Di Ambang 2010

6

Posted by Leeza | Posted in


Koleksi novel yang belum dibaca

Beberapa tahun yang lalu ,saya pernah menulis email kepada seseorang yang saya anggap kakak menggunakan tajuk 'Di Ambang ........' dan saya menerima balasan email yang penuh dengan nada kemarahan . Kemudian seterusnya setiap kali saya cuba 'bermesra' dengannya, dia pasti menghamburkan kata-kata yang melukai hati saya. Tuhanku, begitu paranoidnya prasangka orang terhadap saya sehingga dia sekeluarga mengatakan saya 'bermasalah'. Sejak itu saya hilang kepercayaan kepada manusia dan menumpukan sepenuh kehidupan saya dengan keluarga , buku dan kerjaya. Saya tidak peduli jika ada yang mengatakan saya bermasalah. Apa yang pasti saya tidak menyusahkan orang lain dan tahu menjaga hati orang.

Kemudian dari dunia buku, saya menerokai kembali dunia cyber yang sudah lama saya tinggalkan, sejak 2000. Itupun kerana 'SI PANJANG' yang sering menyekat kebebasan saya melayari internet sekolah sehingga menyukarkan tugasan saya. Bosan dengan kedekutnya lelaki ini dengan harta kerajaan, sedangkan saya bukan melayari laman-laman web yang sembrono dan dilarang keraspun, maka saya membeli broadband celcom yang terkadang menjadi 'berukband'. ( ini si Salbiah Salleh dan NB yang bagi gelaran). Sudah tentunya saya melayari laman blog novelis kesayangan saya ,kak NB. Bermula dari situ saya melayari semua laman blog dari sudut link di blognya. Baru saya terbuka dengan mata yang bersinar-sinar bahawa di dunia luar melangkaui Laut China Selatan, ramai rupanya kaki novel dan ulat buku. Kemudian saya mengenali banyak laman penerbit buku yang pelbagai dan memudahkan saya memesan secara online buku-buku yang sukar saya dapati di pasaran. Sekurang-kurangnya saya menjadi pembaca terawal novel-novel terbaru di pasaran(antara beratus orang yang ada di Malaysia) Dunia buku saya kian luas dan luas....saya lupakan luka semalam.

Bukan hanya buku yang menjadi ikatan hati dan jiwa tetapi juga persahabatan yang terjalin dengan ramai penulis cendikiawati dan juga ramai rakan blogger yang pelbagai dunia mereka....menjadikan hidup ini kian menarik, fantastik dan unik. Saya mengenali dunia surirumah , kisah anak-anak , kisah sedunia dan juga informasi yang disampaikan dengan gaya berbeza. Melalui pembacaan menjadikan seorang surirumah mampu menulis blog, malah lebih canggih dari saya.Contohnya ,sahabat saya, Ibujunes bila berchatting dengannya, dia laju menaip dan saya pula dengan dua jari telunjuk masih terkial-kial menaip. Namun ilmu yang saya dapat bukan sedikit namun banyak....malahan bertambah padat. Terimakasih pada sifu saya, NB yang selalu sabar mengajar saya menggunakan teknik dalam berblogging. Beliau juga pengkritik saya yang paling 'BISA' dan sehingga kini saya berhati-hati menggunakan kata dan frasa dalam menulis blog. Begitu juga dalam mengulas buku-buku yang saya baca, saya perlu mencari info tentang apa sahaja yang saya hendak tulis. Jangan sesekali menghentam keromo hasil tulisan orang lain kerana mereka bukan sahaja memperjuangkan masa , keringat dan segala kepenatan itu demi menambah koleksi ilmu dan bacaan yang sedia ada di pasaran. Tugas mereka bukan hanya menambah rm dalam poket sendiri tetapi juga mendidik anak-anak bangsa dan semua warga pelbagai generasi melalui bacaan. Jangan ingat nenek tidak boleh melakukan kesilapan....terkadang kecetekan ilmu dan kurang membaca boleh menyongsangkan jalan hidup sendiri.

Masa kian berlalu , banyak yang saya hadapi sepanjang 2009. Dugaan yang sangat berat dalam menjaga 4 orang anak saudara yang semuanya lelaki dan menempoh alam remaja. Kemudian menjaga ibu yang sudah berusia dan selalu sakit. Syukur alhamdulilah atas segala kekuatan yang dikurniakan oleh ALLAH kepada saya dalam menyara dan mendidik anak-anak ini. Bukan sahaja dugaan Allah beri malahan rezeki , kejayaan dalam kerjaya,kebahagiaan dan ketenangan hati diberikanNya dengan persahabatan dan kasih sayang. ALLAH berikan pahit kemudian manis dihujung lidah. TERIMA KASIH YA ALLAH.

Tahun 2010, biarpun usia kian bertambah namun saya lalui dengan tenang dan semangat yang membara. Tahun 2010 ,biarpun ramai meramalkan prestasi sekolah akan merosot namun saya pantang mengalah sebelum saat yang terakhir . Setiap tahun saya menyenaraikan 10 target untuk capaian saya. Tidak guna berazam jika tidak berusaha. Azam akan jadi angan-angan sahaja .
Apakah 10 target tersebut? Dalam kerjaya saya senaraikan 5 dan peribadi pula 5 target. Biasanya setiap target saya tercapai kecuali satu. Hanya orang-orang tertentu sahaja tahu apa yang belum tercapai itu...hehehe. Saya perlu banyak berdoa setiap kali solat. Namun sebenarnya saya takut juga jika ia tercapai sebab dunia itu pasti berbeza dan mencabar. Mampukah saya ? Mungkin saya bukan insan terpilih.



SK Jemukan yang menjadi tempat suka dan duka.

Dunia buku tidak akan saya lupakan sebab ia menjadikan saya berpijak di bumi nyata. Sekarang saya mempunyai 25 novel dan buku yang belum saya baca. InsyaAllah, tahun 2010 saya banyak masa terluang kerana kerajaan telah menghentikan Skim Baucer Tuisyen kerana ketiadaan dana. Pemberhentian itu bermakna murid-murid tidak ada kelas di sebelah petang lagi. Hanya Tahun 6 sahaja diberikan kelas tambahan secara percuma atas ikhsan guru-guru sendiri. Ketiadaan kelas tuisyen bermakna sumber pendapatan tambahan guru-guru juga tiada, mungkin ada yang mencari kerja luar sebagai menampung kekurangan ini. Kalau program ini diteruskan saya boleh mendapat RM500 sebulan untuk kelas Tahun 6 sahaja. Tidak mengapalah, bukankah rezeki itu ALLAH yang tentukan? Pandai-pandailah berjimat cermat dalam era kemelesetan ekonomi ini.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 2010. SEMOGA TERCAPAI SEGALA IMPIAN DAN DIREDHAINYA.

Bila Bersendirian

2

Posted by Leeza | Posted in

Bila kepala pening dengan masalah keluarga yang sentiasa bertimpa-timpa, selalu ada keinginan untuk tinggal bersendirian. Bukannya saya tidak pernah bersendirian, selalu sangat. Saya mula hidup bersendirian sejak tahun 1990 di Daro. Siapa kata saya berani sangat tinggal bersendirian? Saya pernah tidur berpeluh sehingga pagi kerana takut dengan hantu. Betullah masa itu , sibuk dengan cerita orang pukau, amalan ilmu hitam, dan dalam masa yang sama berlaku kematian datuk dengan cucunya tidak jauh dari rumah sewa saya. Bayangkan rasa ngeri saya apabila terjumpa plastik berisi kain-kain putih tersangkut di parit depan rumah saya. Bau mayat tak tahu nak cakap. Akhirnya , saya angkut selimut dan bantal tidur rumah Kak Rosiah jiran sebelah. Semasa tinggal di Kuarters Guru pula, siangnya saya tidak rasa bosan sebab ada kawan baik, Lucy Tiong ( Tiong juga namanya macam Madam T ).Namun malam yang panjang, sunyi mencengkam jiwa....akhirnya saya angkut bantal ,selimut dan tilam ke rumah Lucy , tidur di sana. Paginya dinihari sebelum subuh saya sudah berjalan pulang , sehingga terserempak dengan Boss saya yang taichi awal pagi. Kehkehkeh. Siapa tidak seram jika rumah itu besar sangat. Ruang tamunya boleh diletak meja ping pong untuk saya bermain. Hairan kan....bagaimana saya tidak pula takut ketika berjalan balik ke rumah yang jauh pada dinihari yang gelap tanpa menggunakan lampu suluh?

Lima hari saya menjaga rumah abang yang sedang bercuti. Saya tidak dibelenggu rasa takut. Kesepian dan kebosanan membuat saya sakit. Walau duduk di kampung , rumah yang biasa-biasa sahaja , namun suasana kampung yang damai dan adanya cucu manja saya si Putri, rasa bosan dan sepi itu tidak mengintai walau secuitpun. Awal pagi saya sudah bangun, mandi mencuci pakaian. Kemudian saya uruskan bunga-bunga dan halaman rumah. Menyiram bunga-bunga sudah mengambil masa sejam. Kemudian saya bersarapan dengan biskut kering dan teh O. Lepas itu buka laptop sambil tengok TV, siaran Astro ...macam-macam cerita saya tengok. Makan pula ala kadar sebab saya malas memasak bila duduk seorang diri. Sehingga pening kepala kerana bosan, saya boleh pula bersenam dengan basikal . Hehehe, bersenam dengan kain batik pun boleh jadi....Nasib Danial tak tinggalkan PSP nya. Jika tak...saya boleh main sekali. Keluar rumah ? Saya tidak suka berjalan jika bersendirian. Jika saya tua esok saya nak duduk rumah orang-orang tua , boleh saya habiskan masa dengan kawan-kawan senasib. Tidak mahu saya duduk dengan budak-budak yang belum tentu sabar menjaga kita yang sudah tua.

Beberapa hari lagi sekolah akan dibuka....seronoknya. Saya suka bekerja. Kesepian bukan sahaja membuat saya sakit, malahan membantutkan minda saya berfikir. Malahan hobi membaca pun saya tak mampu nak buat kerana hilang keseronokan dan penghayatan.

My Dear Farid Asyraf

3

Posted by Leeza | Posted in

Saya sekarang berada di rumah abang saya yang ke 5, SB . Saya ditugaskan menjaga rumah kerana mereka sekeluarga bercuti di KL selama 5 hari. Setiap kali mereka bercuti , saya sering kali menjaga rumah . Terkadang mak mengikut saya terkadang dia tidak mahu. Dulu semasa saya belum mempunyai lesen dan tiada kereta, saya rasa bosan sangat terperap di dalam rumah. Bas pula tiada. Hari-hari bosan melihat ayam dan ikan di dalam peti ais sehinggakan bila mereka balik bercuti kakak ipar saya bertanya samada saya masak ke tidak. Mana taknya makanan banyak yang tidak luak. Pernah juga saya termimpi semua barang dalam rumah habis dicuri orang, sehingga saya turun ke bawah jam 3 pagi.....terlebih fikir sehingga menggigau. Kalau saya memasak, saya gunakan satu perkakas sahaja iaitu kuali. Hehehe...tidak pandai saya menggunakan belanga yang berkaca-kaca. Apa lagi microvave dan mesin basuhnya....takut terosakkan barangan orang. Kali ini saya berseorangan menjaga rumah. Alamatnya saya masak 2-3 hari sekali. Takkan tak makan? Oh...makan itu wajib tetapi kalau duduk seorang, makan roti dan mi segera sudah mengenyangkan. Kalau malas, keluar ke Semariang Mall , beli makanan siap. Duduk seorang malas saya nak goreng ikan atau masak ayam....tidak berselera .

Bukan ini yang saya nak cerita. Farid Asyraf ialah anak kedua abang D saya. Berumur 16 tahun baru dapat keputusan PMR kelmarin. Keputusan PMR nya sangat mengecewakan 1A 5B dan 2C. Mak dan ayahnya pastilah kecewa, kakaknya bising dan saya sebagai mak Usu nya pun marah juga. Saya marah sebab dia tidak belajar. Saya tahu kemampuannya. Dia boleh dapat lebih daripada itu. Dia anak yang baik , sangat baik perangainya. Pendiam dan rajin membantu. Semalam dia mencuci pakaian semua ahli keluarga menggunakan mesin basuh. Dia sudah dididik untuk menguruskan hal-hal maintenance rumah, hatta membuang sampah, mencuci halaman rumah, membuka dan mengunci pintu dan gate juga menukar air mineral. Tidak pernah membantah walau sepatahpun. Jika dimarah dia hanya tunduk mendengar segala kemarahan dengan sabar. Hatinya? Siapa tahu luka di dalam ? Setiap kali saya sampai, saya hanya perlu matikan enjin dan serahkan kunci kereta sebab dia sudah sedia menunggu untuk mengeluarkan semua beg saya dan letak ke bilik. Perkara pertama dia hulurkan ialah tangan untuk bersalaman. Dia ingin menjadi arkitek. Dan masih ada dua tahun untuknya berusaha agar laluan ke arah cita-cita tersebut menjadi satu laluan lurus. Saya sedar dalam 3 tahun ini saya kurang menumpukan perhatian kepadanya sedangkan saya tahu kelemahannya. Saya lupa bahawa dia juga memerlukan perhatian saya. Dulu semasa UPSR setiap hujung minggu saya meluangkan masa dengannya, membimbing setiap pelajarannya. Bila PMR , saya langsung tidak bertanyakan pelajarannya. Hanya berpesan "Abang, rajin-rajin belajar." Dia cuma angguk kepala.

