My Library Club

1

Posted by Leeza | Posted in


Tahun ini saya ditugaskan menjaga perpustakaan. Tak habis-habis dengan buku. Sejak kecil hingga ke usia yang dah banyak ini , dikelilingi buku. Bagaimana agaknya perasaan NB tengok buku-buku beribu-ribu dan semua adalah hasil karyanya? Tentu dia teruja sangat ,bagai dunia ini dia yang punya. Di Perpustakaan yang serba daif ini, saiz yang kecil dan dinding yang kusam,kemudian peralatan dan perabot yang tidak dikehendaki oleh mereka .....saya rasa bersyukur sangat-sangat.


Saya tubuhkan Kelab Perpustakaan ini sejak tahun lepas. Ahli-ahlinya adalah murid-murid yang saya pilih sendiri. Tujuannya menguruskan perpustakaan semasa program pinjaman setiap hari dan memproses buku-buku baru serta membaiki buku-buku yang rosak. Mula-mula saya ambil alih perpustakaan ini, berkotak buku baru belum diproses. Berhabuk buku-buku di dalam perpustakaan . Belum lagi sistemnya menyedihkan, lintang-pukang. Alasan yang saya dengar ialah mereka tak tahu menguruskan perpustakaan. Sungguh saya tak percaya kerana pengurusan pusat sumber diajar di maktab . Semua bakal guru harus tahu menguruskan pusat sumber. Setelah saya jadi 'Boss' Perpustakaan, saya sudah mohon tugas ini saya sandang selagi saya masih ada di sini. Kenapa? Sebab saya dah buat perubahan dengan sistem yang kemas kini. Saya tak mahu bila dah okay, tugas ini diberikan kepada orang lain. Setahun dua kemudian diserahkan balik kepada saya ,bukankah akan menyusahkan saya lagi ? Baik saya jaga dan sistemnya berjalan lancar dan semakin bertambah baik. Nampak ego saya kan? Sebenarnya sudah terjadi dahulu dan cukup menyusahkan bila ia tidak dijalankan dengan sepenuhnya. Buku-bukupun banyak yang hilang entah ke mana. Jadi, saya dah tambahkan bahan-bahan yang kurang dan nampaknya tiada yang berani hendak menghilangkannya....Apa yang saya dengar , mereka berkata gerun , takut kena marah .

Sejak Kelab ini ditubuhkan, kerja-kerja saya menjadi mudah. Saya melatih mereka memproses buku-buku baru. Apa yang perlu dilakukan ialah menyediakan poket buku . Ia mesti ada poket, kad dan slip pinjaman di belakang buku-buku tersebut. Saya cuma perlu menguruskan pengkelasan dan merekodkan dalam buku log. Murid-murid tahun 4,5 dan 6 yang menjadi ahli agak mudah dilatih. Minggu ini mereka memproses buku. Minggu depan kami akan membaiki buku-buku yang rosak.

Aktiviti melekat poket buku. Mereka dipesan membawa gunting dan alatulis. Masa sejam terasa tidak membosankan.

Ini pula bahagian mengecop buku-buku tersebut. Saya berikan tugas ini kepada Erfan Marwan. Dia dah rajin datang ke sekolah sejak saya libatkannya dengan tugas pengawas perpustakaan.

Haa...inilah slip pinjaman, kad buku dan poket buku tersebut. Semuanya adalah dibuat sendiri. Dengan idea saya sendiri. Saya hasilkan acuan dan menggunakan kertas kuning, kad manila dan slip dan borang kecil saya buat dengan komputer dan cetak banyak-banyak. Saiz poket buku ini sama dengan saiz kad pinjaman murid yang saya buatkan daripada kad manila. Setahun saya bekerja keras menghasilkan semua ini dan alhamdulilah semua buku di perpustakaan telah siap diproses dan diselaraskan. Sebenarnya poket buku ini boleh ditempah dan dibeli. Namun kerana sekolah tidak cukup peruntukan maka saya buat sendiri. Wang peruntukan yang ada saya gunakan untuk membeli dan memesan buku-buku perpustakaan. Saya lebihkan stok buku Bahasa Melayu sebab buku Bahasa Inggeris masih bagus dan banyak . Kenapa? Murid-murid lebih suka membaca buku berbahasa melayu.

Perpustakaan saya tidak dapat dijadikan kawasan terkawal sepenuhnya kerana ia digunakan untuk Kelas KAFA juga. Walau bagaimanapun, saya sentiasa pastikan mereka tidak menganggu perpustakaan . Namun apa nak buat, namanya budak, takkan dia nak tengok saja buku-buku yang ada di perpustakaan. Pasti mereka sentuh, belek dan baca. Biarlah selagi mereka tidak 'mencuri'. Jika ada yang hilang biasanya saya tahu dan syukur sebab mereka tidak semudahnya membuat sesuatu yang tidak elok di situ. Hahahaha...kan saya cikgu garang.

Kasih Ibu Demi Anak-anak.

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya baru terima emel dari sahabat pena saya, HEIKE BACKER yang tinggal di German. Dia yang sering mengingati persahabatan kami. Katanya kami dah berkawan sudah 22 tahun....wah lamanya. Kali ini emelnya menceritakan tentang winter di tempatnya. Dia dah muak tengok snow, snow, snow. Kalau saya, hmmmm wahhhh tentu seronok nak tengok .Boleh letak tin cola luar rumah, boleh buat aiskrim, keh3. Tak relevan langsung, kata kawan saya.

Diam tak diam, sudah 6 tahun usia anak lelakinya, Jan Lucas Backer. Sekarang Jan sudah masuk sekolah rendah. Heike amat risaukan anaknya ini. Adakah Jan dapat menghadapi tekanan persekolahannya. Dia bersekolah dari jam 7 pagi sehingga 5 petang. Tempat saya cuma 7.30 sehingga 12.50 tengahari. Kalau adapun kelas Fardhu Ain (KAFA) sampai jam 5 petang, dua kall seminggu. Kalau dulu ada "Baucer Tusiyen", barulah ada kelas sampai 5 petang untuk murid-murid tahun 4, 5 dan 6.

Bukan itu sahaja yang merisaukan hati ibu ini. Jan terpaksa belajar bahasa German, English dan Arabic. ( wahhhh bahasa Arab pun ada juga ) Kemudian Science, Maths , Kelas dancing, drama , hingga ke Muzik kelas flute instrumental. Lepas tu ada kelas Chess lagi, kelas social studies dan sports. Agaknya zaman dia dulu dia takde belajar banyak-banyak macam si Jan. Manalah sama sebab masa kecilnya dia belajar di Amerika Syarikat mengikut ayahnya yang bekerja diplomat di situ. Di German, anak-anak seusia 6 tahun disogok dengan bayak ilmu merangkumi kesemua aspek.

