Hari Pertama Persekolahan 2010

Posted by Leeza | Posted in


Inilah buku rekod persediaan mengajar tahun ini. Jika dulu, saya pasti melapiknya dengan kertas warna yang cantik tetapi tahun ini saya cuma menggunakan kertas plastik sahaja kerana warna dan corak kulit buku sudah sedia menarik. Buku inilah kitab kami yang wajib dilengkapkan oleh semua warga pendidik. Jika gagal melengkapkannya, boleh dikenakan denda minima RM25,000.

Benarlah kata orang bahawa kasih ibu sepanjang hayat. Mak saya yang uzur dan berusia 78 tahun merupakan orang yang paling sibuk dan kecoh pada awal pagi persekolahan ini. Seawal jam 4 pagi dia sudah bangun membangunkan cucunya Luqman di rumah sebelah. Saya marah juga sebab jam 4 pagi yang gelap itu bahaya menunggu di luar rumah. Kebetulan malam tadi seekor ular tedung yang besar ditemui di tepi luar rumah saya. Bila saya bangun, saya dapati Luqman sudah bersiap dengan pakaian sekolahnya. Alhamdulilah sebab dia tidak banyak kerenah pagi ini. Abangnya Hairul yang menghantarnya ke sekolah. Jam 630 pagi dia mesti sudah ada di sekolah. Saya pun awal juga pagi ini. Jika mengikut kebiasaan saya, jam 7 pagi baru bertolak ke sekolah. Di kampung manalah ada masalah jalanraya sesak.

Bila tiba di bilik guru, saya terus menukar alas meja saya menggunakan alas yang baru dibeli. Nampak bersemangat sahaja rupanya. Cuma saya sahaja yang beralas meja dan saya mempunyai alasan untuk berbuat demikian. Saya sukakan meja yang kemas dan cantik. Lagipun permukaan meja saya penuh dengan calar, maklum meja lama dan bekas orang lain. Manalah kami ada peruntukan untuk memperolehi meja yang baru. Apa tah lagi kami menggunakan kerusi kayu yang digunakan oleh murid sebagai kerusi kami. Kerusi yang tidak berkusyen. Bilik guru juga tiada penghawa dingin hanya dua buah kipas siling dan dua buah lampu. Serba sederhana persekitaran tempat kerja kami. Syukur alhamdulilah. Walaupun begitu saya bersyukur walau hanya punya dua rak lama yang saya warisi daripada bekas guru sekolah ini dahulu. Satu saya letakkan di atas meja dan satu lagi saya letakkan di bawah meja. Itupun tidak mencukupi untuk meletakkan buku-buku rujukan dan buku teks.

Kemudian Penolong Kanan terus memberikan arahan bahawa minggu ini adalah tugas kumpulan saya. Saya terus sahaja mengatur jadual tugas harian setiap ahli saya. Kebetulan papan tugasan yang saya buatkan tahun lepas masih berfungsi dengan baik. Jadi, hanya perlu menukar nama dan hari bertugas sahaja. Agak mudah sebenarnya tugas saya. Saya mengarahkan para pengawas untuk mengawasi setiap kelas membersihkan kelas masing-masing. Bila saya bersembang dengan rakan saya, seorang daripadanya , menyatakan bahawa tahun ini dia nampak seperti malas sedikit. Bukan malas sebenarnya tetapi tugasan ini semakin mahir dan lali bagi kami. Mengajar tidak perlu gunakan buku rujukan tetapi menggunakan semua yang ada di dalam otak. Segalanya sudah serasi dengan diri. Ini menjadikan ia nampak mudah dan senang. Tengah saya sibuk mengajar Sains Tahun 4, tetiba PK kurikulum mengetuk pintu kelas dan menjelaskan bahawa dia mahukan saya menjadi guru pembimbing untuk pelatih Pendidikan Jasmani pula yang bakal praktikum 18 Januari nanti selama 3 bulan. Aduhhh...saya sudah malas kerana bererti saya kena keluar sekolah untuk 2 hari menghadiri taklimat di IPTAR dan kemudian menyelia mereka pula....Dia pula kalau nak arahkan tugas inipun tunggulah saya habiskan masa pengajaran saya ,macam tak menyempat pula.

Tahun ini bilangan murid ialah 234 orang murid dari kelas Prasekolah sehingga tahun 6. Guru pula seramai 21 orang dan 9 staf sokongan. Tahun 6 cuma 27 orang murid sahaja menandakan peratusan untuk seorang murid itu agak besar. Sukar untuk menandingi kehebatan keputusan UPSR 2009.

Peruntukan pendidikan sudah dipotong. SBT ( Skim Baucer Tuisyen) tidak dijalankan lagi. Kokurikulum hanya dijalankan peringkat sekolah sahaja. Kemudian ada ura-ura menyatakan bahawa bayaran BISP ( Insentif Untuk BI, Sains dan Maths) juga diberhentikan. Rezeki saya kuranglah tahun ini. Awal-awal lagi kami membuat program simpanan berkumpulan. Terdapat dua kumpulan simpanan ini dengan bayaran rm100 setiap bulan. Siapa cetinya? tentulah si Liza ini...hehehe yang tidak tahu malu masa menagih wang kutu.

Apa-apapun dugaannya, ceria sentiasa dalam menjalankan tugas harian. Saya tidak suka memberatkan keadaan. Kita ini semakin berusia, perlukan pengurusan masa untuk tidak menimbulkan stress yang boleh mengundang pelbagai penyakit.

Comments (1)

salam za...
cayalah...semangat yang tinggi za tunjukkan pada tahun 2010 nie...tahniah dan harap za sentiasa menjadi guru contoh dan guru terbaik lagi tahun nie...insyaAllah.