Kelmarin dia mengambil keputusan PMR tanpa menggunakan IC. Mamanya pun tidak bertanya ke mana IC nya. Semalam kami keluar makan di Orient Kitchen, sebuah restoran di Satok sehingga jam 1030 malam. Bila sampai di rumah mereka sibuk mengemas barang-barang. Barulah perasan bahawa IC Farid hilang. Ditanya bila kali terakhir menggunakan IC, sehari sebelumnya. Suasana menjadi panas. Abang dan kakak saya sudah naik angin sebab esok flight ke KL awal pagi. "Abang ,ingat betul-betul mana Abang letak IC tu ...." Saya memujuknya dengan suara yang lembut.
"Ada dalam poket seluar track ini..." Dia tunjukkan seluar track warna coklat muda. Seluar itu sudah dicuci dan kemas berlipat.
" Kalau ada, tentu mama jumpa sebelum masukkan dalam mesin. Atau ia ada dalam poket tu tak tercicir di mana-mana.." Kemudian bla...bla..bla. Kakaknya Farah pun kena juga....keduanya sudah masam muka.....mata sudah merah.
Jam 12 malam ke dua beradik ini menggunakan lampu picit mengelilingi rumah dan mencari di kawasan bunga, manalah tahu ia tercicir. Saya menyelongkar bilik Farid . Akhirnya sehingga jam berapa masih tidak dijumpai...Farah dan Farid memunggah balik semua pakaian dari beg kerana mama dan ayahnya akan meninggalkan mereka jika IC tersebut tidak dijumpai. Saya minta abang dan kakak solat....mohon bantuanNya. Apa-apapun tidak dapat kita bertindak sewenangnya, apa lagi mengikut rasa marah kepada mereka. Kalau sudah hilang, saya sanggup membantu buat laporan polis dan membuat semula IC nya di Pejabat Pendaftaran. Semalaman kami tidak tidur. Farah dan Farid tidur dengan tangisan. Farah merasakan mamanya selalu menyalahkannya jika adik-adiknya bersalah.

Seawal jam 5 pagi saya bangun dan terus mencari di luar rumah. Dalam hati tidak putus-putus berdoa agar IC itu dijumpai. Dalam rumah pun sama, saya tetap mencarinya. Kemudian saya terus mencari dalam bilik Farid. Kakak ipar saya pun mencari sama. Dia menyeluk satu persatu poket seluar track Farid. Entah bagaimana, IC itu dijumpai dalam poket seluar track bewarna biru tua dan bukannya warna coklat.Seluar itu pula berlipat kemas dalam beg yang hendak digunakan ke KL. Ertinya , Farid terlupa di mana dia meletakkan IC. Bersyukur sangat-sangat. Kakak ipar menangis....katanya "kakak solat semalam Su....banyak kali.." Saya suruh mereka semuanya sujud syukur. Saya suruh anak-anak itu solat dan bersyukur sangat-sangat. Namun keceriaan untuk pergi bercuti langsung tiada. Hati mereka telah luka. Saya mohon dengan Farah, janganlah ambil hati dengan apa yang ibubapa marahkan...jadikan iktibar. Dia kakak sulung harus bertanggungjawab terhadap adik-adik. Saya hanya nasihatkan Farid," Lain kali Ed, hati-hati. IC amat penting. Jangan sesekali cuai sebegini."

Banyak iktibar yang saya dapat dalam hal ini. Doa adalah senjata kita yang paling kuat sekali. ALLAH tunjukkan kekuasaanNya. Saya juga sedar, bahawa Farid perlukan perhatian. Tidak mungkin dalam jangka masa yang sangat pendek dia boleh melupakan di mana diletakkannya IC tersebut. Semasa kakak dan abang memarahi Farid, saya tidak mampu membantu apa lagi untuk campur tangan. Cuma jika dia sampai membelasah , saya pasti campur tangan. Selagi dia memarahi dan menasihati saya biarkan sahaja. Saya berjanji pada diri sendiri, bahawa anak-anak ini masih perlu dibimbing untuk menjaga diri sendiri.

PERCAYALAH oleh Ruby Hazri

0

Posted by Leeza | Posted in


Novel Percayalah hasil karya Ruby Hazri ini selesai saya khatam dua hari lepas. Entah kenapa saya malas hendak membuat ulasan tentang novel ini seberapa segera yang biasa saya lakukan setelah selesai sesebuah novel saya baca.

Kawan saya rata-rata mengatakan ceritanya sangat menarik dan dia terbawa-bawa dengan kisah cinta di Jerman ini. Melalui novel ini sedikit sebanyak saya mengetahui tempat-tempat menarik di Jerman yang menjadi latar tempat untuk novel ini. Hakikatnya saya sebenarnya sudah berpuluh tahun menyusuri Jerman melalui surat-surat sahabat pena saya HEIKE BACKER. Keistimewaan yang ada kepada Ruby Hazri ialah dia pernah tinggal di Jerman sehingga dia mampu menceritakan segala kehidupan harian pelajar-pelajar Malaysia di sana. Tahniah sebab banyak info tentang rutin harian dan pengalaman pelajar-pelajar di rantau yang mampu dihuraikan dengan sejelasnya.

Bila huraian dan penceritaan menggunakan bahasa Jerman diselitkan, ia menggugat kefahaman dan kebanyakan pembacanya adalah rakyat Malaysia yang tidak pernah mengembara seperti saya. Namun di belakang novel ada dinyatakan maksud setiap perkataan asing tersebut ,namun adalah lebih baik jika dibuat nota kaki seperti yang dilakukannya dalam novel sambungan. Penggunaan nota kaki bagi menjelaskan maksud bahasa asing di mukasurat yang sama boleh membantu pembaca memahami cerita.

Tema percintaan antara dua benua , namun serumpun bangsanya iaitu Danial Wolfgang dan Nur Atiqah Sulaiman terbina melalui permainan suara hati yang terpendam. Terlalu lambat penulis jadikan kedua cinta ini bertemu dan bersatu. Perjalanan cerita panjang lebar dan sentiasa ada halangannya. Bukan halangan pihak ketiga tetapi halangan bila kedua-duanya tidak meluah rasa dan timbul sikap salah faham. Gerammmmm sangat bila si Danial lambat sangat bertindak dan keras hati si Atiqah pula membantutkan hasrat hati Danial untuk merapati. Saya tidak dapat menghalang diri dari mengutuk bila Atiqah enggan menerima penjelasan Danial dan sebaliknya membuat keputusan untuk Danial menjauhkan diri. Begitu juga bila bungkusan buku agama yang Danial kirimkan tidak dibuka sepenuhnya, sehingga surat luahan hati Danial tidak sempat dibaca oleh Atiqah. Setelah mereka berkahwinpun ,Atiqah tidak juga membuka bungkusan tersebut. Kita tidak diberikan peluang oleh Ruby Hazri untuk menatap apakah reaksi Atiqah setelah menatap surat cinta dari Danial ini. Kita pembacanya sahaja yang tahu apa yang tertulis pada surat itu . Agaknya mencukupi jika hanya kita pembaca sahaja yang tahu isi hati Danial. Sehingga akhir cerita , Atiqah masih tidak tahu ada surat terselit dalam buku agama tersebut.

Watak-watak sampingan seperti Dewi menjadi sahabat keduanya yang sangat tulus sehingga kita tidak tahu adakah Dewi tidak punya sedikitpun perasaan cintanya kepada Danial? Kamal yang menjadi watak hitam, sanggup membawa kesesatan akidah kepada Danial. Dendamnya terhadap Atiqah yang berjaya mengubah dan menyedarkan Danial menjadikan kita sentiasa berdebar-debar setiap kali Atiqah berjalan pulang bersendirian. Bahaya di rantauan dapat kita perhatikan melalui ketegangan ini. Dalam kumpulan pelajar ini wujud watak 'ustaz' yang dipegang Fairuz yang sentiasa menjaga agar teman-teman seagamanya tidak terpesong di tanah asing, alhamdulilah. Jika ada sepuluh Fairuz di tanah asing, tidak perlu ibubapa risaukan anak-anak di luar negara. Watak Khairil pula yang menyimpan rasa secara diam-diam terhadap Atiqah dapat kita lihat isihatinya apabila dia bersusah payah membantu Atiqah memperolehi biasiswa belajar ke luar negara. Bukannya Atiqah buta untuk menyelami isihati Khairil atau sesiapa yang menyukainya seperti Prakash @Abdul Syahid , namun Atiqah tetap pada hati yang satu. Cinta bila sudah menakhluki hati , sejuta wajah tampanpun di depan mata takkan mampu menukar segenap rasa yang ada. Apa lagi ditambah dengan keromantikan turunnya hujan salji mencetus segala rasa cinta yang ada. Seakan kita dibawa ke Korea sekejap.....kisah cinta Winter Sonata.... saat Yu Jin dan Jun Sang dalam turunnya hujan salji, mata bertaut senyum terukir dan dua hati menyatu menyanyikan degupan yang sama.

Ada beberapa perkara yang saya ingin sentuh ialah tentang jarak masa antara Jerman dan Malaysia. 7 jam beza masa antara kedua negara ini dan kita tahu Malaysia mendahului Jerman. Kenapa semasa Atiqah menelefon ibunya pada Hari Raya Aidilfitri tercatat dialog Atiqah (ms 246)mengatakan Jerman sudah menyambut hari raya Aidilfiri dan Malaysia pula keesokan harinya? Bagaimana Jerman lebih dahulu menyambut hari raya aildilfitri dari Malaysia? Jika ditentukan oleh Turki sekalipun ia tak mungkin raya lebih awal dari Malaysia.

Penggunaan ayat sentiasa berbunga-bunga. Ruby menggunakan gaya NOOR SURAYA. Di hujung setiap episod ada pantun empat kerat. Jika ada pembaca yang suka bahasa ringkas ,mereka mungkin rasa bosan membacanya. Saya sendiri ingin mengatakan bahawa saya tidak dapat menatap novel ini lama-lama dalam satu masa...jiwa saya resah gelisah. Bukan tidak suka tetapi saya tegang untuk menghayati bahasa dan ayat yang berbunga-bunga. Namun saya teruskan bacaan saya....kisah cinta di tanah asing. Tanpa disedari ia menggunakan banyak perulangan dalam menghuraikan cerita.

Sekarang kita tunggu apa pula kisah selanjutnya dalam PERCAYALAH....Akhirnya.

Kerana Tanah

0

Posted by Leeza | Posted in

Keistimewaan Bumiputera ialah memiliki tanah untuk berkebun dan tempat kediaman. Taraf kekayaan seseorang diukur dengan berapa hektar tanah yang dimilikinya. Penduduk kampung yang memiliki tanah tidak semuanya mengusahakan untuk pertanian. Tanah-tanah milik Melayu di kampung saya mungkin dua pertiganya telah dijual kepada kaum lain. Tanah di sebelah rumah mak saya telah dimiliki oleh Cina dari Kuching. Untuk apa tanah itupun saya tidak tahu. Namun saya cukup risau kerana suatu masa dulu ketika saya mula berjinak dengan internet tahun 1997 ,saya pernah membaca satu artikel berkenaan dengan bahayanya kepada masyarakat Melayu era baru. Namun siapalah saya, hanya sekadar orang kampung biasa. Saya tak mampu menjadi pejuang Malayan Union . Kerana tanah beberapa hubungan kekeluargaan menjadi retak dan dingin.

Entry ini sengaja saya tuliskan hari ini setelah saya balik dari mengunjungi rumah Pak Cik saya yang dikhabarkan tidak berapa sihat kebelakangan ini. Arwah isteri pertama pak cik yang saya panggil 'Pak Yang' merupakan kakak mak saya. Mak saya mempunyai 4 adik beradik dan semuanya perempuan. Dua kakaknya telah meninggal. Walaupun Pak Yang dah berkahwin semula, hubungan kami masih rapat. Setiap hari raya , adik beradik saya tidak melupakannya setiap kali berziarah. Cuma saya yang tidak mengira masa untuk menjenguknya. Kebetulan hari ini saya membawa mak dan kakak saya ke klinik untuk pemeriksaan bulanan . Rumah pak cik saya ini tidak jauh dari klinik dan kami pun singgah sekejap. Pak Cik meluahkan isi hatinya dengan keluarga seorang mak cik saya yang tidak pernah menjenguknya. Apa lagi anak-anaknya semua hidup senang. Saya mengorek rahsia daripada mak saya tentang kenapa hal ini terjadi. Jawapannya kerana tanah. Mereka bertelagah kerana tanah. Sedangkan arwah ayah saya semasa hidupnya lebih banyak mengalah kepada adik-adiknya yang inginkan tanah pusaka peninggalan arwah datuk dan nenek sebelah arwah ayah. Malahan semasa hayatnya beliau tidak pernah makan hasil kebun tersebut dan membiarkan adik-adiknya merasa semuanya. Walau sukar untuk memahami, namun saya terima keputusan arwah ayah sebab saya tahu kenapa. Sebab arwah ayah tidak mahu adik-beradik bergaduh hanya kerana tanah. Arwah ayah ingin anak-anaknya berusaha mencari harta sendiri kerana dia tiada berharta. Dia tinggalkan ilmu pelajaran untuk kami teruskan kehidupan. Mak saya biarpun dia yang menjaga arwah ayahnya, dan arwah datuk amat rapat dengan kami terutama saya ( cucu kesayangan atuk ) tidak diberikan datuk dengan tanah yang luas. Malah bahagiannya paling kecil berbanding dengan yang lain. Namun kepuasan yang saya dapat rasa ialah kenangan saya dengan arwah datuk takkan dapat dirasai oleh semua sepupu saya.

