Andai Itu Takdirnya oleh Siti Rosmizah

Posted by Leeza | Posted in


Sepatutnya saya habiskan novel Selamat Pengantin Baru Isteriku terlebih dahulu, tetapi atas desakan hati saya yang ingin tahu sehebat manakah novel Andai Itu Takdirnya membuat saya menyingkirkan dulu novel Selamat pengantin Baru Isteriku. Sebelum saya ke KL pada 7 Jun yang lalu, saya sudah dikhabarkan oleh kawan saya Hajjah Aida tentang novel ini sehingga satu sekolahnya menangis. Kemudian semasa kami keluar berjalan2 , si Aida ini sanggup mencari novel ini namun tiada di pasaran....sehinggalah saya membelikannya novel ini di READ MALAYSIA. Selepas itu ramai yang mengkhabarkan tentang novel ini sehingga si Junes berkata dia tak berhenti menangis.

Seminggu saya membaca novel ini. Andai Itu Takdirnya telah dicetak sehingga 7 kali dan novel yang saya baca merupakan cetakan ke 7. Kalau sudah sampai 7 kali cetakan, tentulah ia hangat di pasaran dan tentu best ceritanya. Siapakah Siti Rosmizah? Ini pertama kali saya dengar dan di luar kulit novelnya, beliau memberitahu yang kerjayanya ialah seorang peguam dan novel ini lahir dari mimpinya selama tiga malam berturut-turut.

" Za, u nangis tak baca novel ini ?" Junes menyoal saya berulang kali. " Tak..." saya jawab dengan yakin. Hati batukah saya ini ?

"Za, awak dah baca setengah, macamana jalan ceritanya?" tanya pula seseorang.
" Hmmm...nampak ok tapi ada banyak tak logik dalam cerita ni.." Huh....memang batu betul hati saya.

Setelah habis baca novel ini, saya mengumumkan bahawa novel ini memang menarik, best, mampu membuat pembacanya banyak menangis dan menyedarkan kita tentang takdirNya.

Kisah diterajui oleh Nur Aleya Idris dan Syed Adam Aizril Tan Sri Syed Abbas. Pergolakan cerita keseluruhannya tentang pasangan ini yang terpaksa mengharungi banyak dugaan rumahtangga . Bukan hanya disebabkan oleh sepupu Aizril, Syarifah Emellin tetapi disebabkan oleh keegoan yang tinggi dalam hati Aleya dan Aizril. Kekejaman yang dilakukan oleh Aizril melampau-lampau ,semuanya hanya disebabkan ego seorang lelaki. Mulut kata benci tetapi hati membuak2 rasa sayang dan cinta. Namun ego mengatasi segalanya. Begitu juga dengan keegoan Aleya, ketika Aizril menagih kasihnya, dia pula yang jual mahal. Hubungan mereka ditautkan dengan kasih sayang anak. Sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula pasangan suami isteri. Begitulah jalan ceritanya. Bohonglah, jika saya katakan jika hati saya tak pernah tersentuh dengan novel ini atau tak pernah menitis airmata sekalipun. Saya hanya menangis apabila melibatkan watak kanak2....saat kelahiran Dania dan Danish, ketiadaan papa untuk mengiqamat dan mengazan ,sungguh menyentuh hati saya..... Alhamduliah, lembut juga hati batu saya ini.

Gaya penulisan sangat menarik, gaya bahasa pun cantik dan senang difahami. Penulis masih lagi lemah dalam menyusun ceritanya...terkadang ia macam tetiba je berlaku sehingga saya terpaksa mengulang seperenggan ayat untuk memahami di mana peristiwa ini berlaku. Ada beberapa perkara yang saya musykil dan rasa macam tak logik sahaja.
1. Malam pengantin , Aleya tidur di ruangan tepi bilik mandi yang tidak berpermaidani. Dia gunakan tuala sebagai alas bantal dan kain batik sebagai selimut. Aleya seorang gadis graduan cemerlang dari luar negeri, kenapa dia sanggup menyeksa dirinya tidur di sudut ruang seperti itu? Agaknya saya tak faham tugas isteri yang harus taat dengan suami ....jadi kena buat macamni kalau suami tak izinkan. Rumahkan besar ?
2. Usia kandungan Aleya sudah 8 bulan. Takkan sesarat ini masih muntah-muntah lagi, masih morning sickness lagi? ( ms124)
3. 8 bulan bilik kosong ditinggalkan dah ada sawang labah2 dan beg tangan penuh dengan habuk. Rumah orang kaya takkan semudah itu dipenuhi sawang dan habuk.
4. Aizril tarik tudung Aleya dan hentakkan kepalanya ke tiang seri rumah, darah membuak-buak keluar. Sepatutnya dia pengsan dan koma terus tetapi Aleya masih cergas lagi menjawab kata-kata Aizril. Dalam keadaan ini, saya pernah beberapa kali terhantuk dashboard kereta dengan kuatnya sehingga dahi saya terkesan cengkik dan ini si Aleya dengan darah membuak-buak memang tak mungkin mampu secergas itu.
5.Syed Aizril semasa sedar dari koma ,masih berselirat dengan wayar , terus cergas, menangis teresak-esak dan memohon maaf dari Aleya. Dalam kondisi pesakit yang sedar dari koma, tak mungkin sewaras itu terus.
6. Jam 2 pagi Ikram memberitahu keadaan Aizril nazak tetapi jam 3 pagi Aizril sedar dari koma dan sihat walafiat terus.
7. Aleya terus rebah selepas berkata-kata "begitu tinggi nilai panggilan seorang ayah..." Macam cerita Taiwan.....habiskan dialog dulu baru pengsan. Sama juga dengan masa Aizril mengazankan jenazah Danish, selepas selesai baru terus rebah dan pengsan.
8.Bilik Aizril di tingkat atas, dia masih berkerusi roda masa itu. Ketika Aleya duduk bersama dengan mertuanya dan Dania, tetiba Aizril muncul di belakangnya. Bagaimana Aizril boleh naik ke kerusi roda selepas mandi dan turun tangga ,kemudian mendapatkan Aleya di ruang tamu bawah? Aizril ada super power ke?
9. Aizril turun kerja bertongkat yang menopang ketiak, dengan pemandu, tetapi petangnya dalam beberapa jam , dia balik memandu sendiri kereta. Takkan keajaiban perubatan itu berlaku dalam beberapa jam sahaja? Namun Aizril bagi alasan bahawa kakinya dah baik semalam ,sengaja nak surprisekan Aleya.
10. Penulis suka menggunakan suasana hujan lebat untuk mewujudkan suasana yang pilu dan haru biru. Setiap adegan sedih mesti diikuti dengan hujan berdentum dentam. Saya menikmati cerita hindustan.....sedikit adegan ada selingan lagu hindi...dan cerita ini selingannya hujan yang turun. Aizril menyesal memeluk kaki papanya memohon ampun dan selesai ia berkata-kata hujanpun turun dengan lebatnya.

Bagaimanapun, keseluruhan cerita memang menarik....gaya tersendiri dalam penulisannya. Lain novelis lain cara penulisannya. Saya gembira membaca novel ini......hehehe memang hati ini batu sungguh. Tahniah dengan Siti Rosmizah.


Comments (0)