Bagaimana di Malaysia? Baru minggu lepas guru pelatih memberitahu saya ada perubahan sukatan pelajaran dalam Kajian Tempatan Tahun 6. Wah....langsung ketinggalan sebab saya dapatkan sumber dalam internet. Terkadang internet ini tak boleh pakai. Tapi perubahan ini masih tidak seiring dengan buku teks. Buku teks masih versi lama. Sukatan pelajaran selalu berubah. Kononnya seiring dengan kemajuan semasa. Baru 5 tahun program KIA2M dijalankan untuk membasmi buta huruf di kalangan pelajar tahun 1 dan mengurangkan kelas pemulihan .Sekarang program ini ditukar kepada LINUS. Ia melibatkan Bahasa Inggeris. Ini program untuk tahun 1 ,umur 7 tahun.Bermakna kita ketinggalan dengan negara luar. Si Jan masuk sekolah sejak umurnya 3 tahun. Undang-undang di German, ibu melahirkan anak, dapat cuti tanpa gaji 2 tahun untuk menjaga anak di rumah. Lepas 2 tahun ,si ibu dapat bekerja semula di tempat kerja lamanya.

Baru-baru ini, budak yang dapat 5A dapat tawaran ke Kolej DPAH Abdillah .( sekolah lama saya - dapat result bagus dihantar ke sekolah seperti ini). Memula , ibubapanya menghantar si anak ke sekolah menengah di kampung. Saya yang terlebih kepoh, berbincang dengan si ayah tentang peluang ini. Si Ayah kata, dia dah bayar semua yuran anaknya di sekolah tersebut. Saya beritahu sayang kalau tak ambil peluang ini sebab di sana daya saing lebih baik dari di kampung. Pasal wang, kena korbanlah. Lagipun boleh bincang dengan cikgu sekolah di kampung untuk ambil balik mana yuran yang dapat diambil . Alhamdulilah, saya diberitahu bahawa anak ini telah bersekolah di Kolej.

Seorang lagi budak yang lelaki yang cemerlang dalam sukan, dapat 4A1B mendapat tawaran ke Sekolah Sukan. Seminggu sahaja duduk di situ, dan dia keluar dari sekolah tersebut. Dia lebih suka bersekolah di kampung. Ikut sejarah keluarga, maknya dulupun begitu, pandai namun tak tahan bersekolah di Kolej. Kakaknya juga dapat 5A pun sama. Budaya belajar dan bersaing tidak ada dalam murid sebegini. Tambahan ibubapa jenis yang tidak peduli dengan anak-anak. Anak yang umur 7 tahun boleh bermain rumah jiran sampai pukul 11 malam. Disuruh balik ,budak ini menjawab, maknya tak pedulipun. Budak yang dapat 4a1B itu, puas saya memujuknya semasa di tahun 6 kerana saya kenal maknya junior saya dan saya tahu kemampuan dia.Apa nak buat bila habis sekolah rendah, tugas saya setakat itu sahaja.Kami guru-guru SKJ, mendengar khabar ini mengeluh....ramai murid dapat peluang tetapi mereka tak mahu ambil peluang ini.

Saya lihat rata-rata ,ibubapa di kampung tak peduli dengan pelajaran anak-anak. Kalau peduli takkan timbul kes murid-murid tak siapkan kerja rumah. Bukan kerja rumah sebenarnya, latihan yang patut dibuat di sekolah, tak siap dan perlu disambung di rumah. Ada satu kelas yang brutal , satu kelas bermasalah. Bukan hanya hyper tetapi malas. Ini kena guna cara 'Rotan speak louder'. Betullah, dan ia berkesan sekali. Barulah saya jumpa 32 buku latihan dihantar untuk disemak. Ada yang takut sehingga sanggup 'menyorok' di tandas sehingga masa saya habis. Namun reporter kan banyak....kena amaran. Bila saya jumpa ibubapa budak-budak ini, selalu saya marahkan mereka balik sebab tak peduli hal anak-anak. Contoh senang untuk mengesan kecuaian ibubapa begini ialah pengurusan pakaian murid-murid tersebut dan alatulis. Mungkin mereka ingat cikgu uruskan semuanya. Sikap begini perlu diubah. Jika nak anak-anak berjaya , jangan sekali abaikan mereka. Biasanya anak-anak yang gembira di rumah , mendapat perhatian ibu bapa selalu cemerlang di sekolah. Tak perlulah punya ibubapa yang bijak pandai , tetapi cukup sekadar memenuhi keperluan harian anak-anak. Bimbinglah mereka menguruskan diri mereka. Yang penting semasa belajar malam , temani anak-anak membuat kerja rumah.

Berhati-hati dengan RIDSECT

1

Posted by Leeza | Posted in


Sejak CHIKUGUNYA dan DENGGI bermaharajalela, Ridsect selalu menjadi benda keperluan di rumah saya. Saya lebih suka guna Ridsect daripada Sheltox sebab ia kurang berkesan. Tapi entah kerajaan nyamuk terutama nyamuk Aedes yang dianggap nyamuk ELITE , agaknya sudah membuat alat khas kalis spray aerosol ini, maka susah nak jumpa bangkai-bangkai nyamuk bergelimpangan selepas dispray. Saya tetap jadikan ia simpanan tetap di rumah saya sebab selain nyamuk, semut , lipan , penyengat ( sejak arwah kakak saya mati disengat 'ramang', saya dah lancarkan perang kepada mereka ini) hatta lipan rajin sangat nak ajak saya ber'dating'. Hahaha...baru semalam si lipan menjenguk bilik tidur saya....terer ia memanjat rumah saya yang bertingkat ini.

Semalam saya terkejut apabila diberitahu tentang seorang sahabat yang saya anggap 'abang' pasal nama ayahnya sama dengan nama ayah saya....agaknya saya ketinggalan berita. Dua minggu lepas semasa 'black out' , dia hendak membuang tin ridsect ini ke dalam tong sampah. Dia membawa lilin sebelah tangan, dan tin ridsect lagi sebelah tangan. Di tengah jalan, dia dihalang oleh anaknya meminta tolong dia membuka gula-gula. Jadi dia kepitlah ridsect di celah ketiak dan lilin di tangan kiri. Entah bagaimana, tiba-tiba tin tersebut meletup dan api menjurus ke arah mukanya. Dia sempat mengelakkan anaknya daripada terkena api tersebut. Jadi, terbakarlah muka, tangan, bahu dan ketiaknya. Dua minggu dirawat di hospital. Kesian dia. Sudahlah sebelum kejadian tersebut dia terlibat dengan kemalangan jalan raya semasa berebut menghadiri peperiksaan OUM nya. Semoga abang J semakin sembuh.....

Saya teringat mak saya. Saya teringat yang dia rajin mengumpul tin-tin ridsect ini. Kononnya nak jual kepada pemborong besi buruk. Harganya rm0.20 untuk sekilo. Mak saya dalam usia emasnya , masih suka mencari duit biarpun ia tidak seberapa. Balik sahaja saya ceritakan kepada Luqman dan mak saya tentang RIDSECT ini. Saya pula terus membuang Ridsect di tempat pembuangan sampah Asajaya. Jauh saya buang sampah...hehehe. Takkan saya nak buang ke dalam sungai pula....kan saya mengajar anak-anak murid saya : CINTAI SUNGAI KITA. Sebab di kampung saya tiada tempat pembuangan sampah....semua buang sampah ke dalam sungai.

Jadi berhati-hatilah dengan benda-benda yang boleh terbakar seperti RIDSECT ini. Bukan sahaja ia boleh meletup tetapi juga bahaya untuk anak-anak kecil. Elakkan trajedi dengan berhati-hati.

