CINTA ADALAH CINTA oleh Sarnia Yahya

Posted by Leeza | Posted in


Novel kedua karya Sarnia Yahya ini telah saya selesai khatam tepat jam 20.15 malam. Saya rasa 'seksa' membaca novel ini sehinggakan 4 kali saya membacanya ,saya pasti mengantuk dan tertidur. Agaknya kerana jalan ceritanya terlalu panjang berjela dan perjalanan yang lambat sekali. Maaf Sarnia...

Novel ini mengisahkan dilema seorang balu muda kematian suami ( Sarnia tidak nyatakan balu tetapi suka menggunakan perkataan 'janda') dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan dalam menjalani kehidupan hariannya . Dia diminati dan direbut oleh dua jejaka, Lutfi Danish bekas birasnya dan Syed Harith Syed Akhtar. Kedua-duanya merupakan sahabat baik bekas suaminya Hadi. Lutfi yang mempunyai wajah seiras dengan Hadi mempergunakan Hadirah anaknya untuk memikat Aina Mastura. Ini menimbulkan kemarahan dan rasa rimas kepada Aina Mastura dengan kerenah kedua lelaki ini dalam usaha untuk memiliki hatinya. Cintanya yang utuh untuk arwah suaminya Hadi membuat Aina sukar untuk menerima kehadiran cinta baru. Dia berusaha untuk mengembalikan sinar kebahagiaan dalam kehidupan keluarga Hadi. Dia akhirnya berjaya menyatukan bapa dengan ibu mertuanya dan Husnina dengan Lutfi . Bila masing-masing terpisah dengan keadaan yang tidak mengizinkan dan rasa rindu kerana berjauhan , menyebabkan mereka sedar bahawa Aina diam-diam menyintai dan menyayangi Syed Harith tanpa sedarnya. Hati perempuan kerasnya seperti kerak nasi, dititis air tanpa henti, lembutlah ia. Cerita cinta yang biasa dan penulis cuba sedaya upaya mengadunkan segala latar dan persekitaran untuk menghuraikan sebuah cerita percintaan yang halangannya ialah cinta kepada arwah suami.

Adakah saya bosan dengan novel ini? Sukar untuk saya nyatakan . Kemungkinan novel ini saya baca dalam keadaan yang tidak sihat maka saya seakan tidak adil menghakimi novel ini. Penulis lebih banyak menceritakan tugas watak utama sebagai pengurus HR di sebuah syarikat yang membuka projek resort golf yang baru di Langkawi. Namun banyak kelemahan Sarnia dalam penulisan novel ini dan kelemahan ini amat ketara sekali. Antaranya ialah :
1. Pengulangan 'quote' Tuhan memberikan kita dua kaki untuk berjalan,dua tangan untuk memegang , dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat . Tetapi mengapa Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita? Kerana Tuhan memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untk mencarinya. 'Quote' ini diulang sebanyank lima kali . Begitu luga dengan 'quote' lain sampai 2-3 kali diulang. Ayat Al Quran Ad-Dhuha ayat 4 diulang beberapa kali juga. Ini melemahkan penghayatan saya.
2. Penceritaan mengenai tugas HR , Sarnia suka memberatkan soal membuat 'organisation chart /OC. Dalam Bahasa Melayunya Carta Organisasi. Seolah hal OC ni sangatlah penting. Begitu juga dengan perkataan 'pengajian' , Sistem Pengajian. Patutnya sistem Penggajian.
3. Penggunaan ayat mudah difahami tetapi struktur ayat selalu pendek. Terkadang menggunakan satu perkataan sahaja. Begitu juga dengan penggunaan perkataan 'tidak lebih dan tidak kurang ' , kenapa dia tidak menggunakan perkataan 'lebih kurang' ? Penggunaan perkataan Inggeris juga ada digunakan , percubaan yang baik. Cuma terkadang dia suka gunakan satu perkataan inggeris dalam satu ayat Bahasa Melayu.
4. Unsur Islamik, Aina dua kali tidak menggunakan tudung bila bertemu dengan Syed Harith di rumah ibubapanya. Mungkin dia terlupa tetapi dalam satu keadaan , dia tidak menggunakan tudung ketika Lutfi selalu datang mengunjungi Hadirah. Bukankah tidak manis? Puan Raihan dan Encik Hafizuddin baru balik dari mengerjakan umrah menyatakan hasrat untuk rujuk semula, mereka dilihat ceria bahagia dan berpegangan tangan duduk di sofa . Dalam keadaan ini, mereka belum lagi berkahwin sebab mereka dinyatakan rujuk semula ( bukan dalam edah sebab mereka lama bercerai). Orang tua baru balik umrah , takkan berpegangan tangan tanpa menyedari mahramnya?

Walau bagaimanapun Sarnia berjaya memberi gambaran yang positif dalam hubungan kekeluargaan dan persahabatan di antara Asyraf, Lutfi, Syed Harith dan arwah Abdul Hadi. Cuma Sarnia tidak gambarkan dengan jelas bagaimana Syed Harith mula jatuh cinta dengan Aina .Dia digambarkan pernah meminang Aina sebelum dia bertunang dengan Hadi. Kalaulah penulis dapat membuat imbas kembali peristiwa pertemuan pertama mereka , tentu lebih indah kita gambarkan betapa Syed Harith terlalu menyintai Aina Mastura.

Cinta adalah cinta dan cinta itu buta. Sifat romantik Sarnia dalam menggambarkan kebahagiaan Aina dan Harith dinyatakan dengan perlakuan romantik yang kantoi di ruang tamu rumah barunya. Hehehe....adegannya panas....
Ada dua lagi karyanya yang belum saya baca dan saya tengah mencari kedua novel ini yang tiada di pasaran Kuching. Saya berharap Sarnia terus menulis dan semakin matang dalam penulisannya.

Comments (0)