Luqman Bersunat

Posted by Leeza | Posted in


Beberapa hari sebelum ini, Luqman seperti resah gelisah .Dia bercerita dengan neneknya bagaimana keadaan orang bersunat. Dia mendapat info dari rakan-rakan sekampungnya. Beberapa hari ini dia seperti tidak berselera makan dan kelmarin dia demam dan sakit perut. Saya ingatkan dia bersunat jam 9 pagi, maka saya sudah bersedia sejak jam 6 pagi. Saya suruh dia mandi bersih-bersih dan telan pil mabuk sebab dia memang mabuk jika naik kereta. Saya menyuruhnya berzikir 'Subhanallah' seberapa banyak seperti yang kak NB ajar saya.Rupa-rupanya bertolak jam 9 pagi. Abang saya , Saadi yang memandu Avanza , Azim anaknya , bapa Luqman , mak tirinya dan saya menemani dia ke Kuching. Sementara abang Hamdan dan kakak ipar saya sudah menunggu di klinik Dr Razak. Ramai anak-anak menunggu giliran untuk tujuan yang sama. Saya terserempak dengan senior saya Kak R dan suaminya membawa anaknya bersunat juga. Apalagi bersembanglah. Oleh kerana giliran Luqman masih jauh lagi, NO 16, saya dan keluarga menjamu selera di kafe bersebelahan. Saya suruh Luqman makan mi goreng kerana dia memang tidak bersarapan di rumah. Dua kali dia kencing sebelum tiba gilirannya, malahan semasa namanya dipanggil kami semua mencarinya yang bermain dengan Azim di kedai berdekatan. Dan beberapa minit kemudian, saya melihat dia tersenyum sampai telinga seperti wajah di atas. Hahaha....rasa lega dan sukalah tu. Dalam kereta , saya memberinya makan ubat yang diberikan oleh doktor. Namun dia bermasalah menelan ubat-ubat tersebut. Dia sebenarnya tak pandai menelan ubat berbiji-biji dan kenalah dihancurkan seperti serbuk terlebih dahulu. Bila makan kapsul "pil bom" dia memang tak larat....saya terpaksa suruh dia buang sahaja dan makan di rumah. Belum jauh perjalanan kami ,Luqman rasa hendak kencing pula. Kami singgah di stesen SHELL untuk memudahkannya membuang kencing. Apa yang melucukan ialah akibat panik ayahnya menyuruh dia kencing di tepi pasu bunga sehingga saya cepat-cepat menyuruhnya pergi ke tandas...hahaha...takkan nak suruh dia kencing seperti anjing pula.Saya sempat berpesan jangan laju sangat berjalan.
Dalam perjalanan kami sempat singgah membeli buah-buah durian. Abang Adis kata buah-buah tersebut bagus dan tidak buruk. Abang menyuruh saya pula memandu keretanya....hehehe merasa juga saya memandu kereta Avanza secara manual itu. Best dan seronok rasanya sebab steringnya tidak sekeras kancil.Beberapa kali abang mengingatkan saya jangan merempit sebab Luqman 'beranak'.
Setibanya di rumah, ahli keluarga yang lain, kakak saya sudah menunggu. Saya mendapati mak saya sudah tidak bermaya dan demam. Mak saya jenis yang penakut dan lemah semangat dengan hal-hal sebegini. Saya memberi Luqman makan pil kapsul yang saya kerat kulitnya dan serbuknya saya letak di dalam sudu. Beberapa minit kemudian dia dikunjungi oleh semua rakan-rakan sekampungnya. Apa yang mengharukan ialah adiknya si Ujang ( 11 tahun) tidak berenggang dengannya dan membantu Luqman ketika kencing. Malam saya suruh Luqman tidur di rumah ayahnya yang bersebelahan dengan rumah saya untuk memudahkan ayahnya menjaga dia. Bukankah itu tanggungjawab ayahnya? Perbelanjaan dia bersunat pula dibiayai oleh abangnya Azmi yang bekerja sebagai tentera di Sibu. Inilah anak saudara yang pertama dan mungkin terakhir saya jaga ketika bersunat. Saya sempat menyakatnya : Jika kau lanji /ngengat/gatal sangat....Usu suruh doktor sunat kau sekali lagi untuk buang 'lanji' kau itu.

Comments (0)