PERCAYALAH oleh Ruby Hazri

Posted by Leeza | Posted in


Novel Percayalah hasil karya Ruby Hazri ini selesai saya khatam dua hari lepas. Entah kenapa saya malas hendak membuat ulasan tentang novel ini seberapa segera yang biasa saya lakukan setelah selesai sesebuah novel saya baca.

Kawan saya rata-rata mengatakan ceritanya sangat menarik dan dia terbawa-bawa dengan kisah cinta di Jerman ini. Melalui novel ini sedikit sebanyak saya mengetahui tempat-tempat menarik di Jerman yang menjadi latar tempat untuk novel ini. Hakikatnya saya sebenarnya sudah berpuluh tahun menyusuri Jerman melalui surat-surat sahabat pena saya HEIKE BACKER. Keistimewaan yang ada kepada Ruby Hazri ialah dia pernah tinggal di Jerman sehingga dia mampu menceritakan segala kehidupan harian pelajar-pelajar Malaysia di sana. Tahniah sebab banyak info tentang rutin harian dan pengalaman pelajar-pelajar di rantau yang mampu dihuraikan dengan sejelasnya.

Bila huraian dan penceritaan menggunakan bahasa Jerman diselitkan, ia menggugat kefahaman dan kebanyakan pembacanya adalah rakyat Malaysia yang tidak pernah mengembara seperti saya. Namun di belakang novel ada dinyatakan maksud setiap perkataan asing tersebut ,namun adalah lebih baik jika dibuat nota kaki seperti yang dilakukannya dalam novel sambungan. Penggunaan nota kaki bagi menjelaskan maksud bahasa asing di mukasurat yang sama boleh membantu pembaca memahami cerita.

Tema percintaan antara dua benua , namun serumpun bangsanya iaitu Danial Wolfgang dan Nur Atiqah Sulaiman terbina melalui permainan suara hati yang terpendam. Terlalu lambat penulis jadikan kedua cinta ini bertemu dan bersatu. Perjalanan cerita panjang lebar dan sentiasa ada halangannya. Bukan halangan pihak ketiga tetapi halangan bila kedua-duanya tidak meluah rasa dan timbul sikap salah faham. Gerammmmm sangat bila si Danial lambat sangat bertindak dan keras hati si Atiqah pula membantutkan hasrat hati Danial untuk merapati. Saya tidak dapat menghalang diri dari mengutuk bila Atiqah enggan menerima penjelasan Danial dan sebaliknya membuat keputusan untuk Danial menjauhkan diri. Begitu juga bila bungkusan buku agama yang Danial kirimkan tidak dibuka sepenuhnya, sehingga surat luahan hati Danial tidak sempat dibaca oleh Atiqah. Setelah mereka berkahwinpun ,Atiqah tidak juga membuka bungkusan tersebut. Kita tidak diberikan peluang oleh Ruby Hazri untuk menatap apakah reaksi Atiqah setelah menatap surat cinta dari Danial ini. Kita pembacanya sahaja yang tahu apa yang tertulis pada surat itu . Agaknya mencukupi jika hanya kita pembaca sahaja yang tahu isi hati Danial. Sehingga akhir cerita , Atiqah masih tidak tahu ada surat terselit dalam buku agama tersebut.

Watak-watak sampingan seperti Dewi menjadi sahabat keduanya yang sangat tulus sehingga kita tidak tahu adakah Dewi tidak punya sedikitpun perasaan cintanya kepada Danial? Kamal yang menjadi watak hitam, sanggup membawa kesesatan akidah kepada Danial. Dendamnya terhadap Atiqah yang berjaya mengubah dan menyedarkan Danial menjadikan kita sentiasa berdebar-debar setiap kali Atiqah berjalan pulang bersendirian. Bahaya di rantauan dapat kita perhatikan melalui ketegangan ini. Dalam kumpulan pelajar ini wujud watak 'ustaz' yang dipegang Fairuz yang sentiasa menjaga agar teman-teman seagamanya tidak terpesong di tanah asing, alhamdulilah. Jika ada sepuluh Fairuz di tanah asing, tidak perlu ibubapa risaukan anak-anak di luar negara. Watak Khairil pula yang menyimpan rasa secara diam-diam terhadap Atiqah dapat kita lihat isihatinya apabila dia bersusah payah membantu Atiqah memperolehi biasiswa belajar ke luar negara. Bukannya Atiqah buta untuk menyelami isihati Khairil atau sesiapa yang menyukainya seperti Prakash @Abdul Syahid , namun Atiqah tetap pada hati yang satu. Cinta bila sudah menakhluki hati , sejuta wajah tampanpun di depan mata takkan mampu menukar segenap rasa yang ada. Apa lagi ditambah dengan keromantikan turunnya hujan salji mencetus segala rasa cinta yang ada. Seakan kita dibawa ke Korea sekejap.....kisah cinta Winter Sonata.... saat Yu Jin dan Jun Sang dalam turunnya hujan salji, mata bertaut senyum terukir dan dua hati menyatu menyanyikan degupan yang sama.

Ada beberapa perkara yang saya ingin sentuh ialah tentang jarak masa antara Jerman dan Malaysia. 7 jam beza masa antara kedua negara ini dan kita tahu Malaysia mendahului Jerman. Kenapa semasa Atiqah menelefon ibunya pada Hari Raya Aidilfitri tercatat dialog Atiqah (ms 246)mengatakan Jerman sudah menyambut hari raya Aidilfiri dan Malaysia pula keesokan harinya? Bagaimana Jerman lebih dahulu menyambut hari raya aildilfitri dari Malaysia? Jika ditentukan oleh Turki sekalipun ia tak mungkin raya lebih awal dari Malaysia.

Penggunaan ayat sentiasa berbunga-bunga. Ruby menggunakan gaya NOOR SURAYA. Di hujung setiap episod ada pantun empat kerat. Jika ada pembaca yang suka bahasa ringkas ,mereka mungkin rasa bosan membacanya. Saya sendiri ingin mengatakan bahawa saya tidak dapat menatap novel ini lama-lama dalam satu masa...jiwa saya resah gelisah. Bukan tidak suka tetapi saya tegang untuk menghayati bahasa dan ayat yang berbunga-bunga. Namun saya teruskan bacaan saya....kisah cinta di tanah asing. Tanpa disedari ia menggunakan banyak perulangan dalam menghuraikan cerita.

Sekarang kita tunggu apa pula kisah selanjutnya dalam PERCAYALAH....Akhirnya.

Comments (0)