GALAU DI HATI SERI oleh Kusyi Hirdan

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini hasil karya Kusyi Hirdan ,seorang wartawan dan ia telah saya tamatkan bacaannya kelmarin 24 Februari 2010. Pertama kali saya berasa puas hati dengan karya penulis yang baru pertama saya tatapi karyanya ,lebih-lebih lagi beliau menyentuh bidang politik dan hiburan secara mendalam. Jika diingat balik, saya seolah kembali kepada karya-karya 'otai' lama seperti Abdul Talib Hassan dalam mengupas isu-isu politik. Syabas untuk Kusyi Hirdan yang berani tampil dengan kelainan dalam berkarya.

Galau di hati Seri menceritakan kisah Seri Arina seorang bintang program realiti yang memperjuangkan seni dengan landasan islamik dan segala suka-dukanya mempertahankan prinsip agar bidang yang diterokainya ini tidak terpesong dari landasan agama. Novel ini juga menceritakan kisah seorang ahli politik yang meningkat naik turut sama menghadapi pelbagai cabaran dan halangan untukmemperjuangkan politik bersihnya itu. Kemudian pihak-pihak antagonis mengatur pelbagai cara untuk menjatuhkan keduanya. Kedua watak ini dipertemukan hanya pada episode ke 40 ,namun pertemuan yang diukir tidak semanis gula ,malahan menjadi skandal dan kontroversi. Mereka berbeza pandangan tentang bidang masing-masing kerana prejudis dan atas dasar prinsip yang sama maka tercetus kemesraan dan keserasian . Cinta yang lahir tidak terungkap jelas namun cukup kita fahami melalui kiasan dan liuk lentok perbuatan .

Tema keseluruhannya ialah perjuangan. Perjuangan dalam mempertahankan prinsip kejujuran dan 'bersih' dalam dunia yang kontroversi. Sulaiman Adenan , memperjuangkan politik bersih yang terhindar dari kegiatan korupsi, maksiat, penindasan dan penipuan .Beliau sebagai Ketua Pemuda aktif dengan pelbagai aktiviti yang berteraskan kebajikan , kemasyarakatan seperti membuka projek Tadika dan Program yang melibatkan OKU (Orang Kurang Upaya). Atas dasar inilah beliau menjadi sandaran rakyat mengadu kes pelacuran di Merak Penanti ,walaupun itu bukan merupakan kawasan jagaannya. Atas kerjasama pihak atasan dan wartawan,maka kes Merak penanti dapat diselesaikan walaupun ia melibatkan 'somebody' yang menjadi dalang .
Seri Arina pula memperjuangkan kegiatan seni yang bersih , berusaha menyerapkan unsur-unsur ketuhanan dan islamik dalam lagu-lagu yang didendangkan menggunakan lirik yang dibuat sendiri.Begitu juga dengan persembahan yang lebih kepada pentas, stadium dan majlis-majlis rasmi dan menolak aktiviti nyanyian di kelab-kelab malam. Penglibatannya dalam pergaulan juga terhad dan pakaian juga terjaga rapi. Kesukaran Seri Arina ialah bila pengurusnya sendiri, Suraya dan pemilik Guli Records ,Tania memaksa untuk melakukan sesuatu di luar prinsip dan kehendaknya. Seri bijak menggunakan khidmat peguam untuk mempertahankan prinsip dan haknya. Namun Suraya dan Tania juga bijak menggunakan Seri dalam iklan baju dalan CURVEY dengan cara di luar daripada syarat-syarat perjanjian. Cukup licik dan membahayakan artis seperti Seri Arina. Begitulah agaknya kehidupan artis-artis di luar sana, serba salah dengan kehendak diri dan kehendak syarikat rakaman. Jadi jika ada artis yang jatuh ke lembah yang mengaibkan, tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya kepada individu tersebut. Perjuangan Tania pula lebih dalam mempertahankan haknya ke atas Guli Records dan mendapat mandat kepercayaan ayahnya yang selama ini tidak menganggap Tania sebagai anak yang membanggakan. Lantas Tania dari latar belakang keluarga yang pincang sejak kecil dan menjadi pendendam kepada lelaki , berusaha dengan apa carapun untuk mempertahankan Guli Records, satu-satunya syarikat kepunyaannya. Walau caranya salah, demi kepuasan hidup ,Tania tetap hanyut dengan dunianya, dunia lesbian dan mengejar kemewahan. Perjuangan veteran politik ,Dato' Yasmin Ghaz pula merupakan rentak tari wanita yang berkaliber dan berkarisma. Beliau bijak menanggani setiap sepak terajang dunia politik dan tenang bukan sahaja menanggani saingan politiknya tetapi juga dalam rumahtangganya. Biarpun hati wanita ini tercarik banyak kali oleh suami yang bernafsu durjana namun rumahtangganya aman dan tidak tercanang keburukannya. Satu sahaja yang tidak membahagiakannya iaitu kerinduan terhadap Sulaiman Adenan. Peri laku Dato' Yasmin Ghaz sepanjang merindui dan obses terhadap Sulaiman Adenan, berjaya diceritakan oleh penulis dengan cara mencetus rasa geli geleman pembaca kerana sejak awal kita memikirkan, adakah Dato' Yasmin lambang wanita yang despresi ,wanita gersang dan ingin menjadikan Sulaiman Adenan sebagai 'toy boy'nya ? Perasaan Sulaiman Adenan sendiri jelas dinyatakan ,betapa dia risau dan malu, jelas bahawa dia tidak menyukai 'kesukaan' ini. Pada akhirnya kita tahu siapa Sulaiman Adenan di hati Dato' Yasmin Ghaz.......nak tahu baca sendiri. hahahaha.