Dan kerana tanah jugalah , hubungan adik beradik di kampung saya terlerai. Bila sikap tamak menguasai maka manusia mudah lupa dengan talian darah yang ada. Bukan tidak berpengetahuan agama yang tinggi namun status Ustaz belum mencukupkan ketebalan iman seseorang yang mudah rapuh hanya kerana tanah. Kemudian ketua-ketua yang menjadi pemimpin berbekalkan cop jawatan dan tandatangan ,menghalalkan surat-menyurat untuk jual beli tanah-tanah di kampung. Broker akan berkongsi dengan pemilik tanah 50-50%. Kemudian bayaran komisen untuk ketua-ketua dan peguamnya ditolak dari pendapatan 50% bahagian pemilik tersebut. Bukankah menyedihkan? Saya teringat bila pak cik saya menjual tanah arwah datuk saya, dia seakan takut kami 'celik' campurtangan urusan jual beli ini. Tidak hairanlah bila abang saya mengamuk dan merajuk panjang suatu masa dahulu.....Allah maha Adil...dan setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Tidak berkatlah kehidupan orang yang memakan harta anak-anak yatim.....dan saya melihat segalanya dengan penuh keinsafan.

Jika suatu masa nanti kita kehilangan tanah melayu, maka terpaksalah kita menumpang di tanah air kita sendiri. Waktu itu ke mana tuju anak-anak kita ?

Hartz Chicken Buffet

3

Posted by Leeza | Posted in


1 Maal Hijrah 1431 yang lalu, saya dan rakan-rakan bujang saya , CT dan NOR makan di Hartz Chicken Buffet Sarawak Plaza. Bayaran untuk seorang ialah RM17.70 untuk dua jam. Kami bertiga tidaklah kuat makan , tetapi teringin juga nak merasa makanan-makanan di sini setelah lama tidak mengunjungi restoran ini. Dulu masa saya dan NOR belum mempunyai lesen memandu dan tidak punya kenderaan sendiri , kami berdua selalu berjalan-jalan di kawasan sekitar Sarawak Plaza, Riverside dan Tun Jugah. Kami terkadang menggunakan bas dan kadang-kadang hanya berjalan kaki dari kawasan Bazaar India Street . Sekarang amat berbeza...bila sudah pandai memandu dan punya kenderaan sendiri ,agaknya kawasan ini setahun sekali baru berkesempatan diselusuri. Kenapa terbalik situasi ini? Apa yang pasti saya dan NOR amat malas memandu dan keluar bersendirian.

Hari ini saya ke restoran ini lagi tetapi saya membawa keluarga abang saya makan di Hartz Chicken Buffet di Satok. Sejak pagi tadi ketika hendak bertolak, saya menelefon abang Hamdan saya di Kampung Bako untuk bersiap-siap awal dan bertemu janji di restoran ini sekitar jam 12 tengahari. Saya sebenarnya menunaikan permintaan anaknya yang bongsu Ahmad Fakhry (10 tahun) yang teringin makan di restoran ini. Dia menelefon saya balik memastikan adakah benar ajakan saya sebab dia memikirkan ayahnya sengaja mengenakannya. Saya tahu anak-anak saudara saya ini sentiasa melengahkan masa untuk bersiap-siap . Abang saya sudah dua hari demam dan tidak berselera makan. Ketika sampai dia tidak mahu masuk ke dalam. Dia suruh saya bawa tiga anaknya sahaja . Saya tahu abang rasa berat hendak menyusahkan saya. Namun saya katakan saya sudah berniat hendak belanja mereka sekeluarga makan di restoran itu. Keluarganya kan susah, manalah mampu hendak membawa anak-anak makan di restoran sebegini.

Menu restoran ini pelbagai namun masakannya tidak sedap. Apa yang sedap ialah ayam. Ada ayam goreng pedas, ayam goreng crispy, ayam roasted, badal goreng, hato goreng, bawang goreng bertepung, keledek, kentang dan pelbagai lagi. Cuma satu menunya yang sengaja tidak disediakan banyak iaitu fish fillet goreng. Kedekut betul. Saya cuma sempat merasa secubit yang dikongsi dengan Fakhry. Seronok melihat anak-anak makan dengan berselera. Saya fikirkan Fakhry yang montel badannya akan mengambil berlonggok ayam di pinggan tetapi meleset sama sekali. Alhamdulilah , mereka tahu adab makan yang tertib. Dia mengambil sedikit setiap jenis makanan dan jika habis barulah dia mengambil makanan yang lain. Saya sukakan lasagne. Makaroni goreng tidak sesedap restoran di Sarawak Plaza. Saya tidak ketinggalan dengan sup cream brinjel. Saya memang sukakan sup walau rasanya tidaklah sesedap manapun. Dua jam diperuntukkan namun mereka hanya mampu makan sejam sahaja. Abang saya akhirnya mahu juga makan sedikit setelah dipujuk. Saya bancuhkannya air teh panas untuk membuka selera.

Sebenarnya saya hendak berkongsi beberapa kisah lucu ketika saya membawa kawan-kawan saya yang pertama kali menjejaki restoran ini.
1. Kedua-duanya mengambil ayam berlonggok di pinggan masing-masing. Saya yang tahu keadaan ini akan berlaku hanya duduk memerhati sahaja sebab saya tahu di penghujungnya saya terpaksa membantu mereka menghabiskan ketulan ayam tersebut. Ini orang tua yang mengalahkan kanak-kanak...kehkehkeh. (mereka tak baca blog saya)

2. Seorangnya mengambil piring (untuk letak aiskrim) dan memenuhkannya dengan kelapa kering di tepi mesin aiskrim tersebut. Bila ditanya , dia kata sotong halus. Saya sudah gelak guling-guling sebab apa yang dia ambil ialah kelapa untuk topping aiskrim.

3. Seorang lagi tercari-cari di mana letaknya ais untuk mengambil minuman bersoda. Pada mesin itu terdapat 6 pilihan air dan di tengahnya adalah untuk ketulan ais. Akhirnya dia mengaut ais-ais yang jatuh di bawah...iskkkk...wekkkkk kotornya. Saya terpaksa membantunya menukar gelasnya itu dan mengajar bagaimana mengambil ais pada mesin tersebut.

4. Seorang lagi kawan saya , mengambil dengan banyaknya bawang besar goreng bersalut tepung kerana dia memikirkan sotong goreng bersalut tepung. Bila dia duduk di meja saya berpura-pura bertanyakan apa yang dia ambil. Dia dengan bangganya menyatakan sotong. Saya suruh dia merasa dulu, dan bila dia makan, saya sehingga sekarang tidak dapat melupakan mimik mukanya saat itu. Kehkehkeh.

5. Seorang lagi kawan saya mengambil aiskrim dan puaslah dia menolak mesin itu tetapi aiskrim tidak juga keluar. Bila ditolong dan pandai, dia terlambat pula menadah piring sehingga aiskrim itu jatuh ke lantai...aduhh tak tahu mana nak letak mukanya saat itu.

Bila kita pergi ke tempat yang baru dan asing, jadilah pemerhati yang bijak. Jika tidak tahu, bertanyalah supaya tidak sesat jalan. Kesilapan tidak dapat dielakkan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara baru yang kita pelajari. Saya bersyukur sangat-sangat kerana biarpun saya tahu anak-anak saudara saya, Fakhry , Fahmi dan Faziyanni adalah anak-anak yang suka makan, namun bila berada di tempat awam seperti ini, mereka cepat belajar dan tahu membawa diri.

Namun restoran Hartz Chicken Buffet tidak elok dikunjungi selalu. Bukan kerana harganya mahal tetapi kandungan kolestrolnya amat TINGGI. Kita kena berjaga-jaga dengan pemakanan kita.

Shopping

1

Posted by Leeza | Posted in

Kita sedia maklum ekonomi tengah meleset sekarang ini. Semua orang tahu dan beringat. Minggu lepas hari gaji untuk kakitangan awam dan bonus rm500 untuk DG41 ke atas sudahpun dikeluarkan. Bagi pihak yang telah menerima rm250 sebelum hari raya aidilfitri dulu telah mendapat rm250 lagi. Bijak Najib membahagi semua sama rata rm500, kadar yang paling sedikit dalam pemberian bonus tahunan untuk kakitangan awam. Bila begini ada yang mengeluh bila berbillion rm disalurkan ke luar negara untuk bantuan bencana alam.....banyak. Golongan yang berada tentu tak merasa jika rm50 dibelanjakan ,berbeza dengan golongan yang sebaliknya yang terpaksa mengira setiap sen yang dibelanjakan. Apa-apapun rm 500 seribu kali syukur untuk ibubapa yang mempunyai anak-anak ramai.

Semalam saya membawa Luqman dan Ujang (adik tirinya) pergi shopping 'Back To School' di Unaco, Kota Samarahan. Kali ini saya tidak mempunyai banyak tanggungan memandangkan Wan dan Zizi telah tamat SPM. Abang saya yang mempunyai anak sekolah menengah ada menyatakan yang dia hendak memberi beberapa helai seluar sekolah untuk Luqman tetapi saya tahu saiz Luqman menyukarkan dia menggunakan pakaian pemberian sepupunya. Kalau dia beri saya akan simpan untuk kegunaannya masa depan. Saya membeli dua pasang pakaian sekolah untuk Luqman dan sepasang pakaian sekolah untuk Ujang. Begitu juga keperluan yang lain seperti tali pinggang, singlet, stokin ,kasut, beg sekolah dan alatulis. Ini tanggungjawab saya kepada Luqman dan sedekah untuk adiknya. Semuanya tak sampaipun rm200. Bagi saya kedai yang saya pergi itu memang cukup murah harganya. Jika di bandar Kuching, seluar jenis jeans itu harganya lebih rm25 berbanding di kedai itu rm19.90. Baju pula cuma rm10. Singlet cuma rm2.40. Stokin sekolah 4 pasang rm3. Pakaian sekolah saya tak pentingkan jenama mahal , asal selesa dan tahan. Cuma kasut, Luqman tidak berkenan dan terpaksalah membawanya ke kedai kasut di Asajaya. Kedai ini saya biasa membeli barang, harga berpatutan dan dapat ditawar harganya lagi.

Saya juga mengambil peluang untuk shopping untuk diri sendiri. Handbag saya tak beli sebab sudah dapat 3 buah tahun ini. Saya membeli dua helai blouse dan beg dokumen untuk kegunaan diri sendiri. Alatulis juga perlu ditambah dan diganti. Back to school juga. Kasut juga saya beli untuk turun kerja. Koleksi novel juga saya tambah beberapa buah.

Makanan merupakan shopping wajib bagi saya. Setiap minggu saya akan pastikan stok makanan basah sentiasa mencukupi seminggu. Begitu juga barangan dapur dan kegunaan harian. Rumah saya perlukan stok beras 40 kilogram sebulan. Saya tidak membeli beras mahal kerana 'sik nyaman dan sik kenyang'. Juga tidak mampu....hehehe.

Lelaki selalu mengeluh melihat perempuan shopping. Semalam saya mengangkut 4 anak saudara lelaki. Mereka yang bantu saya menolak troli dan membawa bakul. Mereka geleng kepala melihat barang-barang yang saya ambil. Saya katakan kepada mereka kena budget duit juga. Mereka bertanya : Usu tak semak harga ke? Pakai ambil je. Saya terangkan yang saya dah 'survey' harga terlebih dahulu dan di situ barang-barangnya murah.

Apa yang pasti, kita kena bijak berbelanja semasa kemelesetan ekonomi ini. Namun kalau teringin makan sesuatu biarpun mahal jangan disekat sebab bila kita sudah terkedang atas katil, kita tak mampu menikmati makanan yang enak sekalipun.....Kedekut biarlah berpada-pada.

