Hartz Chicken Buffet

Posted by Leeza | Posted in


1 Maal Hijrah 1431 yang lalu, saya dan rakan-rakan bujang saya , CT dan NOR makan di Hartz Chicken Buffet Sarawak Plaza. Bayaran untuk seorang ialah RM17.70 untuk dua jam. Kami bertiga tidaklah kuat makan , tetapi teringin juga nak merasa makanan-makanan di sini setelah lama tidak mengunjungi restoran ini. Dulu masa saya dan NOR belum mempunyai lesen memandu dan tidak punya kenderaan sendiri , kami berdua selalu berjalan-jalan di kawasan sekitar Sarawak Plaza, Riverside dan Tun Jugah. Kami terkadang menggunakan bas dan kadang-kadang hanya berjalan kaki dari kawasan Bazaar India Street . Sekarang amat berbeza...bila sudah pandai memandu dan punya kenderaan sendiri ,agaknya kawasan ini setahun sekali baru berkesempatan diselusuri. Kenapa terbalik situasi ini? Apa yang pasti saya dan NOR amat malas memandu dan keluar bersendirian.

Hari ini saya ke restoran ini lagi tetapi saya membawa keluarga abang saya makan di Hartz Chicken Buffet di Satok. Sejak pagi tadi ketika hendak bertolak, saya menelefon abang Hamdan saya di Kampung Bako untuk bersiap-siap awal dan bertemu janji di restoran ini sekitar jam 12 tengahari. Saya sebenarnya menunaikan permintaan anaknya yang bongsu Ahmad Fakhry (10 tahun) yang teringin makan di restoran ini. Dia menelefon saya balik memastikan adakah benar ajakan saya sebab dia memikirkan ayahnya sengaja mengenakannya. Saya tahu anak-anak saudara saya ini sentiasa melengahkan masa untuk bersiap-siap . Abang saya sudah dua hari demam dan tidak berselera makan. Ketika sampai dia tidak mahu masuk ke dalam. Dia suruh saya bawa tiga anaknya sahaja . Saya tahu abang rasa berat hendak menyusahkan saya. Namun saya katakan saya sudah berniat hendak belanja mereka sekeluarga makan di restoran itu. Keluarganya kan susah, manalah mampu hendak membawa anak-anak makan di restoran sebegini.

Menu restoran ini pelbagai namun masakannya tidak sedap. Apa yang sedap ialah ayam. Ada ayam goreng pedas, ayam goreng crispy, ayam roasted, badal goreng, hato goreng, bawang goreng bertepung, keledek, kentang dan pelbagai lagi. Cuma satu menunya yang sengaja tidak disediakan banyak iaitu fish fillet goreng. Kedekut betul. Saya cuma sempat merasa secubit yang dikongsi dengan Fakhry. Seronok melihat anak-anak makan dengan berselera. Saya fikirkan Fakhry yang montel badannya akan mengambil berlonggok ayam di pinggan tetapi meleset sama sekali. Alhamdulilah , mereka tahu adab makan yang tertib. Dia mengambil sedikit setiap jenis makanan dan jika habis barulah dia mengambil makanan yang lain. Saya sukakan lasagne. Makaroni goreng tidak sesedap restoran di Sarawak Plaza. Saya tidak ketinggalan dengan sup cream brinjel. Saya memang sukakan sup walau rasanya tidaklah sesedap manapun. Dua jam diperuntukkan namun mereka hanya mampu makan sejam sahaja. Abang saya akhirnya mahu juga makan sedikit setelah dipujuk. Saya bancuhkannya air teh panas untuk membuka selera.

Sebenarnya saya hendak berkongsi beberapa kisah lucu ketika saya membawa kawan-kawan saya yang pertama kali menjejaki restoran ini.
1. Kedua-duanya mengambil ayam berlonggok di pinggan masing-masing. Saya yang tahu keadaan ini akan berlaku hanya duduk memerhati sahaja sebab saya tahu di penghujungnya saya terpaksa membantu mereka menghabiskan ketulan ayam tersebut. Ini orang tua yang mengalahkan kanak-kanak...kehkehkeh. (mereka tak baca blog saya)

2. Seorangnya mengambil piring (untuk letak aiskrim) dan memenuhkannya dengan kelapa kering di tepi mesin aiskrim tersebut. Bila ditanya , dia kata sotong halus. Saya sudah gelak guling-guling sebab apa yang dia ambil ialah kelapa untuk topping aiskrim.

3. Seorang lagi tercari-cari di mana letaknya ais untuk mengambil minuman bersoda. Pada mesin itu terdapat 6 pilihan air dan di tengahnya adalah untuk ketulan ais. Akhirnya dia mengaut ais-ais yang jatuh di bawah...iskkkk...wekkkkk kotornya. Saya terpaksa membantunya menukar gelasnya itu dan mengajar bagaimana mengambil ais pada mesin tersebut.

4. Seorang lagi kawan saya , mengambil dengan banyaknya bawang besar goreng bersalut tepung kerana dia memikirkan sotong goreng bersalut tepung. Bila dia duduk di meja saya berpura-pura bertanyakan apa yang dia ambil. Dia dengan bangganya menyatakan sotong. Saya suruh dia merasa dulu, dan bila dia makan, saya sehingga sekarang tidak dapat melupakan mimik mukanya saat itu. Kehkehkeh.

5. Seorang lagi kawan saya mengambil aiskrim dan puaslah dia menolak mesin itu tetapi aiskrim tidak juga keluar. Bila ditolong dan pandai, dia terlambat pula menadah piring sehingga aiskrim itu jatuh ke lantai...aduhh tak tahu mana nak letak mukanya saat itu.

Bila kita pergi ke tempat yang baru dan asing, jadilah pemerhati yang bijak. Jika tidak tahu, bertanyalah supaya tidak sesat jalan. Kesilapan tidak dapat dielakkan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara baru yang kita pelajari. Saya bersyukur sangat-sangat kerana biarpun saya tahu anak-anak saudara saya, Fakhry , Fahmi dan Faziyanni adalah anak-anak yang suka makan, namun bila berada di tempat awam seperti ini, mereka cepat belajar dan tahu membawa diri.

Namun restoran Hartz Chicken Buffet tidak elok dikunjungi selalu. Bukan kerana harganya mahal tetapi kandungan kolestrolnya amat TINGGI. Kita kena berjaga-jaga dengan pemakanan kita.

Comments (3)

restoran ni ada satu kat sunway kak. ida pernah pergi makan sekali aje. mmg tak sedap sgt pun masakannya. tp kelakarlah baca kisah2 lucu akak tu.. hehe

za hartz kat kucing tu boleh tahanlah makanan dia, buffet..dulu pegi kucing tiap2 malam seyit ajak makan gi sana, tapi malam makanan selalu dah nak habis dah..

Idasm, hehehhe lidah kita kidah melayu.
Kak NB , ye ke? agaknya masa akak makan dia buat menu yang best2 tak?