubahan baru terhadap tajuk yang unik berbanding dengan tajuk-tajuk yang biasa. Apa yang melucukan ialah, ramai peminat Kak Norhayati Berahim tertanya-tanya ,biar betul hendak jumpa kak NB kena bayar RM2.50 sejam...hahahaha kelakar sungguh bila diingat balik. Tajuk ini juga membuatkan sahabat saya Nik Fauziah Nik Hussein tidak perasan dengan novel barunya ini. Maka jadilah si Nik ketinggalan 'belon'.

Tema utama isu kekeluargaan menjadi tunjang dalam setiap novel beliau.Kali ini beliau mengungkapkan isu lelaki berpoligami dan tidak berani mengisytiharkan perkahwinan keduanya kepada umum demi menjaga reputasi diri. Alangkah pengecutnya dan kejamnya lelaki sebegini. Berani dan angkuh berkahwin dua tetapi takut mencanang perkahwinan keduanya.Reputasi diri yang diagungkan mengorbankan bukan sahaja hati isteri ke dua tetapi juga jiwa anak-anak daripada perkahwinan ini. Dan setelah semuanya terbongkar sebaik nyawa direnggut pergi, ia merobek luka di hati isteri pertama dan mencarik jiwa anak-anak yang lain pula. Namun Tan Sri Fakhrul begitu bertuah kerana isteri-isterinya amat baik, punya jiwa yang murni untuk melestarikan hubungan kekeluargaan ini dengan cara yang aman damai. Bila saya renung perwatakan Tan Sri Fakhrul , saya merasakan betapa buta hatinya sehingga tindakannya ini hanya mampu disesali saat usia dimamah masa, namun luka yang berbekas di hati anak-anak sukar mahu dikikis kerana sudah beku menjadi dendam yang dalam di hati anaknya Sean. Kemudian Datuk Muhid pula , digambarkan sebagai lelaki yang terlalu menurut rasa hati tanpa memikirkan sedalamnya , bertindak secara terburu-buru dan akhirnya menyesali tindakannya ini ,mengahwini seorang perempuan muda yang materialistik seperti Safina.

Persoalan lain yang dikupas oleh penulis ialah dendam yang wujud di hati kita bernama manusia. Betapa dendam itu menjadi duri dalam kehidupan manusia itu sendiri. Hussin yang mendendami papanya bertahun-tahun hidup dalam duka nestapa. Dia tidak mampu memaafkan papanya atas apa yang dilakukan oleh papanya. Dendamnya berkemuncak saat kematian adiknya Asyraf, dan ini menjadikan dia dingin terhadap papanya sendiri. Begitu juga dengan Wafa yang turut mendendami papanya Datuk Muhid yang sering merendahkan minat dan bakatnya terhadap lukisan . Segala kata-kata papanya menjadikan dia menjadi anak yang sering menjauhkan diri dan berazam untuk berdikari tanpa mengharapkan wang papanya. Namun masa yang berlalu menjadikan mereka dewasa. Hussin dan Wafa sedar bahawa tidak ada gunanya menyimpan dendam dengan bapa masing-masing kerana ia menjadikan hidup mereka merana dan tidak  gembira.