Pengembaraan Luqman

1

Posted by Leeza | Posted in

Semalam saya berbaring di kerusi panjang di ruang tamu sambil membaca novel 'Percayalah' lantas tertidur. Saya terkejut daripada lena saya yang sepicing cuma, apabila terdengar riuh suara mak saya dan anak-anak buah saya ,Zizi dan Wan.
"Apa hal?" saya bertanya kepada keduanya.
"Usu, Luqman ikut Lintai ke laut guna perahu." Wan tanpa menyempat terus mengadu. Angin kepala saya dengan berita sebegini.
" Eh, Zizi, cepatlah cari dan suruh dia balik." Saya terus arahkan Zizi.
Saya langsung tidak terfikir apa yang digunanya untuk mencari,hanya berjalan kaki? Juga tidak bertanya sejak bila Luqman mengikut Lintai? Saya tidak mampu berfikir dengan lanjut. Saya melihat mak sudah menangis mengenangkan intan payungnya ini. Tidak lama kemudian , ayah dan mak tirinya pun balik dari mengambal (mencari lala bamboo) . Keduanya turut risau bila diberitahu tentang Luqman dan Ujang (adik tirinya yang berusia 11 tahun). Saya suruh si ayah mencari mereka menggunakan motorsikal. Si Zizi balik dengan kepenatan.
" Sorry Usu, tak dapat cari. Tak jumpa." Zizi mengadu dengan wajah yang merah dan berpeluh. Saya berasa kasihan dengannya.
"Tak apalah Zi, kita tunggu je lah dia balik."
Jam 4 petang, ayah Luqman pun balik dengan berita menyatakan yang Ujang dah balik dengan basikal. Dia balik dengan Amirul menggunakan basikal Yus. Bila keduanya sampai, saya terus ajukan soalan kepada keduanya tentang Luqman.
" Luqman ikut perahu. Dah larang dia jangan ikut, dia tak mahu."kata Ujang dengan wajah kepenatan. begitu juga dengan Amirul yang tidak berbaju, dan comot.
"Kenapa kamu berdua tipu nenek pagi tadi? Kenapa kamu langsung tidak makan dan minum terus menghilang diri?"Saya terus bertanya pada Ujang. Dia terus diam dan seterusnya dia menerima kemarahan emaknya.
"Kalau kau nak sangat ke laut, kau kerjalah cari ambal, mak duduk rumah sahaja." marah maknya.
Kakak saya pun bising. Mak sudah menangis. Kebetulan air baru pasang bererti Luqman dalam pelayaran balik. Dari kampung saya ke laut harus menggunakan sungai dan di muara sungai ada 'gate' tali air. Gate itu sudah acap kali mengorbankan nyawa kerana dipercayai ada buaya di lubuknya. Entah betul ataupun tidak. Bila saya naik ke atas saya dapati emak tengah bersiap-siap.
"Mak nak ke mana ni?" Saya ajukan soalan padanya.
"Aku nak cari Luqman," katanya tegas.
"Mak, janganlah. Mak sendiri jalan tak berdaya. Jangan risau. Ayahnya ada. Kita tunggu sekejap lagi, mesti Luqman sampai." Saya memujuknya.
"Mak, berdoalah mak...."
Tidak lama kemudian, terdengar suara kakak saya bising di rumahnya yang kebetulan di tepi sungai. Pasti Luqman dah sampai, hati saya memanjat rasa syukur. Alhamdulilah dia dah balik.
Ayahnya terus ke bahagian ulu kampung, ke rumah Lintai. Mengikut kakak, perahu yang diguna nampak uzur sekali. Mereka berempat di dalamnya dengan Boboi dan Yus. Seterusnya, Luqman dipukul ayahnya dengan ranting kayu, itupun dia melengahkan masa balik ke rumah. Saya tahu dia takut untuk balik kerana saya. Pukulan ayahnya tidak berkesan langsung, sehingga dua tiga kali ayah dan mak tirinya mengusul dia suruh balik. Saya sendiri langsung tiada rasa marah seperti mula-mula mendengar berita tadi. Kerisauan saya mengatasi segalanya. Saya berpesan dengan mak, " kalau mak marahkannya, marahlah. Suruh dia mandi bersih-bersih dan makan."
Saya tahu si nenek takkan marah melampau. Berbeza dengan saya kalau sudah marah, dan inilah yang paling Luqman takuti. Sejak dia melarikan diri dalam hujan ketika saya naik angin dulu, saya berhati-hati untuk memarahinya. Semalam lebih kurang jam 6 petang dia balik dengan mengunakan jalan belakang, merentasi semak dan parit belakang rumah. Dia terjenguk-jenguk juga takut saya muncul. Dia tahu jam 6 saya sudah berada di bilik bersedia untuk solat Maghrib. Faham sangat dia dengan rutin harian saya, dan saya sengaja tidak memunculkan diri depannya. Biarlah tenang dahulu baru saya nasihatkannya.
Hari ini dia tidak ke mana-mana. Saya sesekali menjenguk mereka berdua di rumah ayahnya. Kakak saya tidak berhenti marahkannya. Dia muncung dan merungut : "orang tua tu, asyik marahkan aku je..."
"Kau 'tingai'(nakal), tentulah wa kau marah.."Sahut saya. Dia terus diam.
" Ada Lintai bagi ikan dan udang?" Saya tanya mereka pagi ini.
Keduanya menggeleng kepala. " Hah..tengok, apa gunanya kamu ikut dia ?"
"Usu mampu bagi kamu berdua makan. Ayah dan mak kamu pun dapat bagi makan. Nenek kamu dah tua, jangan susahkan hati nenek kamu. " Saya jelaskan dengan ringkas.
"Lepas ni jangan ke mana-mana. Ini hukuman usu kerana kesalahan kamu semalam. Semalam usu tak pukul, kali ini jika main jauh-jauh lagi, usu cari kamu dan heret kamu balik. Jangan anggap usu cakap je...." Saya bagi amaran tegas.
Mereka berdua diam. Saya tahu Luqman faham kalau saya berkata tegas begini ertinya saya amat serius. Setakat ini saya belum keluarkan 'rotan sakti' saya , juga saya belum pernah memukulnya. Jadi hari ini dia hanya bermain guli. Itupun dia terpaksa mengorek guli-gulinya yang dibakar oleh neneknya dua hari lepas gara-gara takut dengan pemeriksaan pegawai kesihatan.
Saya tahu Luqman telah mengembara dan dia memperolehi pengalaman ke laut. Di laut dia dibawa dengan sebuah bot nelayan yang agak besar dan mengikut mereka menjala ikan dan udang. Katanya , pemilik bot itu adalah saudara sebelah nenek. Pasti orang kampung dan pemilik bot itu terkejut dan tertanya-tanya dengan kehadirannya. Apa lagi dia pergi dengan berpakaian tidur. Cuma saya tidak suka dengan caranya yang berbohong dan bertindak senekad ini. Saya tahu anak saudara saya ini memang berani berbanding dengan yang lain. Tempoh berpantang sunat dia boleh memancing dan menjerat burung kuak. Namun saya tahu kelemahannya dan seberani dia di luar rumah seperti abangnya yang bekerja sebagai askar, namun dia amat penakut bila berada di dalam rumah saya seorang diri......takut apa?? Tahu sahajalah....

Marah

2

Posted by Leeza | Posted in

Setiap kesabaran ada tahapnya. Bila sampai ke tahap maksimum , ia akan meletus menjadi gunung berapi .....bommmm....maka hangus terbakarlah sesiapa kena tempiasnya. Saya akui saya seorang pemarah....sejak kecil,memang sebegitu tabiat saya. Namun marah saya sentiasa bersebab. Hari ini saya marah dengan kerenah anak2 buah saya.
1. Mohd Ridzuan b. Shahad.
Sejak pagi dia meminta saya menghantarnya ke sekolah untuk menduduki exam terakhir jam 2 petang. Memandangkan dia perlu menghantar buku-buku teksnya , saya setuju menghantarnya. Jarak sekolah dari rumah lebih kurang 15 minit jalan kaki. Sejak kecil saya sudah biasa melalui jalan sejauh ini malahan dulu kena merempuh belukar dan lumpur.Terkadang mengharung air bila bah semasa air pasang. Jam sudah 1 petang, saya sudah bersiap dan memanaskan enjin kereta, namun kelibatnya tidak kelihatan. Marahnya saya kerana terpaksa menunggunya hilang entah di mana. Jadi saya ambil keputusan, saya tidak menghantarnya dan suruh dia berjalan sendiri. Untuk mengajar anak bertanggungjawab dan menepati masa , kita terpaksa berlaku 'kejam'.

2. Muhd Luqman b Jolkipli
Sejak akhir-akhir ini dia tidak peduli dengan kesihatannya. Dia bermain sejak jam 7 pagi hingga malam. Semalam dia bermain sehingga jam 3 petang baru makan tengahari. Muka sudah hitam legam. Entah apa yang nak dimainnya sampai lupa makan dan minum. Malam tadi dia mengadu kepalanya pening dan si nenek yang penyayang itupun bagilah ubat panadol. Siap pecahkan pil itu menjadi serbuk untuknya. Hari ini dia bermain lagi, dan seiring dengan angin panas saya disebabkan oleh Wan, saya dikhabarkan dia mengikut si Pemabuk berperahu mencari ikan. Sakit kepala ini....sebab saya risau dia belajar sesuatu yang tidak baik. Petang ini tahulah dia bagaimana saya nak ajar dia. Saya tentulah tak dapat belasah dia kerana neneknya pasti awal-awal suruh cucunya elakkan diri. Betullah agaknya teori mengatakan , nenek selalu spoilkan cucunya. Kasih sayang yang melimpah ruah selalunya menjadi racun yang membunuh pada akhirnya.

Mungkin mereka tak pernah tengok saya marah yang menakutkan agaknya. Jadi mereka tidak takut untuk membuat kesilapan yang berulang kali. Pada satu tahap kerana marah juga, pakcik-pakcik mereka sudah tewas dan berputus asa untuk ambil berat dan peduli pasal mereka. Dan saya biarpun selalu marah namun belum sampai tahap berputus asa. Dan kerana itu, saya terpaksa berusaha untuk mengawal kemarahan saya. Apa kata kak NB, orang marah selalunya berkawan dengan Syaitan. Ehhhh tak nak lah jadi kawan syaitan.......selisih 44 Malaikat. Moga saya dijauhkan dari rasa marah yang melampau .

PPSMI Melalui Kaca Mata Saya

1

Posted by Leeza | Posted in

Seorang sahabat, seorang blogger dan seorang penulis, meminta pendapat saya tentang PPSMI. Pendapat seorang guru. Apa yang ingin saya kongsikan adalah pendapat peribadi saya tentang PPSMI sama ada pro atau kontra ia adalah dasar pendidikan kebangsaan yang harus dijalankan seperti yang dimaktubkan oleh kerajaan. PPSMI atau Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris telah dilaksanakan selama 7 tahun di peringkat sekolah rendah dan menengah. Saya telah mengajar Sains selama 11 tahun dan sejak itu menjadi guru Sains UPSR tetap. Justeru itu saya telah terlibat dengan PPSMI sejak tahun 2007 dan mengajar tahun 6 2008 mulai bulan JUN dan sepenuhnya 2009. Cabarannya bukan sedikit. Guru-guru PPSMI perlulah benar-benar berkelayakan dari segi akademik ( B.Inggeris) dan pengalaman mengajar Sains dan Matematik.Kami telah menjalani ujian profiensi Bahasa Inggeris dan kemudian mengikut progran Buddy Support System sepanjang masa dengan jawatankuasa yang dilantik di setiap sekolah. Tidak cukup itu, ada program sistem baucer Tuisyen untuk memastikan murid-murid dapat mengikuti PPSMI dengan baiknya. Juga terdapat kemudahan sokongan seperti buku-buku teks, buku rujukan, glossari , kemudahan ICT dan sebagainya. Semuanya demi PPSMI. Bagaimana keberkesanannya? Ia berkesan bagi golongan murid yang bijak , malahan penguasaan Bahasa Inggeris mereka juga bertambah baik. Malahan guru-gurunya semakin pandai dalam Bahasa Inggeris. Ibu bapa semakin bijak kerana mereka juga memberi sokongan yang amat padu untuk anak-anak ini. Namun bagaimana dengan satu golongan lagi? Saya terpaksa gunakan dua cara, dwi bahasa untuk pengajaran Sains. Istilah Sains melangkaui sukatan Bahasa Inggeris sendiri. Untuk membiarkan anak-anak yang tidak mampu mengejar dengan pantas adalah sesuatu yang tidka mungkin dalam etika perguruan. Kita tak mungkin menafikan anak-anak untuk mendapat pendidikan yang selaras dan sama. Maka di sinilah kita gunakan semua pakej yang ada, pedagogi, psikologi, teknologi dan menidakkan berbagai ideologi yang sukar diterima oleh kanak-kanak yang berbeza tahap pencapaiannya. Lantaran itu, kertas peperiksaan di dwibahasakan untuk memudah semua murid menjawab dengan baik. Mereka diberi kebebasan untuk memilih samada menggunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris dalam menjawab soalan. Saya pernah memberikan ujian diagnostik menggunakan Bahasa Inggeris sahaja dan kelulusannya menyedihkan. Begitu juga bila disogokkan dengan Bahasa Malaysia sahaja, keputusannya pun sama juga. Namun bila di bilingual, ternyata keputusannya lebih baik.

