ILHAM HATI oleh Damya Hanna

Posted by Leeza | Posted in


Saya tidak pernah ketinggalan membaca novel karya Damya Hanna. Novel ini telah saya khatam petang semalam . Novel ini menceritakan kisah seorang isteri yang hilang ingatan amnesia selepas terlibat dalam kemalangan. Rian kehilangan memori 4 tahun terakhirnya sehingga dia tidak mengenali suaminya Hanif dan segala peristiwa yang berlaku dalam 4 tahun itu. Keadaan ini membolehkan suaminya Hanif mengambil kesempatan untuk membalas dendam terhadap Rian. Di sinilah kekuatan novelis ini mengembangkan plotnya sehingga timbul pelbagai peristiwa yang terkadang tegang, romantis dan berakhir dengan ketegasan dan luka mendalam di pihak Rian. Sedari awal lagi saya tertanya-tanya kenapa Hanif berdendam, bagaimanakah karekter awal Rian sebelum kemalangan dan apa kandungan wasiat arwah datuk Rian? Rasa tanda tanya yang menggoda ini membuatkan saya terusan menatapi karya ini di sebalik kesibukan harian saya.
Apa yang pasti , keadaan kehilangan memori ini memberi peluang kedua dalam hidup Rian untuk berubah sikap dan memperbaiki kehidupannya. Rian menjadi wanita baru yang berazam menjadi isteri yang baik kepada suaminya.Malahan walau dendam berkobar-kobar, Hanif akur dengan kehendak hati yang sudah jatuh sayang dan memberi peluang kepada dirinya mengecapi kebahagiaan berumahtangga. Kemaafan adalah sesuatu yang terindah, itulah terjadi dalam hubungan Rian dan hanif. Saling memaafkan memungkinkan mereka mengecapi kebahagiaan.
Walau bagaimanapun, penulis tidak mengendahkan soal wasiat arwah datuk Rian. Sehingga cerita sampai ke penghujung, saya tidak tahu apakah isi kandungan wasiat arwah datuk Rian sehingga Rian nekad menjadikan Hanif sebagai suaminya. Apa yang saya faham ialah, arwah datuk meletakkan syarat agar Rian berkahwin dahulu barulah wasiat itu dapat dibaca oleh Rian. Sehingga ke akhirnya Rian masih tidak dapat mengingati sepenuhnya peristiwa 4 tahun terakhir dan hanya mengetahui segala kisah dan perangainya melalui jurnal atau diari peribadi yang dijumpainya di bilik tidur yang sentiasa terkunci. Terlalu banyak tanda tanya yang masih samar-samar dan tidak jelas seperti bayangan sepasang lelaki dan perempuan yang dilihat oleh Rian semasa kemalangannya. Apa penyebab kemalangan itu terjadipun tidak dinyatakan oleh novelis ini. Rian pemandu kereta mewah dan peminat aktiviti bermotor lasak, tentu adalah pemandu yang mahir. Penulis banyak mengungkapkan segala pertelingkahan mulut yang terjadi antara Rian dan Hanif. Jika ada dugaannya pun hanya kehadiran Nurliza yang menagih kasih Hanif kembali dan ini tidak berjaya menggugat rasa kasih yang telah wujud di hati Hanif untuk isterinya Rian. Watak Nurliza ini gambaran watak seorang pesakit kanser tahap terakhir dan sudah tahu kematiannya semakin mendekati. Kenapalah penulis masih menggambarkan wanita yang patutnya hanya memikirkan soal mati dan memperbanyakkan amal ibadat ini dengan mengejar cinta seorang lelaki sehinggakan dia nekad menemui Rian memohon untuk dibenarkan berkongsi Hanif. Apabila permintaannya ditolak oleh Rian atas alasan tidak mahu Hanif lebih terluka dengan kehilangan yang pasti dihadapinya juga, dia nekad pula menelan pil penenang. Singkat sangat pemikiran watak Nurliza sebagai wanita melayu Islam.

Novel ini menarik dengan gaya bahasa yang sesuai , kemas dan teratur. Rasa ingin tahu membuatkan kita terus menghabiskan cerita untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi dalam 4 tahun terakhir dalam kehidupan Rian sebelum dia hilang memori.

Comments (0)