My Dear Farid Asyraf

Posted by Leeza | Posted in

Saya sekarang berada di rumah abang saya yang ke 5, SB . Saya ditugaskan menjaga rumah kerana mereka sekeluarga bercuti di KL selama 5 hari. Setiap kali mereka bercuti , saya sering kali menjaga rumah . Terkadang mak mengikut saya terkadang dia tidak mahu. Dulu semasa saya belum mempunyai lesen dan tiada kereta, saya rasa bosan sangat terperap di dalam rumah. Bas pula tiada. Hari-hari bosan melihat ayam dan ikan di dalam peti ais sehinggakan bila mereka balik bercuti kakak ipar saya bertanya samada saya masak ke tidak. Mana taknya makanan banyak yang tidak luak. Pernah juga saya termimpi semua barang dalam rumah habis dicuri orang, sehingga saya turun ke bawah jam 3 pagi.....terlebih fikir sehingga menggigau. Kalau saya memasak, saya gunakan satu perkakas sahaja iaitu kuali. Hehehe...tidak pandai saya menggunakan belanga yang berkaca-kaca. Apa lagi microvave dan mesin basuhnya....takut terosakkan barangan orang. Kali ini saya berseorangan menjaga rumah. Alamatnya saya masak 2-3 hari sekali. Takkan tak makan? Oh...makan itu wajib tetapi kalau duduk seorang, makan roti dan mi segera sudah mengenyangkan. Kalau malas, keluar ke Semariang Mall , beli makanan siap. Duduk seorang malas saya nak goreng ikan atau masak ayam....tidak berselera .

Bukan ini yang saya nak cerita. Farid Asyraf ialah anak kedua abang D saya. Berumur 16 tahun baru dapat keputusan PMR kelmarin. Keputusan PMR nya sangat mengecewakan 1A 5B dan 2C. Mak dan ayahnya pastilah kecewa, kakaknya bising dan saya sebagai mak Usu nya pun marah juga. Saya marah sebab dia tidak belajar. Saya tahu kemampuannya. Dia boleh dapat lebih daripada itu. Dia anak yang baik , sangat baik perangainya. Pendiam dan rajin membantu. Semalam dia mencuci pakaian semua ahli keluarga menggunakan mesin basuh. Dia sudah dididik untuk menguruskan hal-hal maintenance rumah, hatta membuang sampah, mencuci halaman rumah, membuka dan mengunci pintu dan gate juga menukar air mineral. Tidak pernah membantah walau sepatahpun. Jika dimarah dia hanya tunduk mendengar segala kemarahan dengan sabar. Hatinya? Siapa tahu luka di dalam ? Setiap kali saya sampai, saya hanya perlu matikan enjin dan serahkan kunci kereta sebab dia sudah sedia menunggu untuk mengeluarkan semua beg saya dan letak ke bilik. Perkara pertama dia hulurkan ialah tangan untuk bersalaman. Dia ingin menjadi arkitek. Dan masih ada dua tahun untuknya berusaha agar laluan ke arah cita-cita tersebut menjadi satu laluan lurus. Saya sedar dalam 3 tahun ini saya kurang menumpukan perhatian kepadanya sedangkan saya tahu kelemahannya. Saya lupa bahawa dia juga memerlukan perhatian saya. Dulu semasa UPSR setiap hujung minggu saya meluangkan masa dengannya, membimbing setiap pelajarannya. Bila PMR , saya langsung tidak bertanyakan pelajarannya. Hanya berpesan "Abang, rajin-rajin belajar." Dia cuma angguk kepala.