PPSMI akan dimansuhkan dan Sains dan Matematik akan diajar sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia mulai tahun 2011. Jadi, apa lagi hendak ditunggu? Mengajar sahajalah dalam Bahasa Malaysia. Bagaimana jika Jemaah Nazir dan PPG menyiasat ? Jawablah sendiri nanti...hahahaha. Saya gunakan dwibahasa dalam mengajar Sains. Kenapa? Tahun depan saya akan mengajar Sains Tahun 4, 5 dan 6. Mereka sebahagiannya telah mahir menggunakan Bahasa Inggeris. Sebahagian pula tentu masih bertatih-tatih memahaminya. Jika mereka masih tidak faham, saya akan tukar strategi dan memastikan mereka faham. Jika PPSMI dimansuhkan, kemungkinan pemberian Intensif untuk guru-guru PPSMI juga tiada. Selama ini guru-guru PPSMI mendapat 10% untuk DGA29 dan 5% untuk DG41 dari gaji mereka. Banyak jugalah kalau dapat Rm150+ setiap bulan. Untuk itu, guru-guru PPSMI kenalah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.....hahaha saya sendiri lah tu.Apa yang pasti jika guru-guru BI mengajar dengan baik biasanya murid-murid akan lebih mudah menguasai Sains dan Matematik. Namun guru BI tak semestinya dapat mengajar Sains dan Matematik dan begitu juga sebaliknya....hanya segolongan yang istimewa sahaja dapat mengajar kesemuanya. Itulah gunanya 'team work'. Dan untuk SK Jemukan, Team Work yang berkesan ialah A,S,T dan L. ..hahaha kerana team work ini telah berjaya mecipta sejarah UPSR2009.

Justeru itu rakan-rakan saya, jika anak-anak anda sedang belajar dalam zaman PPSMI ini, berikan galakan dan kepercayaan kepada guru-gurunya.Kami tidak mungkin menjatuhkan anak-anak didik kami. PPSMI ataupun tidak, kita tahu bahawa sistem pendidikan sentiasa diupgradekan ke arah yang lebih cemerlang.

CINTA ADALAH CINTA oleh Sarnia Yahya

0

Posted by Leeza | Posted in


Novel kedua karya Sarnia Yahya ini telah saya selesai khatam tepat jam 20.15 malam. Saya rasa 'seksa' membaca novel ini sehinggakan 4 kali saya membacanya ,saya pasti mengantuk dan tertidur. Agaknya kerana jalan ceritanya terlalu panjang berjela dan perjalanan yang lambat sekali. Maaf Sarnia...

Novel ini mengisahkan dilema seorang balu muda kematian suami ( Sarnia tidak nyatakan balu tetapi suka menggunakan perkataan 'janda') dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan dalam menjalani kehidupan hariannya . Dia diminati dan direbut oleh dua jejaka, Lutfi Danish bekas birasnya dan Syed Harith Syed Akhtar. Kedua-duanya merupakan sahabat baik bekas suaminya Hadi. Lutfi yang mempunyai wajah seiras dengan Hadi mempergunakan Hadirah anaknya untuk memikat Aina Mastura. Ini menimbulkan kemarahan dan rasa rimas kepada Aina Mastura dengan kerenah kedua lelaki ini dalam usaha untuk memiliki hatinya. Cintanya yang utuh untuk arwah suaminya Hadi membuat Aina sukar untuk menerima kehadiran cinta baru. Dia berusaha untuk mengembalikan sinar kebahagiaan dalam kehidupan keluarga Hadi. Dia akhirnya berjaya menyatukan bapa dengan ibu mertuanya dan Husnina dengan Lutfi . Bila masing-masing terpisah dengan keadaan yang tidak mengizinkan dan rasa rindu kerana berjauhan , menyebabkan mereka sedar bahawa Aina diam-diam menyintai dan menyayangi Syed Harith tanpa sedarnya. Hati perempuan kerasnya seperti kerak nasi, dititis air tanpa henti, lembutlah ia. Cerita cinta yang biasa dan penulis cuba sedaya upaya mengadunkan segala latar dan persekitaran untuk menghuraikan sebuah cerita percintaan yang halangannya ialah cinta kepada arwah suami.

Adakah saya bosan dengan novel ini? Sukar untuk saya nyatakan . Kemungkinan novel ini saya baca dalam keadaan yang tidak sihat maka saya seakan tidak adil menghakimi novel ini. Penulis lebih banyak menceritakan tugas watak utama sebagai pengurus HR di sebuah syarikat yang membuka projek resort golf yang baru di Langkawi. Namun banyak kelemahan Sarnia dalam penulisan novel ini dan kelemahan ini amat ketara sekali. Antaranya ialah :
1. Pengulangan 'quote' Tuhan memberikan kita dua kaki untuk berjalan,dua tangan untuk memegang , dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat . Tetapi mengapa Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita? Kerana Tuhan memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untk mencarinya. 'Quote' ini diulang sebanyank lima kali . Begitu luga dengan 'quote' lain sampai 2-3 kali diulang. Ayat Al Quran Ad-Dhuha ayat 4 diulang beberapa kali juga. Ini melemahkan penghayatan saya.
2. Penceritaan mengenai tugas HR , Sarnia suka memberatkan soal membuat 'organisation chart /OC. Dalam Bahasa Melayunya Carta Organisasi. Seolah hal OC ni sangatlah penting. Begitu juga dengan perkataan 'pengajian' , Sistem Pengajian. Patutnya sistem Penggajian.
3. Penggunaan ayat mudah difahami tetapi struktur ayat selalu pendek. Terkadang menggunakan satu perkataan sahaja. Begitu juga dengan penggunaan perkataan 'tidak lebih dan tidak kurang ' , kenapa dia tidak menggunakan perkataan 'lebih kurang' ? Penggunaan perkataan Inggeris juga ada digunakan , percubaan yang baik. Cuma terkadang dia suka gunakan satu perkataan inggeris dalam satu ayat Bahasa Melayu.
4. Unsur Islamik, Aina dua kali tidak menggunakan tudung bila bertemu dengan Syed Harith di rumah ibubapanya. Mungkin dia terlupa tetapi dalam satu keadaan , dia tidak menggunakan tudung ketika Lutfi selalu datang mengunjungi Hadirah. Bukankah tidak manis? Puan Raihan dan Encik Hafizuddin baru balik dari mengerjakan umrah menyatakan hasrat untuk rujuk semula, mereka dilihat ceria bahagia dan berpegangan tangan duduk di sofa . Dalam keadaan ini, mereka belum lagi berkahwin sebab mereka dinyatakan rujuk semula ( bukan dalam edah sebab mereka lama bercerai). Orang tua baru balik umrah , takkan berpegangan tangan tanpa menyedari mahramnya?

Walau bagaimanapun Sarnia berjaya memberi gambaran yang positif dalam hubungan kekeluargaan dan persahabatan di antara Asyraf, Lutfi, Syed Harith dan arwah Abdul Hadi. Cuma Sarnia tidak gambarkan dengan jelas bagaimana Syed Harith mula jatuh cinta dengan Aina .Dia digambarkan pernah meminang Aina sebelum dia bertunang dengan Hadi. Kalaulah penulis dapat membuat imbas kembali peristiwa pertemuan pertama mereka , tentu lebih indah kita gambarkan betapa Syed Harith terlalu menyintai Aina Mastura.

Cinta adalah cinta dan cinta itu buta. Sifat romantik Sarnia dalam menggambarkan kebahagiaan Aina dan Harith dinyatakan dengan perlakuan romantik yang kantoi di ruang tamu rumah barunya. Hehehe....adegannya panas....
Ada dua lagi karyanya yang belum saya baca dan saya tengah mencari kedua novel ini yang tiada di pasaran Kuching. Saya berharap Sarnia terus menulis dan semakin matang dalam penulisannya.

MATAHARIKU oleh Aina Emir

0

Posted by Leeza | Posted in


Matahariku oleh Aina Emir muncul bersama hangatnya cerita 'Matahari' dan lagu 'matahari' oleh Agnes Monica. Novel ini saya habiskan dua hari yang lalu. Saya bukannya pengkritik mahupun mempunyai niat mahu menjatuhkan orang lain. Saya hanya ingin mengulas dan meluahkan apa yang saya suka dan rasa mengenai novel yang saya baca.

Saya sukakan novel-novel yang saya baca. Setinggi mana tahap kesukaan saya, saya takkan membuang buku-buku yang telah saya beli dan baca. Novel ini jalan ceritanya menarik. Memang ceritanya ala-ala cerita Mills and Boon. Kekuatan ceritanya ialah ia mengungkapkan konflik bagi golongan yang berpoligami. Ia tidak berfokus terhadap watak Syakirah dan Eyyad Aysar tetapi lebih menceritakan masalah yang dihadapi oleh lelaki yang berpoligami dan kemudiannya menghadapi masalah kewangan yang serius.

Pertemuan Syakirah dan Eyyad Aysar di Mukalla ,Yemen terjadi atas urusan kerja kerana Syakirah ditugaskan oleh majikannya Amani untuk mengambil sesuatu dari Yemen. Syakirah , Azman dan Nurina dikehendaki menyertai seminar yang dianjurkan oleh Al Yazid, orang kaya di sana. Kemudian berlakulah hubungan antara mereka berdua dengan sesuatu yang tidak diduga oleh Syakirah sama sekali. Berlainan dengan Eyyad Aysar yang sejak mula sudah tertarik dengan Syakirah tanpa pengetahuan empunya diri. Perhubungan nakal mereka melalui cyber 'chatting' mengenalkan kita tentang perangai keanak-anakan si Syakirah. Mungkin kerana saya pernah membuat 'perkara serupa' maka saya dapat menghayati cerita ini dengan baik....hahahaha. Saya gelak kerana sememangnya Syakirah itu seperti saya. ( perasan sekejap).Namun dia kantoi juga bila mengetahui kebenaran ' cik abang sayang' dalam chattingnya itu adalah Eyyad Aysar , jutawan muda yang sudah beristeri. Bila Syakirah terpaksa berkahwin dengan Eyyad setelah dipaksa oleh ayahnya , dia masih belum punya rasa cinta itu sepenuhnya. Dan percintaannya wujud setelah berkahwin, setelah dia mengenali peribadi suaminya maka status suami orang dan hakikat dia bermadu menjadi bukan isu yang serius lagi. Jika cinta semuanya indah sahaja.

Tema poligami lebih berfokus kepada ayah Syakirah, Wazir yang mempunyai tiga isteri. Rose, Mahfuzah dan Anne. Rose isteri tua mempunyai anak bernama Karinah dan Syakirah pula adalah anak dari isteri kedua. Mama Anne pula mempunyai anak dari perkahwinan terdahulu Nabila yang menjadi kawan rapat Syakirah. Hubungan Syakirah lebih rapat dengan keluarga tirinya daripada mama dan kakak Assilanya sendiri. Bila Wazir menghidapi penyakit dan bankrap, maka timbullah konflik lebih kepada mama Syakirah yang materialistik. Syakirah dan Kiranah terpaksa memikul tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah kewangan ayahnya. Masalah ini selesai dengan bantuan Eyyad Aysar. Mungkin kita semua pertikaikan isu seorang perempuan yang masih gadis tinggal di rumah kepunyaan seorang lelaki yang tiada ikatan apa-apa dengannya. Bukan penulis membenarkan tindakan ini sebab watak Syakirah sendiri selalu rasa bersalah dan berdosa malahan dia sendiri seperti merasakan dirinya perempuan simpanan.

Kemudian kenyataan yang Syakirah dengar dari Nasrat, si Arab yang meminatinya tentang Eyyad dan dia bertaruh untuk mendapatkan Syakirah menjadi satu luka yang amat dalam di hati Syakirah. Bahagian inilah yang lebih mirip kepada cerita Mills and Boon. Pengetahuan tentang sesuatu yang melukakan dan si heroin akan melarikan diri membawa hati lukanya. Kemudian hero akan menjejakinya untuk menjelaskan kenyataan yang sebenarnya.

Percintaan Eyyad Aysar dengan Syakirah umpama cinta zaman dongeng , cinta raja-raja dan inilah yang membuaikan kita ...biar tidak berpijak di bumi nyata sekalipun, asal cerita cintanya mengasyikkan. Apa yang saya kagumi ialah, percintaan mereka terpelihara dalan batas Islam. Pun juga betapa bijaknya Eyyad mengendalikan keluarga Syakirah yang materialistik. Ketegasan Syakirah dengan sikap mama dan kakaknya yang mempergunakan kekayaannya memang patut dipuji. Tugas isteri ialah menjaga harta suaminya dan bukan menghabiskan harta suami. Kita juga dibawa menghayati keindahan Yemen, Hadramaut, Mukalla dan budaya di sana yang jauh berbeza dengan budaya kita.

Jalan cerita ditulis dengan baik. Tidak ada kesilapan dalam struktur ayat. Ada kesalahan ejaan pun tidak banyak . Ms 1 -kedingingan . Ms 141 dan ms 177 - melawa, sepatutnya penulis gunakan perkataan mempelawa. Aina Emir tidak menggunakan watak 'aku' sebagai pencerita dan ini membuatkan jalan cerita dikembangkan dengan baik sekali.

Seperti matahari, diharap sinarnya mampu menerangkan kehidupan harian kita.

