Al Fatihah Sahabatku

Posted by Leeza | Posted in


Arwah Marnie Warso berdiri no 2 sebelah kanan, tidak bertudung dan berpakaian putih.

Orang baik selalu meninggal awal. Ada juga orang jahat yang meninggal awal. Saya pernah ajukan soalan ini kepada Ustaz di sekolah saya. Ustaz jelaskan kepada saya, Allah mencabut nyawa hambanya bersebab. Apa yang jelas ALLAH lakukan kerana teramat menyayangi hambaNya. Bukan bererti Allah tidak sayang kita yang masih hidup ini. Jadi kita yang masih hidup sebenarnya diberi peluang untuk mengumpul modal bagi membeli tiket ke Syurga. Kita diberi peluang untuk bertaubat dan berubah dari kemungkaran yang kita lakukan baik yang kecil atau besar.

AL FATIHAH untuk sahabat saya ini, Arwah Marnie Warso. Mengenalinya semasa sama-sama menuntut di Kolej DPAH Abdillah. Dia seorang yang lemah lembut. Bercakap pun tidak meninggikan suara dan manja sebab dia anak bongsu dalam keluarganya. Saya suka bersamanya dan selalu duduk dengannya. Dia meninggal pada tahun 2000 , komplikasi kelahiran anaknya . Selepas 10 hari melahirkan, dia tumpah darah. Dan masih merah pusaranya, suami berkahwin baru kononnya dengan pilihan keluarga. Saya pernah bercakap dengan suami arwah untuk mengetahui tentang kehidupan terakhir arwah. Merah mata lelaki ini meluahkan perasaannya. Saya tidak menyalahkan dia kahwin baru, siapa kita untuk bercakap mengenainya. Namun demi tidak mahu berpisah dengan anak-anak terutama kebajikan bayi yang masih kecil, dia mencari ibu untuk mereka. Mendengar ceritanya, saya tahu Arwah tidak pernah berubah dengan sikap lemah lembut, manja, baik hati dan rajin. Kehilangannya amat dirasai. Bila seorang kawan kami menyiarkan gambar ini di Facebook, saya kembali sedih mengenangkan saat-saat bersamanya. Segalanya kenangan manis. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham. Saya suka melihatnya ketawa. Dia menjadi tempat saya meminjam nota sebab tulisannya yang cantik. Kami bersama sehingga masuk maktab perguruan. Kisah cintanya semua saya tahu. Apa lagi ada kaitan dengan rakan sekolej saya pula. Tidak pernah sampaikan kepada sesiapapun juga rahsia beliau. Segala aib sahabat saya simpan kukuh-kukuh. Saya sering mengingatkan diri, siapalah kita ini? Kita ini sama, serba kekurangan . Jika dibandingkan saya dengannya, arwah seratus kali lebih baik dari saya. Satu hari nanti jika ditakdirkan Tuhan saya masih bernyawa saya teringin menemui anak sulungnya kerana menurut suaminya, wajah anak itu menyalin wajah arwah sepenuhnya. Sekadar untuk melepas rindu.

Di kesempatan ini juga saya memohon maaf kepada penulis-penulis novel yang pernah saya buat ulasan . Saya tahu bahasa saya terlalu kasar . Saya hanya meluahkan pendapat peribadi berdasarkan apa yang saya baca sahaja. Ia tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mulai saat ini tiada lagi ulasan novel yang akan saya siarkan di blog peribadi ini. Saya tidak mahu lagi ia digunakan untuk mencetuskan api kemarahan dan pergaduhan kepada sesetengah pihak. Orang di luar negara sibuk mempertahankan nyawa dari bencana alam dan peperangan, kita yang berada di bumi aman damai ini , masih punya hati hendak bertelagah sesama sendiri. Jika hendak bersaing sekalipun, gunakan masa yang terluang untuk menghasilkan karya-karya yang terbaik. Saya akan membuat ulasan novel itu secara peribadi dan saya simpan untuk koleksi saya sendiri. Satu hari nanti bila saya sudah tiada lagi, koleksi ini akan saya wariskan kepada anak-cucu saudara saya dan terpulang kepada mereka untuk menyimpannya sebagai kenangan. Saya tak tahu saya telah menjadi 'virus' dalam dunia novel. Bahasa saya, gaya saya adalah seasli LIZA BUJANG. Jika bahasa tertulis baik , markah bonus untuk semua guru saya di sekolah dan universiti dan penulis-penulis novel yang saya baca kerana di sini , anda semua telah mendidik pembaca untuk peka dengan bahasa yang digunakan.

Biasanya yang datang menjenguk rumah saya ini, adalah sahabat-sahabat dan saudara-mara . Jika anda tak suka saya, jangan datang lagi ke sini kerana apa sahaja yang saya tulis baik yang indah atau yang buruk, segalanya mencetuskan perasaan benci itu menjadi dendam kesumat. Selagi anda tak lepaskan perasaan benci itu anda tidak akan gembira setelah mengunjungi rumah saya. Saya nak, yang datang akan doakan saya selalu. Esok lusa....siapa tahu tiba giliran saya pula pulang ke sisiNya. Seperti 'dia' pernah beritahu, sedekahkan Al Fatihah sahajalah.

Saya mohon jika anda sudi, sedekahkan Al Fatihah untuk sahabat saya ini, Marnie Warso. Terima kasih.

Comments (3)

Al-fatihah untuk arwah Marnie Warso!! suka jengah umah kak liza!!

Za..Al fatihah untuk Marnie, aduh za..akak ingat nak suruh kau buat ulasan Teta balik Turki..bukankah orang cakap aku yang menyuruh kau menulis, memburukkan penulis lain..ha.ha..tak ada kerjakan!

assalamualaikum w.b.t. .kamek anak sulung kepada mak kmk tok marnie. .btw,aunty. .ktk ada facebook ka?