Kelmarin dia mengambil keputusan PMR tanpa menggunakan IC. Mamanya pun tidak bertanya ke mana IC nya. Semalam kami keluar makan di Orient Kitchen, sebuah restoran di Satok sehingga jam 1030 malam. Bila sampai di rumah mereka sibuk mengemas barang-barang. Barulah perasan bahawa IC Farid hilang. Ditanya bila kali terakhir menggunakan IC, sehari sebelumnya. Suasana menjadi panas. Abang dan kakak saya sudah naik angin sebab esok flight ke KL awal pagi. "Abang ,ingat betul-betul mana Abang letak IC tu ...." Saya memujuknya dengan suara yang lembut.
"Ada dalam poket seluar track ini..." Dia tunjukkan seluar track warna coklat muda. Seluar itu sudah dicuci dan kemas berlipat.
" Kalau ada, tentu mama jumpa sebelum masukkan dalam mesin. Atau ia ada dalam poket tu tak tercicir di mana-mana.." Kemudian bla...bla..bla. Kakaknya Farah pun kena juga....keduanya sudah masam muka.....mata sudah merah.
Jam 12 malam ke dua beradik ini menggunakan lampu picit mengelilingi rumah dan mencari di kawasan bunga, manalah tahu ia tercicir. Saya menyelongkar bilik Farid . Akhirnya sehingga jam berapa masih tidak dijumpai...Farah dan Farid memunggah balik semua pakaian dari beg kerana mama dan ayahnya akan meninggalkan mereka jika IC tersebut tidak dijumpai. Saya minta abang dan kakak solat....mohon bantuanNya. Apa-apapun tidak dapat kita bertindak sewenangnya, apa lagi mengikut rasa marah kepada mereka. Kalau sudah hilang, saya sanggup membantu buat laporan polis dan membuat semula IC nya di Pejabat Pendaftaran. Semalaman kami tidak tidur. Farah dan Farid tidur dengan tangisan. Farah merasakan mamanya selalu menyalahkannya jika adik-adiknya bersalah.

Seawal jam 5 pagi saya bangun dan terus mencari di luar rumah. Dalam hati tidak putus-putus berdoa agar IC itu dijumpai. Dalam rumah pun sama, saya tetap mencarinya. Kemudian saya terus mencari dalam bilik Farid. Kakak ipar saya pun mencari sama. Dia menyeluk satu persatu poket seluar track Farid. Entah bagaimana, IC itu dijumpai dalam poket seluar track bewarna biru tua dan bukannya warna coklat.Seluar itu pula berlipat kemas dalam beg yang hendak digunakan ke KL. Ertinya , Farid terlupa di mana dia meletakkan IC. Bersyukur sangat-sangat. Kakak ipar menangis....katanya "kakak solat semalam Su....banyak kali.." Saya suruh mereka semuanya sujud syukur. Saya suruh anak-anak itu solat dan bersyukur sangat-sangat. Namun keceriaan untuk pergi bercuti langsung tiada. Hati mereka telah luka. Saya mohon dengan Farah, janganlah ambil hati dengan apa yang ibubapa marahkan...jadikan iktibar. Dia kakak sulung harus bertanggungjawab terhadap adik-adik. Saya hanya nasihatkan Farid," Lain kali Ed, hati-hati. IC amat penting. Jangan sesekali cuai sebegini."

Banyak iktibar yang saya dapat dalam hal ini. Doa adalah senjata kita yang paling kuat sekali. ALLAH tunjukkan kekuasaanNya. Saya juga sedar, bahawa Farid perlukan perhatian. Tidak mungkin dalam jangka masa yang sangat pendek dia boleh melupakan di mana diletakkannya IC tersebut. Semasa kakak dan abang memarahi Farid, saya tidak mampu membantu apa lagi untuk campur tangan. Cuma jika dia sampai membelasah , saya pasti campur tangan. Selagi dia memarahi dan menasihati saya biarkan sahaja. Saya berjanji pada diri sendiri, bahawa anak-anak ini masih perlu dibimbing untuk menjaga diri sendiri.

Comments (3)

salam kak, best gak baca entri akak ni. rasa mcm cerpen pulak hehe. kesian kat farid ye kak. saat genting mcm ni.. memang doalah senjata utama. syukur ic farid dh jumpa kan.

Insyaallah, Farid akan berjaya jika di berikan dorongan dan bimbingan. sungguh pun farid lemah dlm pelajaran tp berpekerti baik. saya suka bdk2 yg begini, membantu tanpa perlu di suruh dan tak byk cakap. Semoga farid berjaya nanti!!!

Salam Idasm dan Ain.
Idasm: cerpen ke ? keh3 ada2 je. Ye doa senjata kita.
Ain : kita doakan sama ye moga anak2 kita semuanya berjaya dalam hidup.