AKU BUKAN BILLY MILLIGAN oleh Norhayati Berahim

Posted by Leeza | Posted in


"Za, akak dah siap." katanya.
"Siap apa?" Saya masih blur ,tidak mengerti apa maksudnya.
"Aku Bukan Billy Maligan."
"Kenapa Billy Maligan? Siapa Billy ?" bertubi-tubi soalan saya tanya dia.
"Googlelah sendiri...." dia enggan menerangkan. Saya terus menggoogle 'Billy Maligan' dan yang saya jumpa ialah setiausaha PBB . Makin saya berkerut tidak faham....
"Oh, akak nak buat buku politik ke , pasal Billy Maligan setiausaha PBB ?"
"Nah, baca sendiri....." Dia berikan link satu laman web tentang Si Billy, 24 karekter si Billy. Lantas malam itu kami berdiskusi tentang karekter Si Billy yang terkadang orang katakan punya 24,14 atau 10 karekter berbeza. Biarpun begitu, saya masih tidak tahu bagaimana intipati novel ini. Biarpun dia memasukkan satu entry tentang Adam dan Laura namun saya masih lagi kabur tentang jalan cerita. Kemudian seorang kawan saya ,Madam T mempertikaikan penggunaan nama Laura dan Adam sedangkan kita maklum selama ini NB sering menggunakan nama-nama Melayu klasik untuk watak-watak dalam novelnya.

Aku Bukan Billy Milligan mengisahkan seorang pemuda yang punya pelbagai karekter yang menyakitkan, menyampah dan sombong bongkak dengan kekayaannya. Adam Sohot yang punyai zaman kecil yang penuh kelukaan , punyai ayah yang kaki judi dan kaki perempuan sehingga dia melihat sendiri ibunya menderita . Masa kecil yang penuh kepahitan apabila sejak kematian ibu tersayangnya, dia dibesarkan di rumah anak-anak yatim dan ayahnya pula keluar masuk penjara. Semakin mendera jiwa Adam apabila dia dihina dan dicaci hanya kerana dia anak penjenayah sehingga dia menjadi pendendam dan menjauhi solat dan mengaji. Pada waktu itu Adam bertekad menjadi kaya raya agar masyarakat tidak mempelekehkan dirinya dan hasrat ini tercapai apabila dia berjaya dalam pasaran saham. Perkahwinannya dengan Rozita tidak menjanjikan kebahagiaan apabila dia berdepan dengan tohmahan dan kebencian ibu Rozita, Puan Sri Rubiah yang tetap menganggap Adam anak penjenayah yang tetap hina. Makin melukakan Adam apabila Rozita seorang peguam bela terkenal langsung tidak menghormati kedudukannya sebagai suami. Keadaan ini menjadikan Adam seorang lelaki yang tidak pandai tersenyum dan serius sahaja lagaknya.

Laura watak heroinnya, seorang gadis yang lahir dari kesukaran hidup ditinggalkan oleh ayahnya yang kaya-raya. Laura yang dinamakan sempena watak Laura dalam Little House In Prairie mengimbas kenangan lama saya yang menyukai siri ini. Sejak kecil Laura bt Jidin sentiasa bersusah payah untuk membantu ibunya Mak Eton pembuat belacan dan menyara adik-adiknya Fauzul dan Hakim. Dia dan Fauzul berjaya dalam kerjaya sementara Hakim memilih jalan hidup dengan berniaga belacan dan cencaluk di pasar borong. Laura seorang gadis yang gigih ,dan dengan wang pemberian ibu Yazir sebagai tukaran untuk meninggalkan Yazir ,Laura berjaya membuka sebuah syarikat sendiri Laura Real Estates Agency.Pada peringkat ini saya memang mempertikaikan tindakan Laura mengambil wang tersebut dan menggunakannya untuk membuka syarikat. Dalam kerjayanya sebagai egen Hartanah inilah dia menemui 2 watak yang juga penting dalam mengolah jalan cerita menjadi kelopak-kelopak bunga untuk ditaupkan menjadi sekuntum bunga yang berkembang dengan indahnya.Watak pertama ,pertemuannya dengan Richie, seorang pemuzik yang kaya, pemilik banglo di Cheras, 'Teratak Alam' yang mempunyai empat balkoni , 8 bilik dan sebuah kolam renang. Richie yang kecewa ditinggalkan isterinya menggunakan khidmat Laura menjual banglo tersebut dengan harga rm500 000 sahaja sedangkan setelah dinilai oleh valuer, harga banglo ini mencecah lebih dari rm2 juta. Richie menggambarkan persoalan kecurangan isteri terhadap suaminya biarpun suaminya kaya. Kekayaan bukan ukuran kebahagiaan dan keutuhan rumahtangga.Hubungan baik Laura dengan Richie , membuatkan Richie menyayangi Laura sebagai adik , his little angel dan sebagai hadiah, kereta pacuan empat roda dihadiahkan untuk Laura. Watak kedua ialah watak Julie seorang selebriti terkenal yang didera oleh suaminya Datuk Kamaruddin menggunakan khidmat Laura untuk mencari rumah atau aparment sewa sebagai tempat untuknya bersembunyi dari suami durjana tersebut. Persoalan yang disampaikan ialah jenayah rumahtangga dan setiap isteri yang menjadi mangsa dera harus mengambil tindakan tegas untuk keselamatan diri. Richie dan Julie membawa diri ke luar negara dan Takdir menemukan mereka ,jatuh cinta dan berkahwin.

