BIAR JARIMU KUGENGGAM oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Bismillahirahmanirrahim...
Dengan izin Allah , syukur alhamdulilah kerana saya dapat menghabiskan novel Kak Norhayati Berahim yang terbaru ini dalam masa beberapa hari sahaja. Malam tadi saya khatam novel ini dalam keadaan yang sesak nafas , dan mata saya sakit kerana hakikatnya saya berusaha sedaya upaya untuk tidak menangis. Ya, jika rasa tangis cuba ditahan dan dada terasa sendat dengan sedu sedan maka baiklah dilepaskan airmata supaya tidak memudaratkan diri sendiri. Dua perkara yang buat saya menangis dan rasa sangat sakit iaitu Sufian dan Mariam. Pada saat ini, menyebut nama kedua insan inipun tak terasa airmata saya mengalir. Watak Sufian yang pengakhirannya mendukacitakan namun memberi ikhtibar kepada kita. Dia mendapat HIV bukan daripada cara hidup songsangnya tetapi Allah tetap turunkan bala dengan cara yang berbeza. Namun beliau sempat bertaubat dan watak ini juga mengajar kita bahawa walau berjutapun harta tetapi bila sakit segalanya tidak berguna. Sedih bila mengingatkan dia dihalau oleh ibu sendiri sehingga saat menghembus nafas terakhirpun tidak sempat berjumpa dengan ibunya. Rasa kasihnya pada ibu tidak luak walau ibunya membencinya , bila beliau meninggalkan sebahagian harta kepada kedua ibubapanya . Walau bagaimanapun Mariam mempunyai harapan untuk terus hidup.

Pada mulanya penulis mendedahkan tentang seorang anak kecil di nurseri bunga , ia satu permulaan yang dipandang ringan dan mungkin dilupakan oleh pembaca kerana seterusnya penulisan kak NB terus berlari bersama waktu perkembangan plot dan wataknya. Banyak peristiwa dianyam dengan cantik dan seakan kita berada dalam sebuah bilik tayangan khas peribadi menonton perjalanan tiap wataknya. Pada saat ini , kita merasakan diri kita tidak mahu diganggu oleh sesiapapun dan keadaan apapun kerana jalan ceritanya sangat mengikat jiwa dan perasaan kita. Penonjolan watak antagonis , Puan Fauziah yang hyper , tipikal watak perempuan yang tidak dapat diubah-ubah perangainya. Rasanya kalau wujud watak ini dipersekitaran saya, mahu stress saya hari-hari dibuatnya. Namun dalam penyampaian watak yang negatif ini tidak lupa juga terselit kelucuan , contohnya ketika dia beria-ia berpuasa semasa 1 Rejab...hahaha . Sayang Mak Cik Rabiah terlalu baik, lemah lembut...jika saya , mahu tak jadi makan Puan Fauziah dibuat saya. Paling saya geram bila satu hari dia menghempas tudung periuk nasi rumah Mak Cik Rabiah...hesy, hesy..sungguh tak punya rasa malu dan segan. Ya, kerana Sufian saya sangat membenci watak ini sehingga ke akhir novel. Namun penulis ada rasa belas pada watak ni bila kepulangan Zulaikhah melahirkan satu harapan untuk mengubah perangai emaknya ini. Moga dia berubah dan insaf dengan sikapnya itu.

Saya akui saya tersilap membuat percaturan dan berprasangka dengan kak NB dalam corak penulisannya kali ini. Ternyata tekaan saya silap sama sekali. Beliau tidak menggunakan teknik penulisan yang sama. Saya menyangkakan watak Adila adalah Wilma tetapi rupanya tidak. Saya dari mula kemunculan watak Adila saya mencari dan tertanya-tanya di manakah Adila berada. Hanya penghujung cerita baru saya tahu bila Henry menceritakan tentang Adila. Jika ada yang mengatakan penulisan Kak NB adalah sama dan streotype, mahu saya naik angin . Caranya tidak sama dan setiap kali novelnya sentiasa berbeza. Itu yang membuatkan kami tertunggu-tunggu novel terbaru beliau.

