Uzur Seorang Ibu

Posted by Leeza | Posted in


Maafkan saya kerana sudah lama blog ini tidak dikemaskini. Keadaan yang tidak mengizinkan saya menulis . Minggu lepas ketika saya temui mak saya terlalu lama di dalam tandas, dan mendapati dia tidak berdaya untuk bangun sendiri hati saya mengandaikan bahawa mak saya mungkin kena 'stroke'.

Jumaat yang lepas ketika saya balik dari sekolah saya menemuinya terbaring separuh pinggan di atas kerusi panjang dan ternyata keadaannya tidak berdaya untuk bangun sendiri. Entah berapa lama dia dalam keadaan sedemikian. Pedih hati saya melihat keadaannya. Setelah saya membetulkan kedudukannya supaya selesa, saya ke dapur . Saya melihat dinding dapur hitam legam, pan untuk menggoreng juga hitam legam , minyak pun sudah bertukar warna. Saya juga mendapati periuk buburnya juga hitam legam dan di bawah tudung saji , terhidang sepinggan pisang goreng yang sudah hangus. Di luar rumah saya menjumpai sehelai guni yang sudah hangus. Saya sudah membayangkan bagaimana keadaannya ketika perkara ini berlaku dengan kudratnya yang tidak seberapa itu. Hati saya sangat pedih dan sakit sepertimana pedih dan sakitnya hati melihat tangannya hangus ketika membakar arang berpuluh tahun yang lalu. Anehnya saya tidak menangis. Pada waktu itu saya sedar bahawa bahaya membiarkan mak saya seorang diri di rumah. Bila kakak saya datang ke rumah petangnya saya tanya dia berbagai soalan. Lantas kami berdua buat keputusan bahawa mak harus dihantar ke rumah kakak sebelum saya turun ke sekolah.

Kemudian hari demi hari keuzurannya ketara apabila dia terlalu payah hendak bangun kalau sudah berbaring atau duduk. Saya menjadi kian rapat dengan mak saya . Manakan tidak, saya harus memeluknya dan mengangkatnya perlahan-lahan ,kemudian harus mengurut lembut belakangnya kalau dia sudah dapat berdiri. Kudratnya tiada dan tentulah berat. Sakit macammana tulang belakang saya, saya harus redha dengan keadaan ini. Kemudian dia sudah tidak dapat mengawal buang air besar dan air kecil....dia tidak sedar dirinya basah. Maka bermula rutinnya menggunakan lampin pakai buang. Hari siang dia menggunakan 3 helai lampin dan malam pula 4-5 helai. Rutin saya berubah dengan mencuci pakaiannya terutama kain sarung dan cadar waktu awal pagi dan petang. Mak juga berubah menjadi kanak-kanak bila meminta makanan . Dia menjadi kuat makan dan pertuturannya terkadang tidak logik. Makannya juga perlu bersuap kerana tangannya seperti lemah. Malahan minum juga menggunakan straw. Dia sudah menjadi kawan baik cicitnya ,Putri yang berumur 3 tahun.

Saya melihat peringkat perubahan apabila seseorang menjadi lemah dan uzur. Ia menjadikan saya kian bijak melayani mak. Tambahan dia lebih selesa dengan saya...sehingga ada hari-hari tertentu dia menunggu saya balik untuk dimandikan dan disuap makan. Saya telah memujuknya agar menerima layanan kakak sebaiknya kerana saya terkadang lewat balik kerana kelas tambahah tahun 6. Fikiran saya antara kesihatan ibu dan UPSR menjadi bercelaru. Namun saya tidak berhenti berdoa agar diberi kekuatan untuk menghadapi kesemua ini.

Ketika dia dalam mamainya bertanyakan mana abang saya , hati saya digayut pilu. Dia menyuruh kakak menelefon salah seorang abang membelikannya lemang buluh, namun sehingga hari ini abang saya itu tidak muncul. Akhirnya anak saudara saya tolong membelikan lemang buluh untuknya. Begitu juga dengan pisang goreng. Malahan sehari selepas kejadian pisang gorengnya hangus, dia masih bertanyakan pisang goreng yang telah saya buang. Syukur alhamdulilah kerana hajatnya dapat saya tunaikan. Bayangkan betapa minatnya dia dengan pisang goreng hingga dia sanggup makan pisang goreng yang sudah sejuk jam 2 pagi.

Bangun seawal jam 3 pagi dan tidur selewat jam 12 sudah menjadi kebiasaan terbaru. Saya juga tidak dapat berenggang dengan telefon di sekolah . Saya bersyukur kerana masih ada kakak yang tinggal berdekatan dengan rumah untuk membantu saya menjaga mak saya pada waktu pagi.Keadaan ini membuatkan saya sukar hendak ke mana-mana, sebab mak saya perlukan perhatian yang lebih. Pernah saya sibuk mencuci dan mandi, saya kemudian mendapati dia membuka lampin dan air kencingnya berciciran. Kasihan saya melihatnya.....dan kalau boleh saya berdoa janganlah saya menghadapi kesukaran semasa tua. Kalau boleh biarlah tidak menyusahkan sesiapapun juga.

Jika anda masih mempunyai ibu bapa, maka layanilah mereka sebaiknya. Jangan menyesal jika mereka tiada.....

Comments (1)

salam za..
terharunya baca kisah mak za..
moga za terus diberi kekuatan dan kesabaran untuk terus menjaga mak..
barakallah za!