Pertemuan Adam dengan Laura hanya urusan perniagaan , jual beli banglo Teratak Alam. Pada masa itu Adam baru hendak melangsungkan perkahwinan dengan Rozita. Jika kita teliti betul-betul sebenarnya, Adam dan Laura pernah bertemu di tepi Tasik Titiwangsa. Waktu itu Laura membaca komik dengan mengunyah kuaci sementara menunggu Raudhah. Dia ketawa terbahak-bahak sehingga Adam melihatnya sakit hati sebab ketawa itu mengingatkan Adam dengan silamnya yang selalu menjadi bahan ketawa.Pertemuan atas urusan Teratak Alam terulang lagi selepas 3 tahun kemudian di mana Adam menjalani proses penceraian. Di sinilah Adam dan Laura menjadi rapat dan kita disogokkan dengan peribadi Adam Sohot yang menjengkelkan dan menyakitkan hati. Laura menjadi mangsa tengkingan dan kemarahannya sehingga dialog kesukaan Adam : Awak ingat saya bodoh? menjadi lali di telinga Laura. Namun Teratak Alam menjadi penghubung antara mereka berdua. Cinta???? Rasanya cinta hanya terjalin dalam diri Adam Sohot sahaja sedangkan dari awal hingga akhir cerita ,cinta Laura tidak digambarkan. Adam yang mulanya ego akhirnya tunduk dengan rasa cinta di hati sehingga sukar dia hendak mencairkan hati Laura. Apatah lagi bila Laura membataskan segala hubungan mereka dan menolak semua pemberian kemewahan yang diberikan Adam seperti jam tangan, coklat, wang ringgit untuk shopping dan kad kredit platinum yang dipatahkan oleh Laura. Adakah Laura bodoh dan jual mahal? Namun kita harus sedar mengapa hati Laura sekeras itu jika dia pernah dihina oleh Adam yang kononnya dia jenis perempuan materialistik dan murahan. Sikap Adam umpama Billy Milligan amat menakutkan Laura namun dia akur apabila Adam mendapat restu daripada emaknya Mak Eton yang pada awalnya menekankan supaya Laura tidak memilih lelaki kaya raya. Adakah mereka bahagia? Sudah tentu kerana Teratak Alam menyatukan ramai ahli keluarga. Cuma watak Fauzul menjadi watak kecil sahaja, alangkah baiknya jika Fauzul diceritakan balik bercuti dan mereka berkumpul di Teratak Alam pada masa itu. Watak-watak Lily dan Tanty yang banyak cakap , watak sahabat Raudhah menjadikan Laura tidak keseorangan dan menceriakan novel ini dengan karenah mereka dalam menyatukan Adam dengan Laura.

Membaca novel ini, saya melihat peribadi penulis, lenggok bahasa, dialog dan kelucuan dalam selingan novel menjadikan inilah Norhayati Berahim. Tiada yang baru dalam penulisan novel ini daripada novel yang sudah-sudah iaitu isu konflik antara anak dengan ayah. Laura dengan ayahnya dan Adam dengan ayahnya Pak Sohot. Sejahat manapun si ayah, seperti kata Laura darah yang mengalir dalam tubuh anak adalah benih si ayah. Pak Sohot kembali demi sayangnya pada Adam dan Laura pula mendapat harta wasiat arwah ayahnya.

Ada yang mengatakan mesti ada tazkirah dalam novel-novel NB. Ada 3 sisipan yang menjadi panduan untuk kita ialah : Kisah semut, kisah Qarun yang bongkak dan perdebatan Laura dengan Adam tentang keadilan Tuhan. Sangat bermanfaat untuk kita yang kadang-kadang lalai dengan kesenangan, sedangkan ALLAH menguji kita dalam kesenangan juga.