Novel Sejam RM2.50 ini juga mempersoalkan isu agama dan kali ini ada perubahan dalam penulisan novel NB kali ini iaitu beliau menjurus kepada semangat patriotisme dalam novelnya ini. Wow....mungkin pembaca tidak perasan bahawa tanpa kita sedari beliau sudah cuba menyelitkan unsur patriotik ini dalam menanggani isu di Ulu Saritan. Katanya , novel ini agak berat.....dan saya akui segala isu Ulu Saritan amat sensitif dan berat untuk diselesaikan . Beliau memberi jalan , cadangan tentang cara penyelesaian masalah-masalah sosial sebegini. Segala masalah yang ditimbulkan, arak, judi, seks bebas sebenarnya wujud di mana-mana sahaja. Memandangkan Ulu Saritan kecil maka masalah sosial ini nampak sangat teruk dan ini amat perlu menjadi  iktibar untuk kita mengawasi apa yang dilakukan oleh anak-anak kita di luar rumah.Namun banyak kerenah manusia dan pengajaran yang dapat kita cedok dan jadikan panduan untuk kita bermuhasabah diri melalui novel ini. Antaranya ialah ;
1. Tanggungjawab sosial untuk saling mengingati tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada golongan dalam bidang agama sahaja. Kita sebagai ahli masyarakat berperanan untuk saling tegur menegur dan pesan memesan untuk mengelakkan daripada tergelincir ke jalan yang mungkar.
2. Banyak cara yang dicadangkan oleh penulis dalam menanggani masalah sosial di kalangan remaja dan kanak-kanak , contohnya memberikan upah sejam RM2.50 untuk menghadiri diri ke surau dan melaungkan azan setiap kali sholat. maksudnya di sini , dalam mendidik anak-anak, tidak perlu menggunakan kekerasan dan rotan tetapi mengubah cara pendekatan untuk menarik minat golongan ini menyedari kesilapan mereka secara halus dan lembut. 
3. Kelemahan kanak-kanak di Ulu Saritan adalah disebabkan kurangnya aktiviti untuk mereka menghabiskan masa dan ketiadaab kemudahan insfrastruktur untuk beriadah seperti padang permainan.
4. Peranan surau perlu diqimarahkan setiap masa untuk menyuntik kesedaran di kalangan orang-orang kampung dalam soal agama. Namun sayangnya golongan masjid sering berebut jawatan menjadikan surau terbiar begitu sahaja. Surau hanya digunakan semasa bulan Ramadhan sahaja menjadikan hari-hari yang lain ia terbiar, kotor dan menjadi tempat penagih dadah bersarang.
5. Persahabatan memberi ruang dan jalan untuk sama membina wawasan membangunkan sesuatu kawasan yang bermasalah. Namun persahabatan yang salah dan dikhianati seperti kerenah Mak Aji Salwa , sebaiknya dielakkan untuk tidak menimbulkan masalah yang rumit di kemudian hari.
6. Pemimpin kawasan harus peka dengan masalah sosial  yang wujud di kawasan masing-masing . Inilah sepatutnya yang harus AJKK Kampung mainkan peranan untuk tidak membiarkan maksiat berleluasa di kampung. Jika ibubapa tidak ambil kisah dengan pergerakan anak-anak di luar rumah maka situasi seperti Ulu Saritan yang jahil akan wujud.
7. Maksiat bukan hanya melibatkan salahlaku seks sahaja tetapi melibatkan semua yang sumbang dan haram di sisi agama seperti minum arak, berjudi dan sebagainya.

Hakikatnya novel ini sangat istimewa kerana ia melambangkan harapan penulis terhadap anak-anak Sarawak . Karektor Abang seakan harapan penulis kepada Luqman dan kawan-kawannya untuk lebih  menghargai ilmu dan berubah ke arah kebaikan . Juga karektor Cucur yang dibentuk melalui RM2.50 berubah menjadi insan yang berjaya sehingga melanjutkan pelajaran ke universiti. Alangkah baiknya jika novel ini Luqman baca. Saya sedang berusaha untuk membuat Luqman membaca novel ini suatu hari nanti.

Ada satu soalan yang masih belum terjawab , siapakah ayah kepada DOLLY ? Saya seakan dapat meneka ,adakah Haron ayah kandungnya ? Pun juga saya tertanya-tanya kenapa Haron tergesa-gesa meminta mamanya meminang Wafa untuknya , seakan dia lari daripada sesuatu masalah yang berat. Tidak mungkin hanya kerana kejatuhan nilai saham syarikat yang berpunca daripada keburukan imejnya.   Ya, rasa tertarik Haron kepada Wafa adalah disebabkan daripada pertembungannya secara kebetulan dan daya tarikan Wafa yang berambut perang dan bermata hazel menjadikan dia kegilaan Haron. Namun bagi saya itu bukan cinta kerana apabila Wafa sudah bertudung, Haron seakan tidak lagi berminat kepada Wafa. Berbeza dengan Sean yang jatuh hati melalui pertemuan pertama, ketika melihat Wafa dari seberang tali air.