Way To PBAKL 2010

4

Posted by Leeza | Posted in


Saya masih teringat n3 pertama saya ketika membuka blog ini ialah tentang Pesta Buku Antarabangsa KL 2009. Waktu itu hari pertama pesta buku. Saya cemburu amat sangat dengan cerita keseronokan rakan-rakan saya pergi ke pesta buku tersebut. Dalam hati sudah bertekad untuk pesta buku yang akan datang tidak mahu ketinggalan. Pesta Buku di Mines , sambutan tidak sehebat Pesta Buku Antarabangsa KL . Apa tarikannya kali ini ? Sudah pasti ada tarikan sebab semua publisher sekarang bertungkus lumus buat persediaan untuk Pesta Buku tersebut. Mereka pasti hasilkan yang terbaik untuk kita. Antaranya pengeluaran buku-buku baru . Lepas itu, ada penulis-penulis akan turun padang untuk mempromosikan buku-buku mereka. Masa inilah kita lihat pencinta buku seperti saya akan berjam-jam merayau dan membelek-belek buku untuk dibeli.

Wah, pasti ada yang kata , saya ini sanggup datang jauh-jauh semata-mata hendak menyertai Pesta Buku Antarabangsa KL. Saya hendak beri sokongan moral kepada kakak saya NB . Saya juga hendak menemui geng-geng buku seperti Kak NOOR. Saya juga berharap dapat jumpa penulis-penulis lain seperti Sri Diah . Yang paling utama saya nak dapatkan koleksi buku untuk bacaan 2010 bukan hanya novel-novel tetapi buku ilmiah yang lain.

Kelmarin saya sudah beli tiket belon. Senang hati saya. Sebenarnya saya lama sudah mengintai tiket belon ini tetapi 2 sahabat saya minta tunggu. Bila mereka bersetuju mengikut, tiket pula mahal gila. Jadi akhirnya saya pergi seorang diri. Dah banyak kali mereka ni begini. Jadi lain kali saya takkan bising-bising kalau hendak bercuti. Lain kali saya bawa Luqman sahaja. Tapi masa pesta buku ini , saya tak bawanya sebab tugasnya menemani neneknya.

Sekarang saya membuat persiapan lain untuk ke sana. Saya berdoa semoga dipermudahkan segala perancangan saya ini....insyaAllah ,kita akan berjumpa di sana nanti.

Jengkel

2

Posted by Leeza | Posted in

Lama sudah saya tak 'update' kan blog. Saya tahu saya harus membiasakan diri untuk tidak bersedih dengan satu bahagian yang hilang dalam blog saya iaitu slot review novel. Diam tak diam saya telah habiskan beberapa buah novel antaranya Jaja dan Din, Teta Balik Turki, Hehehe kelakarnya, Bagaimana menjadi wanita yang bahagia , dan Pedagogi Pendidikan. Sekarang saya tengah membaca novel Ranting Cinta Si Plato.

Ada beberapa perkara yang menjengkelkan hati saya beberapa hari ini. Namun tidaklah berkaitan dengan dunia novel pun. Barangkali ada yang ingat dengan tiadanya slot ini saya keputusan idea berblogging. Novel bukankah buah hati saya....kenapa saya tak boleh berbicara mengenai novel yang saya baca? Ada ISA juga agaknya dalam dunia novel ini.

1. Beberapa hari yang lalu, saya menghadiri sebuah majlis perkahwinan di sebelah kampung saya. Saya membawa Luqman menemani saya , takkan saya nak berjalan seorang diri pula. Baik saya bawa dia bersama. Kami makanlah dengan adab kita makan, tidak gopoh dan tidak gelojoh. Sayangnya belum habis nasi di pinggan saya , mereka sudah sibuk menyimpan bekas makanan yang ada di hadapan saya. Saya hampir tercekik dan lantas cepat-cepat mencari air. Anak saudara saya mengadu : tak sempat kunyah ,telan je lah Su. Mengapalah sampai begitu sekali melayan tetamu yang makan? Inilah majlis yang pertama kali saya rasa tak bersopan dalam melayani tetamu makan.

2. Baru-baru ini broadband saya menjadi beruk, bermasalah. Rasanya 2 hari saya tak boleh nak guna internet. Saya telefonlah pihak pengurusan pelanggan untuk berhubung terus dengan pegawai yang bertugas. Sayangnya mereka passing satu ke satu. Kemudian passing lagi ke satu bahagian. Saya perasan seperti 4-5 orang dan masing-masing bermain pass to each other. Bila saya suarakan rasa 'marah' , belum sempat saya bercakap mereka dah biadap. Kemudian mereka putuskan talian. Wahhhh...sungguh MESRA, sungguh CEKAP, dan sungguh EFEKTIF. Itulah CELCOM yang bangang. Sombong sangat ye ....tak apa, saya tengah survey perkhidmatan broadband yang lain. Kalau mereka okay, dan ada line saya tak teragak untuk memberhentikan penggunaan perkhidmatan CELCOM. Saya tak suka dilayan macam haprak.

3. Kemudian perkhidmatan ASTRO juga bermasalah. Luqman dah mengadu Astro takde tayangan. Saya pun hairan memandangkan saya tidak pernah cuai membayar bilnya. Saya buatlah panggilan ke ASTRO dan nasib baik yang ini perkhidmatannya mesra pelanggan. Mereka juga cepat menguruskan kes saya . Jadi ini tak menjengkelkan saya sangat.

Walau sesibuk manapun saya dengan kerja-kerja sekolah , saya tetap luangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga. Syukur alhamdulilah sebab Luqman tak banyak kerenah sejak akhir-akhir ini. Tiap kali pergi sekolah dia tak merungut atau meliat. Dia sudah ke peringkat menjadi remaja. Namun masih manja juga. Saya dha janji dengannya kalau tak pernah ponteng, kehadiran sekolah 100%, saya bawa dia pergi bercuti hujung tahun nanti.

Al Fatihah Sahabatku

3

Posted by Leeza | Posted in


Arwah Marnie Warso berdiri no 2 sebelah kanan, tidak bertudung dan berpakaian putih.

Orang baik selalu meninggal awal. Ada juga orang jahat yang meninggal awal. Saya pernah ajukan soalan ini kepada Ustaz di sekolah saya. Ustaz jelaskan kepada saya, Allah mencabut nyawa hambanya bersebab. Apa yang jelas ALLAH lakukan kerana teramat menyayangi hambaNya. Bukan bererti Allah tidak sayang kita yang masih hidup ini. Jadi kita yang masih hidup sebenarnya diberi peluang untuk mengumpul modal bagi membeli tiket ke Syurga. Kita diberi peluang untuk bertaubat dan berubah dari kemungkaran yang kita lakukan baik yang kecil atau besar.

