Boys Over Flowers

Posted by Leeza | Posted in


Beberapa hari ini mood saya terhadap internet berkurangan. Hanya seketika sahaja saya berada di atas talian jalur lebar . Selebihnya saya melayan siri drama korea. Boys Over Flowers ini saya beli dengan harga RM59.90 sebanyak 25 episode. Sebenarnya drama bersiri ini pernah ditayangkan di TV tetapi saya sering ketinggalan mengikutinya sehingga episode 20 hingga 25 saya sudah tidak menontonnya.

Drama ini dibintangi oleh Lee Min Ho, Koo Hye Sun, Kim Hyun Joong , Kim Beom dan Kim Joon. Ia mengisahkan kumpulan F4 iaitu Gu Jun Pyo, So Yi Jeong, Yonn Ji Hoo, dan Song Woo Bin dan persahabatan mereka dengan Geum Jan Di, gadis biasa anak tauke kedai dobi. Kisah dimulakan dengan Jan Di yang ditugaskan menghantar pakaian seragam salah seorang pelajar Kolej Shinwa milik keluarga Gu Jun Pyo. Pelajar itu kebetulan cuba membunuh diri dan kecekapan Jan Di berjaya menyelamatkan pelajar itu. Bermula dari hari itu , untuk menutup kontroversi ini , maka Jan Di ditawarkan biasiswa belajar di Kolej Elit yang berprestij ini. Seterusnya bermula peperangan Jan Di dengan kumpulan F4 terutamanya Gu JUn Pyo. Dia sebagai gadis ajaib berjaya menjinakkan kumpulan F4 dan bermula persahabatan dan percintaan. Halangan terhebat silih berganti dilancarkan oleh ibu Gu Jun Pyo yang tidak suka hubungan anaknya dengan gadis miskin yang biasa sahaja. Setiap episode mewujudkan rasa ingin tahu dan kisah menarik. Setiap watak, selain Gu Jun Pyo dan Jan Di, Ji Hoo dan Yi Jeong juga menampilkan konflik yang tersendiri dalam keluarga mereka. Saya menyukai watak Gu Jun Pyo tetapi semakin saya tengok episode drama ini secara mendalam saya sangat-sangat menyukai watak Ji Hoo, senyumannya dan sikap baik hati. Woo Bin pula kurang menonjol wataknya sebab kisah dia tiada konflik yang ketara . Dia dikenali sebagai Putera Song, anak ketua kongsi gelap yang kaya dan berkuasa. Yi Jeong pula sangat manis dengan senyumannya dan satu slot yang paling saya suka ialah saat Ga Eul kawan baik Jan Di membawanya ke tempat temujanji pertama Yi Jeong dengan wanita kecintaannya yang pertama. Luahan perasan Eun Jae terhadap Yi Jeong menggunakan papan iklan yang hanya boleh dilihat selama 5 minit sahaja sebaik matahari terbit di atas bangunan. Usaha Ga Eul membantu Yi Jeong menyelesaikan luka hatinya dan salah faham sangat dikagumi ...dia gadis yang polos dan iklas membantu. Pengakhiran yang manis apabila sekembalinya Yi Jeong dari Sweden dia kembali ke pangkuan Ga Eul. Sebuaya perangai Yi Jeong dia gelabah juga bila Ga Eul menangis kuat di tepi jalan....nampak cute sahaja wajah gelabah dan pucatnya.

Fesyen korea....saya tetiba bertanya pada diri kenapa lelaki Malaysia jika menggunakan baju kemeja warna pink dan seluar putih nampak tak handsome? Begitu juga jika mereka menggunakan kot berwarna terang seperti warna indigo, kemeja purple dan hijau. Di antara keempat pemuda ini yang paling cantik cara berpakaiannya ialah Ji Hoo. Juga handsomenya bertambah dengan menunggang motosikal besar dan memandu kereta mini cooper ( belum hilang minat saya terhadap kereta ini ). Jun Pyo nampaknya lebih menonjol menggunakan pakaian warna gelap. Wajah yang bersih dan manis ketika senyum dan dingin terhadap wanita lain, tentu sahaja milik Ji Hoo. Sayangnya dia tak mampu memiliki hati Jan Di. Satu yang paling penting ialah seluar skinny yang dipakai oleh Ji Hoo....jalannya pun bagai orang yang terpaksa pakai seluar terlalu ketat sahaja.

Pendekata, watak heroinnya perlu banyak menitiskan airmata. Teringat saya dengan drama bersiri Taiwan , Meteor Garden lakonan kumpulan F4 dan watak wanitanya Shan Chai begitu murah dengan airmata.

Lagu-lagu tema dalam Boys Over Flowers juga lunak di halwa telinga. Saya suka lagu Lucky yang juga menjadi lagu tema Yu Hee The whitch. Ada sebab kenapa saya menonton drama ini . Saya hendak mendapatkan mood membaca novel Adra Adlina sebab dari bacaan saya ,dia seakan dapat semangat menulis menggunakan drama ini.

Jadi, saya tidak menyesal membeli VCD ini....kerana selain ceritanya menarik, ia juga penuh dengan permandangan yang menarik dan cantik.

Comments (0)