Nostalgia : Wayang dan TV hitam putih

2

Posted by Leeza | Posted in

Dulu zaman saya masih kecil , saya suka melihat wayang yang jarang-jarang ada di kampung . Jika kerajaan hendak membuat pengumuman atau kempen kesihatan selalunya mereka akan adakan wayang untuk menyusul bersama slot tersebut. Biasanya mereka akan memilih kawasan lapang berdekatan dengan surau. Mereka akan sediakan kain putih yang direntang menggunakan buluh yang dicacak tinggi. Kemudian mereka sediakan projektor sekali. Penduduk kampung akan beramai-ramai membawa tikar yang direntang seawal jam 6 petang lagi, bimbang tidak mendapat tempat yang dekat dan selesa. Jika dilihat ketinggian kain putih yang direntang , sesiapa yang mempunyai rumah berdekatan boleh melihat terus dari rumah sendiri tanpa perlu bersusah payah berkampung di situ. Cerita yang selalu ditayangkan ialah cerita P. RAMLEE. Cukup meriah masa itu. Terkadang wayang percuma ini juga diadakan di kawasan sekolah rendah saya. Walau sekolah ini agak jauh dari rumah saya, 30 minit jalan kaki (kalau cepat berjalan) dan sejam (jika berjalan lenggang kangkung) ,saya tidak akan melepaskan peluang menyaksikannya kerana arwah ayah saya peminat tegar P.RAMLEE. Sehinggalah adanya tayangan wayang komersial yang diusahakan oleh cina di kampung saya menggunakan dewan . Dewan masa itu agak daif....beratapkan zing dan berdindingkan papan. Lantai pula ialah tanah. Bukannya saya ini jenis anak yang suka melihat wayang sejak kecil tetapi abang saya H suka membawa saya bersamanya. Dua cerita yang pernah saya lihat dan saya ingat ialah cerita hindustan dan cerita cina. Semasa menonton cerita hindustan ini, kedudukan pada masa itu ialah berdepan dengan skrin....fulamak...besarnya . Harga tiket ialah RM0.50 sahaja. Dan cerita cina pula yang saya ingat ialah cerita itu tidak sesuai untuk kanak-kanak seusia saya pada masa itu (7 tahun) kerana 18sx. Hahaha...faham sahajalah masa itu mana ada lembaga penapisan filem. Apabila di sekolah menengah abang saya ini masih suka membawa saya menonton wayang tetapi kali ini sebagai penemannya berdating. Tentulah tempat duduk saya diletaknya di depan atau di hujung . Cerita yang selalu ditonton ialah cerita Indon, lakonan Roma Irama dan Rano Karno.

Budaya menonton wayang ini menular kepada TV pula. Masa itu keluarga saya tidak mampu membeli tv. Jadi Ah Jun , jiran cina saya selalu membawa tvnya yang menggunakan generator di luar kedai ( diletak di atas pelantar rumah salai kelapa) untuk dikongsi dengan semua orang kampung. Saya masih ingat siri kegemaran saya ialah Little House On The Prairie, The Lobo, Zorro, dan Charlie Chaplin. Kemudian bila sepupu saya membeli TV , dan walau jarak rumahnya kena berjalan selama 30 minit , saya dan dua abang saya akan bermalam di rumahnya pada malam Ahad untuk menonton TV. Namun, kami bertiga membawa bersama beg sekolah untuk belajar juga kerana suami sepupu saya seorang guru. Saya menggunakan TV itu untuk belajar mengeja dan membaca Bahasa Inggeris. Apa yang paling penting ialah saya belajar kemahiran 'LIP READING' daripada sepupu saya yang menjadi jururawat. Dia yang melatih saya mendengar menggunakan bacaan gerak bibir sebelum saya memjejaki sekolah. Bila hidup semakin baik, kakak saya membeli tv hitam putih yang menggunakan bateri . Masa itu tiada kemudahan elektrik. Walau ada tv di rumah kakak, saya sentiasa pastikan masa menonton ialah malam sabtu dan malam ahad. Malam persekolahan saya mesti belajar atau membuat kerja rumah. Bukannya saya ini rajin atau budak baik, tetapi adanya KOMANDO di rumah...yang siap siaga dengan rotan berbagai saiznya ....tidak mungkin saya seberani itu mahu bermalasan walaupun saya merupakan anak yang paling nakal dalam keluarga.

Mahalnya Rojak Buah

1

Posted by Leeza | Posted in

Seperti kebiasaan Sabtu merupakan hari untuk saya dan kawan-kawan berjalan samaada makan, tengok wayang atau shopping. Bertolak dari rumah seawal jam 7 pagi dan akan balik selewat jam 8 malam, kami memastikan 5 tempat mesti kami kunjungi. Hari ini kami pergi ke Jalan India , E-mart di Matang, Wisma Seberkas ,Tabuan Jaya dan Unaco Samarahan. Di India Street saya membeli 2 helai blouse , di E-mart ( macam gudang je rupanya-hodoh sungguh) saya membeli barangan dapur dan Al-Quran ,di Tabuan Jaya pula, saya membuat cermin mata yang baru apabila didapati tahap penglihatan saya meningkat (huhuhu-kata kawan saya, baca novel merosakkan mata) ,di Wisma Seberkas shopping pakaian juga sebab ada sale 70% dan Unaco pun saya beli makanan. Pendekata , hari ini kuasa membeli agak tinggi juga.Oleh kerana di E-mart , kami tak dapat makanan yang kami mahukan dan terpaksa memilih makanan yang ada : nasi ayam dan saya beli nasi ayam Thai sos (RM5.50) .Saya sebenarnya hendak makan nasi ayam tomyam tetapi tiada...sama juga dengan nasi pabrik. Angin jugalah...hampeh. Lain kali takkan menjejakkan kaki ke situ lagi. Maka kami singgah di Gerai Rojak popular di Stone Ice ,Tingkat 5 Wisma Seberkas.


Ini dekorasi gerai tersebut. Cantik dan suasana pun menarik.

Namun tidaklah seindah mana bila ais kacang yang dipesan , aisnya sudah mencair. Saya memesan Mixed Fruit Ais Kacang rm 3.50 semangkuk. Kawan saya memesan ais jagung rm2.80 dan yang seorang lagi ikut pesanan saya.