Surirumah Sepenuh Masa

3

Posted by Leeza | Posted in

Saya kagum dengan semua surirumah sepenuh masa yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Sesibuk manapun , pengurusan masa amat penting. Bila mak saya sakit, saya terpaksalah menjalankan tugas sebagai surirumah sepenuh masa. Namun saya memang tidak mengambil alih semua kebiasaan mak saya dalam melayan cucu-cucunya. Mak saya ini masih cergas dalam usianya 77 tahun, melayani semua keperluan cucu-cucunya terutama si intan payungnya Luqman. Semua cucu lelakinya ini sedikit-sedikit ada sahaja memanggil "NEK"....dan dia akan terhuyung-hayang melayan apa sahaja kehendak mereka. Saya selalu angin dengan kerenah mereka yang terlebih manja ini.
Kelmarin, kebetulan abang saya Sabri balik menziarahinya kerana hanya dia yang tidak balik semasa Raya Haji yang lalu. Saya meminta mereka sekeluarga jangan balik dahulu sebelum makan tengahari. Saya memasaklah lauk pauk untuk keluarga saya. Bila Luqman bersunat saya pastikan makanannya diasingkan . Ketika saya sibuk di dapur itulah, kecoh bila mak saya tetiba menggigil dan sesak nafas. Kakak dan abang saya memang nampak panik dan kecut. Saya terus ambil air panas , letak dalam botol sos dan balut dengan tuala untuk memanaskan perutnya. Saya suruh kakak mengurut dia dengan minyak vicks. Dia selalu sakit sebegini dan saya sudah lali. Saya suruh kakak dan abang saya jaga dia sementara saya siapkan masakan . Saya kena pastikan Luqman juga bersiap untuk ke klinik .Saya kemudiannya membawa mak saya ke klinik di Samarahan dan kakak saya terpaksa menemaninya di dalam kereta. Putri pula dijaga datuknya yang mengikut sama. Dua jam memandu terasa lama bagi saya, dan doktor memberikannya berbagai ubat. Saya tahu apa ubat yang sesuai untuk mak saya. perut mak perut tua, takkan mampu nak menelan semua ubat yang terlebih. Saya hanya berikannya ubat demam dan antibiotik. Alhamdulilah sekarang demam mak saya sudah semakin kebah.

Mak saya surirumah yang hebat. Selepas subuh, dia akan turun ke dapur memasak air dan memasak nasi untuk bekalan si Harul turun kerja.Dia akan bancuh air kopi dan air teh untuk kami. Kemudian dia akan mencuci semua pakaiannya, pakaian Wan dan pakaian Luqman menggunakan mesin basuh. Selepas itu dia akan mencuci semua pinggan mangkuk dan cawan yang kotor. Apa peranan saya? Sudah saya larang, mak saya tetap melakukan rutin ini setiap hari. Terkadang kalau dia bertanya masa pada jam 12 malam saya akan beritahu dia baru jam 10 malam. Kalau tak buat begini dia sanggup berjaga menunggu jam 4 pagi.

Bila dia sakit, saya tidaklah serba susah . Saya lega dia berehat dan menurut sahaja masa yang saya aturkan untuknya makan ubat, makan nasi, minum air dan sebagainya. Pagi tadi bila saya bangun pagi ( saya selalu tidur balik selepas subuh ) jam 6, saya dapati si Hairul sudah masak air, panaskan nasi dan buat lauk bekal sendiri. Pinggan mangkuk pula mereka cuci sendiri selepas makan. Wan pula tahu mencuci pakaiannya sendiri. Tugas saya hanya memasak dan mencuci pakaian saya dan mak. Segalanya teratur tanpa perlu diberi arahan. Apa yang membingungkan kepala saya hanyalah kenakalan Luqman yang tidak pandai hendak duduk ontok-ontok . Hari ini hari ke lima dan balutannya masih belum dibuka tetapi dia sudah meredah semak mencari cacing dan memancing bersama kawan-kawannya. Saya bersyukur dia mahu berpantang makan. Saya jenis kalau anak-anak tidak menjawab setelah saya panggil dua kali, saya takkan mengendahkannya. Berbeza dengan sikap mak saya, yang sentiasa risaukan cucu-cucunya. Agaknya sikap sebagai surirumah yang penuh dedikasi membuatkannya kepenatan dan jatuh sakit. Saya jenis selepas masak saya biarkan makanan dalam periuk belanga dan jika anak-anak lapar mereka akan menceduk sendiri makanan. Saya faham terkadang mereka kalau lapar baru makan. Berlainan dengan mak saya, selepas saya masak , dia akan ceduk dan hidangkan makanan kemudian dia memanggil cucu-cucunya makan. Cucu-cucunya ini pula akan liat mahu bergerak ke dapur.....

Mini ReUnion Kolej DPAH Abdillah, Petrajaya

0

Posted by Leeza | Posted in


Sejak saya menyertai Facebook, saya bertemu semula dengan kawan-kawan sekolej saya. Rupa-rupanya mereka aktif di facebook dan mencari saya selama ini. Kebetulan Dahlia( Penang) dan Som (Puncak Alam)balik Kuching semasa cuti sekolah, maka Adib berusaha mengumpulkan kami untuk acara mini reunion ini di Hilton Waterfront Cafe pada jam 230 petang , 6 Disember 2009. Saya sampai awal di sana kerana kebetulan keluarga abang Dee saya, pun keluar bersantai. Hati saya berdebar-debar sebab teruja sangat hendak melihat semula rakan-rakan sekolej setelah 24 tahun meninggalkan Kolej. (1984-1985)
Semasa menunggu ketibaan mereka, Adib mengirim sms : mun lapar makan lok kitak, za.
Saya pula sudah kekenyangan makan nasi ayam bersama keluarga saya.
Tidak lama kemudian muncul Adib dan Som bersama 2 orang anaknya. Adib masih seperti dulu dan Som....hehehe, mak sihat ceria sentiasa. Kemudian muncul Lia , pun masih macam dulu juga. Ingatkan Ayu yang datang lewat, rup-rupanya dia juga teruja dengan perjumpaan ini sehingga selesai tugasnya , dia terus berjumpa kami. Mas pula muncul setelah ke salun...istimewa rambutnya untuk reunion ini. Dan akhirnya muncul si comel lote, Ijok. Spontan saya cakap : Aduhh Ijok, abang S tak bagi makan ke? Hahaha...

Dari kiri, Ijok , Som, saya, Ayu, Adib, Lia dan Mas. Semua tunjuk wajah ceria.

Si Ayu madang dengan 'peace'nya.
Entah apa cerita lucu yang Ayu buka sehingga tiga wanita ini ketawa besar.

Kemudian saya terus suruh melihat ke arah kamera saya....hasilnya memang gambar yang cantik.

Banyak cerita yang kami kongsi sehingga jam 4 petang kami masih lagi duduk di situ. pengurus kafe begitu sporting memberi kami sedikit tambahan masa. Ijok bertanyakan rakan-rakan yang lain, di mana mereka menemui si Liza ini. Dan kami ketawa beramai-ramai dengan satu jawapan : FACEBOOK. Som dan Lia memang tak lupakan Sarawak, dan Ayu mengusik saya yang 'bercakap malaya'. Saya faham mengapa dia berkata demikian sebab saya menulis entry dalam blog dan facebook dengan Bahasa Malaysia. Yo lah Yu, kelak kamek kelakar kampung kamek, maok nyingo kirik kanan kitak lak. Kesemua rakan saya ini sudah berkeluarga dan Adib tengah mengandungkan anak ke 7. Kemudian timbul cadangan si Ayu untuk buat reunion di Paris, tempat Diana bekerja. Huhuhu, syaratnya 'handbag' kena tinggal. Si Khaidzir setuju sangat dengan cadangan ini. Namun sedih juga mengenangkan ramai rakan yang tidak dapat turut serta dalam perjumpaan ini seperti ARIZA, KHAIDZIR, JANE, LIZ, DE, BADERI, DIANA dan ramai lagi. Mereka selalu buat reunion seperti ini dan saya sahaja yang selalu ketinggalan sebab terputus hubungan. TERIMA KASIH FACEBOOK. TERIMAKASIH KEPADA ADIB YANG BELANJA DAN MENGANJUR REUNION INI.

Luqman Bersunat

0

Posted by Leeza | Posted in


Beberapa hari sebelum ini, Luqman seperti resah gelisah .Dia bercerita dengan neneknya bagaimana keadaan orang bersunat. Dia mendapat info dari rakan-rakan sekampungnya. Beberapa hari ini dia seperti tidak berselera makan dan kelmarin dia demam dan sakit perut. Saya ingatkan dia bersunat jam 9 pagi, maka saya sudah bersedia sejak jam 6 pagi. Saya suruh dia mandi bersih-bersih dan telan pil mabuk sebab dia memang mabuk jika naik kereta. Saya menyuruhnya berzikir 'Subhanallah' seberapa banyak seperti yang kak NB ajar saya.Rupa-rupanya bertolak jam 9 pagi. Abang saya , Saadi yang memandu Avanza , Azim anaknya , bapa Luqman , mak tirinya dan saya menemani dia ke Kuching. Sementara abang Hamdan dan kakak ipar saya sudah menunggu di klinik Dr Razak. Ramai anak-anak menunggu giliran untuk tujuan yang sama. Saya terserempak dengan senior saya Kak R dan suaminya membawa anaknya bersunat juga. Apalagi bersembanglah. Oleh kerana giliran Luqman masih jauh lagi, NO 16, saya dan keluarga menjamu selera di kafe bersebelahan. Saya suruh Luqman makan mi goreng kerana dia memang tidak bersarapan di rumah. Dua kali dia kencing sebelum tiba gilirannya, malahan semasa namanya dipanggil kami semua mencarinya yang bermain dengan Azim di kedai berdekatan. Dan beberapa minit kemudian, saya melihat dia tersenyum sampai telinga seperti wajah di atas. Hahaha....rasa lega dan sukalah tu. Dalam kereta , saya memberinya makan ubat yang diberikan oleh doktor. Namun dia bermasalah menelan ubat-ubat tersebut. Dia sebenarnya tak pandai menelan ubat berbiji-biji dan kenalah dihancurkan seperti serbuk terlebih dahulu. Bila makan kapsul "pil bom" dia memang tak larat....saya terpaksa suruh dia buang sahaja dan makan di rumah. Belum jauh perjalanan kami ,Luqman rasa hendak kencing pula. Kami singgah di stesen SHELL untuk memudahkannya membuang kencing. Apa yang melucukan ialah akibat panik ayahnya menyuruh dia kencing di tepi pasu bunga sehingga saya cepat-cepat menyuruhnya pergi ke tandas...hahaha...takkan nak suruh dia kencing seperti anjing pula.Saya sempat berpesan jangan laju sangat berjalan.
Dalam perjalanan kami sempat singgah membeli buah-buah durian. Abang Adis kata buah-buah tersebut bagus dan tidak buruk. Abang menyuruh saya pula memandu keretanya....hehehe merasa juga saya memandu kereta Avanza secara manual itu. Best dan seronok rasanya sebab steringnya tidak sekeras kancil.Beberapa kali abang mengingatkan saya jangan merempit sebab Luqman 'beranak'.
Setibanya di rumah, ahli keluarga yang lain, kakak saya sudah menunggu. Saya mendapati mak saya sudah tidak bermaya dan demam. Mak saya jenis yang penakut dan lemah semangat dengan hal-hal sebegini. Saya memberi Luqman makan pil kapsul yang saya kerat kulitnya dan serbuknya saya letak di dalam sudu. Beberapa minit kemudian dia dikunjungi oleh semua rakan-rakan sekampungnya. Apa yang mengharukan ialah adiknya si Ujang ( 11 tahun) tidak berenggang dengannya dan membantu Luqman ketika kencing. Malam saya suruh Luqman tidur di rumah ayahnya yang bersebelahan dengan rumah saya untuk memudahkan ayahnya menjaga dia. Bukankah itu tanggungjawab ayahnya? Perbelanjaan dia bersunat pula dibiayai oleh abangnya Azmi yang bekerja sebagai tentera di Sibu. Inilah anak saudara yang pertama dan mungkin terakhir saya jaga ketika bersunat. Saya sempat menyakatnya : Jika kau lanji /ngengat/gatal sangat....Usu suruh doktor sunat kau sekali lagi untuk buang 'lanji' kau itu.

Berkelah Di Taman Rekreasi Ranchan ,Serian

0

Posted by Leeza | Posted in

Sehari selepas Raya Haji, kami sekeluarga bercadang hendak membawa anak-anak ke Kolam Renang di Samarahan namun malangnya kolam itu masih ditutup....dah lama pula tu,sudah melebihi sebulan. Sepatutnya pihak berwajib tidak menutup kolam pada masa cuti sekolah sebegini. Nampak sangat mereka malas. Lantas ,setelah berbincang, kami bertolak ke Taman rekreasi Ranchan, Serian , satu destinasi yang paling jauh saya memandu. Abang-abang saya tidak mengikut memandangkan mereka ada hal masing-masing.
Inilah Taman Ranchan, Serian. Batu-batunya nampak berlumut dan licin. persekitarannya masih tebal dengan dedaunan semulajadi. Kita kena berhati-hati meniti bebatuan ini kerana ia licin. Airnya sangat sejuk.

