TERBANGLAH SAYANG oleh Aina Emir

Posted by Leeza | Posted in


Saya juga membaca novel-novel karya Aina Emir . Terbanglah Sayang merupakan karya terbaru beliau yang saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 yang lalu. Saya sempat menemui beliau di Booth Karnadya .

Novel ini saya habiskan berminggu-minggu kerana sesungguhnya saya tidak dapat menghayati novel ini sepenuh hati. Alasannya satu....isi ceritanya tidak menepati kehendak saya. Ada pendekatan 'western style 'dalam novel Terbanglah Sayang.

Sinopsis serba ringkasnya :
Kisah cinta tiga segi antara Fiya, Inaz dan Arash. Setelah habis membaca novel ini ia dapat dirungkaikan watak Fiya dan Inaz yang bersaing antara satu sama lain. Mereka sepupu yang punya wajah seiras namun berlainan karekter . Pada mulanya saya tidak suka dengan watak Inaz yang digambarkan serba kurang berbanding Fiya yang bijak, lembut, disukai oleh semua orang. Inaz yang digambarkan gedik, suka bersaing dengan Fiya , emosional . Kemuncak perangai Inaz dikatakan 'jahat' bila perkahwinan Fiya dan Faris terbatal pada saat-saat akhir. Inaz dikatakan penyebabnya! Namun pembaca harus baca hingga ke akhirnya sebelum menghukum Inaz dengan perbuatannya ini. Ini kelebihan Aina Emir untuk men'twist' pemikiran dan penilaian pembaca terhadap watak-wataknya.

Yeap! Fiya telah menang. Dia tetap muncul sebagai juara dalam persaingannya dengan Inaz apabila dia berjaya memiliki Arash, lelaki militer yang hebat. Juruterbang pesawat juang no 1 iaitu SUKHOI. Namun setelah apa yang terjadi kepada Inaz , kekecewaan Inaz menyebabkan Fiya terpukul hebat. Walau mereka umpama musuh dan lawan dalam sesuatu persaingan namun rasa kasih sebagai sepupu dan sahabat sejak kecil mengatasi segalanya. Rasa bersalah menjadi balasan yang sangat mahal bila Fiya dan Arash semakin jauh terpisah oleh rasa ego dan rasa bersalah Fiya. Satu demi satu terungkap segala muslihat Fiya dalam mengatasi Inaz. Dia bijak merancang segalanya namun dia kalah dengan perasaan bersalahnya. Inaz mencari bahagia sendiri dengan bantuan Arash. Di sini kita tahu Inaz berjaya mengalahkan Fiya dalam menanggani perasaannya dan sesungguhnya Fiya tidak mampu menandingi setia kasih Inaz terhadap Fiya. Kerana kasihnya terhadap sepupunya ini menyebabkan dia tidak rela sepupunya memilih Faris yang sudah mempunyai kekasih hati. Sayang , watak indah sebijak Fiya rupanya menjadi watak jahat yang bertopengkan kebijaksanaan dan kelembutan. Dia menjadi isteri yang mengabaikan Arash ,suaminya.

Novel ini lebih kepada orang yang sudah berkahwin. Ia mengungkap masalah sensitif hati dan tanggungjawab dalam sesebuah perkahwinan. Penulis dengan beraninya mengungkapkan isu antara nafsu, tanggungjawab dan cinta. Arash dan Fiya , bersatu di ranjang dengan penuh nafsu namun masih ragu-ragu dalam hati adakah ia kerana cinta atau sekadar tanggungjawab semata-mata. Perempuan masih pertahankan rasa ego dan malu mengungkap kata cinta pada suami sendiri, dan lelaki pula tidak berani mengungkap perasaan bimbang cuma bertepuk sebelah tangan. Namun keduanya umpama pasangan yang baru belajar bercinta, bertemu kerana rindu , bersatu kerana sunyi.

Selain itu, penulis juga dedikasikan novel ini untuk golongan pasukan hadapan yang sentiasa memperjuangkan keamanan dan keselamatan negara . Dilema pasangan suami isteri yang terpaksa berpisah jauh kerana berlainan kerjaya....isteri tentera kena memahami tugas suami yang terikat dengan kerjayanya. Sejuta hormat buat isteri-isteri tentera yang turut berkorban demi suami dan negara.

Ringkasnya, novel ini banyak memainkan dilema dan konflik dalaman. Ia banyak bermain teka-teki. Cinta jadi hambar bila tidak dilafazkan. Masing-masing lebih banyak buang masa dengan berteka-teki dalam hati. Nasib baik dah kahwin...jika tidak Arash sudah lama menjadi milik wanita lain.

Comments (0)