AL FATIHAH untuk sahabat saya ini, Arwah Marnie Warso. Mengenalinya semasa sama-sama menuntut di Kolej DPAH Abdillah. Dia seorang yang lemah lembut. Bercakap pun tidak meninggikan suara dan manja sebab dia anak bongsu dalam keluarganya. Saya suka bersamanya dan selalu duduk dengannya. Dia meninggal pada tahun 2000 , komplikasi kelahiran anaknya . Selepas 10 hari melahirkan, dia tumpah darah. Dan masih merah pusaranya, suami berkahwin baru kononnya dengan pilihan keluarga. Saya pernah bercakap dengan suami arwah untuk mengetahui tentang kehidupan terakhir arwah. Merah mata lelaki ini meluahkan perasaannya. Saya tidak menyalahkan dia kahwin baru, siapa kita untuk bercakap mengenainya. Namun demi tidak mahu berpisah dengan anak-anak terutama kebajikan bayi yang masih kecil, dia mencari ibu untuk mereka. Mendengar ceritanya, saya tahu Arwah tidak pernah berubah dengan sikap lemah lembut, manja, baik hati dan rajin. Kehilangannya amat dirasai. Bila seorang kawan kami menyiarkan gambar ini di Facebook, saya kembali sedih mengenangkan saat-saat bersamanya. Segalanya kenangan manis. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham. Saya suka melihatnya ketawa. Dia menjadi tempat saya meminjam nota sebab tulisannya yang cantik. Kami bersama sehingga masuk maktab perguruan. Kisah cintanya semua saya tahu. Apa lagi ada kaitan dengan rakan sekolej saya pula. Tidak pernah sampaikan kepada sesiapapun juga rahsia beliau. Segala aib sahabat saya simpan kukuh-kukuh. Saya sering mengingatkan diri, siapalah kita ini? Kita ini sama, serba kekurangan . Jika dibandingkan saya dengannya, arwah seratus kali lebih baik dari saya. Satu hari nanti jika ditakdirkan Tuhan saya masih bernyawa saya teringin menemui anak sulungnya kerana menurut suaminya, wajah anak itu menyalin wajah arwah sepenuhnya. Sekadar untuk melepas rindu.

Di kesempatan ini juga saya memohon maaf kepada penulis-penulis novel yang pernah saya buat ulasan . Saya tahu bahasa saya terlalu kasar . Saya hanya meluahkan pendapat peribadi berdasarkan apa yang saya baca sahaja. Ia tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mulai saat ini tiada lagi ulasan novel yang akan saya siarkan di blog peribadi ini. Saya tidak mahu lagi ia digunakan untuk mencetuskan api kemarahan dan pergaduhan kepada sesetengah pihak. Orang di luar negara sibuk mempertahankan nyawa dari bencana alam dan peperangan, kita yang berada di bumi aman damai ini , masih punya hati hendak bertelagah sesama sendiri. Jika hendak bersaing sekalipun, gunakan masa yang terluang untuk menghasilkan karya-karya yang terbaik. Saya akan membuat ulasan novel itu secara peribadi dan saya simpan untuk koleksi saya sendiri. Satu hari nanti bila saya sudah tiada lagi, koleksi ini akan saya wariskan kepada anak-cucu saudara saya dan terpulang kepada mereka untuk menyimpannya sebagai kenangan. Saya tak tahu saya telah menjadi 'virus' dalam dunia novel. Bahasa saya, gaya saya adalah seasli LIZA BUJANG. Jika bahasa tertulis baik , markah bonus untuk semua guru saya di sekolah dan universiti dan penulis-penulis novel yang saya baca kerana di sini , anda semua telah mendidik pembaca untuk peka dengan bahasa yang digunakan.

Biasanya yang datang menjenguk rumah saya ini, adalah sahabat-sahabat dan saudara-mara . Jika anda tak suka saya, jangan datang lagi ke sini kerana apa sahaja yang saya tulis baik yang indah atau yang buruk, segalanya mencetuskan perasaan benci itu menjadi dendam kesumat. Selagi anda tak lepaskan perasaan benci itu anda tidak akan gembira setelah mengunjungi rumah saya. Saya nak, yang datang akan doakan saya selalu. Esok lusa....siapa tahu tiba giliran saya pula pulang ke sisiNya. Seperti 'dia' pernah beritahu, sedekahkan Al Fatihah sahajalah.

Saya mohon jika anda sudi, sedekahkan Al Fatihah untuk sahabat saya ini, Marnie Warso. Terima kasih.

Hujan Dan Banjir

0

Posted by Leeza | Posted in

Beberapa hari ini hujan turun setiap hari. Terkadang pagi, terkadang petang dan terkadang sepanjang malam. Sejak hari Rabu hujan turun tanpa henti 24 jam sehingga Khamis
pun sama. 14 dan 15 Januari 2010, saya diarahkan mengikuti taklimat praktikum guru pelatih IPG Kampus Tun Abdul Razak ambilan Jun 2009. Kali ini sekolah saya menerima 4 orang guru pelatih, 2 lelaki dan 2 perempuan kursus major PJK dan major Sains Sosial (KT dan SVK) selama 3 bulan mulai 18 Januari 2010.

Hati saya risau dengan hujan lebat dan terpaksa turun seawal 6 pagi memandu selama sejam 15 minit ke IPG Kampus TAR. Saya menggunakan jalan darat kerana diberitahu bahawa perkhidmatan feri tiada lagi. Silap saya juga kerana tidak berfikir kalau hujan tiada berhenti bererti air sungai melimpah dan feri tentu berfungsi sepanjang masa. Sehabis kursus, jam 4 petang, saya terus menggunakan jalan darat untuk balik ke Semera. Sayangnya di hujung simpang ke jalan Asajaya, banjir terjadi sepanjang 2 km. Saya terlupa bahawa sepatutnya saya berpatah balik menggunakan jalan pintas iaitu jalan Tanjung Parang. Namanya panik dan hujan pula lebat , tak mungkin saya nak berpatah balik ke Samarahan yang jauh itu lagi. Di depan saya sebuah kereta Proton Iswara putih sedang berjalan. Saya terlihat air seakan tertolak ke tepi semasa Iswara itu berlalu, maka saya cepat-cepat mengekori rapat di belakangnya. Saya tawakal dan tanpa henti berdoa pada Allah SWT. Lagipun saya tahu ibu saya sentiasa mendoakan saya. Bila melepasi jalan yang bebas banjir, tetiba kereta Iswara tersebut berhenti .Mungkinkah enjinnya rosak? Saya meneruskan sahaja perjalanan ini. Saya terlupa menghubungi anak saudara saya yang mungkin balik lewat dari saya untuk mengingatkannya menggunakan jalan pintas. Saya hanya ingat menelefon kakak saya bertanyakan keadaan di kampung . Adakah banjir seperti tahun lepas? Alhamdulilah kampung saya tidak terjejas.

Hari ini seorang kawan saya risau hendak ke tempat kursus kerana banjir. Dia tidak tahu menggunakan feri biarpun dialah yang mengajar saya menaiki feri 3 tahun yang lalu. Pagi tadi dia terus mengambil saya dari rumah menggunakan HILUX suaminya dan minta saya menemaninya. Alhamdulilah , kawan saya berjaya juga menaiki feri biarpun hati saya berdegup kencang ketakutan juga. Apatah lagi semasa belum selamat sampai di atas jalan sebaik keluar dari feri dia menukar gear ketika masih menaiki jalan yang mencuram ke atas...aduhhh. Kami balik bersama jam 130 tengahari sehabis taklimat dan ternyata jalan darat itu masih lagi banjir. Kalaulah pihak yang berkenaan peka dengan masalah ini, penyelesaiannya hanya perlu menambah ketinggian jalan ini setinggi 1 meter sahaja lagi.

Selagi bulan Mac belum menjenguk wajahnya, selagi itu kami bersedia dan berhati-hati. Saya pula sentiasa memastikan agar rumah tidak saya tinggalkan. Barangan seperti perabot telah saya letak di tempat yang tinggi.