Inilah makanan yang popular di sini. Rojak buah. Kita boleh memilih apa sahaja buah yang kita inginkan. Kami memilih epal , tauhu, jambu batu, jambu air, honey dew, nenas,carrot dan sengkuang. Itupun bukan sebiji tiap satu tetapi sehiris. Harganya rm 10. Wah....mahalnya. Baik saya beli rojak buah dekat JJ Cafe , baru rm3.50 harganya. Apatah lagi ia dipotong besar-besar....susah nak makan. Ini baru menepati pepatah : Indah khabar dari rupa.

GALAU DI HATI SERI oleh Kusyi Hirdan

2

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini hasil karya Kusyi Hirdan ,seorang wartawan dan ia telah saya tamatkan bacaannya kelmarin 24 Februari 2010. Pertama kali saya berasa puas hati dengan karya penulis yang baru pertama saya tatapi karyanya ,lebih-lebih lagi beliau menyentuh bidang politik dan hiburan secara mendalam. Jika diingat balik, saya seolah kembali kepada karya-karya 'otai' lama seperti Abdul Talib Hassan dalam mengupas isu-isu politik. Syabas untuk Kusyi Hirdan yang berani tampil dengan kelainan dalam berkarya.

Galau di hati Seri menceritakan kisah Seri Arina seorang bintang program realiti yang memperjuangkan seni dengan landasan islamik dan segala suka-dukanya mempertahankan prinsip agar bidang yang diterokainya ini tidak terpesong dari landasan agama. Novel ini juga menceritakan kisah seorang ahli politik yang meningkat naik turut sama menghadapi pelbagai cabaran dan halangan untukmemperjuangkan politik bersihnya itu. Kemudian pihak-pihak antagonis mengatur pelbagai cara untuk menjatuhkan keduanya. Kedua watak ini dipertemukan hanya pada episode ke 40 ,namun pertemuan yang diukir tidak semanis gula ,malahan menjadi skandal dan kontroversi. Mereka berbeza pandangan tentang bidang masing-masing kerana prejudis dan atas dasar prinsip yang sama maka tercetus kemesraan dan keserasian . Cinta yang lahir tidak terungkap jelas namun cukup kita fahami melalui kiasan dan liuk lentok perbuatan .

Tema keseluruhannya ialah perjuangan. Perjuangan dalam mempertahankan prinsip kejujuran dan 'bersih' dalam dunia yang kontroversi. Sulaiman Adenan , memperjuangkan politik bersih yang terhindar dari kegiatan korupsi, maksiat, penindasan dan penipuan .Beliau sebagai Ketua Pemuda aktif dengan pelbagai aktiviti yang berteraskan kebajikan , kemasyarakatan seperti membuka projek Tadika dan Program yang melibatkan OKU (Orang Kurang Upaya). Atas dasar inilah beliau menjadi sandaran rakyat mengadu kes pelacuran di Merak Penanti ,walaupun itu bukan merupakan kawasan jagaannya. Atas kerjasama pihak atasan dan wartawan,maka kes Merak penanti dapat diselesaikan walaupun ia melibatkan 'somebody' yang menjadi dalang .
Seri Arina pula memperjuangkan kegiatan seni yang bersih , berusaha menyerapkan unsur-unsur ketuhanan dan islamik dalam lagu-lagu yang didendangkan menggunakan lirik yang dibuat sendiri.Begitu juga dengan persembahan yang lebih kepada pentas, stadium dan majlis-majlis rasmi dan menolak aktiviti nyanyian di kelab-kelab malam. Penglibatannya dalam pergaulan juga terhad dan pakaian juga terjaga rapi. Kesukaran Seri Arina ialah bila pengurusnya sendiri, Suraya dan pemilik Guli Records ,Tania memaksa untuk melakukan sesuatu di luar prinsip dan kehendaknya. Seri bijak menggunakan khidmat peguam untuk mempertahankan prinsip dan haknya. Namun Suraya dan Tania juga bijak menggunakan Seri dalam iklan baju dalan CURVEY dengan cara di luar daripada syarat-syarat perjanjian. Cukup licik dan membahayakan artis seperti Seri Arina. Begitulah agaknya kehidupan artis-artis di luar sana, serba salah dengan kehendak diri dan kehendak syarikat rakaman. Jadi jika ada artis yang jatuh ke lembah yang mengaibkan, tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya kepada individu tersebut. Perjuangan Tania pula lebih dalam mempertahankan haknya ke atas Guli Records dan mendapat mandat kepercayaan ayahnya yang selama ini tidak menganggap Tania sebagai anak yang membanggakan. Lantas Tania dari latar belakang keluarga yang pincang sejak kecil dan menjadi pendendam kepada lelaki , berusaha dengan apa carapun untuk mempertahankan Guli Records, satu-satunya syarikat kepunyaannya. Walau caranya salah, demi kepuasan hidup ,Tania tetap hanyut dengan dunianya, dunia lesbian dan mengejar kemewahan. Perjuangan veteran politik ,Dato' Yasmin Ghaz pula merupakan rentak tari wanita yang berkaliber dan berkarisma. Beliau bijak menanggani setiap sepak terajang dunia politik dan tenang bukan sahaja menanggani saingan politiknya tetapi juga dalam rumahtangganya. Biarpun hati wanita ini tercarik banyak kali oleh suami yang bernafsu durjana namun rumahtangganya aman dan tidak tercanang keburukannya. Satu sahaja yang tidak membahagiakannya iaitu kerinduan terhadap Sulaiman Adenan. Peri laku Dato' Yasmin Ghaz sepanjang merindui dan obses terhadap Sulaiman Adenan, berjaya diceritakan oleh penulis dengan cara mencetus rasa geli geleman pembaca kerana sejak awal kita memikirkan, adakah Dato' Yasmin lambang wanita yang despresi ,wanita gersang dan ingin menjadikan Sulaiman Adenan sebagai 'toy boy'nya ? Perasaan Sulaiman Adenan sendiri jelas dinyatakan ,betapa dia risau dan malu, jelas bahawa dia tidak menyukai 'kesukaan' ini. Pada akhirnya kita tahu siapa Sulaiman Adenan di hati Dato' Yasmin Ghaz.......nak tahu baca sendiri. hahahaha.