Anak-anak membesar disebabkan corak didikan ibubapa. Inilah tema utama yang cuba disampaikan oleh penulis. Sufian dan Zulaikhah menjadi rapuh dan tersesat jalan kerana kelalaian ibubapanya. Sikap emak yang dominan , tidak memasak sarapan dan tidak mendidik anak-anak dengan ilmu agama yang cukup menjadikan anak-anak tidak kuat pegangan dalam menempuh arus kehidupan yang sangat mencabar. Akhirnya penyesalan tidak berhenti-henti dan jadilah kisah duka Sufian berakhir dengan tangis yang panjang. Syukurlah pengakhiran Zulaikhan sangat menggembirakan. Kita diberikan contoh terbaik dengan baik budi pekerti Wilma dan Wahid. Saya sangat suka dengan dua watak ini yang sinonim semua pembaca suka. Watak baik akan disukai. Namun kita boleh ambil ikhtibar dan teladan dengan mencontohi sikap Wilma meladeni masalah rumahtangganya, masalah di tempat kerja dan cara pergaulannya setiap hari. Dia anak yang sangat menyayangi ibunya. Cuma kerinduan Wilma terhadap arwah ayahnya menyebabkan saya juga merindui arwah bapak saya. Dulu kalau saya bergaduh dengan emak, arwah bapak selalu menyebelahi dan memujuk saya. Saya berharap buku ini dibaca oleh semua ibubapa dan contohilah cara Mak Cik Rabiah mendidik anak-anaknya, lembut sahaja. Wanita yang baik lain yang ditunjukkan oleh kak NB ialah watak Dr Maznah yang sabar dengan anak-anaknya. Keluarga Dr Zahari dan Dr Maznah mengetengahkan  betapa pentingnya untuk sabar dan menjadi pemaaf. Saya sebak sangat-sangat membaca perjalanan kehidupan keluarga ini dan penderitaan Mariam. Terbayang-bayang di mata saya Mariam yang sakit. Hati saya menjerit-jerit berharap watak Mariam tidak dimatikan. Dugaan sangat besar bila hanya seseorang yang kehadirannya tidak didoakan yang mampu menunaikan harapan dan doa keluarga ini. Ini memerlukan anda membaca sendiri untuk lebih penghayatan. Saya tak mampu melahirkan ia dalam tulisan.

Doa sangat penting dalam kehidupan kita. Jangan berhenti berdoa kerana pada Allah sahajalah kita mampu berserah dan bertawakal. Saya tahu ada di antara rakan saya bila ditimpa musibah akan menidakkan mujarabnya doa menjadi penawar. Namun membaca novel ini, saya berasa sangat tenang. Bagaimana Sufian menyalahkan sikap emaknya dan Wilma menyedarkan betapa penting anak-anak turut mendoakan agar emaknya berubah. Begitu juga bila berdepan dengan keburukan orang lain ,kita tidak harus menghukum dengan mudah tetapi sebaliknya mengambil jalan yang lebih afdhal dengan mendoakan agar individu yang jahat tersebut berubah menjadi baik. Cuma doa untuk mak mentua jahat seperti Hajjah Ramlah ini tak makbul juga. Sebaliknya menjadi teruk. Mungkin setelah Riduan meninggalkannya , Hajjah Ramlah menjadi lebih insaf. Dia perempuan yang sakit jiwa kerana mengawal kehidupan anak dengan melampau sangat sehingga ke bilik tidur pun dia ikut. Hahahaha...saya tak dapat lupa rasa terkejut saya bila beliau mengikut anak menantu berbulan madu malahan tinggal SEBILIK. Dasyat sungguh....

Latar pekerjaan , jururawat dan doktor. Banyak info diberikan dan banyak kisah menjadi teladan. Juga Kak NB memberikan info terbaru tentang tokoh perubatan Islam yang dilupakan iaitu Siti Rufaidah bt Saad. Banyak info lain yang beliau selitkan dan syukur sebab kita bukan hanya membaca novel sahaja tetapi juga berkongsi maklumat dan ilmu di dalamnya. Terimakasih kepada Kak NB , saya sendiri banyak mendapat ilmu dalam novel ini terutama berkaitan saat kematian dan doa.

Novel ini rasanya tidak puas saya baca. Juga mengulasnya seakan tidak cukup satu pos sahaja. Namun saya tidak mahu mengulasnya panjang-panjang sehingga menganggu keseronokan orang lain membaca. Bak kata sahabat saya Roslaini , beliau sampai bengkak mata menangis membaca novel ini. saya yang gelakkannya , akhirnya mengakui turut menangis walau tidaklah sampai bengkak mata tetapi mata sakit menahan . Banyak yang buat saya sedih namun trajedi Wilma dan Riduan lebih melahirkan rasa sakit hati terhadap watak Hajjah Ramlah dan watak Riduan yang tidak menyebelahi isterinya. Geram saya....hehehe .

Selamat membaca novel ini dan anda boleh dapatkan di pasaran dengan harga RM31.90 /RM34.90 . Anda boleh layari http://www.nbkara.com.my. untuk dapatkan novel ini secara online. 5 Bintang saya berikan untuk novel ini....tahniah kak Norhayati Berahim sebab bukan calang-calang penulis yang dapat menulis sehebat  ini. Penyampaian berisi yang sangat padat dengan ilmu dan pengajaran.

