Musim Jerebu

Posted by Leeza | Posted in


Virus H1N1

Setiap tahun sekitar bulan Julai dan Ogos, cuaca memang agak panas. Musim kemarau akan melanda menyebabkan banyak masalah lain turut terlibat seperti kekurangan bekalan air, suhu yang panasnya melampau, tahap kesihatan terjejas dan jerebu. Tahun ini, negara dikejutkan dengan isu serangan virus H1N1 terutamanya institusi-institusi pendidikan. Beberapa buah sekolah terpaksa ditutup. Justeru itu KPM mengarahkan agar semua murid di sekolah diperiksa suhu badannya setiap hari. Bilangan murid di sekolah saya ialah 287 orang dan untuk memeriksa suhu hanya menggunakan satu termometer sahaja. Ada juga yang mencadangkan menggunakan termometer makmal Sains dan idea ini saya bantah sebab ukurannya takkan konsistens memandangkan bebuli raksa termometer yang selalu saya gunakan lambat bertindak. Jadi semua guru turun padang untuk membantu guru-guru kelas. Saya bukan hanya memeriksa suhu badan mereka tetapi juga memeriksa kebersihan anak-anak ini.
Memeriksa suhu badan murid-murid Tahun 1 menggunakan termometer digital


Cikgu Selia ,guru kelas Tahun 1 mengukur ketinggian murid untuk data RMT


Namun ,virus H1N1 ini tidak berapa dibimbangkan kerana sejak beberapa hari ini , suhu persekitaran di tempat saya sangat panas. Berlaku fenomena "Rumah Hijau" kerana udara dan haba matahari terperangkap oleh asap kebakaran. Apabila tiba musim panas begini, penduduk kampung yang mengusahakan pertanian suka membakar kebun mereka untuk memudahkan mereka bercucuk tanam. Oleh kerana kawasan tanah mempunyai lapisan humus yang terdiri daripada ranting-ranting, akar-akar dan dedaunan yang kering serta bangkai haiwan yang reput menghasilkan lapisan humus maka api kebakaran tidak mudah terpadam. Jka zahirnya kita melihat api sudah terpadam namun percikan bara masih kelihatan, asap berkepul-kepul. Tanah yang terbakar, apinya marak melalui lapisan bawah tanah dan situasi inilah yang sangat merbahaya. Di kawasan belakang kampung saya dikelilingi oleh hutan dan ladang kelapa sawit FELCRA. Jika kebun-kebun petani kecilan ini terbakar, api yang marak ini turut membakar kawasan ladang-ladang ini. Maka wujudlah keadaan jerebu yang teruk dan indeks pencemaran udara menjangkau tahap bahaya. Rata-rata orang demam, panas dan batuk-batuk. Juga mata sakit dan cepat letih. Anak-anak sekolah diingatkan menggunakan 'mask' untuk keselamatan.

Keadaan ini diberatkan lagi apabila bekalan air terputus. Rakan saya si Madam T tercedera kakinya kerana mengangkut bekalan air dari luar untuk kegunaan di rumah. Semalam bekalan elektrik juga terputus , pun memudaratkan lagi kerana kipas tidak dapat digunakan. Pihak sekolah telah menghentikan sementara kegiatan kokurikulum dan Pendidikan Jasmani memandangkan udara yang tidak sihat ini. Individu dinasihatkan mengamalkan banyak minum air kosong untuk mengelakkan sakit berlarutan.

Sejenak itu saya mengimbau kenangan masa kecil saya ,ketika musim kemarau.Ketiadaan air menyebabkan kami mengangkut air dari hutan yang berwarna merah sebagai minuman dan kegunaan harian. Setiap petang saya mengangkut air dari sungai dan memenuhkan tempayan untuk digunakan sebagai air mandian pada waktu pagi sebelum ke sekolah. Biasanya air sungai penuh dengan lumpur dan jika disimpan semalaman , lumpur akan mendap di bawah tempayan maka air yang bertakung nampak bersih biarpun rasanya masin. Hari ini biarpun air paip melimpah ruah, masih ada anak2 yang malas mandi pagi dengan hanya alasan sejuk.....saya percaya air yang sejuk menyegarkan minda dan badan kita.

Comments (1)

salam kak,
lama tak jenguk blog akak ni. bzlah kak.
setuju ngan akak, air yg sejuk dpt segarkan minda dan badan. ida mmg suka mandi ngan air sejuk...