AKU CINTA DIA oleh Sharifah Abu Salem

Posted by Leeza | Posted in


Novel 'Aku Cinta Dia' dihadiahkan oleh sahabat saya, Ain Ismail dari Johor. Bersesuaian dengan tajuknya, novel ini mengupas erti cinta dalam konsep Islamiah. Saya amat menyukai novelis ini dan tidak ketinggalan mengikuti novel-novelnya dan drama-drama yang disiarkan di kaca televisyen.

Novel 'Aku Cinta Dia' mengupas segala kisah kehidupan pahit manis di sebuah pusat perlindungan persendirian yang serba sederhana seperti Wadi Saffiyyah. Alangkah murninya usaha sepasang suami isteri dalam melindungi dan membimbing anak-anak yang telah tersesat jauh. Inilah pusat yang boleh diterima oleh masyarakat dan usaha seperti ini sewajarnya menerima sokongan dan bantuan padu bukan hanya daripada keluarga anak-anak yang malang ini tetapi juga masyarakat lain. Selain dikupas segala jalan kehidupan di wadi Saffiyyah, novelis menggarap soal cinta islamik . Agaknya cinta seorang Ustaz dengan salah seorang puteri Wadi Saffiyyah terkawal dengan keadaan, juga seperti insan biasa cinta ini juga diduga dengan pelbagai halangan sehingga mereka berdua hampir difitnah. Banyak persoalan sebenarnya ditimbulkan seperti isu masyarakat kenamaan yang menyembunyikan aib anak mereka di pusat ini. Namun rata-rata ibu bapa mengharapkan anak-anak yang terjebak ini kembali ke pangkal jalan, insaf dan menjadi insan yang solehah. Ustaz Iqbal jatuh hati dengan Nur Dania yang mengandung anak hasil hubungan terlanjurnya dengan adik Ustaz. Ibubapa Ustaz pula pengasas Wadi Saffiyyah yang tentunya kuat dengan pegangan agama. Pasti kita tertanya kenapa ada anak Ustaz yang terbabas seperti Qabil. Hakikatnya Qabil dibesarkan oleh bapa saudaranya di kota sejak kecil dan dia sudah lali dengan cara hidup bebas sebegini. Jadi bukan salah Ustaz jika Qabil terpesong jauh dari landasan agama . Sehingga akhirnya, rahsia ini menjadi rahsia Dania dan Iqbal kerana tidak sanggup melukakan hati Ummi dan Walid dengan kenyataan yang pahit ini. Benarlah bahawa ikatan rohani anak dalam kandungan boleh mempengaruhi wujudnya rasa sayang . Walid dan Ummi begitu menyayangi Dania sejak pertama menerima kehadirannya di Wadi Saffiyah dan atas kuasaNya jua , hubungan kemesraan ini tercetus bila hakikatnya anak dalam kandungan Dania adalah cucu kandung mereka sendiri.
Aku Cinta Dia juga mengungkap rasa cinta Umairah terhadap Iqbal yang akhirnya redha bila cinta itu bertepuk sebelah tangan sahaja. Pada akhirnya secara simbolik novelis menggambarkan bahawa Umairah dan Ustaz Syakir , jutawan resort Ar Raudhah saling memendam rasa dan penyudahnya kita sendiri boleh memutuskan bahawa kedua hati ini akhirnya bersatu dalam rumahtangga yang bahagia. Obsesnya cinta Shahira anak seorang Tan Sri terhadap Iqbal mendorongnya melakukan pelbagai onar sehingga melukakan banyak hati di Wadi Saffiyyah. Namun begitu kerenahnya ini masih dimaafkan dan diberikan doa agar berubah tingkah lakunya.....inilah kehidupan yang aman damai tanpa dendam.
Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Iqbal : Sudahkah kamu menyintai DIA dan RasulNya lebih dari kamu menyintai saya? Ertinya kita harus cinta ALLAH dan kemudian RasulNya barulah kedua ibubapa kita , barulah si dia .
Juga saya menangis ketika ummi membicarakan dalam hatinya status Umairah umpama bunga di taman larangan yang sudah ketiadaan madunya. Sedih bila mengenangkan nasib wanita-wanita yang tersalah langkah ini. Hanya lelaki sejati yang mampu menerima kekurangan ini.

Novel Aku Cinta Dia terlalu mengujakan bagi saya. Bahasanya dan jalan ceritanya cukup menginsafkan kita. Betul apa kata Walid, kita selalu lupa dan alpa bila diulit kemewahan dan kesenangan hidup.Kita dapat merasa keindahan Wadi Saffiyyah dan kesejukannya pada awal dinihari .Seolah satu lembah hijau yang redup dan mendamaikan....adakah tempat seperti ini ? Saya terkenang saat percutian saya di sebuah ladang kelapa sawit di pedalaman Miri dahulu. Beginilah perasaan damai sewaktu awal dinihari di atas bukit dengan lembah menghijau....indahnya ciptaan ALLAH.Novel ini tidak membosankan malahan membuat kita teringin hendak menghabiskan bacaan secepat mungkin. Penghujungnya mungkin masih menjadi tandatanya namun kita dapat meneka kesudahannya yang manis.

Comments (2)

salam kak liza....Alhamdulillah, suka saya bila kak liza menyukai novel ni. Novel ini berbeza dr novel2 yg lain. Tak rugi memiliki novel ni!!!

salam kak liza... saya rasa buku ini akan ada sambungan nya.. seperti buku sharifah abu salam yang sebelum ini... tapi akhir cerita ini kita mungkin dah dapat agak kesudahannya tu...
mmg sedp dan santai je jalan cerita ini..