Kami memilih tingkat yang atas dan di situ tempatnya lebih luas.

Semua ahli keluarga saya termasuk kakak saya, mandi . Dua tiga kali anak-anak saudara saya, Wan, Zizi dan Luqman terjun ke dalam kolam kemudian menggigil naik ke atas sebab airnya memang sejuk. Zizi dan Wan pula mencuba terjun di atas batu yang tinggi. Saya ngeri melihat si Wan mencuba gaya terbalik, terjun dari belakang kerana kepalanya hampir mencecah batu. Saya hanya duduk menjaga barang-barang. Apa yang saya buat ialah, menjamu mi jawa yang dimasak oleh si Ina, anak saudara saya yang sulung.
Apa lagi, Si Asmara dan Putri dua orang cucu saya inilah yang paling seronok dengan aktiviti sebegini. Selesai mandi , mereka kelaparan makan nasi goreng.

Cuaca sudah panas terik semasa balik. Dalam perjalanan sempat singgah di Pasar Serian. Saya melihat berbagai jenis ulaman yang tidak pernah saya tengok. Saya sibuk sahaja bertanya nama sayuran dan buah tersebut. Lupa pula saya mengambil gambar buah-buah tersebut. Saya pula pening kepala semasa memandu balik.....berdoa dalam hati semoga cepat dan selamat sampai. Alhamdulilah, segalanya di permudahkan oleh ALLAH SWT.

YANG SEBENARNYA oleh Aisya Sofea

3

Posted by Leeza | Posted in


Sudah lama peminat novel menunggu hasil tangan terbaru Aisya Sofea. Yang Sebenarnya menjadi laris rasanya sebab pernantian ini. Nama Aisya Sofea memang sudah terkenal di antara kumpulan novelis DIVA tanah air kita. Bukan dia sahaja yang DIVA tetapi ada lagi yang DIVA namun biarlah DIVAnya kerana hasil karya yang bombastik dan bukan DIVA kerana perangai yang entah apa-apa.
Novel Yang Sebenarnya selesai saya baca tepat jam 8 pagi ini. Biarlah saya ulas satu persatu dari sudut pandangan peribadi saya. Lain orang lain pendapatnya. Sahabat saya Dahlia menyatakan bahawa pencinta buku akan menyintai apa sahaja buku yang dibacanya dan bukan menghakimi buku yang dibaca. Betul pendapatnya itu sebab kita pembaca akan baca apa sahaja buku yang ada kemudian selepas buku itu ditutup tanda selesainya bacaan, kita dapat merasa sendiri seribu rasa yang ada samada kita suka atau tidak buku tersebut. Buku yang menimbulkan kepuasan maksimum biasanya akan kita ulang sehingga ia lusuh dan kumal. The best book of all sudah pasti "AL QURAN". Kalau saya sampai buat review pasal AL QURAN....dah tahap gila tu.

Sipnopsis ringkas sahaja saya berikan . Kisah cinta antara sepupu. keseluruhan cerita mengisahkan kekeliruan pasangan sepupu ini tentang perasaan masing-masing samada hubungan yang ada adalah sekadar adik dan abang atau lebih dari setakat sepupu? Kemudian ia dilatarkan dengan hubungan kekeluargaan yang rapat lebih kurang 50 orang ahli keluarga . Pertautan yang erat antara keluarga Dhiya (aku) dengan keluarga Eddie. Dimasukkan perencah untuk menyedapkan cerita , kisah Dhiya menjadi pemandu van sekolah, kisah Achik yang mengalami keruntuhan rumahtangga sehingga dia dihalau oleh anak-anak tirinya , kisah Ahmad dengan anaknya Fauzan dan susasana kerja di pejabat sebagai Ketua Human Resource (HR).

Watak dan perwatakan :
1. Aku ( Dhiya) - seorang gadis dalam usia 30 tahun ,anak bongsu yang manja dipanggil 'ADIK", degil namun yakin dengan keputusan diri sendiri, punya angin kus-kus juga, bertanggungjawab, anak yang mendengar kata ibubapa namun terkadang dia menolak dengan cara halus.
2. Eddie atau Muhd Andrian Saifullah b Abdul Latif. - seorang bujang dalam usia 35 tahun. Pernah menaruh hati kepada Achik sehingga membawa diri ke London selepas perkahwinan Achik dengan Encik Ghaus ( macam watak penyamun je ) ,penyayang , manja sebab dia anak tunggal keluarganya, pemarah , tidak bersolat dan mudah lupa diri.(khayal dengan kehidupan di London)
3. Nuryn Mustafa - watak hitam. Peminat Eddie, kenalan Eddie di London. Obses dengan cintanya terhadap Eddie sehingga ia sanggup membunuh Dhiya dalam perjalanan ke Pulau Pangkor. ( macam cerita hollywood je).
Watak-watak lain hanya sebagai penyokong dan penyedap rasa. Pelengkap kehidupan. Namun yang lain dan menonjol sangat-sangat ialah peranan Pak Long dan Babah. Kedua lelaki ini begitu matang, berkarisma dan menjadi dahan berpaut yang kuat kepada AKU. Ketika AKU dilanda kesedihan , Babah menjadi tempat mengadu yang paling teguh sekali . Begitu juga kepercayaan dan keyakinan Pak Long menjadikan AKU menjalankan tugasnya di HR dengan cemerlang sekali. Saya suka dengan watak AKU di pejabat sebab dia tidak stress dengan masalah-masalah yang bukan calang-calangnya. Satu persatu tugasan diselesaikan dengan yakin dan teliti sehingga impaknya amat memberansangkan. Cuma AKU kalah dari segi emosi bila si Eddie yang dia sayangi memaki hamun dan mengherdiknya hanya atas kesilapan orang lain. Biasalah AKU kan manja....

Sebagai penulis yang dianggap DIVA ( saya pun tak faham apa maksud DIVA sebenarnya, bagi saya, DIVA macam orang sombong bongkak je) sepatutnya Aisya Sofea amat peka dengan novel ini agar tidak ada kesilapan dan kecacatan. Bukankah novelnya sudah lama menyepi baru dilahirkan? Namun saya tidak seronok membaca novel yang terlalu banyak kesilapan pengeditannya. Saya tak pasti adakah wujud kerjasama antara panel editor dengan penulis dalam menghasilkan novel Yang Sebenarnya ini. Namun asasnya pasti dari penulis, jika editor terlepas pandang, yang cacat dan silap tentulah penulis sendiri. Betultak ? ( ntah...) Ms 9- Dia mencarinya aku hampir setiap malam. ( nya- patutnya tak ada.) Ms 16 - Anehnya, bakul tersebut baju diletakkan di muka pintu bilik air. ( struktur ayat salah) Ms47- ...aku mendekati sikecil anak kecil .( salah sruktur ayat).Ms 156- ..tu yang habis cepat habis hari ini. ( juga masalah ayat) ms188-Dia sendiri kaget bila mengetahui bahawa aku belum terfikir dokumen itu.( terfikir patutnya ganti dengan terima)Ms 365- ....menjadikan aku tidak pilihan lain ( tidak patutnya guna tiada) Kemudian terdapat juga kesalahan ejaan yang boleh mengubah maksud perkataan menjadi lain seperti rasa jengkal (ms 238) jengkal sepatutnya dia guna jengkel.Taksud (ms 454) - taksub.
Selain daripada itu, penggunaan teknik + dan - untuk dialog chatting yang banyak digunakan sebagai media hubungan rapat antara AKU dengan Eddie seringkali berlaku kesilapan . Inilah kelemahan bila penulis menggunakan ganti nama AKU sebab sukar membezakan penceritaan dengan dialog. Antara kesalahan yang saya jumpa ialah ms 21,452,453,495 dan 497. Susah nak beza antara dialog dengan penceritaan. AKU bercerita bercelaru dan bercampur aduk dengan AKU dalam dialog. Kenapa tidak gunakan font yang lebih kontras untuk menunjukkan beza antara keduanya ini? Font untuk chatting lebih elok jika gunakan bold italic. Jelaskan, layout tak peka dan tak cantik. Ada rakan beritahu saya Aisya Sofea suka guna "AKU" sebab ini gaya dia. Namun kebiasaan ini tidak dapat mengubah kesilapannya bila dia sendiri tersasul meletakkan perkataan lain menggantikan AKU. Ms 495- Si isteri ketawa. ( Patutnya dia gunakan AKU ketawa.) Bila dah biasa , rasa pelik semacam bila tersilap sedikit. Ms 497 - perenggan .....lantas (si isteri) mengambil kesempatan atas diam abang itu untuk terus meluahkan apa yang tersirat di jiwa.

Tema percintaan antara sepupu yang boleh menghalalkan ijab dan kabul , setakat ini belum lagi saya jumpa dalam novel yang saya baca. Penggarapan tema dengan plot cerita nampak baik dan menarik. Cuma amarah Eddie yang melampau-lampau itu nampak tak logik sangatlah. Namun ia ditunjukkan bagi mencetuskan rasa kecil hati dan terkilan dalam watak AKU itu. Satu tarikan yang istimewa ialah gambaran kehidupan Achik yang sebenarnya saat Dhiya /AKU/ADIK melawat Achik pada suatu petang. Tidak perlu diceritakan panjang lebar namun situasi saat itu telah mengungkap semua cerita di sebalik tabir perkahwinan Achik. Tergurisnya hati Dhiya melihat kehidupan satu-satunya kakak yang dia ada dapat kita rasai bersama. Kemudian tentang sikap dan perangai Eddie yang tidak bersolat , penulis gambarkan dengan cara yang sangat halus sekali, pengesanan oleh Dhiya dengan perangai Eddie ini semasa keluar berdua dan saat dia menunjuk ajar Eddie cara-cara berwuduk . Wow ...saya suka sangat bahagian ini. Lebih-lebih lagi betapa Babah begitu arif menangkap kepincangan yang ada, memahami sehinggakan Eddie tidak merasa terlalu malu dan rendah diri. Inilah cara lembut membentuk islamik dalam jiwa insan dewasa yang sudah tersasar jalan lurusnya. Kemudian gambaran kehidupan pemandu van sekolah dengan karenah ibubapa yang berbagai.....jelas menunjukkan betapa anak-anak kecil ini sebenarnya tiada masalah untuk dihadapi tetapi orang dewasa yang pula berlebih-lebih. ( Bahagian ini saya faham sebab sudah biasa dengan karenah ibubapa - betul sama sekali)

Ada banyak sebenarnya namun saya ringkaskan di sini novel ini santai dan sesuai dibaca oleh semua golongan. Cinta tidak mengenal sesiapa selagi ia halal untuk diteruskan, maka bercintalah dengan sejujurnya dan luahkan jika anda menyintainya sepenuh jiwa. Jika tangan dihulurkan telah bersambut maka jangan sesekali lepaskan walau banyak dugaan yang datang .

Untuk Aisya Sofea, karya anda sentiasa dinanti dan diminati, pastikan novel anda yang seterusnya tiada lagi kesilapan teknikal dan editannya. Ia menjejaskan mood membaca dan menghayati novel ini. Saya berharap sangat Aisya Sofea akan menulis dengan ganti nama ke dua supaya dia dapat menulis dengan lebih meluas dan lebih cantik dan indah. AKU terlalu kasar dan terlalu dominan....nampak ego.

BLOG PRIASETIA oleh Anuar Kamaruddin

1

Posted by Leeza | Posted in


Novel BLOG PRIASETIA adalah karya sulung penulis lelaki tunggal NB Kara Sdn Bhd. Sejujurnya saya akui saya kurang meminati karya mana-mana penulis lelaki selain Abdul Talib Hassan dengan karya bombastiknya SAGA kerana gaya penyampaian lelaki biasanya hambar, terlus dan lurus ke titiknya. Namun anehnya jika dilihat pada sifat luaran lelaki sebenarnya punya daya rayuan gombal yang mampu melelapkan sesiapa juga hati wanita. Siapa Anuar Kamaruddin ? Dia hanya budak handsome yang biasa-biasa sahaja namun terserlah kreativitinya melalui laman blog peribadinya kemudian makin luar biasa bila dia menunjukkan bakat dengan mereka sendiri cover novel sulungnya ini.

Namun pendapat negatif saya berakhir dengan positif bila saya semakin ralat mahu meninggalkan buku itu ketika menatapinya. Dalam tempoh tak sampai 48 jam saya berjaya menamatkan bacaan saya dengan kepuasan. Novel ini mengikat saya......