Ini hanya pandangan saya secara peribadi. Ada beberapa kesilapan atau tersasul dalam dialog( disengajakan untuk menjadi bahan gurauan) dan ternyata ia digunakan sebagai teknik untuk menceriakan jalan cerita. Perjalanan plot cerita sangat teratur dan saya sangat sukakannya. begitu juga watak-watak yang diwujudkan oleh penulis dalam novel ini. Pada permulaan cerita peristiwa zaman kanak-kanak , saya sering menangis melihat penderitaan Asyraf sehingga ke akhir hayatnya , papa yang diharapkan muncul tidak pernah muncul hanya kerana lelaki ini terlalu menjaga reputasi politiknya. Benci saya dengan watak Tan Sri Fakhrul. Saya sangat menyukai watak Basri...alangkah bagus andai saya ada adik seperti Basri. Juga ibu-ibu yang mempunyai karektor yang sangat menarik, Mami, Umi , Puan Sri Salmah, dan Puan Nori, empat wanita ini bila digabungkan menjadikan keluarga ini sangat hebat. Juga gabungan adik beradik yang sangat mantap , Hussin, Asnor, Hassan dan Asyraf , sepatutnya Tan Sri Fakhrul rugi  masa dan peluang bila mengabaikan mereka. Sakit hati saya mengenang kembali perangai Mak Aji Salwa dalam cerita ini namun saya tidak mahu menyimpan dendam sehingga saya hanya ketawa bila membacanya semula. Terimakasih Kak Norhayati Berahim kerana akhirnya berjaya membuat cerita berlatar belakang Sarawak dan nama-nama unik seperti Cucur sangat melucukan . Inilah indahnya Malaysia,sebuah negara berbagai budaya dan etnik yang unik.

Ya....semestinya 5 bintang saya berikan kerana novel ini adalah harapan penulis untuk semua generasi. Iktibar untuk kaum guru dan ibubapa juga kritikan sosial kepada masayarakat kampung agar bangkit dan terokailah ilmu untuk terhindar dari kejahilan dan kemungkaran.Inilah semangat patriotik...melalui perjuangan Wafa dan kawan-kawannya. Saya sebagai guru tahu ada kesilapan dalam tindakan saya yang mungkin tersasar kerana saya perlu berlembut untuk menanggani masalah yang wujud. Semoga anak-anak didik saya tidak tersasar ke jalan yang gelap.

Sahabat-sahabatku...adakah anda sudah memiliki novel ini ? Dapatkannya dan hayati kerana jika kita tidak mahu generasi anak-anak kita tersesat , maka kita kena luangkan masa untuk pembentukan sahsiah mereka. Ada beberapa orang rakan bertanya adakah watak Cikgu Zaza adalah watak saya dan adakah Ulu Saritan adalah kampung saya, jawapannya tidak. Saya tidak sehebat Zaza dan Ulu Saritan bukanlah Ulu Semera. Ia hanya gambaran sebuah kehidupan dan kegelapan di kawasan luar bandar. Masalah ini wujud di mana-mana jua....dan kita harus memastikan masa depan kita cemerlang bukan hanya dari segi dunia tetapi juga akhirat.

Ulasan Cuti Penggal 1, 2011

0

Posted by Leeza | Posted in

Syukur alhamdulilah kerana cuti selama dua minggu telah kulewati dengan tenang dan tenteram. Tiada rasa bosan melanda memandangkan perkataan bosan dan tensen telah lama ku buang jauh-jauh dari lipatan hati dan minda. Benar kata kak Yati bahawa kita harus bersyukur dengan apa sahaja yang kita miliki.

Biarpun emak saya masih sakit akibat terjatuh kali ke dua, saya tetap jalani kehidupan melayani dan menjaganya seperti anak kecil saya. Dia pula lebih mahu saya berada di sisinya sentiasa. Bersyukurlah kerana saya tidak menempah tiket bercuti ke mana-mana kali ini. Sudah menjadi kelaziman setiap kali cuti sekolah saya pasti keluar dari Sarawak bercuti di mana-mana samada secara solo atau berteman. Maka saya hanya luangkan masa ke Kuching setiap kali membeli keperluan harian. Saya bawa anak saudara dan cucu saya menonton wayang dan makan-makan.

