Kerana Tanah

Posted by Leeza | Posted in

Keistimewaan Bumiputera ialah memiliki tanah untuk berkebun dan tempat kediaman. Taraf kekayaan seseorang diukur dengan berapa hektar tanah yang dimilikinya. Penduduk kampung yang memiliki tanah tidak semuanya mengusahakan untuk pertanian. Tanah-tanah milik Melayu di kampung saya mungkin dua pertiganya telah dijual kepada kaum lain. Tanah di sebelah rumah mak saya telah dimiliki oleh Cina dari Kuching. Untuk apa tanah itupun saya tidak tahu. Namun saya cukup risau kerana suatu masa dulu ketika saya mula berjinak dengan internet tahun 1997 ,saya pernah membaca satu artikel berkenaan dengan bahayanya kepada masyarakat Melayu era baru. Namun siapalah saya, hanya sekadar orang kampung biasa. Saya tak mampu menjadi pejuang Malayan Union . Kerana tanah beberapa hubungan kekeluargaan menjadi retak dan dingin.

Entry ini sengaja saya tuliskan hari ini setelah saya balik dari mengunjungi rumah Pak Cik saya yang dikhabarkan tidak berapa sihat kebelakangan ini. Arwah isteri pertama pak cik yang saya panggil 'Pak Yang' merupakan kakak mak saya. Mak saya mempunyai 4 adik beradik dan semuanya perempuan. Dua kakaknya telah meninggal. Walaupun Pak Yang dah berkahwin semula, hubungan kami masih rapat. Setiap hari raya , adik beradik saya tidak melupakannya setiap kali berziarah. Cuma saya yang tidak mengira masa untuk menjenguknya. Kebetulan hari ini saya membawa mak dan kakak saya ke klinik untuk pemeriksaan bulanan . Rumah pak cik saya ini tidak jauh dari klinik dan kami pun singgah sekejap. Pak Cik meluahkan isi hatinya dengan keluarga seorang mak cik saya yang tidak pernah menjenguknya. Apa lagi anak-anaknya semua hidup senang. Saya mengorek rahsia daripada mak saya tentang kenapa hal ini terjadi. Jawapannya kerana tanah. Mereka bertelagah kerana tanah. Sedangkan arwah ayah saya semasa hidupnya lebih banyak mengalah kepada adik-adiknya yang inginkan tanah pusaka peninggalan arwah datuk dan nenek sebelah arwah ayah. Malahan semasa hayatnya beliau tidak pernah makan hasil kebun tersebut dan membiarkan adik-adiknya merasa semuanya. Walau sukar untuk memahami, namun saya terima keputusan arwah ayah sebab saya tahu kenapa. Sebab arwah ayah tidak mahu adik-beradik bergaduh hanya kerana tanah. Arwah ayah ingin anak-anaknya berusaha mencari harta sendiri kerana dia tiada berharta. Dia tinggalkan ilmu pelajaran untuk kami teruskan kehidupan. Mak saya biarpun dia yang menjaga arwah ayahnya, dan arwah datuk amat rapat dengan kami terutama saya ( cucu kesayangan atuk ) tidak diberikan datuk dengan tanah yang luas. Malah bahagiannya paling kecil berbanding dengan yang lain. Namun kepuasan yang saya dapat rasa ialah kenangan saya dengan arwah datuk takkan dapat dirasai oleh semua sepupu saya.

Dan kerana tanah jugalah , hubungan adik beradik di kampung saya terlerai. Bila sikap tamak menguasai maka manusia mudah lupa dengan talian darah yang ada. Bukan tidak berpengetahuan agama yang tinggi namun status Ustaz belum mencukupkan ketebalan iman seseorang yang mudah rapuh hanya kerana tanah. Kemudian ketua-ketua yang menjadi pemimpin berbekalkan cop jawatan dan tandatangan ,menghalalkan surat-menyurat untuk jual beli tanah-tanah di kampung. Broker akan berkongsi dengan pemilik tanah 50-50%. Kemudian bayaran komisen untuk ketua-ketua dan peguamnya ditolak dari pendapatan 50% bahagian pemilik tersebut. Bukankah menyedihkan? Saya teringat bila pak cik saya menjual tanah arwah datuk saya, dia seakan takut kami 'celik' campurtangan urusan jual beli ini. Tidak hairanlah bila abang saya mengamuk dan merajuk panjang suatu masa dahulu.....Allah maha Adil...dan setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Tidak berkatlah kehidupan orang yang memakan harta anak-anak yatim.....dan saya melihat segalanya dengan penuh keinsafan.

Jika suatu masa nanti kita kehilangan tanah melayu, maka terpaksalah kita menumpang di tanah air kita sendiri. Waktu itu ke mana tuju anak-anak kita ?

Comments (0)