BILA DAH SUKA oleh Mimie Afinie

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini dah lapan bulan dalam simpanan dan baru berkesempatan membacanya baru-baru ini. Saya sukakan novel Mimie Afinie kerana gaya bahasanya melucukan. Saya gelak-gelak membaca novel ini.

Bila Dah Suka mengisahkan pahit getir Nurul Huda menempuh alam percintaannya. Juga menceritakan keperitan hidupnya yang tidak mendapat kasih sayang papanya sendiri. Huda membawa diri ke Taiping mencari abangnya Amar setelah kecewa dengan perkahwinan Shazlan dengan kakak iparnya Diba. Malangnya dia diragut sehingga menemukannya dengan Tarmizi . Huda kemudian tinggal bersama keluarga Tarmizi dan menjadi anak angkat Puan Mahani. hari-hari yang membahagiakannya dan dia jatuh hati untuk kali kedua dengan Anuar. Oleh kerana keduanya tidak meluahkan rasa cinta, membuatkan masing-masing salah faham sehingga Huda membawa diri semula ke KL . Anuar pula berkahwin dengan Erin,sepupunya kerana dia menyangkakan Huda dan adiknya Alam saling menyintai. Di KL pula Huda menghadapi sikap cemburu Diba melihat kemesraannya dengan Shazlan yang sudah dianggap sebagai abang sendiri. Kemudian dia balik semula ke Taiping dan sekali lagi dihalau oleh Erin. Akhirnya Huda bahagia dengan menjadi isteri Alam....dan Anuar yang kecewa telah menceraikan Erin. Akhirannya bahagia untuk Anuar apabila dia mendapat teman wanita yang juga bernama Nurul Huda.

Keseluruhan cerita ini bertemakan percintaan yang mungkin tidak akan berjaya ke penghujung bahagia jika pasangan tersebut tidak berterus terang. Hati Anuar dan Huda terpaksa akur dengan takdir apabila Anuar mengambil keputusan mengahwini Erin yang tidak dicintainya. Alangkah indahnya jika Anuar berani mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinannya dengan Erin setelah mendengar pengakuan dan penjelasan daripada Alam tentang isihati Huda yang juga menyintai Anuar, tetapi Anuar tidak seperti itu. Kononnya mempertahankan maruah keluarga Erin . Namun watak Anuar ini menjadi 'jahat' bila sekembalinya daripada berbulan madu, dia berusaha merayu dan menagih cinta Huda kembali. Hakikatnya dia tak mungkin boleh berpatah semula kerana kedudukannya sebagai suami orang menghalang segala hasratnya.

Hati bebas menyintai dan berjuta kalipun jatuh hati segalanya adalah anugerah Allah kepada manusia. Kita diberi peluang untuk tertarik , jatuh cinta berulang kali sehingga pengakhirnya kita ketemu cinta sejati pada jodoh kita. Begitulah Huda.... jatuh cinta kepada Shazlan dan Anuar dan berakhir dengan kekecewaan sehinggalah Allah membuka pintu hatinya menerima cinta Alam dengan ikhlas.

Namun saya tidak puas hati dengan watak Amar Safuan, suami Intan Nurhanis (bekas kekasih Alam ). Wataknya terlalu awal dimatikan sehingga dia tidak sempat menemui adiknya Nurul Huda .Semasa kehilangan Huda , Diba dan Shazlan telah mengiklankan wajah Huda di akhbar-akhbar sehingga Alam mengetahuinya. Adalah tidak logik lelaki seperti Amar Safuan tidak menatap akhbar yang sama dan langsung tidak mengetahui berita kehilangan adiknya, Nurul Huda. Sepatutnya jika dia mengetahui bahawa adiknya hilang melalui akhbar tersebut dia tentu berusaha mencari adiknya di Taiping. Apatah lagi Huda ada menelefon kak Diba memaklumkan di mana dia berada waktu itu.

Bagaimana pula dengan watak papa Nurul Huda ? Kenapa lelaki ini membenci anak-anaknya sendiri dan lebih menyayangi orang lain? Sampai ke akhir saya tidak ketemu jawapan pada persoalan ini. Rasa benci papa kepada kawan Huda, Farhan nampak ketara sangat. Apakah lelaki ini mendendami Farhan ? Seorang ayah sejahat manapun dia tidak mungkin sampai hati menghalau anak gadisnya dengan mengunci pintu pada waktu malam. Walau bagaimanapun rahsia permusuhan antara Puan Mahani dengan sepupunya Aunty Rohana dipaparkan juga akhirnya apabila Ibu naik angin setelah mengetahui Erin menghalau Huda dari rumahnya.

Keseluruhannya watak Nurul Huda ternyata 'kebudakan' bila merajuk lari ke Taiping. Merajuk lagi balik ke KL dan seterusnya bila terluka ke Taiping semula. Pada akhirnya bila dia dihalau oleh Erin dia membawa diri ke Tasik Taiping.....berbaring di atas kerusi tanpa menghiraukan hujan lebat yang turun. Watak ini ternyata terlalu lemah dan terlalu mudah dilukai. Untuk wanita-wanita sahabatku, jangan menjadi terlalu lemah untuk menghadapi segala cabaran hidup ini. Jika banyak kali tersembam jatuh, bangunlah perlahan-lahan dan teruskan langkah ke hadapan. Kita redah cabaran masa depan dengan penuh bersemangat.

Apa yang pasti, bagi sesiapa yang sedang menganyam rasa cinta berbunga , jangan lepaskan peluang untuk meraih cinta anda.....bila dah suka, berterus-teranglah dan pimpin tangan si dia ke jinjang pelamin. Dan kepada pasangan yang sudah berada di mahligai bahagia, jangan lepaskan tangannya kerana anda dah suka...terima segala kelebihan dan kekurangannya dengan hati yang penuh ikhlas. Selamat berbahagia untuk anda semua......

Comments (1)

hhmmm...mcm best je!!! boleh cari novel ni nanti!!

psst...selamat berbahgia utk kak leez juga!!!