Persoalan keinsafan dan taubat juga dikupas dengan cara yang menarik. Datin Mehran adakah insaf setelah ditegur oleh Puan Anissa ibu Seri atau kerana keputusan perubatannya iaitu disahkan HIV positif ? Sedih saya gambarkan bagaimana jauhnya hubungan antara ibu dan anak , apa lagi pada anggapan mereka , anak mencapai umur 21 tahun dianggap sudah bebas. Juga bila siibu membiarkan anak terjerumus kerana dirinya tidak mampu menjadi contoh terbaik untuk anak-anak. Sebagai ibu, harus berubah demi anak-anak. Jika tidak, anak-anak takkan mampu mengikut acuan yang baik. Bila ditimpa bala HIV baru kesedaran ,keinsafan itu mendorong beliau bertaubat. Namun untuk membimbing si anak ke pangkal jalan amat payah... seperti garam yang telah larut di laut dan seperti gula yang telah larut dalam air...sukar untuk menyedarkan anak yang jauh terpesong. Hanya adakah Datin Mehran sentiasa mendoakan anaknya ini ? Keinsafan Suraya pula , walaupun dia jahat namun kasih sayang yang ada di hatinya untuk si abang, menjadikan sedikit demi sedikit rasa keinsafan itu ada di hatinya. Gambar expose abangnya dan Seri di internet bukan angkara dia tetapi Azrol Hafifi .Begitu juga bila dia teragak-agak hendak membomohkan Seri , sedangkan masa itu dia berpeluang tetapi tidak dilakukannya. Hati Suraya sebenarnya masih ada kelembutan biarpun penuh muslihat demi menjayakan kesuksesan dalam kerjayanya. Puas hati dengan pengakhiran watak ini, bertaubat di Mekah...alhamdulilah.

Sejahat manapun manusia, jika ada insan penganjaknya , maka insyaAllah akan terbit rasa insaf dan mengingati ALLAH. Watak Munirah @ Mike , watak tomboy bekas kekasih Tania diinsafkan oleh Seri Arina. Penulis bijak mengaitkan situasi dengan latar tempat, lorong yang dilalui ketika itu melintasi masjid.....dan Seri yang kita kenal, mengajak Munirah bersolat sama dengan selamba . Betul, jiwa kacau dan keliru perlu ditenangkan dengan psikologi lembut dan mengajak ia berfikir dengan rasional segala tindakan yang hendak diambil. Pada akhirnya Munirah berubah setelah melihat segala kehidupan yang pernah dilalui dan kembali kepada ibubapa yang ditinggalkan. Gadis ini terpesong kerana salah pergaulan, bukan kepincangan keluarga.....walau sebenarnya panggilan Mike oleh si ayah mencetuskan jiwa 'lelaki' pada anak itu salah.
Isu taubat yang diperlekehkan juga ditunjukkan dengan halus melalui watak Jazz Rahimi ....menunaikan umrah dan membotakkan kepala bukan penunjuk total ketaubatan seseorang itu. Perubahannya ternyata sekadar penutup mata masyarakat untuk menenangkan isu kontroversi yang negatif.

Banyak isu yang diterapkan, mengajak kita berfikir dengan selapangnya. Isu lesbian ,korupsi, permainan politik kotor yang sentiasa menjatuhkan lawan, kesetiaan dan kebiajaksanaan pekerja (watak Kamal Rasyid dan Noreha Manan) ,juga ketelusan kewartawanan yang dimainkan watak Hakim dan Hasni. Keseluruhan novel ini padat dengan banyak isu kemasyarakatan.....dan boleh diperkembangkan lagi......

Paling saya sukai bahagian si ayah Mohd Azam menasihati kedua-dua anaknya, Razi dan Razlan. Pendekatan yang sangat bijak, ayah berbicara dengan anak-anak lelaki tanpa campurtangan ibu. Juga perdebatan yang sihat berlandaskan ilmu agama yang cukup , penggunaan bahasa yang lembut dan beliau ayah yang mampu menyatukan keluarganya dalam saat-saat dilanda musibah. Kita lihat betapa protektifnya kedua anak lelaki ini terhadap kakaknya Seri Arina saat menjadi benteng ketika Tania muncul memohon maaf secara berdepan.

Pengakhiran novel ini menceriakan , gembira dan melegakan. Pengakhiran yang paling manis bagi saya ialah taubatnya Suraya Adenan. Kalau boleh saya mahu Taniapun bertaubat sama kerana kepincangan hidup Tania berpunca daripada ibubapanya sendiri....anak-anak jika disediakan asas yang kuat tak mungkin akan terpesong sejauh ini. Contohnya Munirah dan Suraya...masih mampu mencari jalan pulang. Kalau boleh biarlah hati hitam Tania kembali putih dengan keinsafan......

Tahniah untuk Kusyi Hirdan....berjaya membawa bidang politik ke dalam dunia novel popular dengan cara yang tidak memeningkan kepala. Bagaimanapun ada teknik teka teki juga digunakan, menjana minda kritis dan kritikal ...bagus untuk pembaca menyenamkan minda.

Bagaimanapun juga , kesalahan typing error juga ada dan terpulanglah kita pembaca membetulkan sendiri dengan menggunakan liquid paper dan tulis pembetulan sendiri....kita berpeluang jadi cikgu BM...keh3.

Pemandangan di Dermaga Sadong Jaya, Sarawak

1

Posted by Leeza | Posted in

Dermaga Sadong Jaya selalu menjadi tempat persinggahan bot-bot pengangkutan ke kawasan Simunjan,Sebuyau dan kampung-kampung yang berdekatan. Namun sejak pengkalan Feri Sungai Bulu mula beroperasi beberapa tahun ini, Dermaga ini sudah tidak digunakan. Para peniaga geraipun turut berpindah ke Pengkalan Feri Sungai Bulu. Sekarang amat mudah untuk pergi ke Sebuyau, Simunjan, Segali, Lubuk Buntin dan beberapa kawasan di seberang sungai kerana adanya feri yang beroperasi.
Jalan menuju ke Dermaga. Kiri dan kanan ialah rumpun pohon bakau. Titian ini agak panjang , lebih kurang 2 kilometer. Penat juga berjalan. Pagar besi yang merentang sepanjang titian ini ada yang telah dipotong begitu juga dengan lampu yang dirosakkan. Waktu malam ,mungkin hanya pemancing-pemancing tegar yang sanggup melepak di Dermaga ini untuk memancing.

