Dilema UPSR

Posted by Leeza | Posted in

Baru-baru ini heboh pasal pemansuhan UPSR dan PMR. Kononnya 2011 adalah tahun terakhir peperiksaan ini diadakan dan 2012 akan wujud satu sistem penilaian yang baru untuk menggantikan UPSR dan PMR ini. Abang saya menyatakan bahawa dia tak berapa suka UPSR dimansuhkan sebab peperiksaan ini menjadi kayu ukur pencapaian anak-anaknya. Bukan hendak menunjuk-nunjuk kelebihan anak-anak atau hendak membanding beza kasih terhadap anak-anak namun dengan adanya peperiksaan sebegini, anak-anak,ibubapa dan guru-guru akan berusaha untuk mencapai target yang ditetapkan setiap tahun. Begitu juga pendapat guru-guru sekolah menengah .Bagi mereka , peperiksaan ini menjadi satu sistem yang menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Jika tiada kayu pengukur seperti ini, maka guru-guru dikhuatiri akan sewenang-wenangnya mengabaikan bidang tugas masing-masing.

19 tahun sudah perkhidmatan saya di bidang pendidikan. Belasan tahun juga saya berkhidmat sebagai guru UPSR. Jika di STA, saya berselang seli mengajar UPSR, yakni setahun UPSR, 2 tahun masa rehat yakni mengajar tahun 4 kemudian tahun 5 tetapi sejak saya berada di SKJ, saya menjadi guru Sains UPSR tiap-tiap tahun. Sejak Cikgu D berpindah sekolah, gerak-geri saya terikat kerana ketiadaan pelapis. Kalau dulu saya dapat bergilir dengan Cikgu D mengajar kelas Sains UPSR. Stress mengajar kelas peperiksaan berbeza sama sekali. Keletihan otak, jiwa tidak tenteram dan kelesuan menjadi muzik rasmi dan rutin dala kehidupan saya. Alhamdulilah saya mampu mengatasi masalah ke'tension'an ini .

Calon UPSR 2010 di SKJ ialah seramai 27 orang : 8 perempuan dan selebihnya lelaki. Cabaran kelas ini maha hebat sehingga saya kehabisan idea dan kreativiti untuk melonjak mereka dengan tahap maksima. Jika hari-hari yang biasa saya berikan latih tubi , kelulusan mereka amat menggalakkan sehingga mencapai peratus kelulusan lebih daripada 80% yakni hanya 4-5 orang sahaja yang gagal kertas Sains. Namun malangnya bila diberikan ujian Pra UPSR, kelulusan ini mendadak jatuh hingga bawah 60%. Bukankah ini amat mengecewakan guru? Jika ada yang mengatakan UPSR bukan satu pengukur utama untuk kecemerlangan seseorang guru, bagaimana pihak ibupejabat mengukur prestasi sekolah berdasarkan kelulusan dalam UPSR? Bagaimana NKARA meletakkan ranking sesebuah sekolah jika tidak berdasarkan keputusan UPSR? Jika seseorang menyatakan sedemikian , ia mengecewakan hati saya sebab semangat dan banyak pengorbanan saya buat untuk murid-murid saya dalam UPSR. Apa kata kita buat sistem giliran yakni semua guru bergilir untuk mengajar kelas peperiksaan ini? Tentu jawapan yang diterima ialah 'TIDAK' atas alasan tidak berpengalaman mahupun tidak tahu. Jika UPSR tidak penting, maka kenapa takut meletakkan tanggungjawab ini kepada orang-orang yang baru? Bukankah kami dari maktab yang sama? Bukankah gaji pun sama? Apa yang membezakan layak dan tidak layak seseorang itu mengajar kelas UPSR? Jika tidak berpengalaman , bagaimana hendak menimba pengalaman jika tidak menceburi dunia sebagai guru kelas peperiksaan? Jika tidak tahu bagaimana hendak jadi pandai jika tidak belajar mencuba kelas peperiksaan. Semua ada pengalaman pertama dan yang pertama itu memang tidak pernah sempurna. Pendekata , alasan sebenarnya ialah MALAS kerana tidak mahu pening-pening kepala memikirkan prestasi murid-murid yang harus dipantau selalu.

Semakin dekat UPSR 2010 semakin kuat debaran dan kerisauan kami sebagai guru mereka. Saya sekarang setiap kali latihan dan ujian diberikan, saya memberikan bimbingan secara individu sebab mereka ini kena diulang banyak kali. Setiap hari saya mengingatkan baca dan hafal setiap latihan yang diberikan. Namun anihnya kelupaan mereka semakin menjadi-jadi. Jika menjawab soalan : Apakah tujuan penyiasatan di atas? Saya suruh mereka hafal : Untuk menyiasat hubungan di antara dot dot dengan dot dot. Masih juga salah....tak kuasa sudah nak merotan atau memiat telinga mereka sebab tangan saya juga yang sakit. Kali ini saya suruh siapa yang salah, menyalin jawapan ini 50 kali. Barulah mereka ambil berat....namun seperti biasa namanya budak, dimarah, dirotan sekalipun masih juga tersengih-sengih sampai ke telinga. Ada pula tu tarik tangan saya mencium berulang kali dengan perkataan maaf berulang kali.

Sekarang saya cuma mengharapkan keajaiban semasa UPSR nanti....jika jatuh pun keputusannya janganlah di bawah aras SPR (SEKOLAH PRESTASI RENDAH) iaitu bawah 40%. Hakikatnya kalau SPR, semua pihak akan berkampung di SKJ. Mereka akan memantau , memantau dan memantau segalanya. Walaupun harapan nampak tipis, namun saya takkan berhenti dari berusaha dan berjuang. Apa yang menaikkan semangat saya ialah, mereka tidak berhenti untuk terus mencuba dan berusaha. Biarpun apa keadaan sekalipun , saya takkan berhenti berdoa. Semoga ibubapa mereka juga tak pernah lupa untuk sujud kepada ALLAH dan berdoa untuk anak-anak mereka sendiri.

Comments (2)

Za akak pun tak berapa setuju dengan pemansuhan UPSR ini, tetapi kalau ada exam yang dibuat secara in-house pun okay juga, supaya ada kayu pengukur untuk melihat kemampuan anak-anak ini.
Rasanya tanggungjawab tidak harus dibebankan pada guru tertentu sahaja, sekolah dan semua guru harus dipertanggungjawab untuk memastikan kejayaan anak-anak ini.

Betul kata akak bahawa tanggungjawab ini harus dipikul bersama....bagi rehat kepada yang sedia ada. Kita kan manusia, perlu masa untuk refresh juga.