MATAHARIKU oleh Aina Emir

Posted by Leeza | Posted in


Matahariku oleh Aina Emir muncul bersama hangatnya cerita 'Matahari' dan lagu 'matahari' oleh Agnes Monica. Novel ini saya habiskan dua hari yang lalu. Saya bukannya pengkritik mahupun mempunyai niat mahu menjatuhkan orang lain. Saya hanya ingin mengulas dan meluahkan apa yang saya suka dan rasa mengenai novel yang saya baca.

Saya sukakan novel-novel yang saya baca. Setinggi mana tahap kesukaan saya, saya takkan membuang buku-buku yang telah saya beli dan baca. Novel ini jalan ceritanya menarik. Memang ceritanya ala-ala cerita Mills and Boon. Kekuatan ceritanya ialah ia mengungkapkan konflik bagi golongan yang berpoligami. Ia tidak berfokus terhadap watak Syakirah dan Eyyad Aysar tetapi lebih menceritakan masalah yang dihadapi oleh lelaki yang berpoligami dan kemudiannya menghadapi masalah kewangan yang serius.

Pertemuan Syakirah dan Eyyad Aysar di Mukalla ,Yemen terjadi atas urusan kerja kerana Syakirah ditugaskan oleh majikannya Amani untuk mengambil sesuatu dari Yemen. Syakirah , Azman dan Nurina dikehendaki menyertai seminar yang dianjurkan oleh Al Yazid, orang kaya di sana. Kemudian berlakulah hubungan antara mereka berdua dengan sesuatu yang tidak diduga oleh Syakirah sama sekali. Berlainan dengan Eyyad Aysar yang sejak mula sudah tertarik dengan Syakirah tanpa pengetahuan empunya diri. Perhubungan nakal mereka melalui cyber 'chatting' mengenalkan kita tentang perangai keanak-anakan si Syakirah. Mungkin kerana saya pernah membuat 'perkara serupa' maka saya dapat menghayati cerita ini dengan baik....hahahaha. Saya gelak kerana sememangnya Syakirah itu seperti saya. ( perasan sekejap).Namun dia kantoi juga bila mengetahui kebenaran ' cik abang sayang' dalam chattingnya itu adalah Eyyad Aysar , jutawan muda yang sudah beristeri. Bila Syakirah terpaksa berkahwin dengan Eyyad setelah dipaksa oleh ayahnya , dia masih belum punya rasa cinta itu sepenuhnya. Dan percintaannya wujud setelah berkahwin, setelah dia mengenali peribadi suaminya maka status suami orang dan hakikat dia bermadu menjadi bukan isu yang serius lagi. Jika cinta semuanya indah sahaja.

Tema poligami lebih berfokus kepada ayah Syakirah, Wazir yang mempunyai tiga isteri. Rose, Mahfuzah dan Anne. Rose isteri tua mempunyai anak bernama Karinah dan Syakirah pula adalah anak dari isteri kedua. Mama Anne pula mempunyai anak dari perkahwinan terdahulu Nabila yang menjadi kawan rapat Syakirah. Hubungan Syakirah lebih rapat dengan keluarga tirinya daripada mama dan kakak Assilanya sendiri. Bila Wazir menghidapi penyakit dan bankrap, maka timbullah konflik lebih kepada mama Syakirah yang materialistik. Syakirah dan Kiranah terpaksa memikul tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah kewangan ayahnya. Masalah ini selesai dengan bantuan Eyyad Aysar. Mungkin kita semua pertikaikan isu seorang perempuan yang masih gadis tinggal di rumah kepunyaan seorang lelaki yang tiada ikatan apa-apa dengannya. Bukan penulis membenarkan tindakan ini sebab watak Syakirah sendiri selalu rasa bersalah dan berdosa malahan dia sendiri seperti merasakan dirinya perempuan simpanan.

Kemudian kenyataan yang Syakirah dengar dari Nasrat, si Arab yang meminatinya tentang Eyyad dan dia bertaruh untuk mendapatkan Syakirah menjadi satu luka yang amat dalam di hati Syakirah. Bahagian inilah yang lebih mirip kepada cerita Mills and Boon. Pengetahuan tentang sesuatu yang melukakan dan si heroin akan melarikan diri membawa hati lukanya. Kemudian hero akan menjejakinya untuk menjelaskan kenyataan yang sebenarnya.

Percintaan Eyyad Aysar dengan Syakirah umpama cinta zaman dongeng , cinta raja-raja dan inilah yang membuaikan kita ...biar tidak berpijak di bumi nyata sekalipun, asal cerita cintanya mengasyikkan. Apa yang saya kagumi ialah, percintaan mereka terpelihara dalan batas Islam. Pun juga betapa bijaknya Eyyad mengendalikan keluarga Syakirah yang materialistik. Ketegasan Syakirah dengan sikap mama dan kakaknya yang mempergunakan kekayaannya memang patut dipuji. Tugas isteri ialah menjaga harta suaminya dan bukan menghabiskan harta suami. Kita juga dibawa menghayati keindahan Yemen, Hadramaut, Mukalla dan budaya di sana yang jauh berbeza dengan budaya kita.

Jalan cerita ditulis dengan baik. Tidak ada kesilapan dalam struktur ayat. Ada kesalahan ejaan pun tidak banyak . Ms 1 -kedingingan . Ms 141 dan ms 177 - melawa, sepatutnya penulis gunakan perkataan mempelawa. Aina Emir tidak menggunakan watak 'aku' sebagai pencerita dan ini membuatkan jalan cerita dikembangkan dengan baik sekali.

Seperti matahari, diharap sinarnya mampu menerangkan kehidupan harian kita.

Comments (0)