Ini pula si Azizi, anak saudara saya yang banyak bermasalah dahulu. Sekarang alhamdulilah dia tak buat perangai lagi. Setiap masa sentiasa mendoakannya.

Layan gambar-gambar pemandangan ini. Tenang melihat laut.

Tidak kuat hempasan ombaknya. Angin pun tidak terlalu kuat.....nyaman.

Indah pemandangan ini , sesuai dijadikan tempat berkelah atau duduk-duduk melepak membaca novel.

Hati-hati kerana dikhabarkan kawasan ini banyak sudah buaya melepak. Pihak kerajaan melarang spesies buaya ini ditangkap dna dimusnahkan. Dulu kawasan ini menjadi kawasan untuk bermain jetski, lumba perahu dan berenang. Jadi, sekarang hanya menjadi tempat tumpuan memancing dan melepak mengambil angin laut.

Cucu ke 11 : Syarifah Nazifah Batrisyah

0

Posted by Leeza | Posted in


Cucu saya ini lahir pada 15 Februari 2010. Anak perempuan kepada pasangan Munirah bt Sabri dan Wan Ahmadi. Semasa mamanya awal-awal mengandung , dia menelefon saya merayu dibuatkan kuih lepat pisang. Saya yang keras hati , membebel jugalah sebab pisang susah hendak didapati di tempat saya. Kemudian saya terfikir juga bila bersembang dengan mak , jangan-jangan budak ni mengandung tak? Keesokan harinya saya mencari pisang di kampung bersebelahan . Namanya rezeki, dapatlah dua sikat pisang yang masak. Saya dan mak pun buatlah kuih ini untuk dibawa kepada si Angah ini.

Saya awal-awal lagi telah meneka bahawa bayi yang dikandung angah kali ini adalah perempuan. Semasa ke tiga-tiga anak lelakinya lahir, abah mereka pula yang mengidam hendak makan itik . Dia akan telefon saya mencarikan itik di kampung untuk dimasak lauk , masak kari. Keluarga ini kalau hendak makan sesuatu yang istimewa mereka akan balik ke kampung dan saya dan kakak sulung sayalah bertungkus-lumus di dapur. Kalau ada arwah kakak saya, dia turut turun tangan.

Setiap anak yang dilahirkan adalah anugerah ALLAH. Syukur alhamdulilah kerana dia lahir dengan sempurna. Semoga dia menjadi anak yang solehah.

Ini pula cucu-cucu saya yang lain. Dari kiri, Syed Najmal@Syed (10 tahun), Dyg Putri Erwin@Putri( 2 tahun), Nur Amirah@U-jin ( 7 tahun), Syed Najmi Aiman@Aidit ( 5 tahun) dan Syed ......@Emy(lupa nama) hehehe ( 8 tahun). 3 lelaki inilah abang-abang kepada Batrisyah.

Hari-hari membilang usia, cucu pun kian bertambah. Kalau saya ke mana-mana, yang rajin mengikut saya ialah Syed dan Putri. Kalau saya lama tak bawa dia berjalan, Syed akan call,
" Nek cu , bila nak bawa abang jalan2?" Pernah juga satu kali, dia nak pakai pakaian sama warna dengan pakaian za. Seluar krim dan t-shirt maroon. Dia terus kata , dia ada baju yang sama dan terus pakai. Bila dah sedondon , di pasaraya orang tanya : anak akak ke? Hahaha...terbeliak mata budak cashier bila saya kata, cucu saya.

CINTA DATANG LAGI oleh Bikash Nur Idris

0

Posted by Leeza | Posted in


Bismillahirahmannirrahim.......

Asalamualaikum sahabat-sahabat dan pembaca blog yang dihormati.....
Ketika melihat buku ini di kedai buku POPULAR ,BDC Kuching, saya tertarik dengan kulit buku yang cantik. Ada gambar ladybird lagi. Kesimpulan awal, mesti watak heroin ini gila sungguh dengan ladybird dan jangkaan ini ternyata tepat. Dia mempunyai kereta Kelisa yang atasnya hitam dan badannya merah. Kemudian dipenuhi dengan patung-patung ladybird dalam kereta tersebut sehingga hero sengal tak mahu memandu.

Sipnopsisnya amat ringkas, yakni kisah cinta 4 penjuru , Fariz, Raisya, Shereen dan Jaspal.Fariz dan Raisya bertemu di majlis perkahwinan Shereen dan Jaspal . Keduanya menyimpan duka kerana pasangan masing-masing menjadi milik orang lain. Tanpa mereka ketahui, Shereen dan Jaspal sebenarnya berpakat menurut kehendak keluarga dan berbulan kemudian berazam berhasrat hendak memutuskan untuk bercerai dan kembali kepada kekasih masing-masing, Fariz dan Raisya. Tanpa Raisya duga, Fariz mengatur rancangan merapati Raisya supaya kembali kepada Jaspal dan bolehlah dia pula kembali kepada Shereen. Namun rancangan ini menjadi haru biru bila campurtangan Neesa adik Fariz yang nakal dan Dona ,sahabat Raisya kerana mereka hendak menyatukan Raisya dan Fariz. Pada satu hakikat, barulah Raisya menyedari hatinya sudah kasmaran dengan Fariz. Fariz pula disedarkan oleh Shereen tentang perasaan sebenarnya terhadap Raisya. Maka bermulalah adegan seterusnya menuju ambang perkahwinan sehingga mengecohkan kedua keluarga tersebut. Keluarga cina mualaf dengan keluarga india mualaf. Shereen dan Jaspal pula menghadapi konflik yang bukan sedikit namun tidak dikembangkan oleh penulis dengan panjang lebar .Jika dilihat keseluruhan, pada part terakhir cerita ini , kisah Shereen dan Jaspal amat menarik ,ada konflik, ada misteri , dan pada akhirnya dua hati yang sebenarnya sejak kecil telah dijodohkan bersatu dengan kebahagiaan. Paling syahdu bila keduanya dalam masa yang tidak diduga telah lama menyimpan hasrat untuk convert ke Islam.

