Luqman dan kesabaranku

Posted by Leeza | Posted in

Sudah masuk hari ke6 Ramadhan kita lalui dan saya pula seakan malas hendak mengemaskini blog saya dengan coretan terbaru. Semalam saya bermimpi bertemu dengan Kak NB. Masa itu dia sibuk dengan laptop dan kameranya. Dia beritahu saya : Updatelah blog za....ambil gambar dan menulislah. Saya rindukannya ...rindu sangat.

Ramadhan juga sinonim dengan dugaan dan kesabaran. Allah wujudkan banyak dugaan baik dalam suka mahupun duka, apalagi berkaitan dengan emosi kita sebagai manusia. Namun siapalah kita manusia ini yang terkadang tersasar dari landasan kesabaran.

Tahun ini saya berpuasa bertiga dengan mak dan Luqman sahaja. Tahun lepas adalah si Ridzwan, anak abang, Hairul dan Azizi abang kepada Luqman menambah bilangan keluarga. Jadi tumpuan lebih kepada Mak dan Luqman. Syukur alhamdulilah sebab Luqman ini jenis makan satu jenis lauk sahaja. Jika ada 5 jenis laukpun, dia akan rasa sedikit dulu kesemuanya dan dia akan pilih satu sahaja yang dia suka. Syaratnya mesti ada lauk berkuah. Juga kegemarannya setiap tiba bukan ramadhan ialah air soya...mesti ada 2 bungkus.

Antara kerenah dia yang menguji kesabaran saya ialah :

1. Malam lepas maghrib dia keluar. Dia pakai songkok dan kata pergi ke surau untuk terawih. Saya suruh abang ipar saya ( pakcik Luqman) tengokkan. Apa yang saya dengar dia merayau dengan kawan-kawannya sahaja dan bukan berterawih.

2. Main mercun tak kira siang atau malam. Macam-macam idea kreatif dalam bermain mercun papan yang kecil itu. Kononnya lebih jimat, lebih power dan lebih bising. Dia gunakan tempayan , pasu bunga saya yang kosong , dan botol mineral. Nasib baik dia tak bakar masa solat, jika tidak mahu saya kejar dengan rotan.

3. Selalu last minute cakap benda-benda yang dia perlukan untuk kerja sekolahnya. Contohnya dia mahukan kentang tengah malam buta....mana nak cari kentang malam-malam? Rumah saya tak pernah ada stok kentang sebab takde sesiapa suka makan. Kalau si Wan ada , maka hantu kentang sentiasa dapat stoknya.

4. Malas cuci kasut sekolah. Saya biarkan sahaja dan awal-awal saya cakap kasut baru hanya didapati tahun depan sahaja. Kalau malas cuci, maka pakailah kasut hitam legam tu . Nanti awek-awek cun akan ketawakan kamu. Dalam senyap neneknya akan cuci kasut tersebut...geram.

Jika diingat balik kisah Luqman masa ramadhan tahun lepas....dia sudah kena tumbuk oleh 'samseng tahi kucing' , tahun ini alhamdulilah dia tak senakal tahun lepas. Jika dia tahu saya hendak ke Asajaya, dia pasti mengikut. Disuruh memilih kuih-muih, tak juga dia mahu. Jadi tahun ini belanja kuih-muih saya kurang. Cuma belikannya air soya sahaja. Yang lain saya masak sendiri. Cuma stok mi segera dan telur mesti ada sebab masa sahur Luqman selalu suka makan mi dan telur sahaja.

Luqman ada ayah kandung ? Ada...dekat je rumah dia. Sebelah rumah saya sahaja. Ayahnya pencari pepahat atau ambal ( sarawak) ...namun tidak pernah memberikan walau semangkuk untuk anaknya makan. Susah sangat ke memberikan anak sendiri makan dan minum ? Patutlah hidup tidak pernah senang......kalau kita kedekut dengan kasih sayang pada anak sendiri , suatu hari nanti masa kita tua , jangan menyesal jika si anak juga berkira dengan kita.

Comments (1)

Za..ALLAH akan murahkan kau rezeki kerana menjaga lokman dan apatahlah memasak dan memberi makan dia yang berpuasa..
teringat masa kecik-kecik Za, akak pun suka main mercun letak dalam botol, tap mercun yang boleh terbang ke langit dan meletup ke udara..he he..memang seronok..