ASYIK SANG PUTERI oleh Nurasikin Arsad

0

Posted by Leeza | Posted in

Asyik Sang Puteri
Penulis : Nurasikin Arsad
Penerbit : NB Kara Sdn Bhd
Harga : RM21.90 / RM24.90
http://www.nbkara.com.my


Asalamualaikum w.b.t... 
Novel ini sangat santai untuk dibaca. Bermula kisah dari kecil hingga dewasa dan pengakhiran yang bahagia amat santai untuk dibaca . Sesekali membuat kita tergelak membacanya. Penulis tidak melupakan perjalanan hidup sang Puteri yang penuh ranjau berduri. Biarpun tinggal dengan ibu, dia diseksa dan mengalami banyak kesedihan. Jika terus membacanya , barulah kita dapat jawapan mengapa dan mengapa. Persahabatannya dengan Azrul dan Nani menjadi penawar dan penguat semangat untuknya meniti kedewasaan. 

Cinta dan angan-angan menjadikan Puteri keliru dalam memilih hala tuju kehidupannya. Oleh kerana dia sentiasa berangan menjadi seorang puteri , maka dia memilih Tengku Mirza sehinggalah pada ambang peminangan Tengku telah terbongkar rahsia siapa Tengku Mirza sebenarnya.  Pada masa itu Puteri sebenarnya telah mempunyai perasaan sayang melebihi seorang kawan terhadap Azrul namun dia menunggu Azrul meluahkan perasaan. Si Azrul pula lelaki Melayu terakhir yang susah untuk berterus terang. Namun itulah kita harus akui bahawa jodoh pertemuan di tangan Allah jua. Dan saya berasa sangat lega dan bersyukur kerana Puteri mengambil keputusan yang bijak antara dua lelaki ini. Siapakah pilihannya? Marilah kita membaca novel ini sendiri. Garapan penulis dalam membuka plot dan tema tentang cinta dan jodoh ini , sangat bagus. Saya berharap semua wanita bujang di luar sana bijak membuat pilihan dalam menentukan pasangan hidup masing-masing. Janganlah kerana nafsu dan materialistik membuatkan kita merampas atau menganggu suami orang. Walau cinta itu seratus persen tetapi menjadi kedua atau ketiga dalam hidup seseorang bukan mudah. Perkahwinan bukan untuk masa suka tetapi masa duka juga. 

Dugaan hidup Puteri yang misteri bagi saya, akhirnya terungkap setelah dia temui ayah kandungnya. Rupa-rupanya Mak Cik Rozita bukan ibu kandungnya. Ngeri bila saya dapati apa yang pernah dilakukan oleh Mak Cik Rozita dalam usaha untuk mendapat cinta ayah Puteri. Dan saya tak mampu untuk menahan diri daripada tergelak guling-guling bila  yang dijampi lain yang tersangkut pula lain. Anda harus baca ..seronok. Ini pengajaran untuk kita semua . Jangan menggunakan ilmu hitam untuk mendapatkan sesuatu. Berdosa besar sebab ini namanya syirik. Persahabatan yang murni antara mereka bertiga sangat mengharukan. Inila yang semua manusia idamkan...mempunyai sahabat sejati yang sanggup susah dan senang bersama . Sahabat yang tidak mungkin mengkhianati dan berbohong dengan sahabatnya. Ikhlas dan jujur.

Cinta Azrul yang sanggup bahagiakan Puteri sungguh menyentuh hati. Bahagialah Puteri mendapat lelaki sebaik Azrul. Walaupun novel ini santai namun penulis juga menyelitkan beberapa info. Terdapat perdebatan antara Azrul dan Nani tentang dunia mistik dan fakta Sains. Justeru itu, anda tidak rugi membacanya , selain bersantai , bergelak ketawa, berfikir tentang beberapa misteri tentang kehilangan Puteri, Azura , malahan boleh menambah ilmu pengetahuan.

LELAKI TIDAK BERSALAH oleh Kusyi Hirdan

0

Posted by Leeza | Posted in

Novel ini saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2012 di PWTC. Design gambar kulit sangat menarik dan buat kita tertarik untuk mengetahui intipati cerita dalam novel ini. Burung merpati lambang kebebasan dan keamanan.

Saya akui sudah lama saya membaca buku ini . Bukan kerana isinya tetapi disebabkan kekangan tugas harian yang memenatkan sedangkan saya perlukan penghayatan yang lebih dalam membaca sesebuah novel. Ternyata novel ini tidak menghampakan , lari jauh dari masalah cinta malahan ia amat berat bagi saya. Dapat saya rasakan betapa penulis menghadapi kesukaran dalam menyampaikan cerita sebuah kisah benar agar pembaca mudah memahami dan bukan hanya sekadar baca begitu sahaja tanpa menyelami apa yang sebenarnya berlaku.

