Cucu ke 11 : Syarifah Nazifah Batrisyah

Posted by Leeza | Posted in


Cucu saya ini lahir pada 15 Februari 2010. Anak perempuan kepada pasangan Munirah bt Sabri dan Wan Ahmadi. Semasa mamanya awal-awal mengandung , dia menelefon saya merayu dibuatkan kuih lepat pisang. Saya yang keras hati , membebel jugalah sebab pisang susah hendak didapati di tempat saya. Kemudian saya terfikir juga bila bersembang dengan mak , jangan-jangan budak ni mengandung tak? Keesokan harinya saya mencari pisang di kampung bersebelahan . Namanya rezeki, dapatlah dua sikat pisang yang masak. Saya dan mak pun buatlah kuih ini untuk dibawa kepada si Angah ini.

Saya awal-awal lagi telah meneka bahawa bayi yang dikandung angah kali ini adalah perempuan. Semasa ke tiga-tiga anak lelakinya lahir, abah mereka pula yang mengidam hendak makan itik . Dia akan telefon saya mencarikan itik di kampung untuk dimasak lauk , masak kari. Keluarga ini kalau hendak makan sesuatu yang istimewa mereka akan balik ke kampung dan saya dan kakak sulung sayalah bertungkus-lumus di dapur. Kalau ada arwah kakak saya, dia turut turun tangan.

Setiap anak yang dilahirkan adalah anugerah ALLAH. Syukur alhamdulilah kerana dia lahir dengan sempurna. Semoga dia menjadi anak yang solehah.

Ini pula cucu-cucu saya yang lain. Dari kiri, Syed Najmal@Syed (10 tahun), Dyg Putri Erwin@Putri( 2 tahun), Nur Amirah@U-jin ( 7 tahun), Syed Najmi Aiman@Aidit ( 5 tahun) dan Syed ......@Emy(lupa nama) hehehe ( 8 tahun). 3 lelaki inilah abang-abang kepada Batrisyah.

Hari-hari membilang usia, cucu pun kian bertambah. Kalau saya ke mana-mana, yang rajin mengikut saya ialah Syed dan Putri. Kalau saya lama tak bawa dia berjalan, Syed akan call,
" Nek cu , bila nak bawa abang jalan2?" Pernah juga satu kali, dia nak pakai pakaian sama warna dengan pakaian za. Seluar krim dan t-shirt maroon. Dia terus kata , dia ada baju yang sama dan terus pakai. Bila dah sedondon , di pasaraya orang tanya : anak akak ke? Hahaha...terbeliak mata budak cashier bila saya kata, cucu saya.

Comments (0)