Sejujurnya saya akui ,saya sukakan novel Bikash ini kerana hilang terbang segala kedukaan saya. Bila membaca novel ini kita berada dalam dunia animasi, dunia yang ceria. Pendekata novel ini citer kartun bagi saya. Ceriteranya ialah komedi romantik. Kalau tengok wayang saya suka komedi romantik. Jadi.....bestlah jawapannya. Kenapa saya katakan citer kartun ? Pertama pendekatan Bikash mengunakan perkataan seperti 'renungan what-u-did-last summer', 'dengan muka aku-tengah-tunggu-ni' dalam menghuraikan mimik muka watak-wataknya . Pendekatan baru dan orang yang bacapun boleh faham sendiri. Malah terus dapat gambarkan wajah kartun watak-watak tersebut. Kemudian penulis juga suka menggunakan perkataan 'muka tayang gigi'....sinonim dengan wajah smiley yang tengah sengih dan tayang gigi. Cuma tak logiknya jika watak Pak Illyasa dan watak Papa Aziz pun tayang gigi sama. Kemudian perbuatan yang kelakar antara Fariz dan Raisya , pasa saat mereka mencari cincin lamaran ladybird yang dilontarkan oleh Fariz di Tasik Permaisuri. Adegan kejar-mengejar Fariz dan Raisya mengelilingi sebatang pokok dan akhirnya Fariz berlari seorang diri mengelilingi pokok tersebut dan Raisya mengetawakannya. Ini kartun habis...keh3. Sama juga bahagian Fariz mendukung Raisya balik ke rumah , siap dengan gambaran Raisya menongkat dagu di bahu Fariz ...haiiiii kelakarlah.

Jika anda peminat cerita Cina dan cerita Tamil , anda dapat mood yang bagus untuk menghayati novel ini. Sebabnya watak hero Fariz Daniel Aziz Ng seiras dengan wajah Jimmy Lin versi dewasa. Kemudian padanannya ialah heroin Nur Raisya Ilyasa menyamai wajah Sneha pelakon Tamil . Lucu sangat terutama semasa adik Raisya si Raahah menjerit kepada ammanya di dapur untuk melaporkan perkembangan kakaknya yang menangis sejak semalam. Sehinggakan ammanya naik dan marah dengan si bongsu yang nakal ini , bukankah ibunya berpesan bisik ke telinga dan bukan mencanang ke seluruh kampung seperti suara tertelan mikrofon? Banyak adegan lucu yang digambarkan terutamanya semasa Amma Raisya dan Mama Fariz pengsan dengan gelagat nakal si Fariz.

Ada juga kesilapan yang mungkin tidak disengajakan oleh penulis dalam menggarap novel ini. Ms 147 -respirasi. Ais cair dan air di luar gelas , itu adalah proses kondensasi. Ms 220- sedangkan dialah paling bangun paling awal antara ketiga anak gadisnya. (pembetulan - sedangkan dialah paling awal bangun antara ketiga anak gadisnya.)Ms 407 -dari hati dari jiwa (pembetulan -dari hati dan jiwa). Walau bahasa novel bebas, namun sekali sekala gunakanlah kata hubung untuk mencantikkan ayat. Satu perkara yang saya tertanya-tanya , harap siapa yang baca review ini boleh jelaskan kepada saya, Siapa the Badigol So'od?

Keseluruhannya , novel ini menceriakan . Halangan cinta Fariz dan Raisya tidak begitu mencabar berbanding cinta Shereen dan Jaspal. Kerana fokus penulis lebih kepada Fariz dan Raisya maka kisah Shereen dan Jaspal tidak begitu dihuraikan dengan panjang lebar. Sayang sekali penulis tidak gunakan peluang ini untuk kembangkan kisah Shereen dan Jaspal. Misteri lelaki pertama yang menyentuh Shereen diselesaikan dengan mudah dan mengejut....hanya menggunakan sebuah diari lama milik Shereen. Jika tak, novel ini boleh mencapai sehingga 600 mukasurat lagi. Bolehlah jual dalam harga RM19.90.

Bahagia dicipta oleh insan yang menginginkannya. Bagaimana dan bila dan seberapa banyak bahagia yang diinginkan semuanya terletak di tangan anda sendiri. Jika cinta itu datang dalam hati, terimalah dengan penuh keredhaan. Hmmmm.....bilalah cinta ni datang dalam hati saya?

Review Novel

1

Posted by Leeza | Posted in

Bila berbicara tentang novel , ia membangkitkan semangat yang hilang dalam diri ini. Dunia yang telah saya terokai bertahun lamanya dan menjadi serius beberapa tahun ini....untuk mengatasi segala duka yang tersimpan jauh dalam diri.

Seperti mana saya berbicara tentang telenovela , cerita korea, atau filem-filem yang ditayangkan di pasaran begitu juga ghairahnya saya terhadap novel yang saya baca. Saya pernah melakukan kesilapan yang melukakan hati insan-insan lain terutama penulisnya sendiri, saya mohon maaf atas kelancangan ini. Saya lupa hakikat bahawa masyarakat Malaysia tidak semua bersikap terbuka .

Namun blog ini yang saya bina asasnya ialah kecintaan saya terhadap novel . Jika tiada novel yang saya bicarakan, maka pincanglah blog ini. Saya percaya pembaca novel faham bagaimana rasanya menyintai dunia novel. Kita sanggup kurangkan tidur kerana novel yang kita baca. Hari ini saya tidak berapa sihat, demam. Dalam rihat inilah saya tanpa henti memikirkan novel yang saya baca.

Seterusnya saya nak teruskan minat saya. Saya hendak berbicara tentang novel yang saya baca. Saya hendak bebas bercerita tentang kisah dalam novel ini. Saya akan mulakan kembali review novel . Tunggu sentuhan saya seterusnya .....akan berusaha menjadi lebih lembut dan bertimbang rasa....saya akan mulakan dengan Bikash Nur Idris....penulis yang saya suka dan sentiasa tunggu karyanya.

