2 Ramadhan

Posted by Leeza | Posted in


Jalan yang berkabus
hanya sementara 
mengaburkan pandangan
menjadi tandatanya
apa ada di hadapannya
bagaimanapun jua
kabusnya hanya sementara 
begitu jua
segala kedukaan ini
bangkitlah 
teruskan perjalananmu.

Asalamualaikum rakan-rakan pembaca sekalian. 
Apa khabar anda hari ini ? Semoga perjalanan hidup anda tidak dilitupi kabus . Gambar di atas saya ambil semasa perjalanan ke sekolah pagi tadi. Kabusnya sangat tebal akibat panas membahang berhari-hari. Minggu lepas saya menyaksikan garisan kabus di sepanjang kebun tepi jalan. Seperti gumpalan awan tebal. 

Anda mungkin tidak tahu bahawa anak saudara saya Luqman tidak lagi tinggal bersama saya. Dia menetap di rumah ayahnya yang hanya sepelaungan sahaja dari rumah saya. Jadi ramadhan tahun ini saya menyambut bulan puasa bersendirian sahaja. Namun begitu, setiap kali berbuka saya pastikan memberikan Luqman lauk untuknya berbuka dan bersahur.  Walau tidak  tinggal bersama saya sentiasa pastikannya berpuasa dan bersekolah seperti biasa. Walaupun bersendirian menyambut ramadhan dan tidak bersama mak kerana jadual makannya tidak sama, namun saya redha dengan keadaan ini. Saya tetap memasak sendiri walau hanya sejenis lauk sudah memadai buat saya. Saya cuma makan nasi waktu berbuka sahaja. Waktu sahur saya makan roti dan air milo panas. Saya berazam tahun ini tidak membeli makanan di Bazaar Ramadhan. InsyaAllah.

Hari ini sepatutnya saya membuat kelas tambahan untuk anak didik saya kelas UPSR tetapi memandangkan ada beberapa orang murid tidak hadir dan yang sedia ada itu sudah tertidur keletihan , maka saya batalkan sahaja hasrat ini. Tak mengapalah sebab kelas yang sedia ada itu sudah memadai buat saya untuk memastikan kesediaan mereka menghadapi UPSR. Apa yang pasti saya sekarang tidak tahu mengapa semangat saya merudum sama sekali. Mungkin letih ...dan balik dari sekolah selepas zohor saya terus tidur sehingga ke asar. Mak saya ? Dia pun tidur sama...



Comments (0)