Melangkah Ke Hadapan.

0

Posted by Leeza | Posted in

"Za, tahun 2010 ini 'ong'nya sik bagus kan?" kata rakan sejawat saya. Terkedu saya dengan kata-katanya ini.
"Kenapa, iskkk tak baik tahu buat kesimpulan awal begini. Kan 2010 masih panjang?" Saya menidakkan tuduhannya ini.
" Ye lah...sik pernah-pernah , Ustaz pandai marah pula." katanya dengan gelak tawa. Terkejut saya, sebab setahu saya yang paling pemarah di sekolah ialah saya.Ustaz paling cool orangnya. Dia yang selalu sabar biarpun disakat saya banyak kali. Dia juga peka dengan mimik muka saya....kalau saya dah kata sepatah-sepatah dia tunjuk muka susah hati. Adik saya ini sensitif juga orangnya.
" Asal dia marah? biar betul..."
"Isu jadual waktu...." kata rakan saya.
"Agaknya dia tensen sebab mereka kan kena atur jadual elok-elok. Mungkin korang nyakat dia tak?" Mereka ketawa-ketawa dan fahamlah saya ada unsur mengusik terlibat sama.

"Ong" sering dikaitkan dengan feng shui. Kawan saya ini melayu Islam tetapi suka menyebut ong. Saya sering berasa geram dengannya sebab kalau berlebihan sudah berlainan pula jadinya.
Bulan Januari baru beberapa minggu. Mungkin ada di antara kita terasa panasnya bahang sesuatu yang tidak elok berlaku. Saya sendiri ada juga kejadian yang tidak dapat dielakkan. Hal keluarga biasalah, ada berbagai-bagai masalahnya. Takkan nak pejam mata begitu sahaja. Biarpun saya lepaskan namun seperti melepaskan layang-layang, setinggi manapun , kita masih kejap berpaut pada talinya agar ia tidak terbang tanpa haluan.

Jangan sesekali berfikiran negatif , itu yang sering saya ingatkan diri sendiri. Baru-baru ini seorang kawan saya memberitahu tentang 'mulut' rakan sekerjanya. Saya terperanjat sebab fenomena ini tidak berlaku di tempat saya. Bersyukur saya sangat-sangat sebab warga SKJ semuanya seperti saudara mara. Kami tiada rasa 'yang pelik-pelik', harmoni dan aman damai. Jika berguraupun kami tidak cepat melenting sebab sudah lali dan faham perangai masing-masing. Pernah dulu orang mengata di belakang saya, saya buat selamba sahaja. Biarlah apa orang nak kata, saya tetap dengan kerja saya. Kalau saya melenting dan kerja terbiar, siapa yang susah? Saya juga yang susah....bukankah saya kena cari makan untuk menyara keluarga saya?

Biar apapun.....ong ke tidak ong, hidup ini kena teruskan juga. Masih ada esok lusa lagi. Kita berusahalah kerana dunia ini luas. Kerja kena ikhlas, jangan mudah berputus asa. Teruskan langkah ke depan. Jika masa lalu ada kepahitan, bermuhasabah dan berubah untuk jadi lebih baik. Berdoa banyak-banyak...jangan berhenti daripada terus berdoa. InsyaAllah, kita akan dikurniakan ketenangan untuk menghadapi hari-hari esok . Semoga semua rakan saya dan novelis-novelis Malaysia terus sukses dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing. Ini semua peringatan pertama adalah untuk si Liza B ini.

HAPPY BIRTHDAY TO YOU

1

Posted by Leeza | Posted in


11 Januari 2010 merupakan hari ulangtahun Kak Noor . Pertemuan pertama kami ialah pada 7 Jun 2009 ketika Pesta Buku Mines. Waktu itu saya masih mamai sebab berada di sana dengan orang yang tak dikenali. Namun persahabatan dan kemesraan yang Kak Noor hulurkan amat menyenangkan hati. Entah kenapa dia begitu cepat mesra dengan saya. Saya pula seperti mengenalinya sudah lama. Ketika dia menemani saya berjalan-jalan shopping buku di situ dia rancak mempromosikan buku-buku yang ada. Saya kagum dengannya. Tak sangka dalam dunia buku saya jumpa orang yang suka membaca. Alhamdulilah. Selamat Hari Jadi Kak Noor. Semoga dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, sihat walafiat, bahagia dan ceria di samping keluarga dan sukses dalam apa sahaja yang Kak Noor lakukan. Tiada hadiah mampu saya hulurkan hanya doa saya untuk Kak Noor setiap hari.

12 Januari 2010 genaplah usianya 4 tahun. Qaisara Seyit Kara ,puteri tunggal Puan Norhayati Berahim dan Tuan Seyit Kara ini semakin manis setiap hari dan dia menghiburkan kita dengan kerenah manjanya. Pertama kali saya mengunjungi rumahnya pada petang 7 Jun 2009.....saya terus mencarinya di bilik dan dia sedang tidur lena kerana tidak sihat. Tengok dia seperti melihat anak orang putih. Walau dijelaskan banyak kali, mak saya tetap mengatakan suami Kak NB adalah orang putih. hahaha...ye ajelah. Badannya tinggi lampai seperti anak berusia 4 tahun waktu itu dan dia hanya berusia 3 tahun. Kini dia berusia 4 tahun , tentu ketinggiannya bertambah. Pertemuan pertama kami tidak banyak saya mendengar dia bercakap kerana dia hanya tersenyum dan memerhati. Namun saya sempat memujuknya makan ubat supaya demamnya cepat sembuh, boleh kita pergi swimming. Terus-terang saya katakan saya tidak pandai bercakap dengan anak-anak kecil. Namun dengan Teta saya bercakap dengannya seperti saya bercakap dengan Danial , menggunakan campuran BM dan BI. Sepanjang mengenalinya dan bersama dengannya, saya gelihati dengan keletahnya terutama ketika dia sujud dengan Danish semasa solat di surau Sunway Pyramid.

Untuk Teta, saya telah kirimkan sesuatu untuknya sebagai hadiah harijadi. Hadiah hati seorang mak cik dan seorang guru. Hanya hadiah yang biasa-biasa sahaja untuknya...semoga ia menceriakan anak saudara saya ini. Selamat menyambut ulang tahun ke 4 anak saudaraku . Semoga diberkati dan dilindungi ALLAH SWT selalu hendaknya. Semoga menjadi anak yang solehah dan berjaya suatu masa nanti.....amiinnnn .

Assalamualaikum Cikgu

3

Posted by Leeza | Posted in

Pengalaman 20 tahun mengajar namun bagi subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan hanya 1 tahun sahaja. Itupun tidak berturut-turut. Dua tahun lepas saya mengajar PJK tahun 1. Tahun ini saya diberikan kelas PJK tahun 3. PJK ini adalah subjek yang tidak disukai oleh guru-guru perempuan. Pagi tadi kelas saya bermula. Saya menggunakan pakaian sukan . Tentulah fenomena ini menimbulkan gelak tawa di kalangan staf sekolah saya. Mana taknya hari Jumaat guru lelaki berbaju melayu lengkap dengan songkok dan sampin, guru perempuan bertudung dan berbaju kurung. Saya pula gunakan pakaian sukan. Hendak bersalin pakaian tak sempat kerana kelas saya penuh sehingga balik untuk hari Jumaat.