Persoalan keinsafan dan taubat juga dikupas dengan cara yang menarik. Datin Mehran adakah insaf setelah ditegur oleh Puan Anissa ibu Seri atau kerana keputusan perubatannya iaitu disahkan HIV positif ? Sedih saya gambarkan bagaimana jauhnya hubungan antara ibu dan anak , apa lagi pada anggapan mereka , anak mencapai umur 21 tahun dianggap sudah bebas. Juga bila siibu membiarkan anak terjerumus kerana dirinya tidak mampu menjadi contoh terbaik untuk anak-anak. Sebagai ibu, harus berubah demi anak-anak. Jika tidak, anak-anak takkan mampu mengikut acuan yang baik. Bila ditimpa bala HIV baru kesedaran ,keinsafan itu mendorong beliau bertaubat. Namun untuk membimbing si anak ke pangkal jalan amat payah... seperti garam yang telah larut di laut dan seperti gula yang telah larut dalam air...sukar untuk menyedarkan anak yang jauh terpesong. Hanya adakah Datin Mehran sentiasa mendoakan anaknya ini ? Keinsafan Suraya pula , walaupun dia jahat namun kasih sayang yang ada di hatinya untuk si abang, menjadikan sedikit demi sedikit rasa keinsafan itu ada di hatinya. Gambar expose abangnya dan Seri di internet bukan angkara dia tetapi Azrol Hafifi .Begitu juga bila dia teragak-agak hendak membomohkan Seri , sedangkan masa itu dia berpeluang tetapi tidak dilakukannya. Hati Suraya sebenarnya masih ada kelembutan biarpun penuh muslihat demi menjayakan kesuksesan dalam kerjayanya. Puas hati dengan pengakhiran watak ini, bertaubat di Mekah...alhamdulilah.

Sejahat manapun manusia, jika ada insan penganjaknya , maka insyaAllah akan terbit rasa insaf dan mengingati ALLAH. Watak Munirah @ Mike , watak tomboy bekas kekasih Tania diinsafkan oleh Seri Arina. Penulis bijak mengaitkan situasi dengan latar tempat, lorong yang dilalui ketika itu melintasi masjid.....dan Seri yang kita kenal, mengajak Munirah bersolat sama dengan selamba . Betul, jiwa kacau dan keliru perlu ditenangkan dengan psikologi lembut dan mengajak ia berfikir dengan rasional segala tindakan yang hendak diambil. Pada akhirnya Munirah berubah setelah melihat segala kehidupan yang pernah dilalui dan kembali kepada ibubapa yang ditinggalkan. Gadis ini terpesong kerana salah pergaulan, bukan kepincangan keluarga.....walau sebenarnya panggilan Mike oleh si ayah mencetuskan jiwa 'lelaki' pada anak itu salah.
Isu taubat yang diperlekehkan juga ditunjukkan dengan halus melalui watak Jazz Rahimi ....menunaikan umrah dan membotakkan kepala bukan penunjuk total ketaubatan seseorang itu. Perubahannya ternyata sekadar penutup mata masyarakat untuk menenangkan isu kontroversi yang negatif.

Banyak isu yang diterapkan, mengajak kita berfikir dengan selapangnya. Isu lesbian ,korupsi, permainan politik kotor yang sentiasa menjatuhkan lawan, kesetiaan dan kebiajaksanaan pekerja (watak Kamal Rasyid dan Noreha Manan) ,juga ketelusan kewartawanan yang dimainkan watak Hakim dan Hasni. Keseluruhan novel ini padat dengan banyak isu kemasyarakatan.....dan boleh diperkembangkan lagi......

Paling saya sukai bahagian si ayah Mohd Azam menasihati kedua-dua anaknya, Razi dan Razlan. Pendekatan yang sangat bijak, ayah berbicara dengan anak-anak lelaki tanpa campurtangan ibu. Juga perdebatan yang sihat berlandaskan ilmu agama yang cukup , penggunaan bahasa yang lembut dan beliau ayah yang mampu menyatukan keluarganya dalam saat-saat dilanda musibah. Kita lihat betapa protektifnya kedua anak lelaki ini terhadap kakaknya Seri Arina saat menjadi benteng ketika Tania muncul memohon maaf secara berdepan.

Pengakhiran novel ini menceriakan , gembira dan melegakan. Pengakhiran yang paling manis bagi saya ialah taubatnya Suraya Adenan. Kalau boleh saya mahu Taniapun bertaubat sama kerana kepincangan hidup Tania berpunca daripada ibubapanya sendiri....anak-anak jika disediakan asas yang kuat tak mungkin akan terpesong sejauh ini. Contohnya Munirah dan Suraya...masih mampu mencari jalan pulang. Kalau boleh biarlah hati hitam Tania kembali putih dengan keinsafan......

Tahniah untuk Kusyi Hirdan....berjaya membawa bidang politik ke dalam dunia novel popular dengan cara yang tidak memeningkan kepala. Bagaimanapun ada teknik teka teki juga digunakan, menjana minda kritis dan kritikal ...bagus untuk pembaca menyenamkan minda.

Bagaimanapun juga , kesalahan typing error juga ada dan terpulanglah kita pembaca membetulkan sendiri dengan menggunakan liquid paper dan tulis pembetulan sendiri....kita berpeluang jadi cikgu BM...keh3.

Comments (2)

salam kak leez....mcm heavy je citer ni???

Assalamualaikum Liza

Terima kasih atas komen yang sungguh mengujakan ini.

Salam perkenalan dari saya.

Kusyi Hirdan
www.jendelaku.com