YANG SEBENARNYA oleh Aisya Sofea

Posted by Leeza | Posted in


Sudah lama peminat novel menunggu hasil tangan terbaru Aisya Sofea. Yang Sebenarnya menjadi laris rasanya sebab pernantian ini. Nama Aisya Sofea memang sudah terkenal di antara kumpulan novelis DIVA tanah air kita. Bukan dia sahaja yang DIVA tetapi ada lagi yang DIVA namun biarlah DIVAnya kerana hasil karya yang bombastik dan bukan DIVA kerana perangai yang entah apa-apa.
Novel Yang Sebenarnya selesai saya baca tepat jam 8 pagi ini. Biarlah saya ulas satu persatu dari sudut pandangan peribadi saya. Lain orang lain pendapatnya. Sahabat saya Dahlia menyatakan bahawa pencinta buku akan menyintai apa sahaja buku yang dibacanya dan bukan menghakimi buku yang dibaca. Betul pendapatnya itu sebab kita pembaca akan baca apa sahaja buku yang ada kemudian selepas buku itu ditutup tanda selesainya bacaan, kita dapat merasa sendiri seribu rasa yang ada samada kita suka atau tidak buku tersebut. Buku yang menimbulkan kepuasan maksimum biasanya akan kita ulang sehingga ia lusuh dan kumal. The best book of all sudah pasti "AL QURAN". Kalau saya sampai buat review pasal AL QURAN....dah tahap gila tu.

Sipnopsis ringkas sahaja saya berikan . Kisah cinta antara sepupu. keseluruhan cerita mengisahkan kekeliruan pasangan sepupu ini tentang perasaan masing-masing samada hubungan yang ada adalah sekadar adik dan abang atau lebih dari setakat sepupu? Kemudian ia dilatarkan dengan hubungan kekeluargaan yang rapat lebih kurang 50 orang ahli keluarga . Pertautan yang erat antara keluarga Dhiya (aku) dengan keluarga Eddie. Dimasukkan perencah untuk menyedapkan cerita , kisah Dhiya menjadi pemandu van sekolah, kisah Achik yang mengalami keruntuhan rumahtangga sehingga dia dihalau oleh anak-anak tirinya , kisah Ahmad dengan anaknya Fauzan dan susasana kerja di pejabat sebagai Ketua Human Resource (HR).

Watak dan perwatakan :
1. Aku ( Dhiya) - seorang gadis dalam usia 30 tahun ,anak bongsu yang manja dipanggil 'ADIK", degil namun yakin dengan keputusan diri sendiri, punya angin kus-kus juga, bertanggungjawab, anak yang mendengar kata ibubapa namun terkadang dia menolak dengan cara halus.
2. Eddie atau Muhd Andrian Saifullah b Abdul Latif. - seorang bujang dalam usia 35 tahun. Pernah menaruh hati kepada Achik sehingga membawa diri ke London selepas perkahwinan Achik dengan Encik Ghaus ( macam watak penyamun je ) ,penyayang , manja sebab dia anak tunggal keluarganya, pemarah , tidak bersolat dan mudah lupa diri.(khayal dengan kehidupan di London)
3. Nuryn Mustafa - watak hitam. Peminat Eddie, kenalan Eddie di London. Obses dengan cintanya terhadap Eddie sehingga ia sanggup membunuh Dhiya dalam perjalanan ke Pulau Pangkor. ( macam cerita hollywood je).
Watak-watak lain hanya sebagai penyokong dan penyedap rasa. Pelengkap kehidupan. Namun yang lain dan menonjol sangat-sangat ialah peranan Pak Long dan Babah. Kedua lelaki ini begitu matang, berkarisma dan menjadi dahan berpaut yang kuat kepada AKU. Ketika AKU dilanda kesedihan , Babah menjadi tempat mengadu yang paling teguh sekali . Begitu juga kepercayaan dan keyakinan Pak Long menjadikan AKU menjalankan tugasnya di HR dengan cemerlang sekali. Saya suka dengan watak AKU di pejabat sebab dia tidak stress dengan masalah-masalah yang bukan calang-calangnya. Satu persatu tugasan diselesaikan dengan yakin dan teliti sehingga impaknya amat memberansangkan. Cuma AKU kalah dari segi emosi bila si Eddie yang dia sayangi memaki hamun dan mengherdiknya hanya atas kesilapan orang lain. Biasalah AKU kan manja....

