Nostalgia : Wayang dan TV hitam putih

Posted by Leeza | Posted in

Dulu zaman saya masih kecil , saya suka melihat wayang yang jarang-jarang ada di kampung . Jika kerajaan hendak membuat pengumuman atau kempen kesihatan selalunya mereka akan adakan wayang untuk menyusul bersama slot tersebut. Biasanya mereka akan memilih kawasan lapang berdekatan dengan surau. Mereka akan sediakan kain putih yang direntang menggunakan buluh yang dicacak tinggi. Kemudian mereka sediakan projektor sekali. Penduduk kampung akan beramai-ramai membawa tikar yang direntang seawal jam 6 petang lagi, bimbang tidak mendapat tempat yang dekat dan selesa. Jika dilihat ketinggian kain putih yang direntang , sesiapa yang mempunyai rumah berdekatan boleh melihat terus dari rumah sendiri tanpa perlu bersusah payah berkampung di situ. Cerita yang selalu ditayangkan ialah cerita P. RAMLEE. Cukup meriah masa itu. Terkadang wayang percuma ini juga diadakan di kawasan sekolah rendah saya. Walau sekolah ini agak jauh dari rumah saya, 30 minit jalan kaki (kalau cepat berjalan) dan sejam (jika berjalan lenggang kangkung) ,saya tidak akan melepaskan peluang menyaksikannya kerana arwah ayah saya peminat tegar P.RAMLEE. Sehinggalah adanya tayangan wayang komersial yang diusahakan oleh cina di kampung saya menggunakan dewan . Dewan masa itu agak daif....beratapkan zing dan berdindingkan papan. Lantai pula ialah tanah. Bukannya saya ini jenis anak yang suka melihat wayang sejak kecil tetapi abang saya H suka membawa saya bersamanya. Dua cerita yang pernah saya lihat dan saya ingat ialah cerita hindustan dan cerita cina. Semasa menonton cerita hindustan ini, kedudukan pada masa itu ialah berdepan dengan skrin....fulamak...besarnya . Harga tiket ialah RM0.50 sahaja. Dan cerita cina pula yang saya ingat ialah cerita itu tidak sesuai untuk kanak-kanak seusia saya pada masa itu (7 tahun) kerana 18sx. Hahaha...faham sahajalah masa itu mana ada lembaga penapisan filem. Apabila di sekolah menengah abang saya ini masih suka membawa saya menonton wayang tetapi kali ini sebagai penemannya berdating. Tentulah tempat duduk saya diletaknya di depan atau di hujung . Cerita yang selalu ditonton ialah cerita Indon, lakonan Roma Irama dan Rano Karno.

Budaya menonton wayang ini menular kepada TV pula. Masa itu keluarga saya tidak mampu membeli tv. Jadi Ah Jun , jiran cina saya selalu membawa tvnya yang menggunakan generator di luar kedai ( diletak di atas pelantar rumah salai kelapa) untuk dikongsi dengan semua orang kampung. Saya masih ingat siri kegemaran saya ialah Little House On The Prairie, The Lobo, Zorro, dan Charlie Chaplin. Kemudian bila sepupu saya membeli TV , dan walau jarak rumahnya kena berjalan selama 30 minit , saya dan dua abang saya akan bermalam di rumahnya pada malam Ahad untuk menonton TV. Namun, kami bertiga membawa bersama beg sekolah untuk belajar juga kerana suami sepupu saya seorang guru. Saya menggunakan TV itu untuk belajar mengeja dan membaca Bahasa Inggeris. Apa yang paling penting ialah saya belajar kemahiran 'LIP READING' daripada sepupu saya yang menjadi jururawat. Dia yang melatih saya mendengar menggunakan bacaan gerak bibir sebelum saya memjejaki sekolah. Bila hidup semakin baik, kakak saya membeli tv hitam putih yang menggunakan bateri . Masa itu tiada kemudahan elektrik. Walau ada tv di rumah kakak, saya sentiasa pastikan masa menonton ialah malam sabtu dan malam ahad. Malam persekolahan saya mesti belajar atau membuat kerja rumah. Bukannya saya ini rajin atau budak baik, tetapi adanya KOMANDO di rumah...yang siap siaga dengan rotan berbagai saiznya ....tidak mungkin saya seberani itu mahu bermalasan walaupun saya merupakan anak yang paling nakal dalam keluarga.

Comments (2)

memang nostalgia...hey, teringinlah nak tengok wayang gambar dengan tabir putih macam tu kak...mesti feeling...haha...satu lagi kalau tengok cerita orang putih dulu2...mereka ada wayang gambar dekat kawasan lapang yang penontonnya boleh tengok dari kereta masing2...best gak kan camtu...feeling je...gila apa semua nak feeling...haha...

lip reading...wah bahaya sungguh...kena kumat-kamit bibir lepas ni kalau jumpa akak...hihihihi =D

teringat juga ms saya kecik2 dulu, wayang yg sebegini selalu diadakan di pdg sekolah. abah pulak masa tu tukang jaga tiket. apa lagi free lah we all anak beranak masuk!!! kalau diigt2 bestnya tengok wayang style gitu berbumbungkan langit. tapi bila suddenly hujan jeee...haaaa, lintang pukang lari.hehehe