Hujan Dan Banjir

Posted by Leeza | Posted in

Beberapa hari ini hujan turun setiap hari. Terkadang pagi, terkadang petang dan terkadang sepanjang malam. Sejak hari Rabu hujan turun tanpa henti 24 jam sehingga Khamis
pun sama. 14 dan 15 Januari 2010, saya diarahkan mengikuti taklimat praktikum guru pelatih IPG Kampus Tun Abdul Razak ambilan Jun 2009. Kali ini sekolah saya menerima 4 orang guru pelatih, 2 lelaki dan 2 perempuan kursus major PJK dan major Sains Sosial (KT dan SVK) selama 3 bulan mulai 18 Januari 2010.

Hati saya risau dengan hujan lebat dan terpaksa turun seawal 6 pagi memandu selama sejam 15 minit ke IPG Kampus TAR. Saya menggunakan jalan darat kerana diberitahu bahawa perkhidmatan feri tiada lagi. Silap saya juga kerana tidak berfikir kalau hujan tiada berhenti bererti air sungai melimpah dan feri tentu berfungsi sepanjang masa. Sehabis kursus, jam 4 petang, saya terus menggunakan jalan darat untuk balik ke Semera. Sayangnya di hujung simpang ke jalan Asajaya, banjir terjadi sepanjang 2 km. Saya terlupa bahawa sepatutnya saya berpatah balik menggunakan jalan pintas iaitu jalan Tanjung Parang. Namanya panik dan hujan pula lebat , tak mungkin saya nak berpatah balik ke Samarahan yang jauh itu lagi. Di depan saya sebuah kereta Proton Iswara putih sedang berjalan. Saya terlihat air seakan tertolak ke tepi semasa Iswara itu berlalu, maka saya cepat-cepat mengekori rapat di belakangnya. Saya tawakal dan tanpa henti berdoa pada Allah SWT. Lagipun saya tahu ibu saya sentiasa mendoakan saya. Bila melepasi jalan yang bebas banjir, tetiba kereta Iswara tersebut berhenti .Mungkinkah enjinnya rosak? Saya meneruskan sahaja perjalanan ini. Saya terlupa menghubungi anak saudara saya yang mungkin balik lewat dari saya untuk mengingatkannya menggunakan jalan pintas. Saya hanya ingat menelefon kakak saya bertanyakan keadaan di kampung . Adakah banjir seperti tahun lepas? Alhamdulilah kampung saya tidak terjejas.

Hari ini seorang kawan saya risau hendak ke tempat kursus kerana banjir. Dia tidak tahu menggunakan feri biarpun dialah yang mengajar saya menaiki feri 3 tahun yang lalu. Pagi tadi dia terus mengambil saya dari rumah menggunakan HILUX suaminya dan minta saya menemaninya. Alhamdulilah , kawan saya berjaya juga menaiki feri biarpun hati saya berdegup kencang ketakutan juga. Apatah lagi semasa belum selamat sampai di atas jalan sebaik keluar dari feri dia menukar gear ketika masih menaiki jalan yang mencuram ke atas...aduhhh. Kami balik bersama jam 130 tengahari sehabis taklimat dan ternyata jalan darat itu masih lagi banjir. Kalaulah pihak yang berkenaan peka dengan masalah ini, penyelesaiannya hanya perlu menambah ketinggian jalan ini setinggi 1 meter sahaja lagi.

Selagi bulan Mac belum menjenguk wajahnya, selagi itu kami bersedia dan berhati-hati. Saya pula sentiasa memastikan agar rumah tidak saya tinggalkan. Barangan seperti perabot telah saya letak di tempat yang tinggi.

Comments (0)