Namun jauh di sudut hati, saya mulai terasa sesuatu tanda-tanda yang mungkin saya tak perasan sama sekali. Ini kali kedua 'dia' buat saya begini. Tak mengapalah...jika ini sebagai isyarat untuk saya tahu diri, saya seharusnya mengerti dan faham-faham sendiri. Jawapannya tidak logik sungguh ketika saya meminta penjelasan. Lantas saya sedar diri bahawa saya hanya menjadi tempat ketika dia memerlukan sahaja. Pendekata dipergunakan secara tidak langsung. Maka saya seakan tahu diri bahawa saya harus bersendirian seperti sedia kala....Bukan dia sahaja tetapi ada orang lain juga bertindak serupa. Amat sedih rasanya bila perkara sebegini berlaku. Kawan datang dan pergi dalam hidup saya. Namun saya tidak mengeluh dan tidak mahu keadaan ini menjadi duri dalam hati saya. Saya harus bersyukur dan menghargai persahabatan. Saya bersyukur kerana kasih saya biarpun jauh sentiasa ada dan menceriakan saya. Thanks to my Geng Pizza and my dear idolas.Juga terimakasih buat geng kolej saya yang tidak pernah mengabaikan saya setiap kali ada kesempatan kami bertemu. Itulah...saya harus bersyukur sentiasa sebab dalam satu kekurangan Allah bagi kelebihan untuk menawar duka.
Jelasnya cuti ini amat bermakna dalan hidup saya. Bukan sahaja saya diuji dengan kesihatan yang tidak baik malah diuji dengan kesabaran menjaga ibu yang sakit. Malahan cuti ini membuat saya bermuhasabah diri tentang kekurangan diri. Ia juga menyedarkan saya tentang erti kejujuran dalam persahabatan. Sedih sebenarnya bila kawan buat kita sebegini, namun apa boleh buat inilah resam kehidupan yang harus kita tempuhi sebagai manusia. Tingkatkan sahaja keimanan dan banyak-banyak mengingati ALLAH yang tak pernah berhenti mencintai kita.

CUTI : Keluar Dengan Seorang Kawan

0

Posted by Leeza | Posted in

Kawan saya : ASMAH ASHAT
 Saya mengenali kawan saya ini semasa Kak Norhayati Berahim membuat sesi bertemu peminat di Gerai Novel Franchis di Pasar Satok. Kemudian hubungan kami dieratkan lagi dengan adanya Facebook. Semasa saya tidak sihat dan memerlukan teman untuk mencari kain langsir dan menempahnya, beliau tanpa banyak tanya sudi menemani saya ke Kamdar. Kami ke Kamdar sehingga jam 2 .30 petang. Dia tahu saya masih demam dan dia memandu kereta. Kami akhirnya makan di SCR Express di Spring.
 Ini makanan pilihan saya kerana saya tak berselera hendak makan nasi. Ini ialah Fried Fish with tartar sauce.(RM5.00)
Salad Chicken rice pilihan Asmah. (RM6.80)

Grilled chicken chop with black pepper sauce and cheese (RM 13.10)

Hahaha...secawan besar air teh panas yang saya minum. alhamdulilah. Terimakasih sahabat kerana sentiasa ada untuk saya saat saya memerlukan.