Agaknya ibubapa mereka tidak yakin bila saya yang mengajar PJK, ada sebahagian murid tidak menggunakan pakaian sukan seperti yang dipesan kelmarin. Namun bila sebaik loceng kelas bermula berbunyi, saya telah mengarahkan murid-murid bersedia dengan pakaian sukan mereka. Wah...saya suka sangat melihat wajah-wajah mereka yang ceria. Disiplin kelas ini begitu baik, beratur dan keluar kelas dalam barisan. Saya cuma jumpa sebiji bola , bola sepak. Cukuplah walau dalam hati saya menyumpah juga sebab bola-bola yang lain tidak dipam. Bila tiba di dewan, pintu pula tertutup rapat dan terkunci dari dalam. Aduhhh....wajah murid-murid sudah muram. Sementara menunggu Pak Cik D berusaha membuka pintu dewan, saya gunakan kawasan tempat letak kereta yang kecil untuk membahagikan mereka kepada 5 kumpulan dan membuat aktiviti senaman memanaskan badan.

Apa langkah-langkah bersenam saya nak buat ya ? Saya tak tahu sebab tidak pernah belajar bagaimana menjadi guru PJK. Saya mulakan dari kepala, kemudian bahu, kemudian tangan, kemudian pinggang dan akhirnya kaki. Bila dewan dibuka, saya sambung aktiviti dalam dewan. Saya tidak gunakan padang sebab selepas hujan padang basah dan berair. Licin dan kotor.
Kemudian pengajaran dan pembelajaran saya semakin lancar. Cuma bila saya arahkan "lari bebas" , mereka lari dalam bentuk bulatan. Hahahaha....tak apalah. Mereka baru mengenali saya dan cara saya. Bola yang sebiji saya boleh gunakan pelbagai kemahiran seperti menyambut, melantun, menggelek dan mengelecek bola. Penglibatan mereka saya penuhkan semuanya.

Apa yang pasti, saya pergunakan masa sejam ini sepenuhnya. Saya bergerak seaktifnya dan menunjuk cara terlebih dahulu sebelum mereka melakukan kesemua aktiviti tersebut. Saya gembira sebab inilah peluang saya bermain bersama mereka. Inilah masanya saya bersenam dan bersukan . Sekurang-kurangnya saya dapat mengurangkan berat badan yang bertambah kerana cuti sebulan.

Pada akhir kelas ini, saya melihat wajah-wajah mereka yang ceria dan senyuman biarpun basah dengan peluh di muka dan badan. Bila saya keluar dewan, saya diberi tepukan dan 'thump up sign' daripada guru-guru lelaki yang rupa-rupanya lepak di luar dewan. Tidak saya perasan kehadiran mereka dan fahamlah saya mereka ini mengintai saya mengajar PJK rupanya. Keh3...masih senakal budak-budak mereka ini. Saya pula tidak peduli apa-apa di luar dewan sebab seronok mengajar dan bermain dengan budak-budak.

PERCAYALAH....AKHIRNYA oleh Ruby Hazri

0

Posted by Leeza | Posted in


Novel kedua , sequel kepada novel 'Percayalah' hasil nukilan Ruby Hazri merupakan novel yang cukup lama untuk saya habiskan. Ini kerana bait-bait ayatnya yang berbunga-bunga , cantik dengan pengolahan bahasa membelai jiwa membuatkan saya tersenguk-senguk mengantuk. Bukan ceritanya tidak bagus tetapi saya jenis yang kurang sabar hendak mengetahui penyudah cerita.

Kesinambungan kisah cinta Nur Atiqah Sulaiman dengan Danial Abdul Rahman Wolfgang yang penuh dengan duri-duri . Kisah cintanya ini lebih mencabar, lebih dramatik dan lebih memikat jiwa. Kita dihidangkan dengan sepahit-pahit dugaan buat seorang isteri yang hanya menyintai seorang lelaki iaitu suaminya.

Biarpun tidak digambarkan secara terangan , cukup dilahirkan dengan kata-kata hati seorang Atiqah dalam melahirkan rasa cemburu dan tidak yakin dengan cinta Danial. Inilah menyakitkan hati saya dengan kedegilan dan kebodohan Atiqah dalam mencurigai Danial. Seorang Danial pula adalah gambaran seorang lelaki yang menyintai isteri sepenuh jiwa raganya dan tidak peka dengan naluri isteri sehingga hal ini membawa trajedi kepada Nur Atiqah yang sedang mengandung. Seribu kata tak mampu saya luahkan dalam bahagian ini bila turut menangisi nasib Atiqah yang koma dan kehilangan anak dalam kandungannya. Bukan ia membawa derita kepada Atiqah sahaja tetapi beribu sesalan kepada Danial. Demi kasihnya , dia terpaksa menjauhi Atiqah dalam soal cinta di ranjang atas sebab kesihatan. Kebahagiaan mereka tergugat bila pada saat menguruskan visa Danial ke Malaysia , terdapat masalah dengan surat pendaftaran perkahwinan mereka. Keadaan ini merumitkan keadaan sehingga Atiqah terpaksa pulang bersendirian meninggalkan Danial menguruskan urusan visanya. Rindu yang membara rupanya belum dapat diakhiri dengan pertemuan bila Danial ditimpa trajedi kapal terbang terhempas di Baotou, China. Keadaan Danial yang hilang ingatan, menyukarkan dia kembali kepangkuan keluarganya. Isteri yang ditinggalkan menanggung derita dan kepayahan mengandung dengan kesakitan tulang belakang kesan kemalangan lamanya. Apa lagi bila diberitakan kembalinya suami tercinta kepangkuan Illahi Yang Esa. Demi anak yang perlukan kasih seorang ayah , dia terpaksa menerima lamaran majikannya yang juga menyimpan seribu impian buatnya. Dan si Khairil dengan cinta tulus ikhlasnya merelakan kebahagiaan abadi buat Atiqah bila dia melepaskan isterinya untuk kembali bersatu dengan Danial yang sedang pulih ingatannya.

Pengolahan novel ini padat dengan peristiwa, tragis yang melambangkan dugaan buat pasangan bercinta. Juga erti pengorbanan buat yang tersayang dan seterusnya , penulis memberi gambaran kepada kita bahawa cinta tidak semestinya berjalan di atas landasan yang rata dan licin. Terkadang cinta boleh jadi seperti 'roller coaster'. ( Kali terakhir saya mendengar istilah ini dari seorang kawan lama yang maksudnya sungguh memualkan dan buat saya berisghtifar banyak kali ). Kemudian setiap watak di sekitar pemeran utama memainkan peranan yang bukan sedikit dalam menaikkan semangat dan memberi sokongan dalam melayari kehidupan. Inilah realitinya bila kita hidup punya keluarga dan sahabat handai . Mereka takkan membiarkan kita terkapai-kapai keseorangan dalam hujan airmata. Watak Kamal yang mulanya jahat sudah menjadi baik sejak berkahwin dengan Dewi , sahabat Atiqah dan Danial.

