Menyambut Ramadhan Dengan Kesyukuran

Posted by Leeza | Posted in


Ramadhan Al-Mubarak tiba lagi dengan penuh kesyukuran. Bagi kampung-kampung, awal Ramadhan disambut dengan kenduri di surau. Petang tadi kampung saya sudah membuat kenduri kesyukuran ini dan kesempatan ini AJKK Surau mengagihkan giliran setiap rumah mengikut kumpulan untuk menyediakan makanan dan kuih-muih sepanjang masa terawih.

Menu masakan saya untuk kenduri tadi ialah ayam masak merah, kari ikan tongkol dan ikan popot goreng. Makanan-makanan ini saya letak dalam 2 bekas tetingkat untuk memudahkan anak saudara saya membawanya ke surau. Azizi pula risau sebab dia ditugaskan oleh kakak saya membawa hidangannya pula yang diletak dalam satu talam besar. Dia risaukan lauk- pauk tumpah. Nampaknya remaja sekarang memang tak pandai membawa hidangan bertalam ini tak macam remaja dulu, menjunjung hidangan menggunakan sebelah tangan sahaja. Beratnya tak payah nak cakap sebab semua pinggan mangkuk mengunakan kaca. Tiap hidangan untuk dua orang sahaja. Kalau tak habis biasanya akan dibawa balik ke rumah. Hidangan saya akan dimakan oleh orang lain dan anak saudara saya akan makan hidangan orang lain, bertukar-tukar. Kenduri ini akan diadakan lagi pada hari ke 15 Ramadhan, 7 likor dan 1 syawal. Malamnya akan diadakan solat terawih dan tadarus.

Ada mengatakan hal ini tidak wajib dan tak perlu diadakan. Dalam masyarakat desa , orang-orang tua kita menekankan budaya ini agar semua orang kampung dapat berkumpul di surau. Ini tanggungjawab sosial kita hidup bermasyarakat selain memanjangkan amalan bersedekah. Sebab itulah ada saya terbaca satu artikel untuk kita bersedia dari segi wang ringgit untuk memperbanyakkan amalan sedekah kita pada bulan Ramadhan ini. Mak saya berpesan dengan abang saya untuk menghantar semua bekas makanan yang kami gunakan untuk memberi mereka makanan agar memudahkan kami menyedekahkan makanan kepada jiran dan dia sendiri. Saya mendengar sahaja, sebab saya tahu memang setiap awal Ramadhan saya akan membeli banyak bekas makanan untuk tujuan ini.

Selain amalan bersedekah, amal ibadat, tiap Ramadhan pasti saya juga rajin mencuba resipi-resipi masakan. Tiap tahun asyik mengumpul resipi ,sehingga resipi saya bertambah-tambah. Selera pada bulan Ramadhan memang besar tetapi bila tiba masa berbuka, makanan itu hanya menjadi sajian mata sahaja. Namun rumah saya tahun ini akan meriah, anak-anak remaja yang saya jaga sekarang memang kuat makan, jadi saya tak risau tentang makanan tersebut....memang akan licin selalu.

Selamat menyambut bulan Ramadhan untuk semua pembaca blog saya dan rakan-rakan saya. Semoga diberkatiNya dengan rezeki dan kesihatan yang baik untuk memudahkan kita menjalani ibadah Puasa.Juga untuk anak-anak murid saya yang suka melepak di blog ini....jangan lupa UPSR nak dekat.

Comments (1)

seronoknya bila bergilir2 menyediakan juadah berbuka puasa di surau. rasanya budaya dh semakin berkurangan dah.

utk kak liza sekeluarga..SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK JUGA!!!