CUTI : Melepak Dengan Geng Kolej

0

Posted by Leeza | Posted in

Lokasi : Kopitiam After Four, Jalan Rubber Kuching
 Kami sentiasa memastikan kami akan berkumpul bila ada di antara kami yang jauh balik ke Kuching. Kebetulan Dahlia Bujang dan Ariza Ghazalee balik bercuti semasa cuti sekolah ini. Maka melalui sms dan persepakatan bersama kami bertemu di After Four pada 6 Jun 2011 jam 2 petang. Pagi itu saya meluangkan masa menguruskan hal yang berkaitan dengan cukai rumah-rumah saya di Desa Ilmu dan Ulu Semera, kemudian menemani anak saudara saya Fahmi membeli buku-buku rujukan STPM di My Bookstore .Dapatlah diskaun 10% menggunakan kad ahli. Cuaca sangat panas membahang dan dalam hati saya terdetik saya mungkin demam kerana beberapa sintomnya sudah ada. Hakikatnya saya sudah demampun kerana sejak malam itu sudah mendapat batuk selesema.
Dari kiri : LB,Ariza,Ahadiah(AYU), Hajibah (Adib),Dahlia dan Azizah Farizah (Ijok)
Ada sebab kenapa pertemuan ini diadakan.Kami semua telah bertekad meluangkan masa untuk bertemu demi sahabat kami Dahlia yang baru kehilangan orang tersayang. Kami berkongsi dukalaranya...menitis airmata dan perit saya mendengar bagaimana dia berdepan dengan kedukaan anak ketiganya. Anak ini yang paling terpukul dengan kehilangan abahnya sehingga akhirnya Lia terpaksa memukul anaknya. Kata Lia, anak ini [aling baik dan tidak pernah dipukul kerana tidak bermasalah...sehingga bila abahnya meninggal, dia tidak mahu ke sekolah. Ya...Lia perlu kuat demi anak-anaknya. Kita melihat kesedihannya terasa perit dan sebu dada, inikan pula insan yang  menanggung sendiri. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.Semoga Lia sentiasa tabah selalu. Juga seorang lagi iaitu Mas tidak dapat hadir kerana beliau juga kehilangan abang kandungnya yang meninggal secara mengejut. Kebetulan emaknya berada di Korea dan belum dikhabarkan berita ini. Apa yang menggembirakan hati kami ialah, doa kami termakbul bila Mas akhirnya bertudung. hahaha..ini membuat Ayu stres sebab tinggal dia seorang sahaja belum bertudung.InsyaAllah satu hari nanti Ayu akan mengikut jejak kami juga.
Keluarga bahagia , Ijok dan keluarganya.
Amat melucukan kerenah anak-anak Ijok yang tiba-tiba menjenguk kami di After Four. Apa lagi keduanya masing-masing menyerang minuman uminya yang menggiurkan (ada aiskrim).Suaminya , abang Shaiden Hj Lariwoo merupakan senior kami di Kolej. Jadi, beliau bukan asing lagi dengan kami . Beliau juga asalnya orang daerah saya, Sadong Jaya.Abang Shaiden yang membayar makanan dan minuman kami. Kami makan dimsum sai mai , bamboo stick dan buttered bread. Saya hanya minum air teh lemon suam.
Saya bersama Ariza
Bersyukur sebab saya berkesempatan bertemu dengan saudara saya ini, Ariza Ghazalee. Rumahnya lah tempat saya selalu balik semasa hujung minggu. Ibunya umpama mak angkat saya. Jadi, keluarga Ariza sudah macam keluarga ke dua bagi saya.InsyaAllah kami akan melepak lagi di lain kesempatan untuk bertemu dan bertukar khabar berita. Lain kali mereka hendak menjadikan rumah saya sebagai destinasi seterusnya ,insyaAllah...saya alu-alukan kedatangan mereka nanti.

CUTI : Keluar Berwayang Dengan Anak Saudara dan Cucu.

0

Posted by Leeza | Posted in

Dari kiri :Yan,Emy,Azim,Fakhry,Fahmi dan Syed
Saya mengatur aktiviti cuti sekolah selama 2 minggu dengan teliti memandangkan saya menjaga emak yang sakit. Cuti Gawai 1 Jun saya mengambil peluang membawa anak-anak saudara dan cucu-cucu saya keluar untuk menonton wayang dan makan di The Spring, Kuching. Hahaha...asyik Spring je. Ia tempat pilihan saya kerana ia di pertengahan jarak antara Sweetheart of Kuching dan Samarahan. Ini sahaja yang mengikut saya. Kami makan dulu di KFC sebelum menonton wayang jam 1230 tengahari.
Dua orang cucu saya, Syed Najmi dan Syed Akmal

Anak saudara saya ,Ahmad Fakhry 12 tahun. Si Buntit dalam keluarga. Anak bongsu abang Den

Tiga orang budak ini yang mengikut saya menonton Pirate Of Carribean. Sementara anak saudara yang remaja ,Fahmi, Yan dan Azim menonton cerita KARAK.

Selepas tengok wayang, kami shopping sekejap. Saya membeli tempat penyidai pakaian rm29.90 dan dua hadiah birthday untuk Aidit dan Putri..Sempat juga membeli donut di Big Apple untuk dibawa pulang.

Yang pasti saya gembira melihat keseronokan mereka ini . Cuma Luqman sayangnya tidak mahu mengikut bila diberitahu rancangan ini. Yang mengikut saya dalam kereta ialah Azim, dan dua cucu lelaki saya yang saya ambil dari Kampung Meranik, Samarahan. Azim pula dari Semera. Anak-anak abang Den pula dihantar oleh ayah mereka ke Spring.

