Gelang Getah

Posted by Leeza | Posted in


Hari ini saya hendak membicarakan kisah nostalgia zaman kecil saya. Gelang getah sekarang tidak secantik gelang getah zaman kecil saya. Warnanya lebih ceria dan terang. Diameternya pun tebal dan padu. Cantik dibuat pelbagai perhiasan dan sebagai alat mainan. Banyak kegunaan gelang getah ini selain digunakan untuk mengikat barang-barang, ia juga digunakan untuk mengikat rambut. Saya tidak menggunakannya mengikat rambut kerana saya berambut pendek.

Ini saya cilok dari blog NYETOK. Salah satu kegunaan gelang getah ini ialah membuat getah pulup atau dalam bahasa Sarawak dipanggil 'poloi'. Ada banyak jenis 'poloi' ini. Kalau hendak yang besar kita gunakan banyak gelang getah yang disatukan kemudian digumpal dan dianyam menjadi pulup atau poloi. Paling susah dibuat ialah membuat poloi jagung. Saya suka gabungkan warna kuning dan merah, biru dan merah atau oren dan putih. Memula regangkan seutas gelang getah ini antara dua ibu jari kaki. Kemudian selang-selikan warna merah, kuning dan merah meregang serong atas regangan gelang getah tadi. Kemudian, anyam seperti menganyam tocang rambut. Bila sudah selesai baru masukkan 5 utas gelang getah kuning sebagai ekornya. Ia akan kelihatan cantik tersusun .Jangan lupa keluarkan getah asasnya tadi dari kepala poloi tersebut.Kalau poloi yang biasa ,kita hanya satukan dan gumpal begitu sahaja kemudian ikat dengan beberapa gelang getah. Banyak kegunaan poloi ini. Ia boleh menjadi pistol cicak, juga sebagai senjata yang saya selalu bekal dalam beg sekolah. Apa tidaknya , saya selalu menjadi mangsa buli yang tidak pernah berjaya dibuli oleh rakan-rakan lelaki yang nakal.

Permainan yang seronok menggunakan poloi ini ialah menembak timbunan gelang getah yang disusun di atas garis getah yang direntang dengan menggunakan empat batang ranting kayu kecil.Syaratnya mesti tembak sehingga timbunan gelang getah ini jatuh melepasi garisan yang ditetapkan. Katalah 5 pemain, seorang kena membayar sejumlah gelang getah yang ditetapkan . Siapa yang menang maka kaya dengan gelang getah ini. Saya selalu juga menang sehingga gelang getah penuh di kedua-dua belah lengan saya...hahahaha. Bila balik kalau tak tanggalkan dari lengan , mesti kena balun oleh abang sulung dengan rotan. Malamnya kalau kerja sekolah telah selesai dan masa belajar sudah habis, saya dan abang-abang saya akan bermain menggunakan gelang getah secara satu persatu. Seutas gelang getah ini akan dijentik sehingga menimpa lawan. Terkadang dibaling menggunakan tapak tangan dan sesiapa yang paling dekat dengan dinding ,dia menang. Pertaruhannya juga ialah gelang getah. Jika bosan, jadilah ia senjata untuk bermain tembak-tembak. Pelurunya ialah batang rumputyang dikerat sepanjang 2 inci dan dilipat di atas gelang getah. Sekarang ngeri saya hendak benarkan Luqman main permainan ini sebab mereka terlalu mudah tercedera. Dulu saya bersembunyi panjat-panjat pokok dan siling , tidak pernah terjatuh atau tercedera.

Satu sahaja kemahiran Luqman yang saya tahu ialah membuat lastik menggunakan gelang getah ini. Hobinya tidak lain hanya melastik burung. Dulu saya juga mempunyai dua batang lastik yang dibuat oleh arwah datuk saya dan ayah saya. Pelurunya bukan daripada batu tetapi dibuat sendiri menggunakan tanah liat. Tanah liat ini digentel bulat-bulat sebesar ibu jari kemudian dibakar di atas api menggunakan tudung tin susu. Saya bawa ke sekolah untuk digunakan ketika berjalan pulang dari sekolah.Ini kerana saya terpaksa berjalan kaki bersendirian dari sekolah ke rumah saya sejauh 3km . Kenapa saya bersendirian? Tiada yang suka berkawan dengan seorang budak perempuan yang gemuk dan 'pekak'. Lastik itu bukan untuk melastik burung, tetapi sekadar suka 'menembak' ke satu tujuan. Kemahiran ini rasanya tidak dapat saya kuasai sekarang kerana mata saya sudah rabun.

Satu lagi permainan menggunakan gelang getah ini ialah membentuk corak di tangan. Ia dimainkan secara berpasangan. Kita membentuk corak bintang dan kawan akan cuba mengambil corak ini tanpa memutuskannya. Dia akan membentuk corak yang lain pula. Kemahiran sebegini perlukan latihan yang acap kali. Saya selalu berlatih dengan abang-abang saya dan abang-abang sepupu.

Masa kecil, tiada mengenal alat permainan yang mahal-mahal. Hanya dengan gelang getah banyak jenis permainan dapat dicipta. Keseronokan yang masih disimpan sebagai kenangan indah.

Comments (1)

hai...nak tanya,kalau2 encik boleh membantu..skrng lastik ni dah mula dikomercialkan..mana nak dapat getah untuk membuat lastik tu ek??kdg2 berjenis2 kaler gak..nak tau supplier nye..Thanks..