Surirumah Sepenuh Masa

Posted by Leeza | Posted in

Saya kagum dengan semua surirumah sepenuh masa yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Sesibuk manapun , pengurusan masa amat penting. Bila mak saya sakit, saya terpaksalah menjalankan tugas sebagai surirumah sepenuh masa. Namun saya memang tidak mengambil alih semua kebiasaan mak saya dalam melayan cucu-cucunya. Mak saya ini masih cergas dalam usianya 77 tahun, melayani semua keperluan cucu-cucunya terutama si intan payungnya Luqman. Semua cucu lelakinya ini sedikit-sedikit ada sahaja memanggil "NEK"....dan dia akan terhuyung-hayang melayan apa sahaja kehendak mereka. Saya selalu angin dengan kerenah mereka yang terlebih manja ini.
Kelmarin, kebetulan abang saya Sabri balik menziarahinya kerana hanya dia yang tidak balik semasa Raya Haji yang lalu. Saya meminta mereka sekeluarga jangan balik dahulu sebelum makan tengahari. Saya memasaklah lauk pauk untuk keluarga saya. Bila Luqman bersunat saya pastikan makanannya diasingkan . Ketika saya sibuk di dapur itulah, kecoh bila mak saya tetiba menggigil dan sesak nafas. Kakak dan abang saya memang nampak panik dan kecut. Saya terus ambil air panas , letak dalam botol sos dan balut dengan tuala untuk memanaskan perutnya. Saya suruh kakak mengurut dia dengan minyak vicks. Dia selalu sakit sebegini dan saya sudah lali. Saya suruh kakak dan abang saya jaga dia sementara saya siapkan masakan . Saya kena pastikan Luqman juga bersiap untuk ke klinik .Saya kemudiannya membawa mak saya ke klinik di Samarahan dan kakak saya terpaksa menemaninya di dalam kereta. Putri pula dijaga datuknya yang mengikut sama. Dua jam memandu terasa lama bagi saya, dan doktor memberikannya berbagai ubat. Saya tahu apa ubat yang sesuai untuk mak saya. perut mak perut tua, takkan mampu nak menelan semua ubat yang terlebih. Saya hanya berikannya ubat demam dan antibiotik. Alhamdulilah sekarang demam mak saya sudah semakin kebah.

Mak saya surirumah yang hebat. Selepas subuh, dia akan turun ke dapur memasak air dan memasak nasi untuk bekalan si Harul turun kerja.Dia akan bancuh air kopi dan air teh untuk kami. Kemudian dia akan mencuci semua pakaiannya, pakaian Wan dan pakaian Luqman menggunakan mesin basuh. Selepas itu dia akan mencuci semua pinggan mangkuk dan cawan yang kotor. Apa peranan saya? Sudah saya larang, mak saya tetap melakukan rutin ini setiap hari. Terkadang kalau dia bertanya masa pada jam 12 malam saya akan beritahu dia baru jam 10 malam. Kalau tak buat begini dia sanggup berjaga menunggu jam 4 pagi.

Bila dia sakit, saya tidaklah serba susah . Saya lega dia berehat dan menurut sahaja masa yang saya aturkan untuknya makan ubat, makan nasi, minum air dan sebagainya. Pagi tadi bila saya bangun pagi ( saya selalu tidur balik selepas subuh ) jam 6, saya dapati si Hairul sudah masak air, panaskan nasi dan buat lauk bekal sendiri. Pinggan mangkuk pula mereka cuci sendiri selepas makan. Wan pula tahu mencuci pakaiannya sendiri. Tugas saya hanya memasak dan mencuci pakaian saya dan mak. Segalanya teratur tanpa perlu diberi arahan. Apa yang membingungkan kepala saya hanyalah kenakalan Luqman yang tidak pandai hendak duduk ontok-ontok . Hari ini hari ke lima dan balutannya masih belum dibuka tetapi dia sudah meredah semak mencari cacing dan memancing bersama kawan-kawannya. Saya bersyukur dia mahu berpantang makan. Saya jenis kalau anak-anak tidak menjawab setelah saya panggil dua kali, saya takkan mengendahkannya. Berbeza dengan sikap mak saya, yang sentiasa risaukan cucu-cucunya. Agaknya sikap sebagai surirumah yang penuh dedikasi membuatkannya kepenatan dan jatuh sakit. Saya jenis selepas masak saya biarkan makanan dalam periuk belanga dan jika anak-anak lapar mereka akan menceduk sendiri makanan. Saya faham terkadang mereka kalau lapar baru makan. Berlainan dengan mak saya, selepas saya masak , dia akan ceduk dan hidangkan makanan kemudian dia memanggil cucu-cucunya makan. Cucu-cucunya ini pula akan liat mahu bergerak ke dapur.....

Comments (3)

bukan mudah nak jd surirumah sepenuh masa yg berdedikasi. bukan takat hal2 rumahtangga aje yg perlu diberi perhatian, malahan pendidikan anak2 juga menjadi kepentingan.

..bila akak baca & hayati catatan za..jdi kagum pulak dgn adik yg satu ni. tanggungjawab jaga mak yg teramat mulia...syabas dik..

Sebenarnya bila dah biasa buat kerja memang macam tula jadiknya, jadi surirumah ni takut banyak kerja rumah tak siap sampai termimpi2 bgn pagi...

Jemput singgah yer
http://dalilablogez.blogspot.com/