ZARA : MISI MUSTAHIL? Oleh Kusyi Hirdan

0

Posted by Leeza | Posted in

Sebenarnya novel remaja Zara Misi Mustahil ini telah lama saya habiskan bacaannya. Namun hal-hal semasa yang menuntut masa, tenaga dan memonopoli emosi saya menyebabkan saya tunggakkan review novel ini. Maafkan saya kawan-kawan dan juga Kusyi Hirdan.
Jika anda membaca Mengapa Aku Menjadi Pengetua 1,2 dan 3 anda akan dapat menjiwai watak-watak dalam novel Zara ini dengan lebih efektif . Namun ia tidak menghalang anda membaca Zara tanpa membaca Mengapa Aku menjadi Pengetua sebab ia ditulis dengan kelainan yang berasingan. Ia bukan ulangan kisah Mengapa Aku Menjadi Pengetua tetapi lebih berfokus kepada kelanjutan watak Zara sebagai watak utama.
Zara yang menamatkan pengajian Tingkatan Lima di Kolej Elita dalam usia 21 tahun , akhirnya mengambil keputusan untuk bekerja sementara di Kolej Elita sebagai pengurus Cafe Siber. Hasratnya ini mendapat tentangan ibubapanya yang mahukan anak mereka ke luar negeri samada bercuti atau bekursus di luar negeri mengikut trend anak-anak orang kaya yang lain. Ertinya ibubapa Zara mengikut kehendak sosial dan malu bila anak sendiri bekerja di Kolej Elita. Dalam masa yang sama bila kumpulan seangkatan Zara sudah tamat pengajian muncul satu kumpula generasi baru yang tidak kurang hebatnya dari segi kontroversi perangai, disiplin dan masalah sosial. Di sinilah peranan Zara sebagai senior membantu pihak pentadbiran untuk menyelesaikan masalah anak-anak nakal ini dan berusaha mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti tidak sihat di luar kolej seperti gengsterisme. Wow...buku yang sangat bagus menepati citarasa remaja kini. Saya sebagai orang dewasa pun suka membacanya kerana dalam buku ini kita didedahkan rasahai remaja kini. Mereka hendak kita sebagai kawan dan pemantau yang bijak dan bukannya pendesak atau perosak akhlak anak-anak. Maksudnya anak-anak akan memberontak bila kehendak mereka bertentangan dengan kehendak kita.
 Penulis Kusyi Hirdan juga tidak melupakan stail Mengapa Aku Mnejadi Pengetua menerusi watak Ali, Izaz dan watak Ustaz Peter. Seperti bisa watak-watak ini memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah Kolej yang masih belum terlepas dari khianat dengki golongan tertentu seperti bapa Ellita dan Cikgu Sapiah. Namun novel Zara ini lebih melibatkan persekitaran Zara sendiri, bagaimana ia menyatukan beberapa orang rakan seperti Normawar, Wantu, Titi. Juga muncul watak Benjy ,lelaki yang suatu masa dulu pernah rapat dengannya . Sejauh mana hubungan ini perlukan kita menunggu siri Zara seterusnya.
Dalam novel Zara ini, misi mustahil yang ditekankan ialah misi hendak menyatukan Ali dengan Izaz Noraini. Hanya Zara dan Mak Cik Rohana tahu  perasaan Ali kepada Izaz Noraini. Namun halangan Normawar yang mahu menyatukan Izaz dengan ayahnya Johari menjadi pengacau sedikit. Bagaimanapun dalam masa yang sama Ustaz Peter kian rapat dengan Zara. Ia memercikkan harapan seterusnya...hahahha. Iskk saya ini asyik nak mendorong kearah tut tut tut je. Zara kan remaja. Zara sebenarnya perlu menerajui perniagaan keluarganya dan hal ini saya tunggu siri seterusnya. Masih banyak tandatanya belum berjawab terutama dialog antara Ayu dengan Amilia, mama Zara dan ibu saudaranya.

Saya berikan 4 bintang untuk novel remaja ini. Syabas untuk Kusyi Hirdan kerana berjaya mengungkap kehidupan remaja di sebuah kolej swasta. Saya tunggu kelahiran Zara seterusnya.