Sebagai penulis yang dianggap DIVA ( saya pun tak faham apa maksud DIVA sebenarnya, bagi saya, DIVA macam orang sombong bongkak je) sepatutnya Aisya Sofea amat peka dengan novel ini agar tidak ada kesilapan dan kecacatan. Bukankah novelnya sudah lama menyepi baru dilahirkan? Namun saya tidak seronok membaca novel yang terlalu banyak kesilapan pengeditannya. Saya tak pasti adakah wujud kerjasama antara panel editor dengan penulis dalam menghasilkan novel Yang Sebenarnya ini. Namun asasnya pasti dari penulis, jika editor terlepas pandang, yang cacat dan silap tentulah penulis sendiri. Betultak ? ( ntah...) Ms 9- Dia mencarinya aku hampir setiap malam. ( nya- patutnya tak ada.) Ms 16 - Anehnya, bakul tersebut baju diletakkan di muka pintu bilik air. ( struktur ayat salah) Ms47- ...aku mendekati sikecil anak kecil .( salah sruktur ayat).Ms 156- ..tu yang habis cepat habis hari ini. ( juga masalah ayat) ms188-Dia sendiri kaget bila mengetahui bahawa aku belum terfikir dokumen itu.( terfikir patutnya ganti dengan terima)Ms 365- ....menjadikan aku tidak pilihan lain ( tidak patutnya guna tiada) Kemudian terdapat juga kesalahan ejaan yang boleh mengubah maksud perkataan menjadi lain seperti rasa jengkal (ms 238) jengkal sepatutnya dia guna jengkel.Taksud (ms 454) - taksub.
Selain daripada itu, penggunaan teknik + dan - untuk dialog chatting yang banyak digunakan sebagai media hubungan rapat antara AKU dengan Eddie seringkali berlaku kesilapan . Inilah kelemahan bila penulis menggunakan ganti nama AKU sebab sukar membezakan penceritaan dengan dialog. Antara kesalahan yang saya jumpa ialah ms 21,452,453,495 dan 497. Susah nak beza antara dialog dengan penceritaan. AKU bercerita bercelaru dan bercampur aduk dengan AKU dalam dialog. Kenapa tidak gunakan font yang lebih kontras untuk menunjukkan beza antara keduanya ini? Font untuk chatting lebih elok jika gunakan bold italic. Jelaskan, layout tak peka dan tak cantik. Ada rakan beritahu saya Aisya Sofea suka guna "AKU" sebab ini gaya dia. Namun kebiasaan ini tidak dapat mengubah kesilapannya bila dia sendiri tersasul meletakkan perkataan lain menggantikan AKU. Ms 495- Si isteri ketawa. ( Patutnya dia gunakan AKU ketawa.) Bila dah biasa , rasa pelik semacam bila tersilap sedikit. Ms 497 - perenggan .....lantas (si isteri) mengambil kesempatan atas diam abang itu untuk terus meluahkan apa yang tersirat di jiwa.

Tema percintaan antara sepupu yang boleh menghalalkan ijab dan kabul , setakat ini belum lagi saya jumpa dalam novel yang saya baca. Penggarapan tema dengan plot cerita nampak baik dan menarik. Cuma amarah Eddie yang melampau-lampau itu nampak tak logik sangatlah. Namun ia ditunjukkan bagi mencetuskan rasa kecil hati dan terkilan dalam watak AKU itu. Satu tarikan yang istimewa ialah gambaran kehidupan Achik yang sebenarnya saat Dhiya /AKU/ADIK melawat Achik pada suatu petang. Tidak perlu diceritakan panjang lebar namun situasi saat itu telah mengungkap semua cerita di sebalik tabir perkahwinan Achik. Tergurisnya hati Dhiya melihat kehidupan satu-satunya kakak yang dia ada dapat kita rasai bersama. Kemudian tentang sikap dan perangai Eddie yang tidak bersolat , penulis gambarkan dengan cara yang sangat halus sekali, pengesanan oleh Dhiya dengan perangai Eddie ini semasa keluar berdua dan saat dia menunjuk ajar Eddie cara-cara berwuduk . Wow ...saya suka sangat bahagian ini. Lebih-lebih lagi betapa Babah begitu arif menangkap kepincangan yang ada, memahami sehinggakan Eddie tidak merasa terlalu malu dan rendah diri. Inilah cara lembut membentuk islamik dalam jiwa insan dewasa yang sudah tersasar jalan lurusnya. Kemudian gambaran kehidupan pemandu van sekolah dengan karenah ibubapa yang berbagai.....jelas menunjukkan betapa anak-anak kecil ini sebenarnya tiada masalah untuk dihadapi tetapi orang dewasa yang pula berlebih-lebih. ( Bahagian ini saya faham sebab sudah biasa dengan karenah ibubapa - betul sama sekali)

Ada banyak sebenarnya namun saya ringkaskan di sini novel ini santai dan sesuai dibaca oleh semua golongan. Cinta tidak mengenal sesiapa selagi ia halal untuk diteruskan, maka bercintalah dengan sejujurnya dan luahkan jika anda menyintainya sepenuh jiwa. Jika tangan dihulurkan telah bersambut maka jangan sesekali lepaskan walau banyak dugaan yang datang .

Untuk Aisya Sofea, karya anda sentiasa dinanti dan diminati, pastikan novel anda yang seterusnya tiada lagi kesilapan teknikal dan editannya. Ia menjejaskan mood membaca dan menghayati novel ini. Saya berharap sangat Aisya Sofea akan menulis dengan ganti nama ke dua supaya dia dapat menulis dengan lebih meluas dan lebih cantik dan indah. AKU terlalu kasar dan terlalu dominan....nampak ego.

Comments (3)

lama jugak aisya sofea tak menuliskan. ida suka baca ulasan novel dari akak sebab terperinci giler. akak teruskan mengulas yea.. hehe..

Salam ida. ye, Aisya memang sudah lama tidak menulis. harap selepas YS ini akan ada karya terbarunya. Terima kasih kerana sudi baca dan menyinggah di blog akak.

suka sngat2 kt novel akak..ermm..nk jd pnulis novel jugak:)