Gerak Gempur Novel

1

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini dihabiskan dalam 2 hari. Kisah cinta si Zaen yang terlalu mengejar Nasuhah. Lantaran rimas dan lemas dengan pelbagai taktik yang brutal dan kotor si Zaen , maka Nasuhah mendadak menerima lamaran Rezuan kekasih hati Ariana ,adik Zaen. Bila diketahui tindakannya melukakan hati sahabatnya maka dia batalkan perkahwinannya itu. Campurtangan keluarga menyatukan Nasuhah dengan Zaen. Cinta wujud selepas perkahwinan. Bagaimanapun, saya dah banyak kali tertidur sepanjang menghabiskan novel ini. Rasanya jalan cerita disampaikan dengan gaya yang lambat.Seterusnya saya tengah membaca novel ini. Saya sukakan karya Bikash sebab bahasanya mencuit hati. Saya sudah membilang novel yang masih belum saya baca lagi. Ada 7 buah semuanya. Rasanya saya dapat menghabiskan novel-novel ini sebelum pesta buku 2010. Masa senang dicari dan diaturkan. Kalau sebuah novel boleh siap baca selama 2 hari , ertinya saya dapat habiskan novel ini dalam tempoh 2 minggu. InsyaAllah. Inilah namanya gerak gempur.....Bagaimana dengan kerja? Saya sentiasa siapkan kerja esok saya awal2.....buat kerja advance.

Cuti : Tidur VS Novel

0

Posted by Leeza | Posted in

Cuti Tahun Baru Cina selalunya tidak hebat bagi saya sebab semasa cuti ini, kedai-kedai ditutup dan hujan pula turun mencurah-curah. Rasanya aktiviti utama semasa hujan turun ialah melingkar di atas katil. Bila mata bagai jam alarm , jam 5 pagi sudah tercelik, hasrat melingkar menjadi satu angan-angan LB. Apa yang pasti mak saya dengan kegemarannya setiap beberapa minit membuka pintu bilik saya , sama ada dia melihat jam atau bercakap dengan saya. Terkadang dia bawa roti Bun berintikan sekaya , sambil makan dia beri saya....aduhh mak . Terkadang saya cakap dengannya, mak makanlah apa-apa sahaja mak nak makan....saya tak nak. Sebab itulah saya suka kalau Luqman ada , sebab neneknya ini akan sibuk melayan Luqman. Si bujang kecik pula , setiap masa memanggil neneknya. Hari ini saya habiskan bacaan novel ini. Kisah cinta dan saya akui saya menangis pada satu-satu bahagian . Saya pun tak tahu kenapa saya menangis, sama ada kerana novel ini atau saya melampiaskan perasaan hati saya dan menggunakan novel ini sebagai pencetusnya. Ceritanya menarik dan Siti Rosmizah menggunakan kekuatan dengan sikap lelaki yang ego dan kejam sehingga sanggup berlaku kasar dengan perempuan biarpun perempuan itu dia cintai sepenuh hati. Satu bahagian yang memusykilkan saya ialah Si Farisya mengandung 3 bulan setelah 2 bulan berpisah dengan suaminya. Namun saya tak faham sangat sebab kejadian ini logik....alangkah elok jika Siti Rosmizah masukkan info mengenai isu ini.


Kemudian saya membaca novel ini. Cetakan ke dua , dalam katalog web alaf21 , tertulis harga rm 18 tetapi buku ini harganya rm19.90. Saya berusaha hendak habiskan stok novel saya sebelum saya berangkat ke PBAKL Mac nanti. Semasa membaca novel ini baru beberapa muka surat , saya sudah mengantuk. Maka dengan secara suka citanya saya melunaskan angan-angan LB , naik atas katil, tarik selimut dan tidur dengan nyenyaknya. Wah... tidur siang ? Dalam tidur yang lenalah itu saya pun bermimpi cerita dongeng. Kisah pengembaraan seorang putera raja mencari puteri impiannya. Yang peliknya semua watak dalam mimpi saya bercakap bahasa cina. Ada masuk loghat korea juga. Wah....mentang-mentanglah Tahun Baru Cina, sesuka hati je bahasa cina masuk dalam mimpi saya. Dan saya dikejutkan dengan jeritan : NEK CUUUUUUUU! Ambikkkkkk Gammmmbarrrrr ! Siapa ? Dialah cucu saudara saya yang bertuah DAYANG PUTRI ERWIN.

Spot Check

4

Posted by Leeza | Posted in

Dalam keluarga saya ada seorang kakak ipar antarabangsa. Dia tegas orangnya, garang dan kalau bersuara saya tak daya nak menangkis dengan apa-apa raketpun sebab bulutangkis yang dia lemparkan bukan sebarangan jenamanya . Terkadang saya hanya mendiamkan diri sebab saya akui sayapun ada kesalahan juga.

Hari ini dia datang sekeluarga secara mengejut . Saya tahu dia sengaja nak buat spot check tentang keadaan rumah yang saya dan mak diami. Paling utama ialah kebersihan. Pagi tadi kebetulan saya sibuk memasak sarapan bihun goreng untuk saya bawa ke rumah abang saya Si GB untuk melawat anaknya ALYA yang baru keluar hospital. Jadi saya tak sempat nak kemas rumah . Hujan pula lebat. Saya bawakan kek kismis yang saya buat semalam .Kek itu tidak menjadi kerana isinya terburai....saya letakkan dalam peti ais barulah nampak elok. Kemudian saya kena memimpin mak saya ke kereta, dia nak ikut juga melawat cucunya. Baru nak bergerak, si Puteri sudah meraung nak ikut saya tetapi neneknya kena ikut sama .

Balik dari rumah abang GB itulah , ketika saya sibuk di dapur hendak masak sup ayam dan goreng ikan, tetiba saya dikejutkan dengan kehadiran kakak saya ini. Aduhhh ....habislah . Selalunya dia akan call terlebih dahulu jika hendak datang dan saya pastinya sudah sedia lauk pauk dan kemas rumah mengikut piawaian kebersihan nya. Kemudian Farid menghantar ayam yang masih mentah. Saya tanyakan abang sama ada hendak makan tengahari ke tidak.(ada ke tanya cam tu...hehehe tentulah nak makan tengahari) Saya pun buat lauk ringkas, sayur campur dan ayam goreng . Menu makanan yang langsung tiada rasa pedas. Ketika saya ligat itulah , kakak mulakan ceramah Tahun Baru Cina .....

