Shopping

Posted by Leeza | Posted in

Kita sedia maklum ekonomi tengah meleset sekarang ini. Semua orang tahu dan beringat. Minggu lepas hari gaji untuk kakitangan awam dan bonus rm500 untuk DG41 ke atas sudahpun dikeluarkan. Bagi pihak yang telah menerima rm250 sebelum hari raya aidilfitri dulu telah mendapat rm250 lagi. Bijak Najib membahagi semua sama rata rm500, kadar yang paling sedikit dalam pemberian bonus tahunan untuk kakitangan awam. Bila begini ada yang mengeluh bila berbillion rm disalurkan ke luar negara untuk bantuan bencana alam.....banyak. Golongan yang berada tentu tak merasa jika rm50 dibelanjakan ,berbeza dengan golongan yang sebaliknya yang terpaksa mengira setiap sen yang dibelanjakan. Apa-apapun rm 500 seribu kali syukur untuk ibubapa yang mempunyai anak-anak ramai.

Semalam saya membawa Luqman dan Ujang (adik tirinya) pergi shopping 'Back To School' di Unaco, Kota Samarahan. Kali ini saya tidak mempunyai banyak tanggungan memandangkan Wan dan Zizi telah tamat SPM. Abang saya yang mempunyai anak sekolah menengah ada menyatakan yang dia hendak memberi beberapa helai seluar sekolah untuk Luqman tetapi saya tahu saiz Luqman menyukarkan dia menggunakan pakaian pemberian sepupunya. Kalau dia beri saya akan simpan untuk kegunaannya masa depan. Saya membeli dua pasang pakaian sekolah untuk Luqman dan sepasang pakaian sekolah untuk Ujang. Begitu juga keperluan yang lain seperti tali pinggang, singlet, stokin ,kasut, beg sekolah dan alatulis. Ini tanggungjawab saya kepada Luqman dan sedekah untuk adiknya. Semuanya tak sampaipun rm200. Bagi saya kedai yang saya pergi itu memang cukup murah harganya. Jika di bandar Kuching, seluar jenis jeans itu harganya lebih rm25 berbanding di kedai itu rm19.90. Baju pula cuma rm10. Singlet cuma rm2.40. Stokin sekolah 4 pasang rm3. Pakaian sekolah saya tak pentingkan jenama mahal , asal selesa dan tahan. Cuma kasut, Luqman tidak berkenan dan terpaksalah membawanya ke kedai kasut di Asajaya. Kedai ini saya biasa membeli barang, harga berpatutan dan dapat ditawar harganya lagi.

Saya juga mengambil peluang untuk shopping untuk diri sendiri. Handbag saya tak beli sebab sudah dapat 3 buah tahun ini. Saya membeli dua helai blouse dan beg dokumen untuk kegunaan diri sendiri. Alatulis juga perlu ditambah dan diganti. Back to school juga. Kasut juga saya beli untuk turun kerja. Koleksi novel juga saya tambah beberapa buah.

Makanan merupakan shopping wajib bagi saya. Setiap minggu saya akan pastikan stok makanan basah sentiasa mencukupi seminggu. Begitu juga barangan dapur dan kegunaan harian. Rumah saya perlukan stok beras 40 kilogram sebulan. Saya tidak membeli beras mahal kerana 'sik nyaman dan sik kenyang'. Juga tidak mampu....hehehe.

Lelaki selalu mengeluh melihat perempuan shopping. Semalam saya mengangkut 4 anak saudara lelaki. Mereka yang bantu saya menolak troli dan membawa bakul. Mereka geleng kepala melihat barang-barang yang saya ambil. Saya katakan kepada mereka kena budget duit juga. Mereka bertanya : Usu tak semak harga ke? Pakai ambil je. Saya terangkan yang saya dah 'survey' harga terlebih dahulu dan di situ barang-barangnya murah.

Apa yang pasti, kita kena bijak berbelanja semasa kemelesetan ekonomi ini. Namun kalau teringin makan sesuatu biarpun mahal jangan disekat sebab bila kita sudah terkedang atas katil, kita tak mampu menikmati makanan yang enak sekalipun.....Kedekut biarlah berpada-pada.

Comments (1)

duit sekrg ni mcm air.keluar brp byk pun, sekejap je abis. masa hubby sy ada, sy tak terasa sgt, sbb segala2nya hubby yg uruskan, now ni bila sy yg kena take over the job, aduuuss....baru lah dpt rasakan apa yg hubby lalui. siannnn dia!!!!