Pendaftaran Luqman

Posted by Leeza | Posted in

Dua anak saudara saya sudah tamat SPM ,bererti cuma tinggal Luqman sahaja yang dalam tanggungjawab saya. Dia ini tidur rumah ayahnya tetapi pakaiannya semua di rumah saya. Dia makan-minum dan mandi di rumah saya. Sebenarnya saya dan mak serba-salah dengan keadaannya . Kami berhasrat hendak serahkan tangggungjawab mengurus Luqman ini kepada ayahnya sepenuhnya. Namun kami berdua tidak sedap hati memandangkan ayahnya jenis yang tidak kisah anak ada ke tidak di rumah waktu malam.

Pagi tadi saya uruskan pendaftaran Luqman di Sekolah Menengah di kampung. Nasib baik juga saya dapat parking di dalam iaitu di kawasan Flat Guru. Dia dapat masuk kelas Tingkatan 1 Inovatif. Semua bayarannya ialah rm65.50 kerana dia menggunakan talileher abangnya.

Apa yang ingin saya ceritakan ialah kerenahnya yang suka memakai satu jenis pakaian sahaja. Kalau hendak ke Asajaya, ke Kuching dan kenduri, pasti sehelai seluar faded yang sendat dan baju T transformer warna hitam itu yang dia pakai. Pagi tadi dia masih berkelubung dengan kain tuala sebab saya sudah menetapkannya pakai seluar jeans dan baju t biru-merah yang saya belikannya di KL dulu. Bila saya lihat neneknya terkedek-kedek membawa 'uniform'nya, saya cepat-cepat mengambil pakaian ini dan menguncinya dalam almari. Sakit hati betul dengan perangainya yang satu ini. Kemudian bila diberitahu dia kena menggunakan uniform sekolah untuk melapor barulah dia bergerak dan mula berkemas. Dia jantung pisang neneknya, jika tidak, ada yang kena rotan awal pagi ini.

Kami selesai melapor jam 10 pagi. Itupun saya membantu beberapa orang ibubapa mengisi borang buku teks anak-anak mereka. Yang saya hairan bagaimana pula orang yang tidak kenal saya boleh panggil saya 'cikgu'. Uwaaaahaha. Mungkin betul kata bekas pensyarah saya bahawa kami kaum guru sudah ada tanda cop 'cikgu' di dahi.

Sebaik sampai di rumah , saya belum siap parking kereta di rumah, si Luqman sudah meluru keluar , membawa semua buku-bukunya dan kemudian bersiap-siap. Ke mana lagi tujuannya kalau ke rumah orang kenduri kahwin di kampung. Laju sahaja dia berjalan, tanpa sempat saya menegur bila saya nampak dia memakai uniform transformernya itu. Aduhai mak...sayangkan cucu sanggup buka almari saya. Selesai pergi kenduri saya memeriksa semua buku dan menyimpan fail Luqman. Cemas saya bila mendapati kad pengenalannya tiada dalam fail. Saya kelam kabut mencari di dalam kereta dan semua begnya tadi namun tiada berjumpa. Saya berjalan keluar dan dari jauh saya melihat kad pengenalan dan 6 keping gambarnya bertaburan di bawah kereta. Ini tentulah gara-gara dia berebut keluar kereta tadi. Bila dia balik agak lewat dia menceritakan yang dia kenyang makan di majlis kenduri tersebut dan menyertai acara berjoget lambak . Rupa-rupanya berjoget buat dia tidak sabar.

Petang, saya sudah melapik semua buku teksnya dan menyuruh dia menulis sendiri namanya pada semua buku teks dan buku tulis. Kemudian dia mengemaskan buku-buku dalam begnya mengikut jadual yang saya minta dari guru kelasnya tadi. Saya menyuruh ibu tirinya menjahit logo sekolah pada pakaiannya. Kemudian dia berhasrat hendak menjahit seluar sekolahnya supaya sendat. Alasannya seluar itu besar. Saya terus marahlah kerana seluar itu adalah saiz paling kecil dan paling fitting dengannya. Panjangnya pun mengikut ketinggiannya, tidak perlu dilipat lagi. Rakan-rakannya yang lain berlipat kaki seluar tersebut. Tahu sahajalah seorang cikgu, pastilah keluar ceramah panjang-panjang.

Inilah cabaran saya, dia yang bongsu dan dia yang terakhir saya jaga. Dia juga yang paling nakal dan paling hebat. Perangainya amat mencabar kesabaran. Jika saya abaikan dan lepaskan sepenuh tanggungjawab ini kepada ayahnya, anak ini akan menjadi cepat rosak. Saya sudah tetapkan jadual belajarnya selepas maghrib sehingga jam 830 malam. Terpaksa saya luangkan masa saya untuknya. Kenalah duduk bersamanya setiap malam bagi memastikannya belajar.

Comments (0)