Melangkah Ke Hadapan.

Posted by Leeza | Posted in

"Za, tahun 2010 ini 'ong'nya sik bagus kan?" kata rakan sejawat saya. Terkedu saya dengan kata-katanya ini.
"Kenapa, iskkk tak baik tahu buat kesimpulan awal begini. Kan 2010 masih panjang?" Saya menidakkan tuduhannya ini.
" Ye lah...sik pernah-pernah , Ustaz pandai marah pula." katanya dengan gelak tawa. Terkejut saya, sebab setahu saya yang paling pemarah di sekolah ialah saya.Ustaz paling cool orangnya. Dia yang selalu sabar biarpun disakat saya banyak kali. Dia juga peka dengan mimik muka saya....kalau saya dah kata sepatah-sepatah dia tunjuk muka susah hati. Adik saya ini sensitif juga orangnya.
" Asal dia marah? biar betul..."
"Isu jadual waktu...." kata rakan saya.
"Agaknya dia tensen sebab mereka kan kena atur jadual elok-elok. Mungkin korang nyakat dia tak?" Mereka ketawa-ketawa dan fahamlah saya ada unsur mengusik terlibat sama.

"Ong" sering dikaitkan dengan feng shui. Kawan saya ini melayu Islam tetapi suka menyebut ong. Saya sering berasa geram dengannya sebab kalau berlebihan sudah berlainan pula jadinya.
Bulan Januari baru beberapa minggu. Mungkin ada di antara kita terasa panasnya bahang sesuatu yang tidak elok berlaku. Saya sendiri ada juga kejadian yang tidak dapat dielakkan. Hal keluarga biasalah, ada berbagai-bagai masalahnya. Takkan nak pejam mata begitu sahaja. Biarpun saya lepaskan namun seperti melepaskan layang-layang, setinggi manapun , kita masih kejap berpaut pada talinya agar ia tidak terbang tanpa haluan.

Jangan sesekali berfikiran negatif , itu yang sering saya ingatkan diri sendiri. Baru-baru ini seorang kawan saya memberitahu tentang 'mulut' rakan sekerjanya. Saya terperanjat sebab fenomena ini tidak berlaku di tempat saya. Bersyukur saya sangat-sangat sebab warga SKJ semuanya seperti saudara mara. Kami tiada rasa 'yang pelik-pelik', harmoni dan aman damai. Jika berguraupun kami tidak cepat melenting sebab sudah lali dan faham perangai masing-masing. Pernah dulu orang mengata di belakang saya, saya buat selamba sahaja. Biarlah apa orang nak kata, saya tetap dengan kerja saya. Kalau saya melenting dan kerja terbiar, siapa yang susah? Saya juga yang susah....bukankah saya kena cari makan untuk menyara keluarga saya?

Biar apapun.....ong ke tidak ong, hidup ini kena teruskan juga. Masih ada esok lusa lagi. Kita berusahalah kerana dunia ini luas. Kerja kena ikhlas, jangan mudah berputus asa. Teruskan langkah ke depan. Jika masa lalu ada kepahitan, bermuhasabah dan berubah untuk jadi lebih baik. Berdoa banyak-banyak...jangan berhenti daripada terus berdoa. InsyaAllah, kita akan dikurniakan ketenangan untuk menghadapi hari-hari esok . Semoga semua rakan saya dan novelis-novelis Malaysia terus sukses dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing. Ini semua peringatan pertama adalah untuk si Liza B ini.

Comments (0)