BLOG PRIASETIA oleh Anuar Kamaruddin

Posted by Leeza | Posted in


Novel BLOG PRIASETIA adalah karya sulung penulis lelaki tunggal NB Kara Sdn Bhd. Sejujurnya saya akui saya kurang meminati karya mana-mana penulis lelaki selain Abdul Talib Hassan dengan karya bombastiknya SAGA kerana gaya penyampaian lelaki biasanya hambar, terlus dan lurus ke titiknya. Namun anehnya jika dilihat pada sifat luaran lelaki sebenarnya punya daya rayuan gombal yang mampu melelapkan sesiapa juga hati wanita. Siapa Anuar Kamaruddin ? Dia hanya budak handsome yang biasa-biasa sahaja namun terserlah kreativitinya melalui laman blog peribadinya kemudian makin luar biasa bila dia menunjukkan bakat dengan mereka sendiri cover novel sulungnya ini.

Namun pendapat negatif saya berakhir dengan positif bila saya semakin ralat mahu meninggalkan buku itu ketika menatapinya. Dalam tempoh tak sampai 48 jam saya berjaya menamatkan bacaan saya dengan kepuasan. Novel ini mengikat saya......

Blog Priasetia adalah sebuah laman blog yang tanpa sedar menjadikan semua kisah di dalam novel ini berhubung kait antara satu sama lain. Gaya penyampaian dan perkembangan plotnya sangat menarik dan tidak membosankan. Kisah watak utama seorang gadis comel, Yuni Shora seorang pereka grafik di syarikat alatan muzik menjadi pengunjung setia laman blog PRIASETIA. Keceriaan watak Yuni Shora dengan lingkungan kehidupan keluarga yang bahagia namun tidak lari dari menghadapi masalah adiknya yang brutal, Azroi. Di sini kita didedahkan betapa susahnya mengawal remaja kini yang terlalu bebas dengan kehidupan sosial luar dan terpengaruh dengan kawan. Azroi yang merasa rendah diri dan terasa diabaikan oleh ibubapanya mengambil jalan yang salah sehingga hidupnya terjerat dengan dadah. Bagi sesiapa yang menghadapi remaja seperti ini, tentu faham perasaan bimbang dan amarah kita dalam menahan kesabaran dengan perangai mereka yang biadap dan memberontak. Hati kita bahagia dan tenang menghadapi kehidupan Yuni yang ceria dan sukses di tempat kerja . Masalah di rumah tidak membantutkan semangat kerja dan kreativitinya.
Pertemuan semula setelah sekian lama berpisah antara Yuni dan Richard a.k.a Rasheed X mencetuskan rasa cinta di hati Rasheed namun lambat di hati Yuni. Bukannya Yuni tidak menyintai Rasheed tetapi kehilangan Azroi menyebabkan Yuni lebih memfokus pencarian maklumat untuk menjejak kehilangan adiknya. Blog Priasetia yang mengaitkan Lola Kesandra dan nota cinta Azroi menyebabkan Yuni menjejaki kebenaran yang pahit tentang sisi gelap adiknya dengan Lola Kesandra dan hubungan dengan Mr Big K pengedar dadah yang terkenal.
Kemudian kehilangan Azroi dan kemunculan semula 'Amir' yang hilang ingatan selepas kemalangan merupakan satu peluang kedua dalam hidup Azroi. Dia memberi sinar dalam kehidupan keluarga Aminah yang mengalami sakit jiwa akibat kematian suami dan anaknya. Ketika dinyatakan yang wajah Azroi seiras dengan wajah Amir, saya sudah dapat mengagak bahawa Azroi mempunyai pertalian darah dengan keluarga Aminah sebab kemungkinan sepupu mempunyai keirasan wajah adalah nyata. Pelbagai rasa kita cicip dalam novel ini, ada rasa gembira, ceria, kasih sayang, nakal, cemas, ganas, dan lucu.

Saya gelak guling-guling dengan watak Inspektor Sahab yang ala-ala polis Bombay namun dia adalah Islam. Begitu juga dengan watak Pak Shuib dengan bahasa inggerisnya. Sebutan 'sotong' menjadi 'setong' membuat saya ketawa melangap-langap. Apa lagi dengan nama klinik 'Sihat ceria sentiasa' membuat saya senyum sampai ke telinga. Gaya bahasa cukup santai dan mudah difahami. Ada satu stail yang Anuar ikut gaya NB iaitu memperkenalkan makanan karipap sardin dan makanan jawa kresengan. Saya masih mengingati sedapnya karipap sardin buatan kak Jah semasa di Kl dulu dan ini kali pertama saya merasa karipap sardin. ( kunonya saya kan..) Banyak info dimuatkan dalam novel namun cara penerangannya cukup santai dan mudah difahami. Serasi dan sebati dengan adunan penulisan ayat-ayat . Plot tersusun kemas. Semasa Rasheed meluahkan isihati kepada Yuni yang sibuk bermain game tenis di handfonnya, saya seakan membayangkan cerita cinta hindustan....suasana itu sungguh mengkagumkan. Nilai-nilai murni tidak dilupakan, pertemuan semula Azroi dengan keluarganya membuat saya menitiskan airmata. Saya bersyukur pengakhiran nasib Azroi adalah baik dan bukan mati di tali gantung atau mati tanpa sempat bertaubat. Syukur sangat-sangat, semoga anak-anak remaja kita yang jauh tersesat kembali ke pangkal jalan......amin.

Tahniah kepada Anuar Kamaruddin. Tahniah juga kepada editornya Anida Daud dan tahniah juga kepada NB Kara sebab melahirkan dan membimbing bakat baru ini ke persada penulisan. Semoga Anuar Kamaruddin jangan mudah lupa diri setelah berjaya menghasilkan novel sulung ini, kekalkan gaya penulisan anda dan perbaiki menjadi lebih baik lagi.

Comments (1)

salam kak liza...

terima kasih sudi baca novel dan buat review Priasetia

terharu =D