PERCAYALAH....AKHIRNYA oleh Ruby Hazri

Posted by Leeza | Posted in


Novel kedua , sequel kepada novel 'Percayalah' hasil nukilan Ruby Hazri merupakan novel yang cukup lama untuk saya habiskan. Ini kerana bait-bait ayatnya yang berbunga-bunga , cantik dengan pengolahan bahasa membelai jiwa membuatkan saya tersenguk-senguk mengantuk. Bukan ceritanya tidak bagus tetapi saya jenis yang kurang sabar hendak mengetahui penyudah cerita.

Kesinambungan kisah cinta Nur Atiqah Sulaiman dengan Danial Abdul Rahman Wolfgang yang penuh dengan duri-duri . Kisah cintanya ini lebih mencabar, lebih dramatik dan lebih memikat jiwa. Kita dihidangkan dengan sepahit-pahit dugaan buat seorang isteri yang hanya menyintai seorang lelaki iaitu suaminya.

Biarpun tidak digambarkan secara terangan , cukup dilahirkan dengan kata-kata hati seorang Atiqah dalam melahirkan rasa cemburu dan tidak yakin dengan cinta Danial. Inilah menyakitkan hati saya dengan kedegilan dan kebodohan Atiqah dalam mencurigai Danial. Seorang Danial pula adalah gambaran seorang lelaki yang menyintai isteri sepenuh jiwa raganya dan tidak peka dengan naluri isteri sehingga hal ini membawa trajedi kepada Nur Atiqah yang sedang mengandung. Seribu kata tak mampu saya luahkan dalam bahagian ini bila turut menangisi nasib Atiqah yang koma dan kehilangan anak dalam kandungannya. Bukan ia membawa derita kepada Atiqah sahaja tetapi beribu sesalan kepada Danial. Demi kasihnya , dia terpaksa menjauhi Atiqah dalam soal cinta di ranjang atas sebab kesihatan. Kebahagiaan mereka tergugat bila pada saat menguruskan visa Danial ke Malaysia , terdapat masalah dengan surat pendaftaran perkahwinan mereka. Keadaan ini merumitkan keadaan sehingga Atiqah terpaksa pulang bersendirian meninggalkan Danial menguruskan urusan visanya. Rindu yang membara rupanya belum dapat diakhiri dengan pertemuan bila Danial ditimpa trajedi kapal terbang terhempas di Baotou, China. Keadaan Danial yang hilang ingatan, menyukarkan dia kembali kepangkuan keluarganya. Isteri yang ditinggalkan menanggung derita dan kepayahan mengandung dengan kesakitan tulang belakang kesan kemalangan lamanya. Apa lagi bila diberitakan kembalinya suami tercinta kepangkuan Illahi Yang Esa. Demi anak yang perlukan kasih seorang ayah , dia terpaksa menerima lamaran majikannya yang juga menyimpan seribu impian buatnya. Dan si Khairil dengan cinta tulus ikhlasnya merelakan kebahagiaan abadi buat Atiqah bila dia melepaskan isterinya untuk kembali bersatu dengan Danial yang sedang pulih ingatannya.

Pengolahan novel ini padat dengan peristiwa, tragis yang melambangkan dugaan buat pasangan bercinta. Juga erti pengorbanan buat yang tersayang dan seterusnya , penulis memberi gambaran kepada kita bahawa cinta tidak semestinya berjalan di atas landasan yang rata dan licin. Terkadang cinta boleh jadi seperti 'roller coaster'. ( Kali terakhir saya mendengar istilah ini dari seorang kawan lama yang maksudnya sungguh memualkan dan buat saya berisghtifar banyak kali ). Kemudian setiap watak di sekitar pemeran utama memainkan peranan yang bukan sedikit dalam menaikkan semangat dan memberi sokongan dalam melayari kehidupan. Inilah realitinya bila kita hidup punya keluarga dan sahabat handai . Mereka takkan membiarkan kita terkapai-kapai keseorangan dalam hujan airmata. Watak Kamal yang mulanya jahat sudah menjadi baik sejak berkahwin dengan Dewi , sahabat Atiqah dan Danial.

Keseluruhannya, novel ini lebih baik daripada novel pertama 'Percayalah'. Namun penggunaan bahasa bersastera, membuat saya terasa amat mengantuk. Untuk peminat buku dan jiwang karat hayatilah novel ini. Cintanya lebih logik dan berbunga sepanjang musim. Jika anda menangis, hayati sepenuhnya jiwa seorang isteri dalam saat kehilangan cinta dan membawa benih cinta dengan penuh derita kesakitan tulang belakang. Saya sukakan novel ini.....kerana cintanya kembali bersatu pada penghujung duka.


Comments (0)