Keseluruhannya, novel ini lebih baik daripada novel pertama 'Percayalah'. Namun penggunaan bahasa bersastera, membuat saya terasa amat mengantuk. Untuk peminat buku dan jiwang karat hayatilah novel ini. Cintanya lebih logik dan berbunga sepanjang musim. Jika anda menangis, hayati sepenuhnya jiwa seorang isteri dalam saat kehilangan cinta dan membawa benih cinta dengan penuh derita kesakitan tulang belakang. Saya sukakan novel ini.....kerana cintanya kembali bersatu pada penghujung duka.


Hari Pertama Persekolahan 2010

1

Posted by Leeza | Posted in


Inilah buku rekod persediaan mengajar tahun ini. Jika dulu, saya pasti melapiknya dengan kertas warna yang cantik tetapi tahun ini saya cuma menggunakan kertas plastik sahaja kerana warna dan corak kulit buku sudah sedia menarik. Buku inilah kitab kami yang wajib dilengkapkan oleh semua warga pendidik. Jika gagal melengkapkannya, boleh dikenakan denda minima RM25,000.

Benarlah kata orang bahawa kasih ibu sepanjang hayat. Mak saya yang uzur dan berusia 78 tahun merupakan orang yang paling sibuk dan kecoh pada awal pagi persekolahan ini. Seawal jam 4 pagi dia sudah bangun membangunkan cucunya Luqman di rumah sebelah. Saya marah juga sebab jam 4 pagi yang gelap itu bahaya menunggu di luar rumah. Kebetulan malam tadi seekor ular tedung yang besar ditemui di tepi luar rumah saya. Bila saya bangun, saya dapati Luqman sudah bersiap dengan pakaian sekolahnya. Alhamdulilah sebab dia tidak banyak kerenah pagi ini. Abangnya Hairul yang menghantarnya ke sekolah. Jam 630 pagi dia mesti sudah ada di sekolah. Saya pun awal juga pagi ini. Jika mengikut kebiasaan saya, jam 7 pagi baru bertolak ke sekolah. Di kampung manalah ada masalah jalanraya sesak.

Bila tiba di bilik guru, saya terus menukar alas meja saya menggunakan alas yang baru dibeli. Nampak bersemangat sahaja rupanya. Cuma saya sahaja yang beralas meja dan saya mempunyai alasan untuk berbuat demikian. Saya sukakan meja yang kemas dan cantik. Lagipun permukaan meja saya penuh dengan calar, maklum meja lama dan bekas orang lain. Manalah kami ada peruntukan untuk memperolehi meja yang baru. Apa tah lagi kami menggunakan kerusi kayu yang digunakan oleh murid sebagai kerusi kami. Kerusi yang tidak berkusyen. Bilik guru juga tiada penghawa dingin hanya dua buah kipas siling dan dua buah lampu. Serba sederhana persekitaran tempat kerja kami. Syukur alhamdulilah. Walaupun begitu saya bersyukur walau hanya punya dua rak lama yang saya warisi daripada bekas guru sekolah ini dahulu. Satu saya letakkan di atas meja dan satu lagi saya letakkan di bawah meja. Itupun tidak mencukupi untuk meletakkan buku-buku rujukan dan buku teks.

Kemudian Penolong Kanan terus memberikan arahan bahawa minggu ini adalah tugas kumpulan saya. Saya terus sahaja mengatur jadual tugas harian setiap ahli saya. Kebetulan papan tugasan yang saya buatkan tahun lepas masih berfungsi dengan baik. Jadi, hanya perlu menukar nama dan hari bertugas sahaja. Agak mudah sebenarnya tugas saya. Saya mengarahkan para pengawas untuk mengawasi setiap kelas membersihkan kelas masing-masing. Bila saya bersembang dengan rakan saya, seorang daripadanya , menyatakan bahawa tahun ini dia nampak seperti malas sedikit. Bukan malas sebenarnya tetapi tugasan ini semakin mahir dan lali bagi kami. Mengajar tidak perlu gunakan buku rujukan tetapi menggunakan semua yang ada di dalam otak. Segalanya sudah serasi dengan diri. Ini menjadikan ia nampak mudah dan senang. Tengah saya sibuk mengajar Sains Tahun 4, tetiba PK kurikulum mengetuk pintu kelas dan menjelaskan bahawa dia mahukan saya menjadi guru pembimbing untuk pelatih Pendidikan Jasmani pula yang bakal praktikum 18 Januari nanti selama 3 bulan. Aduhhh...saya sudah malas kerana bererti saya kena keluar sekolah untuk 2 hari menghadiri taklimat di IPTAR dan kemudian menyelia mereka pula....Dia pula kalau nak arahkan tugas inipun tunggulah saya habiskan masa pengajaran saya ,macam tak menyempat pula.

Tahun ini bilangan murid ialah 234 orang murid dari kelas Prasekolah sehingga tahun 6. Guru pula seramai 21 orang dan 9 staf sokongan. Tahun 6 cuma 27 orang murid sahaja menandakan peratusan untuk seorang murid itu agak besar. Sukar untuk menandingi kehebatan keputusan UPSR 2009.

Peruntukan pendidikan sudah dipotong. SBT ( Skim Baucer Tuisyen) tidak dijalankan lagi. Kokurikulum hanya dijalankan peringkat sekolah sahaja. Kemudian ada ura-ura menyatakan bahawa bayaran BISP ( Insentif Untuk BI, Sains dan Maths) juga diberhentikan. Rezeki saya kuranglah tahun ini. Awal-awal lagi kami membuat program simpanan berkumpulan. Terdapat dua kumpulan simpanan ini dengan bayaran rm100 setiap bulan. Siapa cetinya? tentulah si Liza ini...hehehe yang tidak tahu malu masa menagih wang kutu.

Apa-apapun dugaannya, ceria sentiasa dalam menjalankan tugas harian. Saya tidak suka memberatkan keadaan. Kita ini semakin berusia, perlukan pengurusan masa untuk tidak menimbulkan stress yang boleh mengundang pelbagai penyakit.

Pendaftaran Luqman

0

Posted by Leeza | Posted in

Dua anak saudara saya sudah tamat SPM ,bererti cuma tinggal Luqman sahaja yang dalam tanggungjawab saya. Dia ini tidur rumah ayahnya tetapi pakaiannya semua di rumah saya. Dia makan-minum dan mandi di rumah saya. Sebenarnya saya dan mak serba-salah dengan keadaannya . Kami berhasrat hendak serahkan tangggungjawab mengurus Luqman ini kepada ayahnya sepenuhnya. Namun kami berdua tidak sedap hati memandangkan ayahnya jenis yang tidak kisah anak ada ke tidak di rumah waktu malam.

Pagi tadi saya uruskan pendaftaran Luqman di Sekolah Menengah di kampung. Nasib baik juga saya dapat parking di dalam iaitu di kawasan Flat Guru. Dia dapat masuk kelas Tingkatan 1 Inovatif. Semua bayarannya ialah rm65.50 kerana dia menggunakan talileher abangnya.