"Usu....kenapa ini bla..bla..bla" jenguk sekejap saya ke ruang tamu.
"Usu...mana ....bla..bla..bla" jenguk lagi saya ke ruang tamu.
"Usu...cuba awak...bla..bla...bla" jenguk lagi saya ke ruang tamu.

Bila sudah banyak kali menjenguk ke ruang tamu, resipi sayapun jadi berantakan. Eh...dah letak garam ke lauk ni? Apa lagi saya nak letak ye.....aduhhh kepala saya dah pening. Dia dan anak-anaknya mula mengemas dan menyapu. Kemudian mengatur tempat letak TV sebab kali ini mereka balik memberi TV 29 inci ke 32 inci, sayapun tak tahu sebab almari untuk letak TV tidak muat dengan TV tersebut. Saya suruh abang atur terus sebab saya tak larat nak angkat TV yang berat itu. TV lama dipesan suruh letak dalam bilik saya....katanya sayang kerana TV itu abang beli semasa dia masih bujang lagi. Sebenarnya saya tak ingin letak TV besar itu di bilik kerana saya sudah memiliki TV kecil yang sudah ada DVD playernya. Lagipun saya bukan tahan berjaga malam, jam 10 malam mata saya sudah automatik mengantuk.
Bila saya sudah siap memasak saya terus hidangkan makan tengahari di atas meja. Saya suruh mereka makan terus. Ketika makan itulah kakak saya mengatakan masakan saya ada yang kurang...hahaha....kalau masak dengan hati yang tidak gembira beginilah jadinya. Sentiasa ada yang kurang. Sebelum balik, saya berpesan lain kali kalau tak nak hati sakit melihat keadaan rumah atau hendak merasa masakan yang cukup rasa, kenalah telefon dulu. Tujuannya dapatlah saya berusaha untuk membersihkan mengikut piawaiannya. Tak boleh nak kata apa, kerana rumah saya tidak teratur dengan baik sebab menghadapi banjir dan musim hujan berterusan membuatkan saya mengangkat semua perabot dan sofa di atas batu bata blok putih yang saya susun 3 lapis.

Hahaha....saya mempunyai 5 kakak ipar dan kesemuanya berlainan perangai. Saya mengenali kesemua perangai mereka dan alhamdulilah setakat ini saya masih baik dengan mereka. Antara kakak ipar saya, Kakak ipar inilah yang paling baik hati dengan saya . Saya katakan baik hati sebab dia suka memberi saya barang-barang seperti beg dan pakaian. Namun dia juga seorang yang dominan. Tapi....namanya manusia , kita sendiri pun tidak sempurna . Jadi sebagai adik saya terpaksalah mengikut apa sahaja yang berpatutan....dan jika ke lima-lima mereka berkumpul, baik saya jangan nampak bias...bahaya. Keh3.

Gong Xi Fa Cai

2

Posted by Leeza | Posted in

Pagi tadi Madam T rakan sekerja saya memberitahu bahawa dia akan balik awal hari ini kerana hendak bershopping barangan untuk perayaannya. Bila dia balik saya tak sempat mengucapkan happy chinese new year padanya. Tak apalah , sms kan ada. Tiap tahun dia menyambut perayaan bersama keluarga mertuanya. Kemudian dia akan bergegas ke rumah ibubapanya. Dia tidak mahu melepaskan peluang berkumpul bersama keluarganya kerana adik beradiknya akan berkumpul di rumah ibubapanya. Katanya kesian juga dengan kedua ibu bapa mertuanya. Dia awal-awal berpesan dengan suaminya untuk menyuruh semua adik beradiknya balik beraya dengan ibubapa suaminya itu. Betullah apa yang dia katakan, waktu ibubapa masih hidup inilah ambil peluang bersama mereka.

Saya teringat dengan seorang lagi rakan cina saya yang juga menjaga ibunya yang sakit cancer. Kasihan kerana tahun ini tugasnya di sekolah amat sibuk ( mengajar sekolah cina memerlukan gurunya mengajar minimum 33 waktu seminggu) , pelajarannya lagi dan keluarganya sendiri.Dia tidak mempunyai maid di rumah sebab anak-anaknya sudah besar.Happy Chinese New Year ,Lucy.

Cuti Tahun Baru Cina sekolah saya hanya 2 hari, isnin dan selasa menjadikan cuti hujung minggu ini menjadi 4 hari. Wahhhhh...bestnya cuti. Saya nak luangkan masa dengan bersantai dan berjalan-jalan. Shopping bukankah penawar sakit bosan ? Hahaha...tapi kan saya nak habiskan masa di KL tak lama lagi....kenalah melatih kekuatan kaki ini berjalan lama. Kalau tidak nanti saya jadi macam si Teta pula, asyik minta dipicit sahaja. Selalunya mak saya yang tolong picitkan kaki saya , dan dia merungut tak larat nak picit kaki yang macam kaki gajah. huhuhuhu.

Koleksi Jam

2

Posted by Leeza | Posted in


Beberapa hari ini saya takde selera nak buat n3 baru. Kalau pasal buku laju je saya buat. Malahan kesihatan tak mengizinkan, maklum sakit adalah satu dugaan Allah untuk saya. Hari ini jam 'Haji' saya rosak. Jam itu saya beli pada hari saya menghantar kawan saya A ke Lapangan Terbang Kuching kerana dia hendak menunaikan ibadat haji. Saya hendak jadikan ia bukan sahaja sekadar kenangan tetapi juga sebagai ingatan untuk bersedia ke sana juga. Jam haji itu no 2 dari bawah yang bertali hitam. Ini adalah koleksi jam yang saya ada , ada yang rosak dan ada yang masih bagus lagi. Sebahagiannya hadiah dari kawan dan kakak ipar. Jam saya murah sahaja. Jam bertali hitam di atas sekali ,'Jacques Farrel' adalah jam pertama yang saya beli sebaik mendapat gaji pertama sebagai guru terlatih. Harganya RM355. Tali originalnya ,gold plated. Jam itu masih bagus lagi hingga sekarang. Ada 2 utas jam tangan yang saya sayang telah hilang semasa rumah sewa saya dicerobohi pencuri. Seutas darinya ialah jam daripada jabatan atas perkhidmatan cemerlang. Takde rezeki nak buat camner. Saya gunakan bekas coklat untuk menyimpan jam-jam koleksi saya ini. Sekarang ini kawan saya si Madam T juga pengumpul jam tetapi dia mengumpul jam berjenama. Dia main ribu-ribu. Saya tak mampu, maka saya hanya beli mengikut keperluan. Kalau rosak saya beli baru.


