LAGU CINTA oleh Iejay Zakaria

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini adalah antara koleksi saya yang dikumpul semasa READ MALAYSIA 2009. Ramai kata novel ini best. Seminggu saya baca novel ini namun setiap kali membacanya, rasa ngantuk mengajak saya beradu. Namun selepas setengah saya baca, mata saya terbuka luas sebab dah sampai ke tengah klimaksnya.

Sinopsis novel ini mudah untuk difahami. Kisah cinta Aleya Putri dengan Idzham Iskandar. Mereka diberi jolokan 'sleeping beauty' dan encik perasan bagus. Bohonglah jika percintaan asyik mendatar sahaja tanpa cabaran . Begitulah cinta mereka ini....putus secara tiba-tiba. Aleya Putri terpaksa menerima lamaran Syed Akashah , jutawan yang menyintainya walau tanpa cinta. Akhirnya, tanpa pengetahuan Aleya, pengantin lelakinya telah bertukar. Luhurnya pengorbanan Syed Akashah. Jarang lelaki yang berkuasa punya hati setulus ini, sanggup melepaskan wanita idaman demi kebahagiaan wanita itu sendiri. Persoalan sampingan ialah pergaduhan dan salah faham antara Aleya dan Idzham, persoalan hubungan sulit papanya dengan sahabat baiknya Arin yang kemudian menjadi musuhnya.

Kekuatan novel ini terletak pada beberapa perkara :
1. Stail mod lagu menjadi intro setiap episod. Inilah tarikan yang mengujakan pembaca. Ada lagu kegemaran saya : SORRY SEEMS TO BE THE HARDEST WORD, Every time you tell me you love me dan Pelangi Petang. Woow....tak dapat nak elak saya nyanyi dulu lagu-lagu yang diberikan sebelum saya membaca cerita seterusnya. Memang superb sebab kita beroleh kelainan penghayatan kerana bagi saya, sambil saya membaca isi cerita ia sesuai dengan mod lagu yang diberikan. Kalaulah ada CD memang terus pasang sambil menghayati novel.

2. Perwatakan hero dan heroinnya. Idzham yang matang, manja dan pemarah menjadi lelaki yang penyayang dan romantis bila melayani kerenah Aleya Putri. Namun demi sayangnya pada Aleya dia banyak mengalah demi gadisnya ini. Si Aleya pula sifat keanak-anakannya , degil dan keras hati menjadikan Idzham pening kepala dengan rajuknya yang tanpa henti. Kontras perwatakan keduanya mencetuskan insiden pergaduhan yang mencuit hati sehingga sayapun ketawa gelihati. Cinta remaja. Cinta pertama.

3. Plot cerita diadun dengan baik. Jalan ceritanya menarik .Klimaks di tengah novel...dan unsur suspens pada majlis pernikahan . Pendekatan yang baik.

4. Info yang diberikan tentang Canberra, penyakit kanser klon dan kelayakan seseorang usahawan menjadi pengarah korporat ,jelas diterangkan. Jalan bahasa juga standard, mudah difahami. Ada penggunaan pembendaharaan kata yang padat dan jitu. Sesuai dengan pengolahan jalan cerita.

Kelemahannya juga ada , sorry Iejay. Ini pendapat peribadi saya, apa yang saya rasa ingin saya luahkan.

1. Pengolahan yang berjela-jela. Penerangan pada sesuatu perkara terlalu 'detail'. Tanpa disedari ada pengulangan pada sesuatu perkara.
2. Ada dialog Idzham yang panjang lebar. Saya tahulah Idzham tu peguam....tapi penggunaan dialog yang panjang ,kadang-kadang merosakkan mood. My Dearest pernah menceritakan memang ada lelaki yang banyak bercakap, non stop. Agaknya saya belum jumpa lagi lelaki seperti ini....maunya saya angkat kaki .
3. Penyampaian cerita lebih kepada naratif, penceritaan. Pembaca tidak perlu pening kepala sebab penulis dah terangkan dengan panjang lebar.

Bagaimanapun novel ini memang bagus. Gaya Iejay berlainan. Ceritanya ada dan mudah difahami. Kisah cintanya melucukan. Ada tangis dalam rindu, ada getar menahan asmara dan ada rasa marah menangkis cemburu. Bacalah novel jika anda tersangat menyintai pasangan anda.

Comments (0)