Inilah kisah yang harus dibaca oleh semua pihak. Kita selama ini tidak tahu banyak perkara bagaimana kes tahanan ISA ditanggani, bagaimana seseorang yang waras dan berpelajaran tinggi boleh terjebak dalam sesebuah pertubuhan yang berimejkan agama dan bagaimana kehidupan dibalik pagar besi. Tuhan , saya beberapa kali terasa sebak bila membaca novel ini , perit melihat penderitaan watak, menyelami perasaan ibu dan sahabat baik. Seribu kali kita harus bersyukur dengan kehidupan kita ini.

Kisah Salahudin Nordin yang ditulis oleh Sheila dan Liza memberikan ruang untuk kita berfikir bagaimana memastikan generasi muda kita, zaman anak-anak kita supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan tipu helah manusia yang mempunyai kepentingan sendiri seperti Sufian. Bagaimana penglibatannya dari awal sehinggalah dia mulai sedar ada kepincangan ketika bertindak merampas senjata daripada kem tentera , banyak membuat saya rasa kesal, kenapa mereka yang sedar kepincangan ini tidak bersatu dan bertindak untuk menentang Sufian. Jawapannya ialah mereka masing-masing berasa takut dan tidak tahu siapa yang boleh dipercayai dan siapa yang tidak. Peranan Sheila dan Liza sebagai penulis dan pewawancara Salahudin memberi panduan untuk kita mendalami sebab kenapa Salahudin, seorang anak dan pemuda yang baik, warak boleh terpedaya dengan pertubuhan haram seperti ini. Jelasnya kerana kebijaksanaan Sufian memanipulasi keadaan dengan menggunakan ilmu agama dan ilmu batin. Keterjebakan Salahudin ini sebenarnya boleh ditanggani jika kawan baiknya Fatih tidak renggang daripadanya. Diceritakan bahawa Fatih tidak berminat untuk terlibat dengan serius dalam pertubuhan silat dan agama ini.

Perjalanan hidup Salahudin sejak mula menyerah diri dan di penjara, banyak membuat saya sedar betapa beliau tabah dan berpegang kuat kepada Allah. Ibunya adalah watak utama yang memberi kekuatan kepada anaknya dengan menitipkan nasihat : INGAT ALLAH. Begini yang harus dicontohi oleh masyarakat kita untuk tidak memulaukan golongan banduan dan memberi mereka sokongan supaya mereka yang bersalah mampu untuk bertaubat dan membina hidup baru. Juga harus diingat bahawa ada banduan yang tidak bersalah tetapi dipenjarakan kerana undang-undang tidak menyebelahi mereka. Terasa betapa tidak adilnya hukuman terhadap Salahudin dna rakan-rakannya yang terpedaya sebegini. 7 tahun bukan masa yang singkat. Bukan itu sahaja , kumpulan tertinggi Jurus Suci yang terikut dan tidak punya niat untuk bersama Sufian merampas senjata , tidak diberi pilihan melainkan terpaksa menjalani hukuman gantung sampai mati. Hanya kekuatan iman dan semangat pada kebenaran menjadikan Salahudin mampu bertahan dan menjalani kehidupan yang baik selepas keluar penjara. Watak Salahudin dan sikap prihatinnya juga mampu memberikan kekuatan kepada Liza yang ketandusan kasih sayang ibubapanya dan kepincangan kehidupannya tidak bersolat sehingga membawa despresi membunuh diri. Juga perjalanan hidup Salahudin secara tidak langsung membawa kekuatan kepada Sheila yang baru putus tunang dan dipermainkan oleh Adli si kasanova . Kekuatan yang cuba disampaikan oleh penulis Kusyi Hirdan ialah kekuatan dalam persahabatan yang saling memahami dan mendokong sesama sendiri. Saya kagum dengan watak Maznah seoarang ketua dan sahabat yang amat memahami.

Corak kehidupan dalam penjara , cara hidup, pakaian berseluar pendek sehingga Salahudin dan rakan-rakan memohon dibenarkan berseluar panjang, makanan  semuanya adalah info yang baik untuk kita semua. Juga kek istimewa dari penjara menjadikan ia makanan yang amat bererti bagi semua banduan di penjara. Saya juga tertarik bagaimana mereka ini ada yang melayan nafsu songsang dan tidak kurang juga mempunyai penyakit dirasuk.

Tahniah kepada penulisnya Kusyi Hirdan sebab memberikan pendekatan yang berbeza dalam menyampaikan kisah benar seorang lelaki yang tidak bersalah tetapi menjalani hukuman penjara selama 7 tahun di bawah akta ISA. 4 bintang saya berikan untuk novel ini.

Untuk anda , bacalah kerana inilah realiti kehidupan yang kita rasakan tidak adil tetapi diterima dengan redha oleh seorang hamba Allah . Jika kita berada di tempatnya belum tentu kita mempunyai kekuatan sebegini. Dapatkan daripada NBKara sdn bhd. Harga RM21.90 /RM24.90 . Anda boleh order online daripada http://www.nbkara.com.my