Air Sampah

Posted by Leeza | Posted in


Kampung saya selalu menghadapi masalah air bersih. Air paip pada hari-hari yang biasa seringkali berwarna kuning dan berbau busuk seperti air sungai. Terkadang selalu merasakan air hujan adalah air yang terbersih berbanding dengan air paip. Bekalan air di kawasan Asajaya dikendalikan oleh pihak JKR untuk kawasan Asajaya dan bukannya oleh Lembaga Air dari Kuching. Seiring dengan perkhidmatannya yang amat buruk, begitu juga dengan bil-bil air yang tidak 'up to date' dan selalu menunjukkan amaun tertunggak sedangkan setiap bulan bayarannya tidak pernah lewat kami jelaskan. Inipun sudah kira bersyukur kerana tidak mengalami masalah ketiadaan air berhari-hari seperti kawasan kampung lain yang terbawah, malahan kawasan kawan saya Madam yang paling hujung fenomena ini sudah terbiasa.

Minggu lepas sekali lagi masalah ketiadaan air terjadi. Amat menghairankan kerana masalah ini tidak patut terjadi kerana beberapa hari hujan turun dengan lebatnya. Lainlah jika berminggu kemarau terjadi. Bila disiasat ,rupa-rupanya pihak Loji JKR kehabisan bekalan klorin. Apa yang menggeramkan ialah pihak terbabit seakan malas hendak mendapatkan bekalan dari Kuching.Bukankah ketiadaan klorin ini tidak patut ada dalam perkhidmatan mereka ? Sudah tahu benda ini penting, ia harus dikesan awal-awal lagi. Bila tengahari mereka mendapat bekalan klorin , ia mestilah direndam di dalam air untuk memutihkan air yang diempang tersebut sebelum disalurkan ke rumah-rumah. Saya sudah menduga kandungannya takkan selamat untuk diminum. Sebaik air ada , saya hanya menggunakannya untuk kegunaan pembersihan sahaja. Untuk minum dan makan saya gunakan air osmosis atau drinking water yang saya beli berkotak. Sekotak air tersebut harganya RM10. Biarlah berbelanja lebih sedikit asal kami minum air yang lebih selamat dan lebih bersih. Apa tah lagi dengan keadaan mak saya yang tidak berapa sihat, keperluan air bersihnya sangat diambilkira.

Apabila air tiada, air sungai menjadi tumpuan. Malangnya air sungai sudah pasti busuk dan kotor kerana ia menjadi tempat buangan sampah. Tidak dapat disalahkan kerana kampung tidak mempunyai sistem pembuangan sampah yang baik. Pihak Majlis Bandaraya pula tidak menyediakan tong sampah besar untuk orang-orang kampung membuang sampah . Lori sampah pasti takkan datang ke daerah kami untuk mengangkut sampah-sampah ini. Ketua kampung rasanya sudah berbuih mulut menyuarakan masalah ini namun tiada tindakan diambil. Bagi orang berpelajaran ia akan mengasingkan jenis-jenis sampah tersebut. Sampah terbiodegrasi bolehlah ditanam dan dibakar. Sampah yang tidak boleh terbiodegrasi kenalah buang di tempat yang boleh dikitar semula. Tong sampah terdekat yang menjadi tempat saya membuang sampah ialah di Asajaya, lebih kurang 15 minit menggunakan kereta. Bagaimana dengan orang yang tiada kenderaan? Ke sungai jugalah tempatnya.

Budak sekecil Putri yang berumur 3 tahun sudah tahu bahawa air sungai tidak sesuai digunakan untuk mandi . Bila neneknya menyuruh dia mandi air sungai dengan spontan dia menjawab ,"arghhh , air sampah !" Bagaimana dia tidak tahu jika setiap hari dia melihat neneknya melontar sampah ke dalam sungai yang cuma beberapa langkah sahaja dari rumahnya. Bila dia melihat datuknya mengambil air sungai untuk kegunaan tandas dan kemudian menggunakan air tersebut juga untuk mandi , dia memberi komentar ," Datuk mandi air najis...." Hahahaha....lasernya mulut anak sekecil ini. Dulu kami semua menggunakan air sungai untuk mandi dan mencuci pakaian. Dulu sungai juga digunakan untuk membuang sampah. Ketika mandi, jika ada najis hanyut dari sebelah hulu sungai, kita tepis sahaja najis tersebut kemudian mandi . Langsung tak ada rasa geli masa itu. Sampah sarap pula kita buang dari jendela rumah ke bawah rumah. Masa itu rumah bertiang tinggi. Kemudian kita juga bertungkus lumus menyapu sampah di bawah rumah dan membersihkan kembali sampah-sampah yang kita telah buang itu. Bukankah ketara kebodohan kita sendiri waktu ini? Zaman berubah, manusia makin bijak berfikir tetapi sikap malas manusia tak boleh nak dikata lagi. Jika pihak atasan prihatin, perkara seperti ini takkan terjadi. Bila sungai tersumbat , mereka menghantar jengkaut untuk mengorek sungai-sungai tersebut untuk mengelakkan banjir. Mereka korek seadanya sahaja , dan jika tersumbat lagi akan dihantar lagi jengkaut tersebut kerja mengorek berbulan-bulan. Kenapa? Inilah strategi perniagaan. Siapa yang akan dapat habuannya? Lu fikirlah sendiri.....betul tak ? Tidak hairan saya jika seseorang boleh jadi kaya raya kerana bagi saya pekerja awam tak mungkin gajinya mencanak-canak naik mengalahkan pengusaha perniagaan.

Comments (0)