Apa yang ingin saya ceritakan ialah kerenahnya yang suka memakai satu jenis pakaian sahaja. Kalau hendak ke Asajaya, ke Kuching dan kenduri, pasti sehelai seluar faded yang sendat dan baju T transformer warna hitam itu yang dia pakai. Pagi tadi dia masih berkelubung dengan kain tuala sebab saya sudah menetapkannya pakai seluar jeans dan baju t biru-merah yang saya belikannya di KL dulu. Bila saya lihat neneknya terkedek-kedek membawa 'uniform'nya, saya cepat-cepat mengambil pakaian ini dan menguncinya dalam almari. Sakit hati betul dengan perangainya yang satu ini. Kemudian bila diberitahu dia kena menggunakan uniform sekolah untuk melapor barulah dia bergerak dan mula berkemas. Dia jantung pisang neneknya, jika tidak, ada yang kena rotan awal pagi ini.

Kami selesai melapor jam 10 pagi. Itupun saya membantu beberapa orang ibubapa mengisi borang buku teks anak-anak mereka. Yang saya hairan bagaimana pula orang yang tidak kenal saya boleh panggil saya 'cikgu'. Uwaaaahaha. Mungkin betul kata bekas pensyarah saya bahawa kami kaum guru sudah ada tanda cop 'cikgu' di dahi.

Sebaik sampai di rumah , saya belum siap parking kereta di rumah, si Luqman sudah meluru keluar , membawa semua buku-bukunya dan kemudian bersiap-siap. Ke mana lagi tujuannya kalau ke rumah orang kenduri kahwin di kampung. Laju sahaja dia berjalan, tanpa sempat saya menegur bila saya nampak dia memakai uniform transformernya itu. Aduhai mak...sayangkan cucu sanggup buka almari saya. Selesai pergi kenduri saya memeriksa semua buku dan menyimpan fail Luqman. Cemas saya bila mendapati kad pengenalannya tiada dalam fail. Saya kelam kabut mencari di dalam kereta dan semua begnya tadi namun tiada berjumpa. Saya berjalan keluar dan dari jauh saya melihat kad pengenalan dan 6 keping gambarnya bertaburan di bawah kereta. Ini tentulah gara-gara dia berebut keluar kereta tadi. Bila dia balik agak lewat dia menceritakan yang dia kenyang makan di majlis kenduri tersebut dan menyertai acara berjoget lambak . Rupa-rupanya berjoget buat dia tidak sabar.

Petang, saya sudah melapik semua buku teksnya dan menyuruh dia menulis sendiri namanya pada semua buku teks dan buku tulis. Kemudian dia mengemaskan buku-buku dalam begnya mengikut jadual yang saya minta dari guru kelasnya tadi. Saya menyuruh ibu tirinya menjahit logo sekolah pada pakaiannya. Kemudian dia berhasrat hendak menjahit seluar sekolahnya supaya sendat. Alasannya seluar itu besar. Saya terus marahlah kerana seluar itu adalah saiz paling kecil dan paling fitting dengannya. Panjangnya pun mengikut ketinggiannya, tidak perlu dilipat lagi. Rakan-rakannya yang lain berlipat kaki seluar tersebut. Tahu sahajalah seorang cikgu, pastilah keluar ceramah panjang-panjang.

Inilah cabaran saya, dia yang bongsu dan dia yang terakhir saya jaga. Dia juga yang paling nakal dan paling hebat. Perangainya amat mencabar kesabaran. Jika saya abaikan dan lepaskan sepenuh tanggungjawab ini kepada ayahnya, anak ini akan menjadi cepat rosak. Saya sudah tetapkan jadual belajarnya selepas maghrib sehingga jam 830 malam. Terpaksa saya luangkan masa saya untuknya. Kenalah duduk bersamanya setiap malam bagi memastikannya belajar.

Bulan Biru Di Tahun Baru

3

Posted by Leeza | Posted in

According to popular definition, a blue moon is the second full moon in a month.
But don't expect it to be blue- the name has nothing to do with the colour of our closest celestial neighbour.

Ini carian GOOGLE yang saya muatkan tentang fenomena Bulan Biru semalam. Sayangnya tempat saya hujan lebat sehingga kami tidak dapat menyaksikan fenomena ini. Bagi saya BULAN BIRU adalah sesuatu yang sangat istimewa dalam hidup saya. Ia muncul seakan peluang kedua untuk kita. Once in a blue moon....satu kejadian yang tidak dijangkakan berlaku. Apa-apapun saya suka topik astronomi ini. Namun saya pelajar sastera.

Semalam pasti ramai yang meraikan tahun baru dengan cara yang tersendiri. Ada yang menyaksikan pertunjukan bunga api di Putrajaya. Semalam saya tidur awal kerana hujan yang dingin dan keletihan. Setelah lima hari rumah saya tinggalkan, saya menguruskan beberapa perkara yang berkaitan keluarga dan kerjaya.

Hahaha...saya nak kongsi mimpi saya semalam. Mimpi bulan biru yang menjadi rembulan berdarah. Ada perkara yang bermain di minda saya, kerisauan saya tentang anak-anak saudara saya yang hanya boleh ditegur dengan sindiran dan teguran secara 'slow talk'. Seorang daripada mereka menyebabkan rumah saya runtuh sehingga saya ketiadaan tempat tinggal. Kemudian saya bermimpi saya sudah berkahwin dan tengah mengandung. Saya dilayan buruk oleh suami saya. Saya tak sempat mengintai bagaimana rupa 'suami' saya itu....hehehe. Kemudian terjadi perpisahan....dan terbangun saya dengan beristighfar panjang. Saya terus bangun dan buat solat....saya memohon perlindunganNya. Mimpi hanya mainan tidur dan saya tidak mahu mimpi ini menganggu ketenangan saya. Segalanya saya berserah pada ALLAH yang maha pengasih.

Hari ini saya tidak sepenuh masa di depan laptop kerana bosan dengan 'berukband' yang perlahan. Saya luangkan masa memasak sarapan , makanan tengahari dan petang untuk keluarga saya. Kemudian bila terasa bosan, saya memanjat pokok rambutan dan memetik saki-baki rambutan yang ada. Kerana bosan juga, mak membuat jem durian . Kami sudah bosan makan durian. Tempoyak hanya menjadi makanan Zizi dan Luqman sahaja. Kemudian melayari facebook dengan kawan-kawan sekolej , saya gelihati bila masing-masing mengulang semula ingatan tentang kisah-kisah di kolej. Bahan perbualan ialah tentang guru-guru kami. Zaman belajar di kolej adalah kenangan yang manis dan mencabar. Di sanalah, gaya belajar seperti di luar negeri. Buku-buku ditinggalkan di kelas. Susunan meja sesuka hati nak atur dan hiaskan. Saya budak kampung yang naif selalu sahaja menjadi bahan usikan teman-teman. Bayangkan duduk di hadapan sebagai pelajar yang 'pekak' , selalu dilontar dengan cebisan kertas dan pemadam sehingga saya kena marah disebabkan bawah meja saya kotor. Setiap hujung minggu saya keluar kolej dan berjalan kaki ke OPENG untuk berjumpa dengan rakan-rakan lama saya sehinggalah suatu hari saya terpaksa pecut seribu kerana dikejar oleh anak anjing. Sejak itu saya serik....

Dalam kehidupan pasti ada bulan biru , maka setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Kita belajar dari pengalaman lalu dan membina kekuatan untuk menempuh dugaan masa depan. Jika kita pernah buat kesilapan janganlah diulangi lagi dan bertaubatlah. Semoga esok menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. dan kita harus berubah menjadi seseorang yang lebih baik di sisi Nya.