Blog Priasetia adalah sebuah laman blog yang tanpa sedar menjadikan semua kisah di dalam novel ini berhubung kait antara satu sama lain. Gaya penyampaian dan perkembangan plotnya sangat menarik dan tidak membosankan. Kisah watak utama seorang gadis comel, Yuni Shora seorang pereka grafik di syarikat alatan muzik menjadi pengunjung setia laman blog PRIASETIA. Keceriaan watak Yuni Shora dengan lingkungan kehidupan keluarga yang bahagia namun tidak lari dari menghadapi masalah adiknya yang brutal, Azroi. Di sini kita didedahkan betapa susahnya mengawal remaja kini yang terlalu bebas dengan kehidupan sosial luar dan terpengaruh dengan kawan. Azroi yang merasa rendah diri dan terasa diabaikan oleh ibubapanya mengambil jalan yang salah sehingga hidupnya terjerat dengan dadah. Bagi sesiapa yang menghadapi remaja seperti ini, tentu faham perasaan bimbang dan amarah kita dalam menahan kesabaran dengan perangai mereka yang biadap dan memberontak. Hati kita bahagia dan tenang menghadapi kehidupan Yuni yang ceria dan sukses di tempat kerja . Masalah di rumah tidak membantutkan semangat kerja dan kreativitinya.
Pertemuan semula setelah sekian lama berpisah antara Yuni dan Richard a.k.a Rasheed X mencetuskan rasa cinta di hati Rasheed namun lambat di hati Yuni. Bukannya Yuni tidak menyintai Rasheed tetapi kehilangan Azroi menyebabkan Yuni lebih memfokus pencarian maklumat untuk menjejak kehilangan adiknya. Blog Priasetia yang mengaitkan Lola Kesandra dan nota cinta Azroi menyebabkan Yuni menjejaki kebenaran yang pahit tentang sisi gelap adiknya dengan Lola Kesandra dan hubungan dengan Mr Big K pengedar dadah yang terkenal.
Kemudian kehilangan Azroi dan kemunculan semula 'Amir' yang hilang ingatan selepas kemalangan merupakan satu peluang kedua dalam hidup Azroi. Dia memberi sinar dalam kehidupan keluarga Aminah yang mengalami sakit jiwa akibat kematian suami dan anaknya. Ketika dinyatakan yang wajah Azroi seiras dengan wajah Amir, saya sudah dapat mengagak bahawa Azroi mempunyai pertalian darah dengan keluarga Aminah sebab kemungkinan sepupu mempunyai keirasan wajah adalah nyata. Pelbagai rasa kita cicip dalam novel ini, ada rasa gembira, ceria, kasih sayang, nakal, cemas, ganas, dan lucu.

Saya gelak guling-guling dengan watak Inspektor Sahab yang ala-ala polis Bombay namun dia adalah Islam. Begitu juga dengan watak Pak Shuib dengan bahasa inggerisnya. Sebutan 'sotong' menjadi 'setong' membuat saya ketawa melangap-langap. Apa lagi dengan nama klinik 'Sihat ceria sentiasa' membuat saya senyum sampai ke telinga. Gaya bahasa cukup santai dan mudah difahami. Ada satu stail yang Anuar ikut gaya NB iaitu memperkenalkan makanan karipap sardin dan makanan jawa kresengan. Saya masih mengingati sedapnya karipap sardin buatan kak Jah semasa di Kl dulu dan ini kali pertama saya merasa karipap sardin. ( kunonya saya kan..) Banyak info dimuatkan dalam novel namun cara penerangannya cukup santai dan mudah difahami. Serasi dan sebati dengan adunan penulisan ayat-ayat . Plot tersusun kemas. Semasa Rasheed meluahkan isihati kepada Yuni yang sibuk bermain game tenis di handfonnya, saya seakan membayangkan cerita cinta hindustan....suasana itu sungguh mengkagumkan. Nilai-nilai murni tidak dilupakan, pertemuan semula Azroi dengan keluarganya membuat saya menitiskan airmata. Saya bersyukur pengakhiran nasib Azroi adalah baik dan bukan mati di tali gantung atau mati tanpa sempat bertaubat. Syukur sangat-sangat, semoga anak-anak remaja kita yang jauh tersesat kembali ke pangkal jalan......amin.

Tahniah kepada Anuar Kamaruddin. Tahniah juga kepada editornya Anida Daud dan tahniah juga kepada NB Kara sebab melahirkan dan membimbing bakat baru ini ke persada penulisan. Semoga Anuar Kamaruddin jangan mudah lupa diri setelah berjaya menghasilkan novel sulung ini, kekalkan gaya penulisan anda dan perbaiki menjadi lebih baik lagi.

ILHAM HATI oleh Damya Hanna

0

Posted by Leeza | Posted in


Saya tidak pernah ketinggalan membaca novel karya Damya Hanna. Novel ini telah saya khatam petang semalam . Novel ini menceritakan kisah seorang isteri yang hilang ingatan amnesia selepas terlibat dalam kemalangan. Rian kehilangan memori 4 tahun terakhirnya sehingga dia tidak mengenali suaminya Hanif dan segala peristiwa yang berlaku dalam 4 tahun itu. Keadaan ini membolehkan suaminya Hanif mengambil kesempatan untuk membalas dendam terhadap Rian. Di sinilah kekuatan novelis ini mengembangkan plotnya sehingga timbul pelbagai peristiwa yang terkadang tegang, romantis dan berakhir dengan ketegasan dan luka mendalam di pihak Rian. Sedari awal lagi saya tertanya-tanya kenapa Hanif berdendam, bagaimanakah karekter awal Rian sebelum kemalangan dan apa kandungan wasiat arwah datuk Rian? Rasa tanda tanya yang menggoda ini membuatkan saya terusan menatapi karya ini di sebalik kesibukan harian saya.
Apa yang pasti , keadaan kehilangan memori ini memberi peluang kedua dalam hidup Rian untuk berubah sikap dan memperbaiki kehidupannya. Rian menjadi wanita baru yang berazam menjadi isteri yang baik kepada suaminya.Malahan walau dendam berkobar-kobar, Hanif akur dengan kehendak hati yang sudah jatuh sayang dan memberi peluang kepada dirinya mengecapi kebahagiaan berumahtangga. Kemaafan adalah sesuatu yang terindah, itulah terjadi dalam hubungan Rian dan hanif. Saling memaafkan memungkinkan mereka mengecapi kebahagiaan.
Walau bagaimanapun, penulis tidak mengendahkan soal wasiat arwah datuk Rian. Sehingga cerita sampai ke penghujung, saya tidak tahu apakah isi kandungan wasiat arwah datuk Rian sehingga Rian nekad menjadikan Hanif sebagai suaminya. Apa yang saya faham ialah, arwah datuk meletakkan syarat agar Rian berkahwin dahulu barulah wasiat itu dapat dibaca oleh Rian. Sehingga ke akhirnya Rian masih tidak dapat mengingati sepenuhnya peristiwa 4 tahun terakhir dan hanya mengetahui segala kisah dan perangainya melalui jurnal atau diari peribadi yang dijumpainya di bilik tidur yang sentiasa terkunci. Terlalu banyak tanda tanya yang masih samar-samar dan tidak jelas seperti bayangan sepasang lelaki dan perempuan yang dilihat oleh Rian semasa kemalangannya. Apa penyebab kemalangan itu terjadipun tidak dinyatakan oleh novelis ini. Rian pemandu kereta mewah dan peminat aktiviti bermotor lasak, tentu adalah pemandu yang mahir. Penulis banyak mengungkapkan segala pertelingkahan mulut yang terjadi antara Rian dan Hanif. Jika ada dugaannya pun hanya kehadiran Nurliza yang menagih kasih Hanif kembali dan ini tidak berjaya menggugat rasa kasih yang telah wujud di hati Hanif untuk isterinya Rian. Watak Nurliza ini gambaran watak seorang pesakit kanser tahap terakhir dan sudah tahu kematiannya semakin mendekati. Kenapalah penulis masih menggambarkan wanita yang patutnya hanya memikirkan soal mati dan memperbanyakkan amal ibadat ini dengan mengejar cinta seorang lelaki sehinggakan dia nekad menemui Rian memohon untuk dibenarkan berkongsi Hanif. Apabila permintaannya ditolak oleh Rian atas alasan tidak mahu Hanif lebih terluka dengan kehilangan yang pasti dihadapinya juga, dia nekad pula menelan pil penenang. Singkat sangat pemikiran watak Nurliza sebagai wanita melayu Islam.

Novel ini menarik dengan gaya bahasa yang sesuai , kemas dan teratur. Rasa ingin tahu membuatkan kita terus menghabiskan cerita untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi dalam 4 tahun terakhir dalam kehidupan Rian sebelum dia hilang memori.

Hari-Hari Yang Sibuk

0

Posted by Leeza | Posted in

Beberapa hari sudah berlalu dan blog inipun terbiar bersama kesibukan tanpa henti. Ditambah pula dengan perkhidmatan broadband yang seperti 'koyong' makin membantutkan mood untuk mengemaskini cerita dalam blog.
Sehari sebelum cuti, kami mengadakan jamuan perpisahan untuk meraikan kelas tahun 6 /2009. Seramai 31 orang murid dan mereka merupakan kumpulan yang mencipta sejarah kecemerlangan untuk SK Jemukan . Jika tahun lepas keputusan sekolah lulus keseluruhan subjek hanya 41% tetapi tahun ini, kelas ini mencapai 83.8%. Bagi subjek saya, Sains, mereka mengulangi kecemerlangan kelas tahun 6 (2004) dengan peratus lulus, 93.7 .Alhamdulilah dengan pencapaian ini.
Pada hari Isnin 23 November 2009, saya membawa 7 orang murid lelaki untuk pergi ke kolam renang kemudian makan di KFC, Samarahan. Mereka teragak-agak melihat kereta kancil saya dan mengemukakan soalan : Muatke cikgu ? Saya hanya ketawa dan menjawab ringkas, : pepandailah kamu memenuhi ruang. Awg Raihan dan Zaidi duduk di depan, Zairul, Hafiz, Jalaludin, Azlan dan Ismail duduk di belakang. Wow...berat rasanya kereta saya. Nasib baik dipermudahkan, tiada pemeriksaan polis sepanjang jalan.
Malangnya, kolam renang ditutup pula untuk sementara waktu untuk kerja-kerja pembersihan. Walau bagaimanapun wajah mereka yang hampa kembali ceria apabila mengadap ayam goreng, kentang goreng, dan kentang wedges dengan cheese.
Selepas kekenyangan saya bawa mereka shopping. Mereka semuanya membeli radio autoscan yang kecil dengan harga RM5.99. Inilah kenangan mereka dan hadiah kerana lulus dengan baik. Saya berikan mereka hadiah ini sebab mereka sejak awal menunjukkan usaha yang positif. Bayangkan daripada tidak lancar membaca , Zaidi, Azlan dan Awg Raihan berjaya lulus dengan baik dalam Sains. Kumpulan perempuan belum lagi saya bawa sebab saya menunggu kolam renang siap dibersihkan.
Hari ini, saya mendapat bungkusan dari Kuala Lumpur lagi. Inilah hadiah istimewa daripadanya. Terima kasih kakak. Cantiknya beg ini....saya nak gunakan semasa perjumpaan reunion KOLEJ's nanti.

Setiap hari saya meluangkan masa sepenuhnya menguruskan hal keluarga dan rumah. Walaupun cuti, saya tetap menjenguk sekolah untuk menyiapkan beberapa persediaan untuk persekolahan tahun depan. Tiada makna bosan dalam kehidupan harian saya, alhamdulilah. Selamat menyambut hari raya aidil adha untuk semua rakan blogger yang saya kasihi.

Majlis Kecemerlangan Dan Khatam Al-Quran

0

Posted by Leeza | Posted in


Setiap murid dan guru menunggu majlis ini sebagai penutupan persekolahan tahun 2009.Majlis ini dimulakan dengan perarakan untuk 30 orang murid tahun 6 dan 5 yang khatam Al Quran.Mereka diiringi oleh kumpulan Hadrah Kampung Jemukan.

Sebelum mereka memasuki dewan, Ustaz Muhd Sabri memberi sedikit taklimat.

Inilah wajah anak-anak kelas prasekolah 1 dan 2. Tahun depan sebahagian mereka akan masuk tahun satu. Gelisah je si Aiman Darwisy ini....

Inilah kumpulan TAHTIM yang membimbing majlis khatam Al Quran. Menurut Ustazah mulai tahun hadapan murid-murid sendiri akan diajar bertahtim dan membimbing majlis ini sendiri.

Ini pula kumpulan murid yang berjaya menerima hadiah dan sijil . Yang depan tu murid-murid tahun 1. Si Ghalib anak cikgu Adil membolot semua hadiah dan mendapat tempat pertama. Si Hanni (anak ustazah)yang no 2 mengatakan yang dia akan mengambil balik tempat pertama tahun depan. Si Umm Syi'fa(anak ustaz) pun yang no3 berkata : kamekpun mahu no 1 juga. Hanni menjawab : eh..sik boleh. kamek sik maok berik. Hahaha betapa hebatnya azam dan tekad anak-anak ini bersaing untuk menjadi terbaik.

Majlis diakhiri dengan persembahan murid-murid tahun 6,lagu nasyid dan coral speaking. Mereka sendiri yang mainkan muzik. Dua minggu cikgu Zolkifli membimbing dan melatih mereka.

Haaha...inilah budak kecik yang asyik menyakat saya setiap hari, Si Mohd Nor Aiman Aslizam. Tadi bila tengok saya melompat setelah dapat panggilan telefon dia sibuk tanya dari siapa. Dari boyfriend ke? Aduhh lasernya mulut dia.