Oleh kerana jam sangat perlu untuk saya, maka saya gunakan jam ini untuk sementara waktu. Jam ini percuma daripada percutian ke Sunway Lagoon bersama keluarga kak NB. Nasib baik ia ada , kalau tak....susah saya nak buat kerja saya. Keluar masuk kelas tentulah perlukan kita mengurus masa dengan sebijaknya. Patutnya saya hadiahkan kepada sesiapa anak saudara saya yang ramai itu, tetapi kerana ia istimewa kenangan dari KL maka saya simpan sendiri.

Suatu masa dulu, satu ranting saya pernah memberikan jam tangan 'seiko' ,jam yang dipakainya sebagai hadiah kenangan pertemuan kami. Saya lupa namanya. Jam itu saya berikan kepada seorang staf saya . Bila fikir balik, kalaulah saya tak berikan tentu boleh menambah koleksi saya. Hahaha...dah buruk siku pula. Walaupun jam tak ada lagi, kenangan dengan ranting tetap di hati. Semoga dia bahagia dengan kehidupannya.

Hujung minggu ini bermula pencarian membeli jam tangan yang baru. Saya anggap hadiah harijadi untuk diri sendiri sedangkan ia masih jauh lagi....

Bila Komputer Sakit

4

Posted by Leeza | Posted in

Dah lama saya tak ada kan? Seminggu dah laptop saya rosak. Masalahnya : Display flickering. Skrin rosak. Nasib baik masih dalam tempoh warranty. Laptop saya seperti di ataslah, saya beli sama dengan abang saya si Guru Besar . Dia siap tanya asal latop saya cepat rosak. Saya diam je sebab saya banyak habiskan masa dengan laptop ini untuk buat kerja-kerja saya. Sabtu lepas saya hantar ke kedai. Hari-hari seterusnya saya gelisah. Banyak kerja saya tertinggal dalam laptop itu yang saya lupa save dalam pendrive. Kemudian saya tak dapat online. uwaaaaaaa.

Isninnya, saya pinjam laptop sekolah untuk seminggu. Tujuannya nak buat kerja. Sayangnya laptop ini , 'Si Panjang' dah block dengan kod rahsianya. Saya tak boleh akses internet. Itu gunanya 'Si Panjang', memblock kemudahan harta kerajaan. Makmal komputer di sekolah saya ,takde guru nak guna internetnya. Kalau adapun, saya lah yang guna baru-baru ini untuk pengajaran sains saya. Itupun guna LCD, Projektor dan pendrive. Alhamdulilah, baik pula moodnya bantu saya buat persediaan agar semua alat itu siap digunapakai. Agaknya dia serik kena marah saya masa mesyuarat yang lepas.

Laptop sekolah ini beratnya, sampai senget bahu saya. Hari-hari kena usung ke sekolah. Rupa-rupanya dalam beg , ada 3 buah buku manual. Patutlah berat. Beg dokumen saya ,telah saya tak pakai sebab berat. Saya tengah cari beg yang ringan....tapi masih belum jumpa. Madam komplen saya bawa banyak barang ke sekolah. Mana tak banyak sebab saya bawa balik buku-buku latihan murid-murid saya. Ye lah, kan laptop takde, daripada saya bosan baik saya buat kerja manual. Saya rindu dengan blog saya, rindu dengan kawan-kawan, rindu dengan kak NB ( blognya) dan saya sedar hidup saya tak lengkap tanpa komputer.

Diam tak diam saya habiskan membaca 3 novel seminggu. Wah....ligat. Saya dah kenal gaya Noor Suraya menulis novelnya setelah selesai membaca BIRU UNGU CINTA. Pun juga NB dengan RANTING CINTA SI PLATO, dia punya cirinya tersendiri. Apa-apapun NB style dah lama saya suka ,dah dekat di hati....sejak saya ligat mencari koleksi novel lamanya dulu , novel terbitan creative. Dah lama saya tak menulis blog, saya ketandusan idea. Apa-apapun, kalau pasal novel, laju je idea saya bercerita......sayangnya ada yang tak suka.

Hampir saya membeli laptop yang baru. Minggu lepas saya dah terbayangkan netbook warna merah....harga rm1299. Kiranya minggu ini saya nak beli , tup tup tup, ALLAH sayangkan saya, khamis petang budak kedai call beritahu laptop saya dah siap dibaiki. Mereka gantikan skrin yang baru. Alhamdulilah.......Terima kasih kak NB , katanya kalau rumah kami dekat, dia nak pinjamkan laptop pink si Teta. hahahaha.....terima kasihlah kak....Za bukannya jenis suka pakai barangan orang, takut rosak pula . Harta kerajaan inipun, lambat je saya guna kerana memang tak selesa pakai bukan milik sendiri. Agaknya saya masih simpan kata-kata arwah Pak Cik Zailani, ayah guru saya : You should use your own things, buy it and make it your own property. Never borrow from others....Masa itu saya masih bersekolah ,manalah ada duit sendiri. Keluarga saya miskin tak berharta, arwah marahkan saya kerana anaknya guru saya pinjamkan satu buku rekaan corak 'crosstich' ,saya cuma nak guna sebagai contoh untuk mereka sendiri corak saya. Hanya sehari saya pinjam, hanya sekali itu....ia mengubah terus prinsip saya. Namun kenapa ada orang yang tak faham-faham tentang 'buku'? Kalau dah minat membaca novel, janganlah pinjam. Pergilah beli sendiri, buat koleksi sendiri. Kalau tak suka ,boleh jual sebagai buku terpakai. Dan kalau jual buku terpakai, jangan mainkan orang yang berminat nak beli buku tersebut....mungkin orang tersebut nak buat koleksi. Kalau tak kerana minat, baik cari buku baru yang lagi cantik dan kemas. Geram saya dengan penjual buku terpakai yang suka main-main sebegini.....

Apa yang saya merepek ini.....hahaha, bacalah isi hati dari jiwa yang bercelaru. Bila komputerku sakit, jiwa saya juga kekosongan. Ye lah, komputer itukan boyfriend saya sekarang....