Isu Sains yang saya perdebatkan dengan NB tentang Neptune yang digambarkan planet paling sejuk, paling gelap dan paling beku. Saya bertanya padanya kenapa Neptune dan kenapa tidak gunakan Pluto. Dalam kurikulum Sains Sekolah Rendah, 9 planet yang diiktirafkan ialah termasuk Pluto, planet terjauh dan paling kecil dalam sistem solar.Namun penemuan baru menyatakan Pluto bukanlah planet kerana Ceres juga bukan planet. Apapun Neptune memang sejuk dan beku. Mungkin kurikulum harus diubah dan kami terpaksa menunggu hitam putihnya.

Sesuatu yang istimewa pada NB ialah penggunaan beberapa perbendaharaan kata yang jarang kita temui dalam dialog. Antara perkataan yang saya temui ialah, waham, cekang, pokta, ganar,panar,pujur,palak,perling,galgal dan muka pot (digambarkan muka berkedut, dalam bayangan saya pot itu belanga..jadi muka belanga , panas....hitam.Entah betul entah tidak pemahaman saya ini....) Saya terpaksa merujuk dalam kamus Dewan untuk mencari maknanya....sebab NB tak suka saya anggap dia kamus hidup saya.keh...keh...keh.

Penulisan beliau kali ini santai dan ceria sehingga kita takkan ambil pot ( belanga juga ke? he he he) dengan perangai si Billy Adam Sohot itu. Saya tersenyum dengan ketawa melangap-langap sebab saya bayangkan ikon ketawa melangap-langap dalam YM. Namun sempat juga dia masukkan isu maggi , sehingga terdetik dalam hati " macam anok aku jak( macam perli saya je )".Sensitifnya saya..he..he..he. Juga ketika Laura memanggil mak nya berulang kali dan disahut oleh Mak Eton...."apa kena kamu ni ? Nak susu mak ke? Dah kering dah..." Saya teringat dialog saya dengan murid-murid saya bila mereka memanggil saya berulang kali," apa dia? nak nenen? nak pepet?". Banyak jugalah dialog santai namun mengundang ketawa kita ketika membacanya. Berdepan dengan watak Hakim yang berhenti sekolah saya teringat anak saudara saya.....alangkah baiknya jika anak saudara saya seperti itu.

Seperti biasa kita tetap disajikan dengan nama makanan seperti sambal ikan bulu ayam ,nasi lemak, udang geragau, jejemput geragau,sup gear box, sup torpedo....memang buat saya termenung, camnerlah rupanya sup gear box dan sup torpedo ni. Begitu jugalah dengan kasut gladiator....saya mencongak-congak dalam kepala saya bagaimana rupanya kasut gladiator itu...adakah ia kasut yang dipakai oleh hero gladiator?

Keseluruhannya novel ini memang best, namun tidaklah romantik biarpun ada adegan panas yang dilakukan oleh Adam yang mabuk edan. Jika Adam berterusan dengan perangai meroyan lamanya, pasti dia tidak akan menemui kebahagiaan dengan Laura. Cuma saya tak puas hati sebab sehingga akhir tiada ungkapan cinta dan sayang dari Laura. Cuma kelakuan dan panggilan Hubby itu sebagai satu tanggungjawab. Mengenali Laura dia memang mampu menjadi seorang isteri yang baik. Halangan percintaan oleh Mak Eton pun tidak mencabar kerana ia dapat dilenturkan dengan sekelip mata sahaja oleh Adam sohot.

Rasanya semua pembaca si Billy memang puas hati sehingga ada yang sanggup bersengkang mata semalaman membaca Billy. Rakan-rakan yang belum membaca Billy, dapatkannya segera : RM25.90 dari NB Kara Sdn Bhd atau di kedai-kedai buku yang berdekatan dengan anda. Anda pasti jatuh hati dengan Laura dan Adam.


Comments (3)

tu dia...panjang berjela komen kak liza. nak tanya sikit, akak ni mmg pengkritik novel ke selain guru..??? pandai akak mengupas cerita. best kan bila ada gang2 sekaki yg minat bc novel. boleh ler berbincang ttg novel yg dibaca. kwn2 sy tak minat dgn novel. so, I have no one to share with!!

Huhuhu...'ketawa melangap-langap' kamek baca komek kak liza ni. Itulah yg saya rasa ketika membaca ABBM kak...wpun pd pendpt saya karya kak NB kali ini lebih santai dan ringan but still membuatkan sy tak boleh lepas si ABBM ni tanpa menamatkan sehinggakan novel itu tergolek jatuh dan kamek ketiduran tidak sedarkan diri. Nasib baik dah set alarm siap2 kalau tak terbabaslah nampaknya.

kak liza, salam kenal..

intan pun pulun baca ABBM dlm masa beberapa jam je. sanggup tak tidur.. tak sabar nak tahu endingnya...